"ARA macam mana? Dia dah sedar ke?"
Itu pertanyaan pertamanya setelah sedar dari pengsan. Hatinya walang dan dia masih tidak bisa untuk mempercayai apa yang telah berlaku kepada adiknya. Semua ini ibarat sebuah mimpi ngeri bagi dirinya.
"Dia masih tidur. Janganlah risau sangat. Eirfan ada untuk jaga dia" jawab Azrul.
"Macam mana Bihah tak risau bang? Dia satu-satunya adik yang Bihah ada. Bila Bihah dapat tahu benda yang menimpa dia, Bihah salahkan diri sendiri sebab tak jaga dia dengan baik. Sepatutnya kami saling menjaga dan melindungi. Tapi..."
Nabihah tak mampu menyudahkan kata-katanya. Janjinya pada arwah ibu dan ayah mereka tidak mampu dia tepati. Itu yang buat dia sedih. Tetapi yang paling memeritkan apabila dia melihat orang yang dia sayang terbaring kaku tak berdaya sedangkan sebelum ini Natrah adalah orang yang sangat berbeza.
Mungkinkah kehidupan mereka juga akan berubah selepas ini?
"Sayang kena kuat. Kalau Ara tak mampu nak kuat, sayanglah yang jadi penguat dia. Saling menyokong dan mendorong satu sama lain. Benda dah jadi sayang. Kita tak boleh nak mengelak atau menyangkal setiap takdir yang Allah dah tetapkan pada setiap kita. Yang penting kita usaha, doa dan tawakal. Allah akan dengar setiap keluhan dan masalah kita"
Nasihat Azrul menenangkan jiwa Nabihah yang tak tenteram. Dia tatap wajah sang suami dan mengangguk kepala tanda bersetuju. Sesungguhnya dia bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah yang satu ini. Di kala dia dalam kesedihan, Allah hadirkan lelaki baik seperti Azrul di sisinya.
"Terima kasih bang" ucap Nabihah lantas memeluk suaminya yang ketika itu sedang duduk di birai katil.
"Sama-sama sayang" sahut Azrul, membalas kembali pelukan sang isteri.
"Bihah nak jenguk Ara" rengek Nabihah dalam esakannya.
"Okey, jom kita jenguk Ara"
"LOVE..." Panggil Eirfan syahdu. Tangan Natrah digenggam erat. Natrah baru saja sedar sebentar tadi.
Panggilan Eirfan tak memberikan sebarang reaksi. Riak wajah Natrah bahkan tampak kosong dan tiada seri. Bibirnya memucat sahaja.
"Love.." Eirfan sudah teresak-esak. Sejak dimasukkan ke hospital sehingga kini, gadis itu tetap membisu dan tak memberi apa-apa respon.
"Love...kenapa jadi macam ni? Tell me. Who did this to you?" Eirfan separuh merayu.
Namun Natrah masih seperti tadi. Membisu. Hanya air matanya yang mengalir membasahi pipi.
"Love, please. Speak up! Kalau tak nak cakap pun, sekurang-kurangnya pandang saya dan senyum macam selalu awak buat. I miss your smile" luah Eirfan dalam nada merajuk.
Sepi. Natrah tak memberikan sebarang reaksi. Dia mendengar setiap yang dibicarakan Eirfan kepadanya. Dia melihat segala yang dilakukan lelaki itu terhadapnya. Namun kenapa dia enggan bersuara? Kerana dia malu memperlihatkan dirinya di hadapan lelaki itu. Dia malu untuk mengaku yang dirinya sudah kotor dan tak layak untuk lelaki sebaik Eirfan.
"Siapa yang buat Love macam ni? Ehsan ke?"
Mendengar saja nama Ehsan, hati Natrah bagai disayat pisau. Kebencian dalam diri mula bercambah. Setiap perlakuan Ehsan ke atas dirinya tidak mudah dia lupakan. Sepantas kilat, dia menoleh ke arah Eirfan dan meraung sekuat hati.
"Love!!" Eirfan segera memeluk tubuh itu. Air matanya jatuh berguguran.
"Sakit..sakit sangat dia buat. Sakit sangat!! Terlalu sakit" luah Natrah dalam tangisan. Tubuh sasa Eirfan didakap seeratnya.
"Maafkan saya sebab takde di situ untuk lindungi awak. I'm sorry for everything Love. I should have known..."
Hati Eirfan kesal dengan setiap yang telah berlaku. Jikalaulah masa boleh diputar kembali, dia pasti akan membawa Natrah jauh dari Ehsan. Jauh sangat...sehingga bauan Natrah pun takkan bisa dia hidu.
"Isk..isk...isk..."
Dan Natrah terus menangis menanggung segala kesakitan dan keperitan yang telah ditinggalkan Ehsan kepadanya. Kesakitan itu takkan mampu pudar dan ianya akan sentiasa berbekas buat selamanya.
Sumpah rasa itu sesakit ini Ya Allah! Sakit sangat!!
Dari luar, Nabihah turut menangis mendengar perbualan kedua mereka. Tidak mampu dia bayangkan jika dia yang ditempatkan di posisi Natrah. Melihat keadaan Natrah saja membuatkan dia hampir hilang akal.
"Sayang..." Azrul memaut bahu Nabihah.
"Ara..." tangis Nabihah sambil memeluk suaminya.
"Kesian dengan dia bang. Kesian dengan Ara" rintih Nabihah lagi.
"Sabar sayang.."
"MANA si budak Ehsan ni? Dari semalam lagi tak balik. Kamu berdua takde ke nak cari dia?"
Datuk Elias mengerling ke arah isterinya. Dia berharap agar Datin Jenny memberikan alasan yang masuk akal agar mereka tidak dibebel oleh Tuan Kassim.
Namun Datin Jenny juga diam membisu. Tak berani hendak menjawab walaupun sepatah kata. Aura Tuan Kassim terlalu kuat dan sangat digeruni.
"Kenapa diam? Bisu ke? Atau pekak?" tempelak Tuan Kassim. Kedua anak dan menantunya terlalu sibuk mengurus hal dunia sehingga lupa pada anak sendiri. Kadangkala dia kasihan dengan nasib cucunya yang satu itu. Ehsan sering terabai oleh kedua orang tuanya.
"Aku ni..bukannya apa. Kesian dengan si Ehsan tu. Kau berdua ni, sibuk sangat dengan hal sendiri sampai takde masa untuk anak sendiri. Nanti jadi apa-apa kat dia, jangan pulak nak salahkan sesiapa"
Sudu dan garpu diletakkan di sisi. Mendengar omongan Tuan Kassim, hati Datuk Elias tiba-tiba rasa terbakar. Ehsan itu anak dia. Pandailah dia mengurus anaknya sendiri.
"Ayah tau kan, sekarang masa kita untuk makan. Bukannya nak bertekak urat"
"Aku tak bertekak urat dengan kamu" sahut Tuan Kassim lantas menyuap sisa daging ke dalam mulutnya.
"Memanglah tapi cara dan bicara ayah tu macam nak ajak bergaduh. Mana tak barannya Yas"
Tuan Kassim menyungging senyum sinis.
"Tau pulak nak marah. Terasa ke dengan apa yang aku kata tadi?"
Kata-kata Tuan Kassim semakin menyengat hujung hati Datuk Elias. Memang setiap yang diperkatakan oleh ayahnya tidak mampu dia tentang atau lawan. Alih-alih dia pulak yang terkena sendiri!
"Sejak bila ayah prihatin dengan Ehsan? Bukan ke selama ni ayah pun abaikan dia? Asyik pentingkan cucu ayah yang sorang tu?"
Datin Jenny membatu mendengar setiap perbualan suami dan ayah mentuanya. Dia tak berani menyampuk, apalagi kalau Tuan Kassim sudah masuk line!
"Iye, aku mengaku aku selalu jugak abaikan Ehsan. Tapi jauh di sudut hati aku, aku masih lagi ambik berat pasal dia. Ambik peduli pasal dia. Mana dia pergi, dengan siapa, ke mana. Aku masih lagi ambik tahu. Sebab aku tak nak dia jadi anak yang tersisih, sama macam apa yang kamu buat pada Eirfan!"
Berbahang hati Datuk Elias mendengar sindiran itu. Setiap tindak-tanduk dan kata-katanya sentiasa salah di mata Tuan Kassim.
"Jangan nak ungkit hal budak tu kat meja makan ni ayah!"
"Kenapa? Budak tu pun anak kau jugak. Ingat Yas. Budak yang kau benci, yang kau tak nak, suatu hari nanti akan jadi anak kebanggaan kau. Suatu hari nanti budak tu jugak yang akan kau cari, yang akan kau harapkan"
"Dahlah ayah! Yas dah kenyang. Kalau lama-lama bercakap dengan ayah, alamatnya naik darahlah Yas ni!"
Datuk Elias segera bangkit dari kerusinya dan menuju ke bilik meninggalkan isteri dan ayahnya di situ.
"Ingat Jen. Setiap kelakuan kamu berdua akan ada imbalannya nanti. Baik atau buruk, Allah yang Maha Berkuasa"
Tuan Kassim titip pesanan terakhir sebelum dia juga angkat kaki dari situ. Penat sudah asyik menasihati orang-orang seperti anak dan menantunya namun semua usahanya tak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Sia-sia sahaja!
"EHSAN! EHSAN! Mana kau? Keluarlah! Jangan menyorok macam lelaki pengecut!"
Jeritan Eirfan mendapat perhatian dari semua penghuni rumah tersebut. Datuk Elias dan Datin Jenny tergopoh-gapah keluar bagi mendapatkan Eirfan yang seperti orang gila itu.
Tuan Kassim juga sama. Dia menerpa keluar dari bilik bagi melihat apa yang sudah terjadi.
Kak Atie dan Muiz yang sibuk berbual di dapur juga turut keluar setelah mendengar suara jeritan Eirfan itu.
"Fan! Ya Allah, kenapa ni?"
Tuan Kassim terkejut melihat keadaan Eirfan yang tak terurus itu. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, penampilannya tak ubah seperti orang yang tak waras! Dengan rambut yang kusut dan wajah yang menyeringa serta di tangannya pula dia membawa sebatang kayu panjang.
Tuan Kassim mengucap panjang. Rupa dan keadaan Eirfan sungguh tak terkawalkan!
"Heii budak!! Kau buat apa kat sini haa?! Datang serang orang malam-malam macam ni. Dengan bawak kayu. Kau nak bunuh siapa?" jerkah Datin Jenny. Dia pula baran melihat Eirfan di situ.
"Anak tak berguna! Tak habis-habis timbulkan masalah!" sambung Datin Jenny lagi.
"Kau diam!" Eirfan memberi amaran sambil mengacukan kayu tadi ke arah Datin Jenny. Selama ini dia sudah cukup bersabar dengan segala kata makian dan umpat keji dari mak tirinya itu.
Dia masih mampu bersabar apabila Datuk Elias dan Ehsan juga masuk campur dalam urusan hidupnya. Namun apabila kehidupan dan maruah Natrah pula yang diusik, dia sudah tak mampu untuk terus bersabar dan menjadi orang baik.
Anak tak berguna?! Iya, mungkin sekaranglah masanya dia tunjukkan maksud 'anak tak berguna' tersebut kepada mereka.
"Eirfan!! Kau jangan nak kurang ajar dengan isteri aku. Dan kau jangan sesekali berani nak naik tangan atau kayu tu pada isteri aku" gertak Datuk Elias pula.
"Kalau tak nak saya naik tangan atau kayu ni pada isteri tercinta Datuk tu, tolong bagitau dia untuk jangan masuk campur!" Eirfan melawan lagi. Kali ni, jangan harap dia akan terus tunduk pada kedua mereka.
"Eirfan, kenapa ni cu? Kenapa marah-marah ni? Kita settle cara baik ye cu?"
Pujuk Tuan Kassim dengan suara yang lembut. Dia juga risau sekiranya angin taufan 'gila' si Eirfan itu menyerang seluruh penghuni rumahnya.
"Atok, Fan mintak maaf tapi Fan mohon sangat. Jangan masuk campur. Fan nak settlekan hal ni dengan Ehsan. Mana Ehsan?"
"Ehsan takde kat rumah. Dah semalaman dia tak balik. Kenapa Fan cari dia?" jawab Tuan Kassim. Dia ingin mendekatkan diri kepada Eirfan namun perlakuan Eirfan membatalkan niatnya.
"Tipu!" sergah Eirfan. "Semua orang sedang sorokkan dia kan? Fan tahulah. Semua orang manjakan dia sangat. Tu sebab dia jadi liar"
"Oii, siapa yang kau panggil liar?!"
Datin Jenny tidak mahu mengalah. Pantang dia kalau ada yang mencerca anak kesayangannya.
"Aku dah cakap jangan masuk campur. Aku tak bercakap dengan kau. Aku cuma nak tahu mana anak kesayangan kau"
"Kau tak dengar ke? Dia takde kat rumah! Dia takde kat rumah!!"
Eirfan melilar sekeliling. Dia tak pedulikan kata-kata Datin Jenny. Dengan kayu yang dibawa, dia berjalan masuk ke dalam rumah.
Semua yang melihatnya ketakutan tiba-tiba. Namun setiap langkah Eirfan tetap mereka bontoti.
"Ehsan!!!" Eirfan jerit lagi.
"Keluar! Sebelum aku jumpa kau, lagi teruk kau aku kerjakan. Keluar Ehsan! Keluar!!"
"Budak ni memang nak kena agaknya!" Radang Datuk Elias sudah memuncak. Dia menerpa ke arah Eirfan, namun belum sempat dia berbuat apa-apa, Eirfan sudah menghayunkan kayu tersebut ke udara. Mujur Datuk Elias sempat mengelak.
"Aku dah cakap, aku nak jumpa Ehsan. Jangan masuk campur!"
Wajah Datuk Elias memucat dengan kelakuan Eirfan tersebut. Tidak disangka-sangka, anak yang kelihatan lembut dan pendiam rupa-rupanya mampu bertindak gila seperti itu. Perlahan-lahan, dia berundur ke belakang. Risau seandainya amarah Eirfan semakin menggila!
"Apa yang Ehsan dah buat kat engkau? Sampaikan kau menggila macam ni" tanya Datuk Elias ingin tahu.
Apa yang dilakukan Ehsan kali ini? Tidak mungkin kesalahan Ehsan sekecil hama kalau Eirfan sudah menggila seperti ini!
"Hmmm..." gumam Eirfan dengan riak sinis pada wajah. Wajarlah anak tak berkelakuan elok, mak ayah sendiri tak tahu nak didik dia!
"Saya tak semudahnya jadi gila kalau bukan dia yang mula dulu"
"Apa yang anak aku dah buat kali ni?" Datin Jenny menyampuk.
Wajah Eirfan tiba-tiba basah dek air matanya. Apabila teringatkan Natrah, hatinya dirundum sedih dan hiba yang bukan sedikit.
Semenjak mengetahui akan perkara sebenar dan pelakunya adalah Ehsan, dendamnya pada lelaki itu mulai bercambah. Dia sudah tak boleh nak terus tutup mata dengan setiap kelakuan Ehsan itu. Baginya, Ehsan harus diberi pelajaran!
"Apasal kau diam? Apa yang anak aku dah buat sampai kau naik gila macam ni?" soal Datin Jenny lagi. Dia dapat melihat dan mendengar tangisan Eirfan itu. Dahinya mengerut.
"Apa yang anak Datin dah buat??" Eirfan ulang soalan Datin Jenny. Namun dalam intonasi dan nada sinikal sahaja bunyinya.
Eirfan menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya keluar.
Datin Jenny dan semua di situ sabar menunggu kata-kata dari Eirfan.
Dapat mereka lihat Eirfan sedang menyeka air mata dengan hujung bajunya.
"Bakal isteri saya..." Eirfan pukul dadanya. Suaranya bergetar-getar menahan hiba dan amarah yang silih berganti munculkan diri.
"Bakal isteri saya..." jeda Eirfan lagi.
"Kenapa dengan bakal isteri kau?" Datin Jenny tidak sabar hendak tahu. Dalam diam, hatinya bergetar hebat. Dia mulai khuatirkan bicara selanjutnya. Namun yang lebih membimbangkan adalah keberadaan dan keselamatan Ehsan sendiri!
"Anak kesayangan Datin dah perkosa bakal isteri saya!"
Share this novel