"Abang, jangan bagi kaklong atau mak basuh baju kotor kita. Biar mama bawa balik dan basuh kat rumah. Malu la mama sebagai isteri. Setakat sepasang dua baju pun suruh orang basuhkan".
Arif mengangguk lesu, dia masih mengantuk dek kejutan aku tadi. Aku masih tak berpuas hati. Takkan teruk sangat rabun aku sampaikan darah kering dengan corak kain pun tak kenal. Eh.. bila pula aku rabun?
Aku terus menyisir rambut. Beberapa helai rambut yang melekat pada gigi sikat kutarik dan kucampak ke luar tingkap.
Kaklong sudah menjinjing plastik dari luar semasa aku keluar dari bilik bersama Arif. "Jom tolong kaklong siapkan meja. Ni ada mee rebus".
Sambil memasukkan ke dalam mangkuk, aku terkenangkan mak. Jarak kami tak jauh mana pun, boleh saja kami sarapan bersama jika hubungan mak dan maklong Yam harmoni. Menurut kak Zah, mak tak sentuh pun duit bulanan yang aku masukkan ke dalam akaunnya sejak bulan raya tempoh hari.
"Nura tak balik rumah mak?". Tiba tiba kaklong bertanya sambil mata meliar melihat sekeliling. Aku mencebik sedih, "Balik tapi dia tutup pintu".
"Nanti nampak cucu comel, lembut la hati tu. Sabar ye".
Kaklong menambah, "Apa masalah sebenar ya?". Aku sekadar mengangkat bahu tanda tak tahu. Perbualan kami terhenti bila bauan wangian minyak atar kegemaran bonda singgah di hidung. Maknanya sebentar lagi bonda akan masuk ke dapur.
Selesai sarapan, Arif mengajak aku ke tanah miliknya, warisan dari ayah. Kami menumpang kereta along Paan. Kaklong pun ikut bersama, ada hal yang perlu diuruskan di rumah.
Tanah tersebut dalam daerah yang sama juga, tak jauh dari rumah Along Paan. Setiap anak paklong Sudin diberi satu lot tanah di situ. Setelah melihat tanah yang semak dengan lalang dan pokok hutan, kami singgah di rumah Along Paan. Cantik dan besar. Aku memuji kebolehan kaklong menghias rumah. Di belakang terdapat rumah kucing dan banyak penghuni berbulu di situ.
"Banyaknya kucing kaklong", ujarku sambil mengintai dari luar. Kaklong sedang memberi kucing kucingnya makan. Rupanya ini urusan kaklong.
"Anak anak la suka. Tapi kaklong yang kena jaga. Diorang ni suka bab main je. Bab lain serah kat kaklong", keluhnya.
"Bang, yang sana tu macam kucing kat rumah bonda kan? Kembar dia ye?", bisikku pada Arif di sebelah, menuding dengan muncung bibir ke sudut rumah comel itu. Kami sama sama leka memerhatikan gelagat kucing.
"Kucing mana? Kan semua sibuk makan kat sini". Arif mengalih pandangan padaku dengan penuh tanda tanya.
***********
Arif bersiul siul di dapur menyiapkan hidangan makan malam sambil ber 'video call' denganku yang berada di bilik mekap. Aku tertawa kecil melihat aksi lucu Arif. Namun begitu, aku terus putuskan panggilan kami apabila Jane, jurumekap menghampiri aku.
"Suka akak tengok Nura happy begini. Tak sangka Arif ni gila gila orangnya. Nampak muka garang", kata Jane sambil memulakan tugas menatarias warna di mukaku. Aku sekadar membalas dengan tawa. Ya, begitulah jika tak kenal siapa Arif. Nak nak pula jika dia tak bercukur. Lagi teruk rupa parasnya.
"Akak bagi tebal sikit bedak ni ye. Nura pucat sangat hari ni. Tak sihat ke?", tanyanya prihatin. Jane adalah jurumekap untuk pembaca berita perdana.
"Ada la demam sikit", jawabku jujur. Balik dari rumah kaklong, aku dah telan dua biji panadol. Mujur la tak perlu masak, semuanya siap terhidang. Mungkin ayah bungkus di mana mana kedai.
Tiba di stesen tv tadi, aku menelan lagi panadol. Tanganku menggosok gosok perut yang makin membuncit. Dah terserlah pun. Aku dah tak boleh mengancingkan butang coat rasmi stesen tv.
"Dah due ke?", tanya Jane lagi. Dia antara yang terawal mengirimkan ucapan tahniah apabila gambar aku dan Arif tersebar luas tempoh hari.
"Belum. Belum 30 minggu pun lagi".
"Ye? Tapi nampak besar pula. Kembar ke?". Jane menyuarakan pendapatnya.
"Tak la. Kami takde gen kembar pun". Aku menafikan, aku takut dengan pandangan Jane. Besar perutku umpama mengandung kembar. Ya, anak aku kembar fibroid.
"Sejak bila mula sakit ni?", soalnya prihatin.
"Dari pagi tadi rasanya", jawabku selepas berfikir sejenak.
"Ni baby gerak tak?", tanya Jane memegang perutku.
"Takde apa pun", gumamnya.
"Gerak tapi tak sekuat awal pagi tadi. Ni tidur kot, penat agaknya. Kami baru sampai dari kampung. Arif hantar Nura terus ke sini". Aku memberi alasan.
"Ohh.. patut la. Ni harap harap, takde yang perasan Nura tak sihat. Patutnya awal awal tadi minta orang ganti. Masuk esok. Penat tau badan macam ni ulang alik kampung".
"Eh takpe. Tak jauh mana pun. Arif tu nak ziarah mak dia, lama dah tak jumpa. Dia outstation dari bulan lepas. Lagipun ini kerja saya. Asyik nak minta ganti je, malu la. Nanti dah bersalin, baru cuti panjang".
Aku memperkemaskan posisi di kerusi konti sebelum menerima isyarat siaran akan ke udara. Aku berdoa dalam hati agar semuanya lancar.
Sejurus masuk ke dalam kereta, aku terus merendahkan kedudukan belakang kerusi kereta Arif, rasa sakit belakang makin menjadi jadi bila duduk tegak. Selama lebih sejam aku menahan perit. Di dalam konti tadi pun, aku berpeluh dingin. Tapak tanganku basah. Arif pula lambat tiba dari kebiasaan.
"Kenapa ni yang?".
"Sakit belakang la bang. Baby pun kerap sangat mengeras", jawabku menutup mata sambil mengigit bibir.
Arif menyentuh dahiku, "dah ambil panadol?".
"Dah".
"Nak pergi hospital?". Aku menggeleng.
"Tak payah kot. Esok dah nak jumpa doktor untuk check up".
"Eh, kerapnya. 2 minggu sekali?"
"Sebab fibroid tu", jawabku lemah dan berpusing ke arah Arif lalu terlelap.
Terasa hidungku diusik berkali kali menyebabkan aku membuka mata. Arif tersengih, "Dah sampai. Abang nak angkat sayang tapi takut kita sama sama jatuh pula".
Aku tak mampu ketawa, hanya menggelengkan kepala mendengar jenaka Arif. Perlahan aku gagahkan diri untuk bangun. Hebat sungguh penangan panadol ni.
Aku merenung pantyliner yang aku pakai petang tadi sebelum pulang dari rumah bonda. Ada kesan lendir warna coklat agak kental. Tak seperti di kain batik pagi tadi.
'Coklat saja. Bukan darah ni. Tak apa apa, esok aku akan bertanya pada doktor', bisik hatiku.
******
Doktor Rose Dayana mengumam dan menelan kata katanya. Aku tak sempat menangkap apa yang dia kata. Tolok pengimbas dilalukan berkali kali di perutku yang membuncit. Arif duduk di kerusi hadapan meja doktor dengan badan menghala pada kami untuk melihat apa yang doktor akan lakukan pada perutku.
"Puan". Aku mengalih pandangan pada Doktor Rose. Dari tadi aku menanti kata kata dari dia.
"Puan ada alami apa apa yang berbeza sejak kali terakhir kita berjumpa?". Aku bercerita apa yang aku alami sehingga tompokan lendir kental warna coklat semalam.
"Encik, boleh ke sini sebentar?". Arif akur dan mendekati aku yang terbaring di katil.
"Nampak ni?". Doktor Rose menuding jarinya pada imej pegun di skrin.
"Ni fibroid isteri encik. Ini pula bayi encik. Nampak tak perbezaan saiz? Fibroid puan dah membesar lebih sekali ganda dari kali terakhir kita scan. Dan ini sangat tak bagus. Saya dapati baby tak bergerak. Sebab tu dari tadi saya cuba dapatkan degup jantung baby puan".
"Doktor, jangan macam ni". Aku dah panik. Dah hilang rasa debar. Aku rasa nak putus nyawa ni. Anak yang aku kandung dah tak bernyawa, masakan aku boleh nak ketawa.
Cepat cepat Arif menarik tanganku dan digenggam dengan kedua belah tangannya bagi menenangkanku. Namun aku tak bisa tenang dalam keadaan begini. Air mataku mula mengalir deras. Nafasku panas dan pernafasan tersekat dek mukus hidung.
"Based on my experience, kita perlu keluarkan bayi untuk selamatkan nyawa puan. No point untuk simpan baby ni. Dan memandangkan saiz fibroid ni semakin membesar dan berbahaya untuk puan, saya tak nampak puan ada pilihan selain dari remove womb", ujar Doktor Rose masih lagi menolak tolok pengimbas dan tiba tiba dia terhenti dan meneliti sesuatu. Kemudian memandang pada kami berdua, seolah meminta persetujuan atas apa yang dicadangkan. Semuanya demi nyawa aku - Nura Lisa.
"Doktor takkan la. Semalam elok je dia bergerak", rayuku menidakkan apa yang dinyatakan oleh Doktor Rose.
"Gerak macam biasa atau tak?"
Aku menutup mata dan mengetap bibir. Aku seharusnya datang ke hospital bila pergerakan bayi tidak seperti selalu. Aku khilaf.
"Takkan sebab fibroid bayi saya meninggal. Doktor cakap hari tu...."
"Maaf. Saiz fibroid puan yang semakin membesar tu memang bahaya pada bayi. Fibroid ni menghimpit bayi puan. Tapi ianya bukan penyebab"
"Habis tu?", soal Arif bingung.
"It is placental abruption".
Semua urusan Arif yang uruskan. Aku hanya terbaring di katil menanti untuk ditolak ke wad. Tubuhku terasa ibarat tiada tulang belulang. Aku tak mampu mengangkat tangan apatah lagi untuk duduk. Fikiranku kosong dan menerawang jauh. Dunia aku sebagai seorang perempuan dah musnah sekelip mata. Aku seorang wanita yang dah tak punya nilai. Arif diam tak berkutik duduk di sebelahku membaca yassin. Aku sebak. Aku tahu dia pun sedih. Kami sama sama teruja dengan kandungan ini dan Allah menduga kami.
"Puan, dah bersedia?"
Aku mencari suara tersebut. Seorang jururawat perempuan agak berumur bersama beberapa orang jururawat lagi masuk ke dalam wad.
Segera aku menggamit Arif agar dekat padaku. Arif mendekatkan telinganya pada bibirku yang terkumat kamit. Aku tak mampu bersuara seperti biasa.
"Abang, maafkan mama. Mama gagal jadi isteri yang baik. Halalkan makan minum mama selama ni", bisikku dan dengan perlahan aku memaksa diri untuk mengambil tangan Arif dan membawanya ke bibir. Mata Arif merah menahan sebak.
Katilku ditolak keluar. Arif mengikut bersama namun kami terpisah di pintu bilik pembedahan. Aku dapat lihat betapa terangnya cahaya di dalam bilik pembedahan, belum lagi suhu sejuk yang menyucuk kulit tubuhku.
Doktor anaesthetic memberitahu aku sekali lagi bahawa aku akan dilumpuhkan seluruh badan maknanya aku seakan koma. Langsung diminta aku mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia memulakan menyuntik ubat pelali. Mendengarkan itu aku dapat rasakan, ini mungkin pengakhiran hidupku.
Aku bukan saja mengucap dua kalimah syahadah malah terus berselawat padaNya, memohon agar nyawaku tak ditarik di saat ini. Semua ayat hafazan yang aku hafal sewaktu sekolah, aku baca dalam hati. Aku tau aku banyak melakukan dosa dan aku belum bersedia untuk ke alam fana. Aku masih belum mendapat kemaafan dari mak. Aku berdosa dengan mak. Aku benar benar mengharapkan Allah memberi peluang untuk aku bertaubat.
Lagipun aku masih belum puas menikmati hidup bersama Arif. Aku nak jumpa Arif lagi. Tak lama kemudian, pandanganku gelap. Tubuhku terbujur kaku dengan hanya bunyi pada mesin hayat menunjukkan aku masih bernyawa.
Share this novel
ada sambungan x..ker kesudahan cmni jer
sedih
Ramai wanita tak tahu ada fibroid Zaitie Satibi  FIBROID dalam rahim terbentuk.  FIBROID. Fibroid dalam rahim juga dikenali sebagai leiomyoma atau myoma adalah ketumbuhan benigna (bukan kanser) yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Saiz dan bentuk ketulan fibroid ini juga tidak sama dan boleh berlaku di pelbagai tempat seperti dalam rahim, luar rahim atau antara lapisan rahim atau melekat pada rahim seperti struktur akar. Malah, fibroid ini boleh tumbuh satu ketulan sahaja atau lebih banyak ketulan pelbagai saiz. Satu ketulan fibroid yang kecil ini juga boleh kekal sedemikian sehingga tempoh yang lama, namun ia boleh membesar dengan pantas secara tiba-tiba atau membesar perlahan-lahan dalam tempoh bertahun-tahun. Fibroid ini boleh berlaku terhadap wanita pada semua peringkat usia yang sudah mencapai akil baligh, tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 30 hingga 50 tahun. Dianggarkan 20 hingga 40 peratus insiden fibroid dalam rahim berlaku dalam kalangan wanita dalam tempoh reproduktif (tahun kesuburan). Wanita Afrika-Amerika dikatakan lebih kerap mendapat fibroid berbanding wanita Kaukasia dan Asia. Banyak faktor epidemiologi dikaitkan dengan pembentukan myoma ini, namun kebanyakannya masih tidak dapat difahami sepenuhnya termasuk kaitannya dengan bangsa, hormon endogen, obesiti, persekitaran, gaya hidup seperti pengambilan kafein, alkohol, merokok, aktiviti fizikal dan tekanan serta pengaruh lain seperti darah tinggi dan jangkitan. Kebanyakan wanita tidak tahu bahawa mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami simptom penyakit hinggalah membuat pemeriksaan klinikal dan doktor mengesahkan di dalam rahim mereka ada ketulan terbabit. Fibroid yang menunjukkan simptom mendatangkan kesan yang besar kepada kualiti kehidupan seseorang wanita termasuk produktivitinya. Dalam satu kajian membabitkan 21,000 wanita daripada lapan negara, didapati gejala buruk akibat fibroid menjejaskan hubungan seks bersama suami sebanyak 43 peratus, mengganggu tugas di tempat kerja (28 peratus), manakala mengurangkan masa lapang bersama rakan dan keluarga (27 peratus). Pembedahan yang biasa ditawarkan untuk merawat fibroid dalam rahim itu adalah miomektomi iaitu prosedur untuk membuang fibroid tanpa membuang rahim (uterus). Ia biasanya dilakukan kepada wanita yang masih mahu mendapatkan anak. Walaupun ketulan lama sudah dibuang, pesakit masih berisiko mendapat ketulan baru dan lebih banyak pembedahan terpaksa dilakukan. Histerektomi pula pembedahan membuang rahim dan biasanya serviks turut dibuang. Ia hanya akan dipertimbangkan selepas semua rawatan alternatif tidak berjaya atau ketulan terlalu besar. Malah, pesakit yang menjalani pembedahan ini tidak boleh mengandung. Perunding Perbidanan dan Pakar Sakit Puan, Pusat Sakit Puan dan Perubatan Janin (FMGC), Dr Raman Subramaniam berkata, pengurusan pesakit dengan fibroid dalam rahim sangat bergantung kepada keadaan semasa pesakit. Ini kerana, fibroid yang tidak menunjukkan simptom, bersaiz kecil dan berlaku dalam kalangan wanita hampir putus haid (menopaus) biasanya tidak memerlukan rawatan. Bagaimanapun, pesakit yang sengsara akibat simptom ketulan dalam rahim itu memerlukan rawatan sama ada pengambilan ubatan atau menjalani pembedahan atau kedua-duanya sekali. “Biasanya pembedahan dianggap sebagai pilihan paling biasa untuk merawat fibroid dalam rahim dengan tahap simptom yang sederhana hingga teruk. Bagaimanapun, seperti mana-mana juga jenis pembedahan wujud risiko untuk berlaku komplikasi. Sebab itu, prosedur seperti histerektomi sering dikaitkan dengan morbiditi, kematian dan beban ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan. “Bagi sesetengah wanita, mereka rasa terhalang daripada menjalankan prosedur ini kerana ia bermakna peluang mereka untuk mengandung sudah tertutup. Bagi wanita yang mencari alternatif, miomektomi memberikan kelegaan sementara daripada fibroid dalam rahim yang dihadapi. Bagaimanapun, wujud risiko fibroid ini akan berulang di masa hadapan,” katanya. Beliau berkata demikian pada panel perbincangan mengenai fibroid dalam rahim dan rawatannya anjuran syarikat farmaseutikal, Zuellig Pharma, sempena pelancaran Ulipristal Acetate 5mg (UPA 5mg) iaitu terapi oral pertama untuk merawat simptom akibat penyakit terbabit di ibu negara, baru-baru ini. Turut menyertai panel berkenaan, Ketua Jabatan Ginekologi di Universiti Katholik Louvain (Belgium) yang juga penyiasat utama percubaan klinikal UPA 5mg, Profesor Dr Jacques Donnez dan Ketua Pegawai Eksekutif Zuellig Pharma Malaysia-Brunei, Santiago Garcia. Dr Raman berkata, terapi farmakologi juga boleh digunakan untuk merawat fibroid dalam rahim, tetapi kaedah ini hanya memberikan kelegaan sementara, manakala penggunaan jangka panjang mempunyai kekurangan tertentu seperti terjadinya menopaus pramatang dan kurangnya ketumpatan tulang. Fibroid juga selalunya akan membesar dan simptom akan kembali sebaik sahaja rawatan dihentikan. “Terapi ubatan juga adalah pilihan rawatan kepada segelintir wanita dengan masalah fibroid. Ubatan mungkin mengurangkan kesakitan dan pendarahan haid yang teruk akibat ketulan terbabit. Ia tidak membuang terus fibroid, sebaliknya mungkin mengecutkan ketulan itu. “Ubatan untuk fibroid termasuk pil perancang kehamilan yang digunakan untuk mengawal pendarahan haid yang banyak dan pelepas hormon Gonadotropin (GnRH) agonis yang menyekat penghasilan estrogen dan progesteron menyebabkan pesakit mengalami menopaus sementara. “Keputusan penggunaan GnHR agonis juga menyebabkan kitaran haid terhenti, fibroid mengecut dan simptom seperti anemia akan pulih. Namun, GnHR agonis hanya digunakan untuk jangka pendek iaitu kurang enam bulan kerana ia menyebabkan banyak kesan sampingan. Selepas pengambilan GnHR agonis dihentikan, fibroid biasanya akan kembali ke saiz asal,” katanya. Sementara itu, pemodulat reseptor progesterone terpilih (SPRMs) adalah kelas baru bagi reseptor progesterone ligan yang mempamerkan kesan tisu terpilih pada sel sasaran. SPRMs sudah terbukti cekap untuk mengurangkan simptom dan saiz fibroid. Strategi pengurusan baru membabitkan SPRMs dijangka mengubah pendekatan pembedahan fibroid. Dr Jacques berkata, UPA 5mg adalah SPRMs oral aktif yang pertama dalam kelasnya dan dilesenkan sebagai rawatan untuk fibroid. Ia dicirikan oleh kesan campuran antagonis atau agonis progesteron untuk tisu yang tertentu dan menyekat reseptor progesteron dalam tisu sasaran. Malah, wujud keputusan kajian terhadap penggunaannya untuk jangka pendek dan panjang dalam pengurusan fibroid dalam rahim. “UPA 5mg adalah SPRMs yang diluluskan untuk rawatan praoperasi simptom fibroid dalam rahim tahap sederhana hingga teruk dalam kalangan wanita dewasa yang dalam tempoh kesuburan “Bagi segelintir wanita, fibroid dalam rahim mungkin menyebabkan pendarahan haid yang teruk, sakit pelvik dan memberi tekanan kepada organ lain. “Oleh itu, UPA 5mg bertindak dengan mengubah suai aktiviti progesteron mengakibatkan ketulan fibroid mengecut, menghentikan atau mengurangkan pendarahan dan menambah bilangan sel darah merah,” katanya. Katanya, kajian percubaan klinikal UPA 5mg yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada 2012, mendapati bahawa pendarahan haid bagi pesakit yang dirawat dengan UPA 5mg berhenti dalam masa tujuh hari, manakala pendarahan dapat dikawal bagi lebih 90 peratus daripada pesakit dalam tempoh rawatan selama 13 minggu. “Kajian jangka panjang juga mengesahkan keberkesanan dan keselamatan penggunaan UPA 5mg secara berulang dan berselang-selang untuk menangani fibroid dalam rahim. Ia adalah pilihan yang bagus untuk wanita yang mahu hamil, mengelakkan pembedahan atau persediaan sebelum pembedahan bagi mengurangkan saiz luka akibat pembedahan. “Wanita yang menderita akibat fibroid dalam rahim sebelum ini selalunya berasa tertekan bila berdepan dengan pilihan rawatan melalui pembedahan, manakala terapi farmakologi pula membataskan keupayaan badan mereka. Dengan UPA 5mg, kini ada pilihan dengan nilai tambahan yang membolehkan pesakit mengelakkan kaedah rawatan biasa,” katanya. Manfaat UPA 5mg dalam membantu wanita yang menghidap fibroid dalam rahim seperti cepat mengawal pendarahan berlebihan ketika haid dalam tempoh seminggu, merawat anemia akibat pendarahan rahim, mengecutkan fibroid dan saiz kekal sekurang-kurangnya enam bulan selepas berhenti mengambil ubat, melegakan kesakitan sampingan dan ia juga bertoleransi baik dalam tubuh pesakit. Dr Raman berkata, UPA 5mg mempunyai potensi yang besar untuk membantu wanita Malaysia yang begitu ramai menderita akibat simptom fibroid dalam rahim yang menjejaskan aktiviti harian mereka. “Terapi oral ini yang hanya diberikan melalui preskripsi selepas diagnosis penyakit yang sah diyakini dapat mengubah kualiti kehidupan wanita yang sengsara akibat masalah kesihatan ini kepada lebih baik. “Misalnya, bagi wanita Muslim yang ingin menunaikan solat dan mengerjakan ibadat haji atau umrah. Pastinya, pendarahan haid yang teruk sehingga berminggu-minggu lamanya menyukarkan mereka melakukan rukun Islam berkenaan. “Begitu juga wanita Hindu yang datang haid tidak boleh memasuki kuil untuk beribadat. Oleh itu, UPA 5mg yang mampu menghentikan pendarahan haid selagi ia diambil membantu mereka melakukan ibadat mengikut anutan agama masing-masing,” katanya. Simptom fibroid dalam rahim • Pendarahan haid yang teruk dan berpanjangan • Senggugut • Pendarahan faraj pada masa yang lain daripada haid • Anemia • Kesakitan selepas hubungan seks (dyspareunia) • Tekanan pelvik • Lemah kawalan kencing • Pembesaran uterus dan abdomen • Keguguran • Ketidaksuburan Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:01 AM Harian Metro