Bab 11

Romance Series 297502

SEMENJAK Aileen mengandung, Hayl sangat mengambil berat tentang kesihatan isterinya itu. Siap ajak Aileen pindah bilik di tingkat bawah supaya Aileen tak perlu susah-susah nak naik turun tangga. Geleng kepala Aileen dibuatnya.

Bukannya dia tak suka Hayl ambil berat tentangnya tapi rasa macam Hayl melebih-lebih pula melayaninya. Lagipun kandungannya masih baru. Belum sarat lagi. Dia masih boleh berjalan seperti biasa. Tiada masalah pun nak turun naik tangga.

Hayl terjaga daripada tidurnya. Bau masakan menusuk hidungnya. Dia toleh ke sisi. Melihat tilam di sebelahnya kosong, Hayl terus bangun daripada pembaringannya.

Selepas menunaikan solat subuh tadi dia dan Aileen tidur kembali. Sekarang dah pukul sembilan pagi. Kaki terus menapak ke dapur.

“Sayang!” Hayl cepat-cepat mendapatkan Aileen yang sedang memasak itu. Sudip di tangan isterinya itu diambil.

“Eh kenapa ni?” soal Aileen terpinga-pinga.

“Sayang buat apa ni?” soal Hayl.

“Masaklah.”

“Kan abang dah cakap tak payah buat apa-apa. Biar abang yang buat semuanya.”

Aileen menggeleng perlahan. Sudip di tangan Hayl diambil kembali.

“Leen goreng nugget je pun. Bukannya masak nasi minyak,” jawabnya selamba.

“Kenapa tak minta abang buat je?”

“Abang tengah tidur. Leen tiba-tiba rasa lapar tadi. Nak kejutkan abang, Leen tak sampai hati. Alah, goreng nugget je. Bukannya susah. Tak guna banyak tenaga pun.” Aileen tak tahu apa yang Hayl risaukan sangat. Semua benda dia nak buatkan untuk Aileen.

Kadang-kadang Aileen rasa rimas juga. Semua benda tak boleh nak buat. Tapi dia tahu niat suaminya itu baik. Hayl cuma mahu memberikan yang terbaik buat Aileen dan Aileen sangat menghargainya.

“Sayang duduk dulu. Biar abang yang goreng nugget ni.” Sudip bertukar tangan lagi. Kalau sudip tu boleh bercakap, dah lama dia bersuara. Main rebut-rebut sudip pula.

Aileen akhirnya akur. Dia duduk di island sambil menunggu Hayl menggoreng nugget untuknya. Matanya tak lepas daripada memandang lelaki itu. Hujung bibirnya ternaik sedikit.

Dia senang dengan perubahan Hayl. Dia nampak Hayl berusaha sehabis baik untuk membahagiakannya.

Aileen teringat perbualannya dengan Tia kelmarin. Dia sempat menghubungi kawan baiknya itu untuk berkongsi berita tentang kehamilannya.

“Sekarang ni kau dah mengandung, Hayl tentu makin sayang dekat kau. Aku yakin dia akan lupakan perempuan tu. Jadi kau tak perlu risau lagi.”

Betul ke Hayl sudah benar-benar melupakan Dhia? Sesak dada Aileen jika fikirkan tentang hal itu. Dia takut jika Hayl masih memikirkan Dhia. Masih mencintai Dhia.

“Sayang?”

Aileen tersentak. Jauh mengelamun sampai tak perasan Hayl sudah berdiri di depan matanya. Pinggan yang berisi nugget Hayl letakkan di hadapannya.

“Sayang okay?” soal Hayl prihatin.

Aileen mengangguk. “Leen okay. Thank you.”

Hayl senyum. “Makanlah. Makan banyak-banyak. Tapi tak boleh selalu tau. Nugget ni tak baik untuk kesihatan. Sayang kena makan makanan yang berkhasiat.”

Terangguk-angguk kepala Aileen. Hmm nampaknya lepas ni dia kena ubah gaya pemakanannya. Terpaksa tinggalkan semua makanan segera kegemarannya.

“Abang tak makan ke?” soal Aileen.

“Takpalah. Sayang makanlah.”

HAYL keluar daripada dapur sambil membawa muk yang berisi susu suam yang baru saja dibancuhnya.

“Sayang... Waktu untuk minum susu.”

Aileen mengeluh perlahan. Ni yang dia malas ni. Selama ni punyalah dia mengelak daripada minum susu tapi sejak dia mengandung ni, Hayl tak pernah lupa untuk bancuhkan susu untuknya.

“Leen tak suka minum susu.” Aileen tayang muka kesian.

“Nope. Sayang kena minum juga. Sayang kan tengah pregnant. Orang yang mengandung perlukan dua kali jumlah kalsium berbanding biasa.” Muk dihulurkan pada Aileen yang duduk di atas sofa itu.

“Nanti bila kandungan Leen dah besar sikit Leen minum eh.” Aileen masih mencuba memujuk.

Hayl menggeleng. “Mana boleh macam tu. Daripada sekaranglah kena minum. Sedap tau susu ni.”

“Leen tak suka...” rengeknya.

Hayl ketawa kecil. “Minumlah. Please...” pujuknya.

Lambat-lambat Aileen ambil muk itu. Sebelah tangan menutup hidung. Cepat-cepat dia meneguk susu itu sampai habis. Mulutnya ditekup. Tekaknya terasa loya.

“Haa kan bagus macam ni. Setiap hari abang akan bancuhkan susu untuk sayang.” Muk yang sudah kosong tadi diletakkan di atas meja.

Aileen mencebik. Nampaknya hari-harilah dia kena paksa minum susu sampai dia bersalin nanti.

“Terima kasih abang.” Aileen terharu dengan keprihatinan Hayl. Hayl lebih banyak ambil tahu tentang kandungannya berbanding Aileen sendiri.

“Abang yang sepatutnya berterima kasih dekat sayang sebab sudi tumpangkan rahim sayang untuk zuriat abang.”

“Anak kita.” Aileen tarik perlahan tangan Hayl lalu diletakkan di perutnya yang masih kempis itu.

Bibir Hayl menguntum senyum. Puncak kepala Aileen dikucup lembut.

“Abang, abang nak baby boy atau baby girl?” soal Aileen. Kepalanya disandarkan ke dada bidang Hayl.

“Abang tak kisah anak kita lelaki atau perempuan. Abang cuma nak anak kita lahir dengan sihat je,” jawab

Aileen mengangguk. “Leen pun sama. Leen takut sebenarnya.”

“Sayang takut apa?”

“Leen takut Leen gagal jadi seorang ibu.”

“Sayang... I bet you will be a good mother to our child.”

“Sayang tak perlu risau. Abang akan sentiasa ada dengan sayang. Kita sama-sama membesarkan anak kita,” ujar Hayl lagi. Cuba menenangkan hati isterinya itu.

Aileen memejamkan matanya perlahan. Tangan melingkar memeluk tubuh suaminya itu. Sungguh, tiada lagi yang Aileen mahukan. Cukuplah dicintai oleh suaminya itu seikhlas hati.

“NAK makan dekat luar?” soal Hayl. Wajah isterinya itu dipandang. Semenjak Aileen mengandung, Hayl melarangnya makan di luar.

Katanya makanan di luar itu belum tentu kebersihannya terjaga. Dia mahukan yang terbaik untuk Aileen dan kandungannya. Jadi setiap hari Hayl akan menyediakan makanan untuk isterinya itu. Awal pagi lelaki itu sudah sibuk di dapur.

“Aah. Leen nak lunch dekat luar dengan kawan-kawan ofis Leen. Boleh tak?”

Hayl diam sejenak. Tak sampai hati pula melarang isterinya itu keluar makan dengan rakan pejabatnya. Selepas mereka berkahwin, Aileen keluar makan bersama dengannya saja.

“Abang bukan tak nak bagi tapi abang risau sayang makan makanan dekat luar tu.”

Aileen tergelak. Melampau sangat kerisauan suaminya itu. Sebelum ni elok je mereka makan di luar.

“Abang, kan sebelum ni Leen makan dekat luar juga. Elok je. Tak payahlah risau. Tak ada siapa nak racun isteri abang ni.”

“Bukan macam tu. Dulu lain. Sekarang lain. Sekarang sayang makan untuk dua orang.”

Aileen menghela nafas perlahan. “Kalau macam tu, Leen bawa bekal yang abang masakan ni. Tapi Leen makan dekat luar.”

Hayl mengangguk. “Hati-hati tau. Jangan jalan laju-laju. Jangan lari-lari.”

Pecah tawa Aileen. Geli hatinya mendengar pesanan Hayl. Dah macam mak-mak punya pesanan. Siap pesan jangan lari-lari. Ingat Aileen tu budak-budak ke?

“Okaylah Leen pergi dulu. Kawan-kawan Leen dah tunggu dekat bawah. Abang pun jangan lupa makan.”

“Sini abang nak kiss sikit.” Dagu Aileen ditarik perlahan. Dia mengucup dahi isterinya itu.

“Ish, abang ni. Malulah.” Aileen terus melihat sekeliling. Mujurlah sekarang ni pejabat mereka sudah kosong. Semua dah keluar makan.

Hayl hanya senyum. Dia menghantar pemergian isterinya itu dengan pandangan mata. Semakin hari dia semakin jatuh sayang pada wanita itu. Dalam masa yang sama dia berperang dengan dirinya sendiri untuk melupakan kisah silamnya.

DARIPADA kejauhan Dhia melihat seorang lelaki keluar daripada restoran. Langkah kakinya terhenti. Sekali lagi mereka bertemu. Semenjak Dhia berpindah di kawasan sini, dia asyik terserempak dengan Hayl. Kemungkinan Hayl juga bekerja atau tinggal di kawasan itu.

“Hayl...” gumamnya perlahan. Hatinya menjerit mahu menghampiri lelaki itu namun dia tiada keberanian.

Dia malu dengan Hayl. Bagaimana dia mahu berhadapan lelaki itu dalam keadaan kehidupan yang amat menyedihkan ini?

Dhia hanya mampu memandang Hayl sehinggalah lelaki itu hilang daripada pandangan matanya.

Kita memang tak ditakdirkan bersama kan Hayl?

Tak siapa menduga dua hati yang pernah menyulam cinta akhirnya menjadi dua orang asing sebagai penutup cerita.

SEWAKTU keluar makan dengan kawan-kawan pejabatnya, Aileen terserempak dengan sepupunya, Adam. Terus lelaki itu mengajak Aileen keluar makan bersama.

“Leen sihat ke?” soal Adam.

“Alhamdulillah Leen sihat. Terlebih sihat dah ni,” selorohnya.

Adam ketawa. Senang hatinya melihat senyuman Aileen. Sudah lama mereka tidak bertemu. Rasanya kali terakhir mereka bertemu ketika majlis perkahwinan Aileen di kampung.

“Susah betul nak jumpa Leen lepas dah jadi isteri orang ni.” Jus tembikai di dalam gelasnya dikacau dengan straw.

Aileen mengangkat pandangan daripada pinggan. Wajah Adam dipandang.

“Abang tu yang busy sangat.”

“Abang cuma sengaja sibukkan diri,” gumam Adam perlahan.

“Hah? Abang cakap apa?” soal Aileen.

Adam menggeleng perlahan. “Tak ada apalah. Leen nak makan buah nanas tak? Leen kan suka buah nanas. Dekat depan sana tu ada orang jual buah nanas.”

Aileen terdiam. Buah nanas? Memanglah itu buah kegemarannya. Tapi masalahnya sekarang dia tengah mengandung. Buah nanas tu tajam. Bahaya untuk kandungannya.

“Err... Sekarang Leen tak boleh makanlah abang,” balasnya teragak-agak. Sebenarnya dia dan Hayl masih merahsiakan lagi tentang kandungannya. Ahli keluarga terdekat mereka pun masih tidak tahu yang Aileen sedang berbadan dua sekarang ni.

“Kenapa? Leen tengah mengandung ke?” tebak Adam. Laju saja otaknya berfikir.

Lambat-lambat Aileen mengangguk tanda mengiakannya.

“Lah, kenapa tak beritahu abang pun? Dah berapa bulan?”

“Baru je lagi sebab tu Leen dengan Hayl tak nak beritahu sesiapa.”

“Kiranya abang dah tahu dululah ni?” Adam ketawa kecil. Dia bahagia untuk Aileen namun dalam masa yang sama hatinya kecewa mengenangkan dia tidak akan pernah mampu memiliki wanita itu.

SEDARI tadi Hayl hanya mendiamkan diri. Dia hanya fokus pada pemanduannya. Mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Abang okay ke?” soal Aileen. Risau melihat Hayl tiba-tiba diam. Selalunya ada saja benda yang ingin dibualkan.

Hayl masih diam. Sengaja dia berpura-pura tidak mendengar pertanyaan Aileen.

“Leen ada buat salah ke?” soal Aileen lagi. Sukar untuk dia menebak apa yang membuatkan suaminya itu tiba-tiba diam dan tidak menghiraukannya.

“Leen tak cakap pun Leen keluar lunch dengan Adam tengah hari tadi.” Akhirnya Hayl bersuara.

Sekarang barulah Aileen faham mengapa suaminya itu tiba-tiba mendiamkan diri. Dia terlupa untuk memberitahu Hayl yang tengah hari tadi dia keluar makan bersama dengan Adam.

“Leen terlupa nak beritahu abang. Leen memang nak makan dengan kawan-kawan ofis tapi tadi terserempak dengan Abang Adam. Jadi kami keluar makan sama-sama,” jelas Aileen.

“Abang marah Leen ke?” soal Aileen perlahan.

“Bila abang nak beritahu keluarga abang yang Leen mengandung, Leen tak bagi. Tapi dengan Adam tu boleh pula Leen beritahu ya? Oh... Mungkin dia tu terlalu penting dalam kehidupan Leen ya?” sinis kedengaran Hayl menyoal.

Aileen tersentak. Dadanya memalu kuat. Lereng mata sudah bergenang.

Happy reading! Selamat berpuasa juga buat semua. Semoga ramadhan tahun ini lebih bermakna buat kita.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience