Chapter 7

Mystery & Detective Completed 13460

DREAM

2015

Aliman merenung ke luar jendela dari biliknya. Menongkat dagu. Beberapa hari lepas, baru pertama kali dia bertemu dengan gadis itu. Qayreena.

Gadis itu mempunyai aura lain. Aliman tidak tahu apa yang harus diterangkan tentang itu.

"Boleh saya tanya awak sesuatu?" tanya Aliman. Dia memandang ke arah wanita yang sedang merenung ke arah Qayreena tidak jauh daripada tempat dia berdiri.

"Hm?"

"Awak... Ada terlibat dalam kemalangan tak sebelum ni?" tanya Aliman.

"Oh. Itu..."

"Alamak! Maaf. Saya tak sepatutnya tanya hal tu pada awak. Lupakan je," kata Aliman menyedari keterlanjurannya serta perubahan wajah Qayreena.

"Tak apa. Tahun 2011. Saya terlibat dalam kemalangan," kata Qayreena.

"2011?" soal Aliman terketar-ketar. Dia juga terlibat dalam kemalangan waktu itu. Kemalangan yang membuat dia mendapat kelebihan melihat rohnya.

"Ya. Dan keluarga saya meninggal kecuali abang saya. Dan saya koma selama 40 hari," kata Qayreena.

"Oh. Maaf. Saya tak sepatutnya tanya pasal tu," ucap Aliman.

"Tak apa. Bukan salah awak pun," kata Qayreena. "Oh, ya. Kenapa awak tanya, ya?"

"Tak ada apa-apa. Saya tiba-tiba tergerak nak tanya," kata Aliman memandang ke arah wanita yang sedang merenung ke arah Qayreena.

"Awak pun terlibat dalam kemalangan pada tahun yang sama, kan?" tanya Qayreena.

"Eh?!" Aliman terkejut kerana Qayreena mengetahuinya.

"Awak tak sedar selama seminggu dan awak alami sesuatu yang pelik," kata Qayreena. "Ada yang sedang perhatikan saya, kan?"

"Oh? Ya," kata Aliman. Dia memandang ke arah wanita di belakang Qayreena.

"Alamak! Saya dah lambat! Saya pergi dulu, ya," kata Qayreena lalu berlari melalui koridor itu.

Aliman memandang ke arah Qayreena. Matanya terpandang ke arah wanita yang tadinya memerhatikan Qayreena. Sudah tiada.

"Mana?" tanya Aliman sendirian. Matanya melilau mencari kelibat wanita itu.

"Dia ada kelas piano," kedengaran seseorang membisikkannya. Aliman menoleh.

Seorang gadis bergaun putih tersengih memandangnya.

"Awak siapa?" tanya Aliman. Dia mencuba untuk mencari tanda nama pada gadis itu. Tiada. Gadis itu bukan mahasiswa kah?

"Dia ada kat bilik sana. Nombor 2," kata gadis itu menjuih ke arah salah satu bilik di hujung koridor.

"Macam mana awak ta..." Aliman memandang sekelilingnya. Tiada!

Aliman terus ke bilik yang dimaksudkan. Aliman tergamam mendengan permainan piano dengan tempo super laju yang dibawa oleh Qayreena. Professor Kim di sebelahnya kelihatan hanyut dalam permainan Qayreena. Sama halnya dengan dirinya sendiri.

"Dia bagus," puji Aliman ikhlas. Dia bukan seorang yang berjiwa seni. Tapi, permainan piano Qayreena menambat hatinya.

"Dia memang bagus," kata seseorang di sebelahnya. Aliman menoleh. Gadis bergaun putih tadi. "Macam kakak dia,"

"Awak yang ada tadi, kan?" tanya Aliman.

"Kalau ya, kenapa?" tanya gadis itu.

"Tak ada apa-apa," kata Aliman lalu kembali memandang ke arah Qayreena. Dia baru teringat untuk bertanya sesuatu kepada gadis itu.

Namun, apabila dia menoleh, gadis itu sudah tiada di situ. Lagi.

"Liman," kedengaran ketukan lada pintu biliknya. Aliman tersedar dari lamunannya. "Liman. Mama Liman panggil makan,"

Ia Adeimi. Aliman melangkah ke arah pintu lalu membukanya.

"Mama Liman panggil makan," ulang Adeimi.

"Okey," kata Aliman.

"Turun dulu," kata Adeimi meminta diri untuk turun.

"Mak su!" panggil Aliman.

"Ya?"

"Macam mana mak su nak bezakan roh dengan orang?" tanya Aliman.

"Entah. Kadang-kadang pun, mak su ingat orang tu roh," kata Adeimi. "Mak su kena pegang abang Izrul lah baru tahu hantu ke orang,"

"Oh,"

"Kenapa tanya?" taya Adeimi.

"Hari tu, Liman terjumpa seorang perempuan. Dia tahu yang Liman kemalangan dulu. Itu orang ke hantu?" tanya Aliman.

"Manalah mak su tahu," kata Adeimi.

"Macam mana mak su boleh nampak roh?" tanya Aliman.

"Mak su boleh nampak dari kecil. Tapi, keluarga mak su kunci kebolehan tu sampai umur mak su 11 tahun," kata Adeimi.

"Liman dapat lepas kemalangan," kata Aliman. "Macam mana Liman boleh dapat kelebihan tu?"

Adeimi menjungkitkan bahunya.

"Jom turun," ajak Adeimi.

~

Qayreena berdiri di ruang itu. Bilik Hamizi. Mengapa dia berada di situ? Qayreena dapat melihat seorang gadis bergaun putih duduk di kerusi yang terletak di hadapan pintu gelongsor yang memisahkan bilik itu dengan beranda.

Tidak lama kemudian, Hamizi melangkah masuk ke biliknya. Senyuman manis dihadiahkan kepada gadis itu. Hamizi duduk di hadapan gadis itu.

Qayreena cuba mengamati wajah gadis itu. Matanya terpandang kanvas yang terletak di satu penjuru bilik tersebut. Wajahnya, rambutnya bahkan bajunya. Sama persis dengan gadis yang menjadi potret pada kanvas itu.

"Nurdhiya," Qayreena yakin itu gadisnya. Kekasih Hamizi.

"Ada yang datang tadi?" tanya Dhiya.

"Ya. Dia pelajar muzik Universiti Selatan," kata Hamizi.

"Perempuan?" tanya Nurdhiya. Hamizi mengangguk. "Cantik?"

"Cantik," kata Hamizi. "Tapi, dia puji Didi cantik,"

"Didi rasa nak lah jumpa dia," kata Nurdhiya.

"Tadi dia datang betul-betul lepas Didi pergi. Dia cakap tadi yang dia akan datang balik lain kali. Jadi, Didi janganlah balik awal-awal. Boleh jumpa dia nanti," kata Hamizi.

"Okey. Didi akan cuba," kata Nurdhiya. "Didi nak pergi toilet kejap,"

"Hm," Nurdhiya kelihatan bangun lalu melangkah masuk ke dalam bilik mandi yang terletak di dalam bilik tersebut. Mak Som muncul di dalam bilik itu menatang dulang berisi 2 biji cawan teh.

"Ini tehnya, Tuan muda," kata Mak Som lalu meletakkan cawan teh yang ditatangnya ke situ ke atas meja. Cawan teh tadi yang satunya kosong dan satunya masih penuh diangkatnya naik ke atas dulang.

"Terima kasih, Mak Som," ucap Hamizi.

"Sama-sama," balas Mak Som. Dia memandang sekeliling bilik itu. "Oh, ya. Cik Dhiya mana?"

"Dia pergi toilet tadi," kata Hamizi. "Kenapa?" tanya Hamizi hairan kerana Mak Som bertanya mengenainya.

"Cik Dhiya akan singgah untuk makan malam tak agak-agak?" tanya Mak Som.

"Saya rasa tak," kata Hamizi.

"Kalau macam tu, Mak Som masak macam biasalah ya. Tuan muda ada rasa nak makan apa-apa ke?" tanya Mak Som.

"Ikut Mak Som je. Saya makan apa je yang Mak Som masakkan," kata Hamizi.

"Mak Som keluar dulu lah, ya," Mak Som meminta diri untuk keluar. Apabila Mak Som sudah keluar, Dhiya menghampirinya.

"Oh. Teh dah sampai," Nurdhiya duduk di hadapan Hamizi.

"Didi dah lama tak mainkan piano untuk saya," kata Hamizi.

"Awak nak dengar ke?" tanya Nurdhiya.

"Kalau Didi nak mainkan, saya dengar aja," kata Hamizi. Nurdhiya kelihatan bangun daripada tempatnya terus ke piano.

Penutup kekunci piano sudahpun dibuka. Mungkin kerana Hamizi berlatih tadi. Nurdhiya kelihatan memainkan piano itu. Qayreena tercengang. Tiada satu nadapun yang dia dengar.

Hamizi kelihatan bangun lalu menghampiri piano itu. Hamizi menongkat dagu di hadapan Nurdhiya yang sedang memainkan piano itu.

"Sedap lagu ni," puji Hamizi. Namun, Qayreena masih tidak mendengar apa-apa melodi yang keluar daripada hasil picitan kekunci piano yang dibuat oleh Nurdhiya.

Qayreena tidak berpuas hati. Dia melangkah ke arah piano itu. Cuba melihat apa yang sedang dibuat oleh Nurdhiya.

Qayreena dapat melihat yang jari jemari Nurdhiya menari di atas kekunci piano. Tapi, tidak menekannya. Ia jelas menunjukkan sebab dia tidak mendengar apa-apa melodi daripada piano itu.

Qayreena memandang ke arah Hamizi. Bagaimana lelaki itu boleh mendengarnya? Dan. Satu lagi. Bagaimana Nurdhiya memainkan piano dengan tidak memicit mana-mana kekunci.

Jari jemarinya kelihatan menari di atasnya tetapi tidak memicitnya. Apa yang boleh menerangkan situasi tersebut?

Hamizi kelihatan duduk di sebelah Nurdhiya. Dia mula memainkan sebuah melodi. Melodi yang pernah dimainkannya ketika Qayreena melawat rumah Hamizi tempoh hari.

Mereka terlihat seolah memainkan piano secara duet. Namun, hanya permainan Hamizi yang dapat didengar oleh Qayreena. Bukan yang dimainkan oleh Nurdhiya. Kenapa?

"Macam mana?" tanya Hamizi.

"Macam biasa. Bagus," kata Nurdhiya. Qayreena juga mengakuinya. Hamizi memang bagus dalam memainkan piano itu.

"Lagu ni khas untuk Didi," kata Hamizi.

"Ya ke?" tanya Nurdhiya seolah-olah tidak percaya.

"Yalah. Saya tak akan mainkan lagu ni live dalam persembahan saya tau. Hanya untuk Didi," kata Hamizi.

"Yalah tu," kata Nurdhiya. "Habis, tadi awak mainkan depan budak perempuan tu,"

"Itu kes lain. Saya pun tak tahu kenapa saya nak mainkan lagu tu masa dia ada. Macam ada sesuatu yang suruh saya mainkan depan dia," kata Hamizi. "Mungkin sebab dia pelajar muzik. Jadi; saya tergerak nak tahu apa pendapat dia tentang lagu tadi,"

"Mungkin," kata Nurdhiya. "Jom minum teh," ajak Nurdhiya.

Mereka berdua kelihatan melangkah ke arah meja di hadapan pintu gelongsor itu.

"Mak som memang terbaik," kata Nurdhiya lalu mengangkat cawan tehnya. Hamizi dan Nurdhiya sama-sama menghirup teh daripada cawan teh masing-masing.

Qayreena menjenguk ke arah mereka. Masing-masing telah meletakkan cawan masing-masing di atas meja.

"Eh?" Qayreena memandang ke arah cawan milik Nurdhiya. Tehnya masih lagi penuh. Fikirannya terimbas sewaktu dia ke situ tempoh hari. Satu cawan sudah kosong manakala satu lagi masih lagi penuh.

Sama dengan apa yang dilihatnya ketika itu. Milik Hamizi sudah habis. Milik Nurdhiya masih penuh. Bukankah mereka berdua sama-sama menghirup teh itu?

"Didi dah nak kena balik ni," kata Nurdhiya lalu bangun.

"Nak balik dah?" tanya Hamizi lalu turut bangun. "Hati-hati jalan,"

"Hm," Nurdhiya mengangguk. Dhiya keluar daripada bilik Hamizi.

Hamizi membuka pintu gelongsor lalu keluar ke beranda. Qayreena mengikut langkah Hamizi.

Hamizi kelihatan melambai ke arah seseorang di bawah. Qayreena mencari siapa yang dilambai oleh Hamizi. Tiada sesiapa yang lalu di situ. Langsung. Begitu juga dengan Nurdhiya.

Qayreena tidak dapat melihat di mana-mana kelibat gadis itu. Bukankah gadis itu sudah keluar?

"Saya sayang Didi!" laung Hamizi sambil memandang ke hujung lorong di hadapannya. Qayreena cuba mencari kelibat Nurdhiya. Tiada!

Hamizi kelihatan melambai seseorang hingga orang itu sudah tidak kelihatan pada pandangannya. Namun, apa yang Qayreena nampak ialah, tiada sesiapa!

Hamizi tersenyum sendiri sebelum masuk kembali ke dalam biliknya. Pintu gelongsor itu ditutup. Meninggalkannya sendirian di situ. Terpinga-pinga.

Qayreena kembali memandang ke arah jalan di hadapan rumah agam itu. Memang tiada sesiapa. Tiada tanda-tanda orang keluar daripada rumah agam itu. Jadi, ke mana perginya Nurdhiya.

Qayreena menoleh. Alangkah terkejutnya apabila yang berdiri di hadapannya ialah Nurdhiya.

"Nurdhiya!" Qayreena bagai tidak percaya. "Bukan ke awak dah balik tadi?"

"Awak nampak?" tanya Nurdhiya. Yang peliknya, Nurdhiya langsung tidak membuka mulutnya. Namun, Qayreena dapat mendengar dengan jelas suara Nurdhiya. Telepati.

"Banyak yang saya nak tanya awak. Banyak yang saya tak faham," kata Qayreena.

"Itu bukan saya," kata Nurdhiya menerusi telepatinya.

"Apa maksud awak?" tanya Qayreena.

"Awak kena tolong saya," kata Nurdhiya.

"Tolong apa?" tanya Qayreena.

"Tolong dia," Nurdhiya menunding ke arah Hamizi di dalam biliknya.

"Ha?" Tiba-tiba, bunyi guruh berdentum. Serentak dengan itu, Qayreena terbangun.

Segera dia mengubah posisinya daripada baring kepada duduk. Dia memicit pelipisnya.

Sekali lagi. Mimpi yang sama menjengah tidurnya. Dan seperti biasa...

"3 setengah," Qayreena menjeling ke arah jam di dinding biliknya. Dan seperti selalu, dia tidak akan boleh tidur lagi selepas mimpi itu.

Qayreena turun daripada katilnya. Dia menggeliat membetulkan urat sarafnya sambil berjalan ke arah pintu.

Langkahnya terhenti apabila berasa ada seseorang yang memerhatikannya. Qayreena menoleh. Tiada sesiapa. Dia dapat merasakan kehadiran seseorang di situ. Tetapi, dia tidak dapat melihatnya.

Qayreena memandang sekeliling biliknya. Banyak kali dia merasakan dia sedang diperhatikan. Namun, ia semakin kerap selepas dia ke rumah agam milik Hamizi tempoh hari.

Qayreena teringat akan mimpinya.

"Macam mana saya boleh tolong awak?" tanya Qayreena memberanikan diri.

Tiba-tiba, tingkap biliknya terbuka dan angin beriup kuat. Qayreena dapat melihat suatu bayangan berupa angin yang bertiup daripada tingkap biliknya masuk ke biliknya.

Angin itu kelihatan melepasinya lalu terus ke meja belajarnya. Menghembus buku di atas mejanya hingga terselak helaiannya satu persatu.

Tiket persembahan piano yang diselitkan di antara helaian buku itu berterbangan ke udara. Tidak lama kemudian, tiket-tiket itu mendarat di atas lantai bilik.

Qayreena mengambilnya. Dia memandang ke kiri dan ke kanannya. Memang ada sesuatu di situ.

"Awak siapa?" tanya Qayreena. Tiada jawapan. Qayreena memandang tiket di tangannya. "Macam mana?"

Tiba-tiba, guruh berdentum. Sesuatu muncul di mindanya. Seorang lelaki. Aliman.

Qayreena meramas rambutnya. Dia terduduk ke atas lantai. Bayangan itu belum hilang dari mindanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience