Bab 15

Young Adult Completed 7336

Betapa kehilangan seorang anak itu satu perihal yang menyakitkan. Betapa mendalam luka yang tertoreh apabila anak yang dikandung sembilan bulan pergi meninggalkan ibunya akibat perbuatan zalim anak orang lain.

Anak mereka masih hidup!

Namun, anaknya sendiri?

Meski sakit hatinya disertai dalam luka yang menyeksa, entah mengapa, kelembutan hati Haizi membuatkannya kekal berdiri di situ. Atau mungkin ia kerana kebodohan? Kebenciannya menghasut kuat agar dia bertindak mengikut kesumat.

Laporkan pada polis akan kelakuan gadis pembuli itu! Biar dia dihukum Biar dia hidup sengsara! Biar gelap masa depannya!

Walau gelap, sekurang-kurangnya Mawar tetap ada masa depan!

Sedang Suhaiza? Anaknya yang telah meninggal itu?

Haizi tekad, hanya itulah hukuman yang selayaknya buat gadis itu yang telah menjadi penyumbang dan penyebab kepada hilangnya masa depan yang cerah buat arwah anaknya yang dirindui sentiasa, Suhaiza.

Melihatkan wanita di hadapannya itu tidak berganjak walau selangkah, Suhana segera mengambil kesempatan itu untuk membuka bicara.

Basmalah dia tutur perlahan.

Kepada Allah, dia sandarkan harapan.

"Cikgu Haizi, saya tahu sejuta kata maaf yang dihulurkan oleh kami tak akan pernah mencukupi untuk merawat luka di hati cikgu. Ia tak akan pernah dapat menghidupkan arwah anak cikgu semula," tutur Suhana seraya menyeka air matanya.

"Tapi, cikgu ... saya dengan rendah diri dan rendah hati pada hari ni mewakili anak saudara saya, minta maaf sangat-sangat pada cikgu atas kekhilafan dia dulu. Atas setiap perkataan dan perbuatan dia yang telah menyakiti arwah anak cikgu," sambung Suhana.

Mawar di sebelah sudah mula menangis lebat. Betapa keinsafan memalu dan memagut hatinya dengan renggutan yang kuat pada awal pagi ini. Dia tertunduk malu akan salah silap dan kejahilannya dulu.

"Cikgu Haizi, anak saudara saya sekarang dah jadi anak yatim piatu. Dia dah tak ada mak ayah untuk menumpang kasih. Hanya saya seorang ahli keluarga yang tinggal yang sudi mengambil dia untuk saya curahkan kasih sayang yang sepatutnya diberi oleh arwah mak ayah dia." Berat rasanya dada Suhana mengungkap realiti itu.

Dijelingnya Mawar yang sedang teresak.

"Dengan rendah hati, saya minta pada cikgu untuk berbelas kasih kepada anak yatim ini yang sedang cuba berubah menjadi hamba Allah yang lebih baik. Dia baru 17 tahun, cikgu. Saya harap cikgu sudi maafkan dia dan beri dia kesempatan untuk meneruskan hidup. Kesalahannya dulu tak akan sesekali dia lupa," rayu Suhana kepada susuk ibu itu.

"Saya minta ampun, cikgu. Saya minta maaf. Saya betul-betul menyesal dengan perbuatan saya. Masa tu, saya cuma nak berkawan. Sebab tak nak keseorangan, saya ikut serta semua benda yang diorang buat. Termasuklah ..." terhenti di situ bicara Mawar kerana malu.

Tidak lagi sanggup mendengar kata-kata dua beranak itu, Haizi melangkah pergi dengan menjinjit barang-barangnya. Wajahnya langsung tidak dia palingkan walau sekali ke arah mereka berdua.

Apalah sangat perbuatannya ini kalau hendak dibandingkan dengan apa yang telah Mawar dan kawan-kawan lamanya dulu telah lakukan kepada arwah anaknya, Suhaiza?

***

Habis sesi persekolahan, Mawar menunggu ketibaan ibu saudaranya di tempat biasa - bangku berteduhkan pokok rendang berdekatan pagar sekolah.

Mak Ngah sudah khabarkan kepada Mawar pagi tadi yang dia akan tiba sedikit lewat hari ini memandangkan ada urusan penting berkaitan taska yang perlu diselesaikan.

Maka, bersendirianlah Mawar di kawasan itu yang kini lengang daripada para pelajar. Kebanyakan mereka sudah pun pulang atau memilih untuk melepak di dalam kelas masing-masing sementara belum pulang.

Perasaan terdesak mula terbit di hatinya dan seiring masa berlalu, ia semakin kuat mencengkam. Dia benar-benar mengharapkan ada ruang pengampunan oleh cikgu Haizi buat dirinya.

"Tolonglah, ya Allah. Aku tengah cuba sedaya mungkin nak berubah jadi lebih baik. Permudahkan urusan hijrah ini, ya Rahman," doa itu dia bisikkan perlahan buat dirinya sendiri.

"Kau ingat Allah nak ke maafkan pembunuh macam kau?" laung satu suara yang Mawar sangat kenali dari arah belakangnya.

Wajahnya tidak dia alihkan. Dia membiarkan Suhaila sendiri berjalan ke tempatnya. Beberapa ketika kemudian, gadis itu kini berada di hadapannya - berdiri dengan penuh bongkak.

"Kau dengan mak kau. Dua-dua perempuan tak tahu malu, kan? Dah bunuh anak orang, senang-senang datang minta maaf sambil menangis," cemuh Suhaila.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience