BAB 24

Romance Completed 3910

Nurul Ain Nabila, dia baru kehilangan ayahnya seminggu yang lalu. Ibunya sudah menjadi ibu tunggal dan hilang mata pencarian. Ibunya hanya seorang suri rumah sepenuh masa. Nasib baiklah ayahnya meninggalkan tapak rumah dan rumah yang mereka diami sekarang adalah rumah milik mereka sendiri, kalau tidak tentu nasib mereka ibarat jatuh ditimpa tangga. Ibunya rajin bercucuk tanam di belakang rumah mereka. Hidup di kampung ni kalau rajin berbudi pada tanah pasti rezeki datang mencurah-curah namun, selepas ayahnya tiada mereka terpaksa berjimat dengan duit yang mereka ada. Hasil tanaman ibunya seperti sayur-sayuran,ubi keledek,ubi kayu,serai,cili dan tebu kini terpaksa di jual. Kalau dulu ibunya lebih suka bersedekah kepada jiran-jiran sekeliling rumahnya. Keluarga mereka ramai dan Nurul anak sulung dari tujuh orang adik beradik. Sebagai anak sulung Nurul rasa memang tanggunjawabnya untuk membantu ibunya sekarang. Dia lulus dengan cemerlang dalam SPM tahun lepas tapi bila ayahnya meninggal dia berhenti belajar buat sementara waktu. Kesian ibu kalau terpaksa mengalas beban seorang diri jadi Nurul menerima tawaran seorang rakan ibunya untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

Hari ini Nurul bertolak dari Kedah ke Kuala Lumpur seawal 6.00 pagi. Majikannya ,merangkap kawan ibunya sudah menghantar pemandu mereka di stesen bas untuk mengambil Nurul. Nasib baik Nurul kenal dengan Pak Hamid kerana Pak Hamid dulu pernah tinggal di kampung mereka juga. Mungkin ini satu kebetulan yang tak diduga bila Pak Hamid yang membawa kawan ibunya ini untuk menziarah jenazah ayahnya seminggu yang lalu. Dari situlah Nurul mengenali Hajjah Mastura dan suaminya Haji Alyas.

''Masuklah Nurul, jangan malu-malu. Buat macam rumah sendiri ya!' ramah Hajjah Mastura mempelawa Nurul masuk. Nurul menapak perlahan dan berpura-pura selamba, padahal dalam hatinya sudah teruja melihat perhiasan di dalam rumah ini. Selepas menapak masuk dengan sopan tangannya dihulurkan kepada Hajjah Mastura, bila tangannya bersambut lantas tangan Hajjah Mastura digenggam kemas dan dibawa ke bibirnya. Begitu tertibnya telatah Nurul dan membuatkan hati Hajjah Mastura terpikat. Andai Nurul mahu menjadi menantunya alangkah bagusnya. Hati Hajjah Mastura berbisik. Hajjah Mastura terus merangkul tubuh Nurul sebaik Nurul melepaskan tangannya. Pipi Nurul dicium kiri dan kanan. Memerah pipi Nurul menahan malu kerana tidak menduga akan dilayan sebegini baik. Selalunya kalau cerita di tv, orang kaya ni selalunya sombong,lebih-lebih lagi dengan pembantu rumah. Nurul cuba berbaik sangka. Mungkin keluarga Hajjah Mastura tak macam tu kot?

''Err,.Puan,.beghapa oghang tinggai dalam ghumah ni? Nurul nak berteruih teghang ni,.Nurul,.Nurul sebenarnya tak pandai sangat nak buat gheja ghumah ni. Sikit-sikit tu boleh la. Puan kena ajaq dulu la naa, takut jugak Nurul satgi silap tang mana ka,.'' teragak-agak Nurul nak cakap. Sebagai orang perempuan, dia malu nak mengaku tapi kalau tak mengaku nanti, buat silap lagilah malu.

''Nurul,.tak payah panggil puanlah!. Ibu Nurul dengan ummi dah lama kenal. Panggil ummi ya! Boleh?'' Hajjah Mastura mengelus lembut bahu Nurul, kemudian dipimpinnya Nurul masuk ke rumah dan menuju ke ruang tamu. Tentu Nurul sudah letih kerana seharian di dalam bas. Sudah tengahari ni mesti dia dah lapar. Belum apa-apa lagi dah menyuruh mengajar dia buat kerja. Lega Hajjah Mastura mendengarnya.

''Mana boleh macam tu Puan. Ibu dah pesan kena hormat Puan, lagi pun, Nurulkan pekerja di sini, kenalah panggil Puan. Kalau anak angkat tu lainlah,'' Nurul masih berkeras dengan panggilan yang harus dipanggilnya. Malu pulak nak panggil ummi ni, nanti anak-anak Hajjah Mastura cakap apa pula.

''Ermm,.anak angkat pun boleh. Kalau anak menantu lagilah boleh. Ummi pun ada sorang lagi anak bujang,'' gulp,.Nurul telan liur tanpa sedar. Ini yang lemah ni, aku nak kerja untuk cari duit nak sambung belajar. Awat la Hajjah Mastura cakap macam tu? Ibu!!,.Nurul nak balik! Nurul berinteraksi dengan diri sendiri di dalam hati. Kelu terus lidahnya untuk menjawab. Buatnya Hajjah Mastura serius habislah cita-cita aku!

''Duduk dulu, Nurul tentu letihkan? Nanti ummi tunjukkan bilik. Nanti kita makan sama-sama. Tunggu walid balik dulu. Ummi buatkan air, Nurul rehatlah ya,'' Hajjah Mastura pun melangkah menuju ke dapur. Nurul resah di atas sofa empuk ruang tamu rumah besar ini. Memang berbeza benar dengan rumahnya di kampung. Langkah Hajjah Mastura diperhatikan hingga hilang disebalik dinding yang memisahkan ruang tamu dan ruang dapur. Minda Nurul ligat berfikir, apa kerja yang harus dilakukan di rumah sebesar ini? Sebelum ini, hari cuti sekolah saja dia membantu ibunya mengemas dan memasak, itu pun menolong mengopek bawang dan menjerang air. Dia banyak menghabiskan masanya di sekolah, dengan aktiviti luar dan belajar berkumpulan bersama rakan-rakannya. Kalau cuti dia lebih banyak membantu ibu menjaga adik-adiknya yang masih kecil. Bukan ibunya tak pernah mengajar memasak, cuma dia tak minat sangat nak buat kerja-kerja dapur ni. Dia tahu itu semua tugas orang perempuan, tapi kalau dah tak minat tu nak buat macam mana. Takkan lari gunung dikejar. Nanti, pandailah dengan sendirinya. Itu yang selalu difikirkannya.

Hajjah Mastura datang semula ke ruang tamu dengan dulang berisi dua gelas jus oren dan sepiring kek keju. Nurul hanya memerhati sambil tersenyum. Kalau tadi dia rancak berkata-kata, kini dia hilang modal untuk bercakap. Terkejut dengan statement Hajjah Mastura tadi. Tengok dulu, kalau anak bujang Hajjah Mastura tu baik akhlaknya macam Ummi dan walidnya, kecil tapak tangan, Puncak Gunung Jerai Nurul tadahkan tapi kalau anak bujang Hajjah Mastura sekadar elok rupa paras tapi akhlak hampeh, lebih baik tak payah!

''Minum Nurul, alas perut dulu buat sementara waktu, nanti kita makan tengahari atau Nurul nak mandi dulu ka?'' dalam Hajjah Mastura mempelawa Nurul minum, sempat pula dia menyoal bila melihat tingkah Nurul yang macam cacing kepanasan.

''Terima kasih Puan, susahkan Puan ja, dok buat ayaq kat Nurul pulak. '' serba salah Nurul dibuatnya. Ingatkan bila dah sampai di sini, dia terus kena buat kerja, tak sangka pula akan dilayan sebegini baik.

''Minumlah Nurul,.lepas ni Nurul buat macam rumah sendiri ya. Ummi pun tak ada kawan di rumah ni. Nak harapkan Mirul, hmm,.balik kolej berkurung saja dalam bilik, mengalahkan anak dara. Kalau tak, dia keluar dengan kawan-kawan dia, kadang-kadang malam baru balik. Dahlah!,.minumlah! nanti ummi bawa ke bilik. Ummi dah siapkan bilik Nurul di tingkat dua, sebelah bilik ummi,'' rancak Hajjah Mastura bercerita sambil menatap wajah Nurul. Anak gadis di depannya ini mirip wajah ibunya, kawannya ketika di sekolah menengah. Mereka taklah rapat sangat tapi mereka pernah sekelas. Bertemu kembali ketika dia pergi berziarah seorang saudaranya yang sakit di kampung.

Hajjah Mastura dulu seorang yang agak periang di sekolah. Dia bebas dan sosial namun jodohnya sampai awal. Dia kahwin dalam usia 17 tahun. Haji Alyas anak seorang Imam masjid di kampung ibunya. Oleh kerana Hajjah Mastura dulu terlalu degil jadi dia dikahwinkan awal kerana kedua orang tuanya takut Hajjah Mastura akan menjadi lebih teruk lagi. Berkat mendapat suami yang baik dan penyabar seperti Haji Alyas, Hajjah Mastura pun berubah sedikit demi sedikit. Dia berhijrah dari seorang gadis bebas menjadi seorang isteri yang taat dan patuh kepada suami. Itulah berkat kesabaran yang ada dalam diri seorang lelaki. Kalau seorang wanita mampu mengoncang dunia dengan sifat keibuannya, seorang lelaki pula mampu mengubah seorang wanita dengan sifat penyabarnya.

Oh! Mirul namanya, agaknya Mirul inilah yang nak dijodohkan dengan aku tu? Mintak-mintak Hajjah Mastura ubah fikiran. Aku nak capai cita-cita aku dulu, aku nak tolong ibu dan adik-adik di kampung. Aku nak berjasa dulu dengan ibu barulah aku nak fikir pasal jodoh ni. Nurul berdialog di dalam hati. Wajah Hajjah Mastura dipandangnya sambil bibirnya terus mekar dengan senyuman.

''Minum sekali Puan!'' Nurul memegang gelas sambil mempelawa Hajjah Mastura di depannya. Orang dah hidang takkan nak tengok saja. Rezeki dah di depan mata,bedal sajalah. Dengan tertib Nurul mula meneguk jus oren. Lega rasa tekak selepas seteguk air masuk, Nurul senyum lagi,tersipu-sipu dia bila setiap gelagat dia diperhatikan oleh Hajjah Mastura.

''Nurul umur berapa?'' tersentak Nurul dengan pertanyaan Hajjah Mastura. Dia meletakkan kembali gelasnya ke dalam dulang. Wajah Hajjah Mastura dipandang lagi. Tanya umur ni mesti ada sebabkan? Agaknya Mirul tu umur berapa ya? Soalan Hajjah Mastura tak segera dijawab,malahan Nurul berbisik di dalam hati. Senyuman menghiasi lagi dua ulas bibirnya.

''Lapan belas Puan,.'' akhirnya soalan Hajjah Mastura dijawab juga. Hajjah Mastura menganggukkan kepalanya sambil turut menemani Nurul minum. Gadis di depannya ini terlalu pemalu. Nak makan pun tersipu-sipu. Kek pun dikunyah perlahan hingga bibirnya langsung tak terbuka setelah kek dimasukkan ke mulutnya. Dia mengunyah perlahan kek dengan tertib dan sopan.

''Makanlah! Jangan malu-malu. Nanti masuk berehat di dalam bilik,.'' hanya ayat itu yang Hajjah Mastura asyik ulang sejak tadi. Giliran Nurul pulak menjatuhkan kepalanya berkali-kali. Bila melihat kebisuan Nurul, Hajjah Mastura pun turut hilang modal untuk berbual. Tak apa, beri Nurul masa untuk menyesuaikan diri di rumah ini.

Amirul pulang ke rumah setelah angka jam berinjak ke pukul 1.00 pagi. Perlahan-lahan dia berjengket masuk ke rumah. Ruang tamu sudah gelap. Selamat! tentu ummi sudah tidur. Dia terus melangkah ke dapur, peti ais dituju. Tekaknya yang terasa haus harus dibasahkan segera. Amirul membuka peti ais dengan rakus,sebotol air sejuk kosong dikeluarkan dan Amirul berpusing untuk menuju ke rak pinggan untuk mengambil gelas.

''Mak!!!'' Amirul terpekik kuat. Satu lembaga sedang berdiri di belakangnya sambil merenung tajam ke arahnya. Amirul terus pecut melarikan diri ke bilik. Jantungnya mengepam darah dengan laju. Kecut perutnya, lembaga apa yang dilihatnya tadi? Sejak bila rumah ni berhantu? Amirul pegang dada, nafasnya masih semput kerana berlari laju naik ke bilik tadi. Wajah lembaga tadi masih menghiasi mindanya. Ya Allah!,.dari mana lembaga tu datang? Jangan-jangan dia ikut aku balik tak? Tu la kau Mirul! Suka sangat buat onar. Pukul berapa sekarang ni? Amirul bertanya diri sendiri sambil mencari jam locengnya di hujung kepala katil.

''Pukul 1.00 pagi! Patutlah pun!'' Amirul berdialog dengan diri sendiri. Dia terus naik ke katil dan berselubung. Seluruh bilik diperhatikannya. Jangan-jangan lembaga tadi ikut dia masuk ke bilik. Bila fikiran Amirul menerawang dengan soalan begitu, Amirul semakin kecut,habis dibacanya surah-surah Al-Quran yang dia tahu, tapi bila baca Al-Fatihan, hujungnya dah jadi surah Al-Ikhlas, nampak sangat mindanya benar-benar terganggu dengan rasa takutnya. Lintang pukang semua surah yang dibacanya. Dahi Amirul berpeluh dalam selimut tebal di atas katilnya. Ini kali pertama dia melalui pengalaman sebegini. Kacau jiwanya saat ini. Selalunya dia hanya mendengar cerita orang tentang makhluk halus ni. Malam ni malam yang amat malang untuknya. Macam mana boleh terserempak pulak? Dalam rumah sendiri pulak tu. Minda Amirul terus bekerja keras.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience