BAB 1

Romance Series 10150

Tahun 1989...

PUAN Amira dikejarkan ke hospital sebaik sahaja dia mengadu sakit perut kerana hendak melahirkan. Suaminya seorang pegawai polis yang berpangkat inspektor, Tuan Anuar segera membawa isterinya ke hospital sebaik sahaja mendapati air ketuban Puan Amira sudah pun mengalir keluar.

"Mira, bertahanlah... sekejap lagi kita sampai..." ujar Tuan Anuar sambil meneruskan pemanduannya.

"Abang, cepat sikit abang... sakit sangat ni... Mira dah tak dapat nak tahan!" jerit Puan Amira sambil mengurut perutnya yang membuyut itu.

"Bertahanlah sayang..." pinta Tuan Anuar seraya menekan pedal minyak sekuat hatinya.

Lima minit berikutnya, Tuan Anuar dan isterinya, Puan Amira tiba di hospital.

Selepas dua jam berikutnya, sebaik sahaja doktor dan jururawat keluar dari bilik bersalin, Inspektor Anuar yang kerisauan dan menunggu dengan penuh debaran di hadapan bilik bersalin itu bingkas bangun mendapatkan doktor untuk bertanyakan keadaan isteri dan bayinya.

"Doktor, macam mana keadaan isteri saya? Adakah dia selamat melahirkan anak kami?" Tuan Anuar bertanya dengan penuh debar, hatinya tidak keruan.

"Tuan Anuar, tahniah kerana anda mendapat anak lelaki kembar..."

"Alhamdulillah... kembar? Betul ke ni? Ya Allah, syukur alhamdulillah..." ucap Tuan Anuar sambil menadah tangannya bersyukur.

"Keadaan bayi adalah sangat baik dan selamat, tapi..."

"Tapi apa doktor?" soal Tuan Anuar terus terpaku dan kerisauan terpancar dengan jelas di wajahnya sebaik sahaja perkataan tapi keluar dari mulut Doktor.

"Tuan, maaf... Isteri tuan tak dapat diselamatkan akibat berlaku pendarahan sebaik sahaja bayi kedua berjaya dilahirkan. Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan isteri tuan... tapi Allah lebih sayangkan dia... saya harap, tuan kuatkan semangat tuan dan tabah untuk melalui ketentuan Ilahi," jawab Doktor Fatimah panjang lebar.

Tuan Anuar terus terduduk di hadapan pintu bilik bersalin itu.

"Doktor, saya nak tengok bayi kembar kami... boleh ke?" soal Tuan Anuar, air matanya kini sudah pun mengalir membasahi pipinya

"Boleh tuan," jawab Doktor Fatimah seraya membawa masuk Tuan Anuar untuk berjumpa dengan bayi-bayinya.

Tubuh bayi yang sulung itu diraih perlahan seraya digendong ke dalam dakapannya. Selepas itu bayi kedua juga turut digendongnya dengan penuh kasih sayang. Tanpa disedari, Tuan Anuar menangis teresak-esak di hadapan Doktor Fatimah dan tanpa membuang masa, dia terus mengazankan bayi kembarnya itu.

??????

25 tahun berikutnya...

"TERASA bagaikan sekejap sahaja masa berlalu... Mira, hari ini genaplah dua puluh lima tahun usia anak-anak kita... dua puluh lima tahun ini jugalah Mira pergi tinggalkan abang. Kalaulah Mira ada bersama abang membesarkan anak-anak selama ni..." Tuan Haji Anuar bermonolog seorang diri di hadapan pusara arwah isterinya, Amira. Dia ditemani oleh kedua anak kembarnya yang sudah pun besar panjang.

"Ayah... arwah ibu mesti cantik dan lawa, betul tak?" Azwan bertanya pada ayahnya.

Khairul Azwan, si abang yang duduk bersebelahan dengan ayahnya baru sahaja selesai membaca surah yassin untuk disedekahkan buat arwah ibu yang tidak pernah dilihatnya dengan mata kepalanya sendiri.

"Ya... Cantik sangat, nak. Ayah yakin, kalau Azwan dan Izwan tengok macam mana rupa wajah arwah ibu kamu, pasti kamu berdua akan terpegun dengan kecantikkan dia. Tapi, apa boleh buat, sudah suratan takdir untuk dia pergi di saat kamu berdua lahir..." ujar Tuan Haji Anuar panjang lebar.

Sebaik sahaja Tuan Haji Anuar menceritakan prihal arwah isterinya kepada anak kembarnya itu, hatinya berasa pilu bila melihat si bongsu, Izwan yang khusyuk mendengar dan terpancar riak wajah yang kesedihan pada anak bongsunya itu.

"Ibu... Wan ingin sangat nak peluk ibu... nak bermanja dengan ibu, nak rasa kasih sayang dari seorang ibu, nak rasa masakan ibu... mesti sedap kan masakan yang ibu masak? Tapi, ibu pergi tinggalkan wan..." bisik Izwan pada batu nisan pusara arwah ibunya.

Izwan memeluk dan mengucup batu nisan itu. Air matanya sudah pun berjuraian membasahi pipi.

Azwan yang melihat tingkah adiknya itu segera meraih tubuh adiknya yang sedang menangis sambil memeluk batu nisan ibunya itu.

"Adik, jangan nangis... kalau adik menangis, nanti abang pun akan menangis jugak dik..." kata Azwan sambil memeluk adiknya, Izwan di atas pusara ibunya itu.

Tuan Haji Anuar terkejut melihat tingkah kedua anak kembarnya itu. Pilu hatinya melihat tingkah si bongsu, Izwan. Kali terakhir dia membawa anak kembarnya menziarah pusara arwah Amira adalah empat tahun yang lalu. Dua hari sebelum anak kembarnya itu pergi melanjutkan pelajaran di Auckland, New Zealand.

??????

HARI ini hari pertama Azwan berkerja. Dia diterima berkerja di sebuah firma arkitek di ibu kota Kuala Lumpur, manakala Izwan pula lebih cenderung kepada unit berunifom. Izwan sangat mengagumi ayahnya sebagai seorang inspektor polis. Dengan memiliki susuk tubuh yang setanding dengan seorang atlit, serta tinggi lampai persis seorang model, Izwan diterima semasa menghadiri temuduga untuk jawatan inspektor polis. Ya! Sekarang Izwan adalah seorang pegawai polis. Manakala Azwan pula lebih berminat dalam bidang pembinaan.

Semasa Azwan menunggu pintu lif terbuka, dia telah menerima panggilan telefon daripada, Izwan.

Azwan menjawab panggilan dari adiknya itu.

"Helo, abang... macam mana kerja? Okey?" suara garau Izwan di sana bertanya khabar.

"Alah, Wan ni... abang baru  sampai... Sekarang ni baru aje pukul 7.50 pagilah adikku..." sahut Azwan sambil matanya mengerling ke arah jam di sebelah pintu lif.

"Hahaha, Wan tahulah... Wan saja aje kacau abang... jangan nervous di hari pertama bekerja sudahlah ya," sahut si adik dalam talian mengusik Azwan.

"Wan ni kan... Kalau satu hari tak usik abang memang tak sah! Jangan lupa, Wan temankan ayah pergi appointment dengan doktor pukul dua petang nanti tau!" Azwan sempat mengingatkan adiknya sambil matanya mengerling nombor di pintu lif di hadapannya itu.

"Wan tahulah abang oii... Okeylah, Wan nak sambung buat kerja dulu, assalammualaikum... Selamat memulakan kerja ya Abang Azwan!" ucap Izwan sebelum menamatkan talian.

"Waalaikumsalam."

Setelah menungu, akhirnya pintu lif terbuka. Azwan segera menapak masuk ke dalam perut lif itu. Baru sahaja pintu lif itu hendak tertutup...

"Nanti, tunggu!"

Ada suara yang lembut menumbuk gegendang telinganya meminta untuk dibukakan semula pintu lif itu. Cepat-cepat Azwan menekan butang open di sudut tepi pintu lif itu. Dia terpegun sebaik sahaja figura seorang gadis cantik putih gebu dan berlesung pipit masuk ke dalam perut lif itu.

Wah... cantiknya bidadari... getus hati Azwan.

"Err... cik..." kata-kata Azwan terputus.

"Hanna..." pintas gadis cantik itu.

"Oh... Cik Hanna nak naik ke tingkat berapa?" soal Azwan sambil jarinya bersedia untuk menekan butang di sudut tepi pintu lif itu.

Hanna Nadira tersenyum melihat jejaka di hadapannya itu, nampak gugup sambil jarinya bergetar semasa hendak menekan butang nombor itu.

Oh my God! Ah... aku tergoda dengan senyumanmu itu Hanna, kau adalah bidadari syurga! getus hati kecil Azwan lagi sebaik sahaja melihat senyuman yang terukir di bibir Hanna Nadira.

"Tak perlu, sebab awak dah tekan pun nombor berapa yang perlu ditekan," jawab Hanna Nadira dengan senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya itu.

"Eh, ya ke?" soal Azwan pula sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

"Oh ya! Saya Azwan, Khairul Azwan Bin Anuar, panggil Azwan saja. Baru nak memulakan tugas hari ini," ujar Azwan sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman sebagai tanda perkenalan.

Saya Hanna, Hanna Nadira Binti Dato' Arsyad," jawab Hanna sambil menyambut salam dari Azwan.

"Wah... maksud awak, awak ni anak kepada Dato' Arsyad? Pemilik firma ni?" Azwan bertanya sambil melopong tidak percaya.

Hanna Nadira hanya mengangguk.

Semasa mereka bersuai kenal di dalam lif itu, tiba-tiba lampu di dalam lif itu terpadam dan lif terhenti.

"Apa yang terjadi? Tiba-tiba aje gelap pulak ni?" soal Hanna Nadira.

"Entahlah..." jawab Azwan ringkas seraya mengerling jam di skrin telefon bimbitnya. "Alamak, saya dah lambat ni... Macam mana ni? Sudahlah hari ni hari pertama saya bekerja di sini!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience