LAFH - 8

Romance Series 665659

“DANEEN!” Laju kaki Haqq menuruni anak tangga.

Jantungnya berdegup laju ketika ini. Terasa sesak dadanya melihat keadaan Daneen ketika ini.

“Daneen...”

Daneen rasa kepalanya terasa berdenyut-denyut. Matanya perlahan-lahan terpejam.

“Daneen! Daneen, bangun Daneen!” Haqq menepuk perlahan pipi Daneen. Namun tiada tindak balas. Tubuh Daneen kaku tidak bergerak. Membuatkan Haqq berada di dalam ketakutan.

Tanpa menunggu lama, dia terus mencempung tubuh Daneen. Segera dia bawa gadis itu keluar daripada bangunan hotel ini.

“DANEEN, tolong bertahan.” Haqq yang sedang memandu itu menjeling sekilas ke arah Daneen yang dibaringkan di tempat duduk belakang. Gadis itu masih tak sedarkan diri.

Melihat ada cecair merah yang mengalir di dahi Daneen membuatkan Haqq semakin dihurung rasa kesal. Bukan niatnya untuk menolak Daneen jatuh tangga. Andai saja dia cepat bertindak lebih pantas menahan tubuh gadis itu daripada terjatuh, pasti tidak jadi begini pada Daneen.

Dalam hati tidak putus-putus dia berdoa semoga tiada perkara buruk yang berlaku pada Daneen. Dia berharap gadis itu cuma pengsan saja dan tidak mengalami kecederaan dalaman yang teruk.

Pedal minyak ditekan laju. Mahu segera sampai ke hospital.

SAMPAI saja di hospital, Daneen terus dibawa ke wad kecemasan. Haqq pula duduk di ruang menunggu. Tak senang duduk dia menanti. Wajahnya diraup berkali-kali.

Telefon bimbitnya dikeluarkan daripada poket seluarnya. Keluhan berat terlepas daripada bibir saat melihat gambar Daneen dan papanya.

Kenapa Daneen? Kenapa kau lebih memilih papa aku? Kenapa bukan aku?

Hampir setengah jam Daneen berada dirawat di dalam bilik kecemasan. Seorang doktor lelaki keluar daripada bilik rawatan Daneen. Haqq terus bangun mendapatkan doktor itu.

“Macam mana doktor? Dia tak apa-apakan?” soal Haqq cemas. Jelas riak kerisauan pada wajahnya.

“Pesakit tak apa-apa. Dia cuma mengalami luka ringan di kepala dan kakinya retak sedikit,” jelas doktor lelaki bernama Zill itu.

Haqq tarik nafas lega. Syukur tak ada apa-apa yang berlaku pada Daneen. Jika tidak dia akan menanggung rasa bersalah seumur hidup.

“Sekejap lagi pesakit akan dipindahkan ke wad biasa. Encik boleh melawat dia. Boleh saya tahu apa hubungan encik dengan pesakit?”

“Err... err saya tunang dia,” balas Haqq teragak-agak. Ni kalau Daneen tahu, mahu dia mengamuk.

Doktor Zill mengangguk. “Saya minta diri dulu ya.” Dia terus beredar meninggalkan Haqq di situ.

Telefon bimbit milik Haqq tiba-tiba berbunyi menandakan ada panggilan. Tertera nama ibunya di skrin telefonnya. Lambat-lambat Haqq jawab juga panggilan itu.

“Haqq kat mana? Kenapa tak balik lagi ni?” soal Datin Mariam cemas di hujung talian.

“Haqq dekat luar mama. Ada hal sikit. Sekejap lagi Haqq balik. Mama tak payahlah tunggu Haqq. Mama tidur dulu okay?”

“Haqq buat apa dekat luar tu? Ada hal apa? Janganlah buat mama risau macam ni.”

Haqq meraup perlahan wajahnya. Takkan dia nak beritahu Datin Mariam hal yang sebenar.

“Kawan Haqq kemalangan. Dia tak ada keluarga. Jadi cuma Haqq yang boleh tolong dia.”

“Teruk ke kemalangannya tu? Dekat mana? Haqq nak mama datang sana ke?” soal Datin Mariam lagi.

“Eh tak perlu. Dia kemalangan kecil jer mama. Tak ada apa yang teruk. Mama jangan risau ya. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu balasan daripada Datin Mariam, Haqq terus menamatkan panggilan.

HAQQ melangkah masuk ke dalam wad Daneen ditempatkan. Dia menghampiri katil Daneen. Wajah Daneen yang sedang lena tidur itu ditatap lama.

Kalaulah kau tak ganggu keluarga aku, aku tak akan bencikan kau Daneen. Hubungan kita tak akan jadi macam ni.

Nafas dihela berat. Perlahan-lahan tangan Haqq naik mengusap perlahan rambut Daneen. “Cepat sihat,” ujarnya perlahan.

Dikerling sekilas jam di tangan. Sudah hampir pukul sebelas malam. Dia menguap perlahan. Matanya mula terasa berat.

Haqq melabuhkan duduknya di kerusi yang tersedia di sebelah katil Daneen. Kepalanya diletakkan di atas tilam Daneen. Perlahan-lahan matanya terpejam.

“HAQQ!”

Haqq tergamam saat melihat Daneen datang menghampirinya. Apa yang membuatkan dia semakin terkejut, wajah Daneen penuh dengan darah. Mata gadis itu merah merenungnya.

“Daneen... jangan... jangan Daneen... I minta maaf...” Haqq mula cemas. Lagi-lagi apabila terpandangkan sebilah pisau di tangan Daneen. Dia mengundur beberapa tapak ke belakang.

Tiba-tiba Daneen ketawa. Kuat. Dia menghampiri Haqq. Jarak mereka semakin dekat.

“Aku akan balas dendam Haqq. Aku akan bunuh kau!”

“Argh!” Haqq menjerit kuat saat Daneen menikam dadanya menggunakan pisau di tangannya.

Jeritan Haqq membuatkan Daneen terjaga daripada tidurnya. Dia terus buka mata. Berkerut dahinya memandang Haqq yang tidur di tepi katilnya. Apa lelaki itu buat di sini?

“Hei!” Daneen menampar kuat bahu Haqq.

Haqq tersentak. Dia terus terjaga daripada tidurnya. Peluk merenik di dahi. Nafasnya tercungap-cungap. Dadanya berombak laju.

“Daneen...” Haqq menggosok-gosok matanya berulang kali. Dadanya yang ditikam dengan Daneen tadi
dipegang. Mimpi rupanya.

“Kenapa dengan you ni?” soal Daneen hairan. Haqq nampak pelik. Dia terus bangun daripada pembaringannya.

Haqq geleng perlahan. Takkan dia nak beritahu Daneen yang dia mimpi Daneen cuba nak bunuh dia.

“You okay? Ada sakit dekat mana-mana? Nak I panggilkan doktor?” soal Haqq prihatin.

Daneen pandang kaki kanannya yang berbalut.

“Kaki you retak,” beritahu Haqq tanpa disoal.

Daneen ketap bibir. Retak? Bukan sehari dua boleh sembuh. Nampaknya dia kena ambil cuti panjang.

“I minta maaf Daneen. I tak sengaja. Sumpah! I tak ada niat nak tolak you jatuh tangga.” Bersungguh-sungguh Haqq meminta maaf.

Daneen hanya diam. Dia masih tak boleh terima tuduhan Haqq padanya. Semudah itu Haqq menilainya.

“You buat apa dekat sini? Pergilah balik,” halau Daneen.

“I temankan you malam ni. Esok pagi I balik.”

“Tak payah. I bukan budak kecil yang perlu diteman. You pergilah balik. Nanti you cakap I nak ambil kesempatan pada you pula.”

Haqq ketap bibir. Dia tahu Daneen perli dia.

“I temankan you malam ni. Kaki you kan sakit. Susah nak bergerak.”

“Dekat hospital ni ada nurse encik Haqq.”

“Ah I tak kira. I temankan you malam ni.”

Daneen menjeling geram. Dasar tak faham bahasa!

Daneen terpandangkan jam di dinding. Sudah pukul 3 pagi. Salwa! Dia baru teringat tentang kawan baiknya itu. Pasti Salwa sedang risaukannya kerana masih belum pulang ke rumah.

“Mana handphone I?” soal Daneen.

“Handbag you ada dalam kereta I.”

Daneen berdecit perlahan. Macam mana dia nak hubungi Salwa?

Tiba-tiba Haqq menghulurkan telefon bimbitnya pada Daneen. “Gunalah.”

“Tak payahlah,” tolak Daneen.

“Ke you nak I sendiri call Salwa? Tapi nanti I takut lain pula yang jadi.”

“Tak payah! Biar I call sendiri.” Terus dirampas telefon bimbit milik Haqq.

Haqq tersenyum nipis. Kepala digeleng perlahan. Dia hanya menjadi pendengar Daneen berbual dengan Salwa di talian.

“Nah.” Daneen hulur kembali telefon milik Haqq setelah selesai menelefon Salwa. Mujur saja Salwa tak cepat melatah.

“You rehatlah,” arah Haqq.

“I tak selesa bila you ada. Boleh tak you balik?”

Haqq memicit pelipisnya. Kesian pula dengan Daneen.

“Yalah I keluar. Kalau ada apa-apa, tekan jer button tu. Nanti nurse datang,” pesan Haqq sebelum berlalu keluar meninggalkan wad itu.

Daneen tarik nafas lega bila Haqq sudah berlalu keluar. Dia merebahkan semula badannya. Terkebil-kebil matanya merenung siling. Akhirnya dia terlelap juga.

Haqq tak sampai hati nak tinggalkan Daneen sendirian di hospital. Sudahnya dia duduk di hadapan wad gadis itu. Mujur ada kerusi yang disediakan. Dia terlelap dalam keadaan duduk.

“GOOD morning cik Daneen,” sapa jururawat itu.

Daneen tersenyum nipis. “Morning,” balasnya.

“Saya periksa tekanan darah cik dulu ya.”

Daneen mengangguk.

“Sweet betul tunang cik kan. Sanggup tidur dekat kerusi luar,” ujar jururawat itu tiba-tiba.

Dahi Daneen berkerut seribu. Tunang? Bila masa pula dia bertunang?

“Tunang saya?”

“Yalah. Tunang cik. Lelaki yang bawa cik ke hospital semalam. Dia beritahu kami yang dia tu tunang cik.”

Daneen ketap bibir. Si Hulk ni kan pandai-pandai jer. Siaplah kau nanti!

Happy reading!

Share this novel

Anis Syairah Anis Syairah
2021-06-10 22:11:31 

Update lagi please, love teruks dgn cite ni... Best sangat

Zahrin Zahra
2021-06-10 16:31:05 

tq update


NovelPlus Premium

The best ads free experience