Rate

Bab 3. Langkah kiri.

Drama Completed 195524

    Seperti yang dijanjikan petang itu mereka ke pekan, tapi yang berbezanya ialah Hayati tidak pergi, bersama dengan mereka melainkan Anas yang membawa adiknya Annur dan Darisa ke pekan.

    “Kenapa abang beria nak hantar kami?” Annur. Dia yang duduk di bahagian belakang mendekatkan dirinya ke hadapan. “Abang tahu, abang tu baru dapat lesen kereta. Kalau jadi apa-apa macam mana? Dah la ada adik dengan Risa ni,” runggut Annur, tak puas hati dengan Anas.

    “Umi tak cakap apa pun, yang Nur kecoh-kecoh kenapa? kalau tahu abang ni baru dapat lesen. Duduk belakang tu diam-diam, ni tak. Kacau saja orang nak bawa kereta.” marah Anas.

    “Aniq, kau duduk depan. Pakai tali pinggang tu. Nanti abang break. Tersungkur kau bawah.” Annur membebel. Bahu adiknya dicucuk-cucuk.

    “Aniq tahu, Aniq nak pakai lah ni. Abang, tengok kakak buat Aniq.” Adu Aniq, bahunya yang terasa ngeri digerak-gerakkan.

    “Nur, abang nak bawa kereta ni.” Tegas Anas memberi amaran. Hilang fokusnya bila dua adiknya asyik bergaduh dari tadi. 

    Darisa menarik Annur agar kekal duduk dengannya di tempat duduk belakang. “Sudahlah tu, jangan mengusik Aniq.” Bisik Darisa. 

    “Aniq tu..”

    Sreettt! 

    Anas cemas bila tiba-tiba ada motorsikal keluar dari simpang secara mendadak, mujur sempat dia lihat dan menghentikan kenderaan tepat pada masanya. “Main lagi, tengok apa dah jadi.” Terketar-ketar tangan memegang stering kereta. Allahu Akhbar! Harap dia tak apa-apa. Penunggang motosikal yang terjatuh di bahu jalan diintai melalui cermin hadapan.

    “Semua tak apa-apa kan?” soal Anas, Aniq yang ada di sebelahnya yang kaku diperiksa. Selamat.

    “Nur?”

    “Risa?” Anas berpaling ke belakang. Wajah yang pertama dilihat adalah Darisa. Wajah gadis itu berubah pucat lesi. “Risa? Nur. Tengokkan Risa.” Anas cemas lalu melepaskan tali pinggangnya.

    “Risa, tak apa-apa.” Darisa memeluk dirinya. Kelopak mata mula berkaca-kaca. Rasa takutnya sudah tak dapat dibendung lagi. Terasa berdenyut urat kepalanya bagaikan mahu meletup.

    “Risa aku ada. Kau jangan risau.” Annur memeluk Darisa. Dia melihat keluar, abangnya sedang mundar mandir sebelum menghampiri lelaki yang menunggang motosikal itu. Dari pandangan mata kasarnya, dia melihat penunggang itu tak mengalami apa-apa kecederaan yang parah. Anas berlari-lari pula ke arah kereta.

    “Macam  mana dengan dia abang, teruk ke?” soal Annur. Setelah Anas masuk ke dalam kereta semula.

    “Tak, tak teruk. Calar sikit saja. Lagipun salah dia yang keluar macam tu.” balas Anas sambil melihat ke belakang.

    “Dia tak nak pergi klinik? Tak apa ke?”

    “Tak apa, tapi kita kena bawa Risa pergi klinik.” Anas menunjuk pada Darisa yang ada dipeluk oleh Annur.

    “Risa? Kenapa dengan Risa?” Annur menyelak rambut Darisa dan melihat keadaan sahabatnya itu. “Risa kepala kau, bengkak ni.” Dagu Darisa dibawa naik ke atas dan melihat benjolan di dahi Darisa yang semakin membengkak.

    “Abang macam mana ni?” Annur mula cemas. “Alamak, kalau umi marah nanti macam mana? Ni mesti terkena masa Risa nak tarik Nur tadi ni. Tak pasal pula kepala kamu yang jadi mangsa. Abang?” Annur mengoyangkan bahu abangnya. Ini salahnya, Darisa tercedera kerana ingin melindung dirinya. Sampaikan Darisa terketar-ketar ketakutan sebegitu.

    “Risa tak apa-apa, sikit saja ni. Nanti lepas tuam. Rasanya, akan baik.” Darisa ingin menyentuh dahinya, namun belum sempat jari jemarinya menyentuh tempat yang membengkak, wajahnya berkerut-kerut. Sakit! Ketakutannya tadi  lebih kuat dari rasa sakit yang dia rasakan sekarang ni. “Orang tu?” Darisa menunding jarinya ke arah penunggang motosikal yang sedang berusaha menghidupkan enjin motorsikalnya.

    Anas saling berpandangan dengan adiknya Annur, kemudian mereka sama-sama melihat kehadapan. 

    “Dia tak apa-apa, luka sikit saja. Sekarang ni, kita ke klinik periksa dahi Risa. Boleh kan? Kalau tak pergi nanti. Umi dan Abi mesti marah.” Pujuk Anas yang diselubungi dengan perasaan serba salah. Darisa dengan ayahnya tak ada bezanya. Serupa benar seperti arwah.

    “Tapi sikit saja ni, lepas beli buku. Kita balik lah.” Darisa kekal dengan perkataannya. Tak mahu dia menyusahkan Anas mahupun Annur, sudahlah dia yang menumpang mereka untuk ke pekan. Sekarang perlu merawat lukanya yang tak seberapa.

    “Kedai buku juga yang dia ingat nak pergi. Ni kalau melarat macam mana? Dah lah kena dekat kepala. Dahi pula tu, tak kira-tak kira. Kita ke klinik dulu. Buku tu esok-esok pun boleh pergi cari lagi.” Annur mula membebel.

    “Betul tu, kita ke klinik.” Anas berpaling ke hadapan, lalu memakai tali pinggangnya semula. “Duduk diam-diam semua.” Amaran diberikan.

    “Tapi, Risa rasa tak perlu…” Darisa terdiam bila tangannya disentuh oleh Annur. Gelengan Annur membuatkan Darisa diam seribu bahasa.

    Cermin pandang belakang di perhatikan Anas berkali-kali, mengintai Darisa yang masih pucat lesi. Kenapa aku risaukan dia? Tapi mujurlah dia tak apa-apa. Anas menepuk dadanya mengucapkan syukur. “ Nur tengok sama kalau nampak klinik. Abang nak bawa kereta ni.” 

    “Sana tu ada klinik abang, abang kena ambil simpang yang itu. Depan tu yang ada kereta keluar tu.” tembus tangan Annur ke hadapan.

    “Kau ni.” Anas mengeluh. Nampaknya Annur masih belum juga serik.

    “Sorry, Nur takut abang terlepas simpang tu.” Annur menarik semula tangannya.

    “Sini?” soal Anas.

    “Ha’ah. Sini…” Beriya Annur menunjuk sekali lagi. “Depan tu klinik dia. Abang nampak tak?” 

    “Nampak.” Kereta dipakir betul-betul di hadapan klinik itu. 

    “Abang tak payah turun, Nur je yang turun dengan Risa.” 

    “Jangan nak mengada. Umur pun tak cukup 18 lagi belagak nak jadi orang besar, abang turun sekali.” Anas turun dari kereta dan membuka pintu buat Aniq keluar dari kereta.

    “Mengata orang abang pun tak cukup 18 lagi.. baru 17.. berlagak,” Runggut Annur. “Marilah turun Risa, tu abang dah buka pintu.” 

    Darisa yang ada di dalam kereta berpaling melihat pada pintu sebelahnya yang telah dibuka oleh Anas. Aniq dan Anas ada di luar menanti dia turun dari kereta.

    “Bawa mykad kan?”

    “Bawa.” Darisa mengangguk.

    “Abang cepatlah, panas ni.” panggil Annur yang sudah berteduh di bumbung klinik.

    “Budak ni, tak menyempat-nyempat. Malaysia memanglah panas ingat apa, korea? Ada empat musim? Kena panas sikit pun nak merungut.” Darisa sekadar melihat pada Anas yang sedang membebel sambil menarik tangan adik bongsunya.

    “Sakit kak?” tanya Aniq, sambil menunjuk pada dahinya. 

    “Tak lah, sikit saja ni.” balas Darisa dengan wajah yang manis. Kenapa Aniq tengok muka aku macam pelik saja, teruk kah bengkaknya? Namun Darisa tak berani nak menyentuh dahinya yang sedang membengkak itu.

    Mereka masuk ke dalam klinik bersama-sama. Darisa sekadar duduk di kerusi, semuanya Anas yang mengurusnya. Walaupun terasa sakit ketika itu, dia dapat merasakan kehangatan yang ditunjukkan oleh keluarga Anas bersama-sama dengan adik-adiknya. Rasa yang tak akan dapat dia rasa sebagai seorang anak tunggal.

    “Orang sakit yang pelik, boleh pula senyum-senyum.” Usik Annur.

    “Nur ingat, Risa macam Nur. Sakit sikit merengek dengan umi. Macam nak putus nyawa. Berlakon kuat Nur ni.” Anas mencelah.

    “Mana ada. Jangan percaya tu Risa, abang yang teruk kalau dia sakit. Makan ubat tak nak, minum tak.. makan tak nak. Suka buat umi dan abi risau, manja mengalahkan Aniq. Kan Aniq, betul kan.” Tanya Annur, Aniq menekup mulutnya yang sedang tersengih-sengih. Laju kepalanya mengangguk pada Annur.

    “Kan, tengok tu. Aniq ni budak kecil, memang tak pandai menipu.” Annur menjeling pada abangnya.

    “Intan Darisa.” Nama Darisa dipanggil oleh seorang petugas di sebalik pintu bilik rawatan yang terbuka dari dalam.

    “Nur tunggu sini dengan Aniq, biar abang yang masuk.” Anas mendadak bangun dan menyambut pintu dan membukanya buat Darisa.   

    “Nur nak masuk,” balas Annur tak puas hati. Mereka dua beradik saling membulatkan mata, berlawan dalam senyap. Namun kali ini Anas yang menang kerana dia terlebih dahulu lolos di sebalik pintu putih itu.

    Beberapa minit selepas itu, pintu bilik rawatan itu dibuka semula. Keluar Anas dan diikuti dengan Darisa di belakangnya.

    “Doktor kata apa?” tanya Annur.

    “Doktor cakap…”

    “Kalau Risa tak sedap badan, ada muntah-muntah bagitahu abang, kita kena periksa di hospital.” Pintas Anas.

    “Teruk macam tu ke abang?” Annur bangun dan mendapatkan Darisa.

    “Doktor cakap tadi, kalau ada tanda-tanda. Tapi sekarang bengkak, tak boleh nak periksa lebih-lebih. Nanti doktor akan bagi ubat surut bengkak. Harap lepas makan tak ada apa-apalah.”  

    “Risaulah.” Annur membawa Darisa duduk di kerusi menunggu. Aniq pula dibiarkan berlari di koridor klinik itu.

    “Nur, jaga adik tu. Nanti jatuh pula dia, berlari-lari.” Anas berlalu pergi.

    Annur yang sedang berbual dengan Darina melihat wajah abangnya yang kelihatan mendung. “Abang nak ke mana?” pertanyaannya itu dibiarkan tak berbalas.  “Aniq sini, dengar tak abang marah tu. Mari duduk sini.” panggil Annur.

    “Kenapa tak boleh lari-lari? Nanti kepala jadi macam kak Risa ke?” Aniq berhenti berlari dan berhenti di hadapan Darisa.

    “Ha lah, nak ke? Jadi macam ni. Kepala naik tanduk. Nak?” usik Annur.

    “Tanduk? Tak nak kalau tanduk nanti jadi orang jahat.” Aniq menggeleng.

    “Kalau tak nak, kau duduk sini.” Aniq akur lalu duduk di sisi kakaknya. Tetapi hanya sekejap. Selepas itu dia mengintai-ngintai melihat Darisa.

    Darisa ikut membongkokkan tubuhnya dan mengintai Aniq yang curi-curi melihatnya disebalik tubuh Annur. Cepat-cepat Aniq bersembunyi semula, duduk seperti tak ada apa yang berlaku. “Nur, kau takutkan Aniq.” Bisik Darisa.

    “Biarkan dia. Baru dia diam sikit. Kalau tak, penat nak melarang.” Keluh Annur.

    Kali ini, senyuman Darisa tak membuatkan si bongsu itu senang, malah menjauhinya dan terus bersembunyi. “Dia ingat aku jin dah ni.. Sejuk! ” Darisa berpaling melihat Anas menempelkan pad sejuk di dahinya.

    “Terima kasih,” Darisa menyambut pad itu dari tangan Anas.

    “Letakkan sampai kurang rasa sakit tu, ni abang dah ambil ubat. Air pun dah abang beli, nanti Risa makan ubat di dalam kereta.” Anas mengangkat tangannya yang memegang beg plastik.

    “Abang keluar tadi ke pasar mini ke?”

    “Jom lah kita balik, cakap nak pergi kedai buku kan. Nanti sampai, tutup pula kedai buku tu,” Anas tak menjawab pertanyaan Annur sama seperti tadi. “Aniq, mari…” Aniq yang duduk di samping Annur dipanggilnya.

    “Aniq takut.” Aniq menggeleng di tempat duduknya.

    “Takut apa pula ni?” Anas bercekak pingang. Apa lagi dengan dua adiknya yang tak sudah mencari masalah.

    “Tu, kak Risa. Ada tanduk. Kak Nur cakap…hmmm..mmm.” mulut Aniq ditutup oleh Annur.

    “Sudahlah. Nur, bawa adik tu. Lambat-lambat nanti kedai tutup, kita balik saja.” Balas Anas. Tanpa menunggu lagi dia berjalan keluar dari klinik dan menanti di luar.

    “Aniq ni.” Bentak Annur. Tangan Aniq ditarik oleh Annur lalu keluar dari klinik. Darisa mengikut saja dari belakang sambil tersenyum.

    “Abang, duit ubat ni berapa?” tanya Darisa, bila bertembung dengan Anas di pintu keluar klinik.

    “Tak payah bayar, abang halalkan. Janji Risa sembuh cepat. Masuklah makan ubat dalam kereta.” Anas kembali menutup pintu klinik.

    “Mana boleh tak bayar abang. Risa tak suka macam ni.” Darisa berkeras lalu menghalang laluan Anas.

    “Dengan abang pun Risa nak berkira? Kita kan dah kenal dari kecil. Tak seberapa pun ubat tu. Punca pun dari abang, memang patut abang yang bayarkan duit ubat tu. Abang minta maaf, abang akan memandu dengan lebih hati-hati lepas ni. Satu saja abang harap, Risa…” Anas melihat Darisa, tak terhapus dari rasa gusarnya sejak tadi.

    “Risa, apa abang?” 

    “Tak ada apa lah, kalau Risa dah okay.” Anas menayangkan senyumnya.

    Darisa mengangguk, dan membalas senyuman Anas. Mereka berjalan masuk ke dalam kereta. Sekali lagi Anas mengingatkan kembali agar Darisa mengambil ubat yang disarankan oleh doktor tadi. Matanya tak lepas dari melihat cermin pandang belakang, melihat imej Darisa dan juga Annur bersilih ganti. Tahap kegusarannya meningkat mendadak melihat Darisa yang nampak terkejut dengan kejadian tanpa diduga tadi. Janganlah dia mengingat kembali, Anas memohon dalam doanya.

    “Sudah?” tanya Anas dari kerusi hadapan.

    “Dah abang, Risa dah makan ubat.” Annur yang menjawab, selaku orang yang bertanggungjawab memberi ubat buat Darisa.

    “Kita bertolak sekarang,” Anas memakai tali pinggang keselamatan. Sekilas dia mengintai ke belakang saat memeriksa Aniq di sebelahnya. Dengan lafaz ‘Bismillah’ dan membaca doa naik kenderaan dia mula memandu.

    Akhirnya sampai juga di sebuah kedai buku besar yang ada di pekan. “Nur keluar dengan Aniq saja, Risa tinggal di dalam kereta.” kata Anas setelah siap memakirkan kenderaan.

    “Kenapa pula abang? kan kami nak beli buku. Kalau Risa tak keluar, macam mana nak beli buku?” soal Annur.

    “Nur ni, takkan nak bawa Risa keluar dengan kepala yang benjol macam tu.”Anas menunjuk tepat ke wajah Darisa.

    “Ya tak ya juga. Risa kau tunggu dalam kereta ya. Nanti aku belikan buku yang kau nak tu. Apa yang kau nak aku belikan sekali. Kau duduk di dalam kereta saja ya. Lagipun kau kan baru sudah makan ubat. Efek dari ubat tu pun kita tahu kan. Bahaya kalau kau pening, jatuh dalam kedai nanti. Kau tunggu saja ya dalam kereta, dengan abang Anas.” Annur mengatakan hal itu dengan mata yang besinar-sinar dan berharap Darisa tak berkeras untuk ikutnya masuk ke dalam.

    “Ya.” Walaupun sedikit kecewa, Darisa akui untuk kekal tinggal di dalam kereta.

    “Macam tu lah, Aniq jom.” Annur membuka pintu kereta dan turun dari kereta. Dia ke pintu sebelah Aniq dan membawa Aniq keluar.

    Mereka yang tinggal di dalam kereta sekadar melihat Annur dan Aniq memanjat anak tangga untuk naik ke atas untuk ke kedai buku itu. 

    “Risa nak beli buku apa? nanti abang boleh bagi pinjam buku nota abang, lagipun abang dah tak guna.” Anas memulakan bicaranya. Setelah melihat Annur menghilang selepas masuk ke dalam kedai buku itu. Pasti hal itu akan memakan masa yang panjang untuk dia dan Darisa, menanti Annur yang akan sesat di dalam kedai itu.

    “Tak apa lah abang, dari abang bagi dengan Risa. Baik abang bagi dengan Nur.” Tolak Darisa.

    “Kenapa pula, Risa kenal kan adik abang tu. Dia bukannya suka ambil barang bekas orang. Semuanya dia nak baru.” Perli Anas. “Kan membazir namanya. Buku abang pun banyak abang bagi dengan adik-adik junior yang lain. Dari terbiar tak diguna.” 

    “Boleh ke bagi dengan Risa?”

    “Boleh lah. Kenapa pula tak boleh? plus abang boleh ajarkan Risa sekali, senang kan macam tu. Risa boleh tanya apa yang Risa tak faham dengan abang. Kira abang buat tutor free khas buat Risa. Nak?”

    “Abang nak ajar Risa, tak kacau abang ke? Nanti waktu belajar abang pula yang terganggu. Abang kan nak SPM. Risa tak nak lah kacau abang.” tolak Darisa sekali lagi dengan sopan.

    “Tak adanya kacau, kalau Risa segan. Boleh saja abang ajak Nur sekali. Dia pun liat nak belajar sekarang ni. Dia ingat form four ni honeymoon year ya, sebab tak ada exam, tak tahu yang tahun ni lah penting. Nanti naik form five tak lah tekejar-kejar.” Jelas Anas dengan terperinci. Darisa yang ada di kerusi belakang sekadar diam tak menjawab.

    “Esok petang, selepas sekolah. Abang ke rumah Risa. Kita study sama-sama macam dulu.”

    “Esok?”

    “Ya esok. Lagi awal, lagi bagus. Nanti senang abang nak ajarkan Risa sekali dengan Nur.” Sengih Anas, melihat Darisa yang tepinga-pinga melihat padanya.

    “Yalah kalau tak susahkan abang. Risa okay saja.” 

    “Macam tu lah.” kata sepakat diikat untuk menghangatkan ikatan yang telah lama terjalin. Anas kembali memandang ke hadapan. Menyembunyikan hati yang berbunga-bunga setelah Darisa setuju dengannya.

    Annur kembali dengan aniq bersama dengan dua beg barangan yang di belinya.

    “Apa yang kau beli ni Nur? Kau borong buku ke, kau beli buku?” sindir Anas.

    “Sibuklah abang ni. Nur beli buku lah.” Annur menjeling pada abangnya. 

    “Risa ni untuk Risa. Ini juga dan yang ni…” Annur meletakkan sebuah buku dan juga beberapa alat tulis di atas riba Darisa.

    “Kenapa banyak sangat, pen ni?” Darisa melihat ribanya yang penuh dengan beberapa bungkusan alat tulis.

    “Nur ambil sama dengan Nur. Tengok ni comel kan..” Annur menayangkan bungkusan pen yang mempunyai corak kucing yang comel di badannya.

    “Memang comel, tapi banyak sangat.” Darisa membelek bungkusan itu.

    “Tak apa. Umi pesan tadi minta belikan buat Risa juga. Umi cakap, umi belanja.” Sengih Annur buat sahabatnya.

    “Umi belanja? Terima kasih.” Ucap Darisa.

    “Abang punya tak ada?” soal Anas, dia melihat Aniq pun dapat habuannya di tangan. Hanya dia yang tak diberikan apa-apa.

    “Ni ada.” Annur memberikan bungkusan pen buat Anas.

    “Apa ni? Hello kitty? Agak-agaklah nak bagi abang yang ni.” marah Anas.

Bungkusan itu kembali dilemparkan buat Annur yang ada di kerusi belakang. Suka Annur dapat kenakan abangnya. Sampai merah muka Anas, kerana marah. Darisa hanya mampu senyum melihat telatah mereka berdua. Barangan yang ada di ribanya diperhatikan satu persatu. Terima kasih umi.

Assalamualaikum, Hai... Terima kasih sudi luangkan masa baca Cengkamam Cinta.. Tqtqtqtq semua. Bab akhir untuk minggu ni. Okay.. Insya Allah, kita sambung next chapter, next week hari isnin.. Macam biasa pukul 6 petang ya.. Tqtqtq semua.. Jaga diri.

Share this novel

WaneyZack
2021-10-01 20:30:05 

Hahaha.. Makin banyak salahnya.. Aduh2.. Tq che da

Che Da(Ayunifalin)
2021-10-01 19:21:10 

DBisa untuk darisa

Che Da(Ayunifalin)
2021-10-01 19:20:55 

Nisa untuk annur


NovelPlus Premium

The best ads free experience