BAB 2

Romance Completed 1285

Bagaikan skrip drama pula Haikal melafazkan kata-kata itu. Begitu yakin dengan tujuan kedatangannya pada petang itu berjumpa dengan kedua ibu dan bapa Qarnia.

Suasana kembali sunyi. Puan Salmah mempamerkan riak muka tidak menyenangkan. Encik Habib masih tenang dan memandang kepada Qarnia.

“Nia, macam mana?”

Tersentak Qarnia dengan soalan dari ayahnya itu. Dia meramas-ramas jari-jemarinya dengan kuat. Gelisah. Berdebar-debar.

Haikal dikenalinya enam bulan yang lalu secara kebetulan ketika dia mengalami kemalangan kecil di lampu isyarat di Jalan Ipoh. Dia terlanggar belakang kereta seorang wanita lain yang memberhentikan keretanya secara tiba-tiba. Kebetulan Haikal yang memandu di belakangnya membantu menyelesaikan masalah itu.

Dari perkenalan itu terjalin persahabatan dan akhirnya mengikat hati kedua-duanya. Walaupun hanya saling mengenali dalam sesingkat itu, Haikal mengambil keputusan untuk menyunting Qarnia menjadi suri hatinya. Keputusan itu disambut Qarnia dengan hati terbuka. Baginya perhubungan itu menjadi lebih indah sekiranya diikat dengan ijab dn kabul. Lebih barkah.

“Nia... Nia...” Qarnia kehilangan kata-kata. Ingin dia mengaku bersetuju tapi setelah melihat reaksi ibu dan ayahnya, dia mula gusar sekiranya niat mereka tidak dipersetujui oleh ibu dan ayahnya.

Qarnia memang mengetahui Haikal bekerja sebagai pemandu. Dia tidak kisah dengan pekerjaan lelaki itu kerana dia jujur dan ikhlas terhadap Qarnia. Lagipun Haikal amat menghormatinya sebagai seorang wanita. Mereka tidak bercinta seperti pasangan uda dan dara yang lain. Sebaliknya dari pandangan dan bahasa tubuh sudah cukup untuk menyatakannya.

Haikal memandang Qarnia dengan tenang.

‘Ahhh... kenapa kau begitu tenang begini?’ Detik hati Qarnia melihat wajah Haikal.

“Nia ?” Puan Salmah pula memanggilnya sambil mengangkat kening.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience