4 TAHUN KEMUDIAN:
"MACAM mana, doktor?" Marissa menyoal dengan perasaan tidak sabar. Wajah seorang doktor wanita itu dipandang bersama tatapan yang bersinar-sinar. Belum mendapat pengesahan tetapi Marissa yakin yang dirinya memang sedang mengandung. Selain perubahan emosi, rasa penat yang luar biasa, nafsu makan juga membuat dia semakin yakin dengan telahannya sendiri itu.
"Wahhh, selamat bu. Dua garis, anda memang hamil!"
Kata-kata itu langsung membuatkan Marissa menekup mulut. Bahagia? Ya! Teruja? Juga ya! Perasaan itu sudah pasti akan dirasai oleh semua wanita dalam kehidupan rumah tangga. Walaupun bukan kandungan yang pertama, tetapi perasaan teruja itu tetap sahaja terasa kuat. Tengku Laayin merupakan cahaya mata sulungnya bersama Tengku Riz Farhan. Anak comel itu kini berusia tiga tahun lebih, memiliki wajah yang benar-benar seiras dengan dirinya. Sedar tak sedar juga, sudah empat tahun mereka menetap di Jakarta. Tengku Riz Farhan memilih Jakarta kerana mahu memberi fokus pada perniagaannya di sini.
"Bu, jaga dirimu, ya? Jangan melakukan pekerjaan berat. Bulan depan, ibu kembali untuk pemeriksaan selanjutnya," kata doktor wanita itu lagi sambil tangannya sibuk mencatat sesuatu.
"Baik, doktor. Terima kasih," ucap Marissa. Syukur, dia diamanahkan untuk menjaga seorang lagi titipan Allah yang paling berharga.
MARISSA menarik nafasnya dalam-dalam sebelum kembali meneruskan langkah ke arah ruang tamu rumah mereka itu. Apa respons Tengku Riz Farhan tentang kandungannya nanti sudah dia jangka sedari awal tetapi dia sedar, lelaki itu juga berhak untuk tahu.
Tidak teralih langsung matanya daripada wajah tegang Tengku Riz Farhan, tetap berhati-hati menyusun langkah sebelum berdiri tepat di hadapan lelaki galak itu. Tuhan sahaja yang tahu, betapa gugupnya Marissa ketika itu. Rasa takut, rasa bimbang benar-benar membuatkan dirinya mahu rebah. Tengku Riz Farhan terlalu tampan jika sedang senyum, namun begitu menggerunkan ketika sedang marah. Tidak ada yang kurang tentang diri lelaki itu, sifat tubuhnya dan juga rupa parasnya juga terlalu sempurna, yang kurangnya hanyalah satu, iaitu sikap panas barannya sahaja. Semua itulah yang terpaksa dihadapi oleh Marissa setiap hari. Diperlakukan seperti seorang isteri yang paling malang dan tidak bermaruah tetapi dia sedar, itulah hakikat sebenar dalam kehidupannya.
"Tengku, boleh saya... cakap sesuatu?"
Tengku Riz Farhan yang sedang sibuk menyiapkan kerjanya segera mendengus. Kasar! "Kau nak apa, Marissa? Kau tak nampak aku tengah sibuk ni? Kau nak apa?!"
Seperti biasa, hanya tengkingan dan makian sahaja yang Marissa dapat. Malah, lelaki itu juga sempat memanjangkan tangan untuk menunjal kasar kepala isterinya itu. Memang tangannya sudah terbiasa berkasar, menolak, mendera juga memukul. Bahkan mulutnya juga sudah terbiasa mencaci, memaki, menghina namun Marisa sedar, dia tidak akan mampu berbuat apa-apa selain daripada terus menghadap. Dia tidak berupaya untuk menentang pengaruh dan kekuasaan Tengku Riz Farhan. Sebut sahaja namanya, semua pasti akan gerun. Apalagi mereka kini sedang menetap di negara orang, bukan negara sendiri. Tiada tempatnya untuk bergantung nasib selain kepada suaminya sendiri.
Bangkit dari duduknya, Tengku Riz Farhan terus mendekati Marissa sebelum rambut wanita itu dia cengkam kuat. Tekanan dan rasa penat menyiapkan pekerjaan membuatkan fikirannya benar-benar kusut dan satu-satunya penawar untuk perasaan itu adalah menyakiti Marissa. Entah mengapa, jiwanya akan beransur tenang setiap kali melihat wanita itu meraung sakit dan tangis.
"Tengku... " Marissa mengetap bibirnya rapat-rapat, gigih mengawal esakan yang hampir memecah keluar kerana dia tahu Tengku Riz Farhan paling benci mendengar suara tangisannya. Sakit ya memang sakit, tetapi lebih sakit lagi jika lelaki itu bertindak di luar kawalan.
"Kau tak nampak aku sibuk?! Kau memang sengaja nak buat aku marah, kan Marissa?! Nak mati sangat dah ke? Kau... "
"Tengku," Marissa terus mencantas bersama esak nada yang menggeletar. Pergelangan tangan Tengku Riz Farhan dipegang kuat, wajah lelaki itu ditatap penuh dengan harapan agar akan ada rasa simpati yang tersisa dalam diri lelaki itu. "Sa... saya, mengandung. Lim... lima minggu lebih dah." Marissa laju menunduk, laju memejamkan matanya setelah mengungkapkan kata-kata itu. Dia menangis tanpa suara, malah ketika rambutnya dicengkam kuat buat sekali lagi, dia tetapi kaku dan gigih menahan.
"Mengandung? Kau mengandung lagi??? Kau tak makan ke pil perancang yang aku suruh kau makan tu, Marissa?! Kau nak beranak berapa ramai lagi anak? Setan kecil seorang tu dah cukup buat kepala otak aku sakit tahu tak?! Hari-hari dengar dia melalak, naik berdarah dah telinga aku ni!"
"Sa... saya makan Tengku tapi... "
"Kau jangan tipu aku, Marissa! Aku tahu, kau sengaja skip ambil ubat tu kan?! Kau nak tubuhkan persatuan anak yatim ke dalam rumah ni?!" tengking Tengku Riz Farhan sebelum pergelangan tangan Marissa dicengkam dengan sangat kuat.
"Sakit, Tengku. Sakit! "
"Kau dengar sini, aku tak nak anak-anak kau! Kau cuma layak jadi pemuas nafsu aku je! Manusia yang paling murah tapi halal untuk aku! Aku tak kira, budak yang kat dalam ni... " Sengaja Tengku Riz Farhan menggantung kata dan untuk kesekian kalinya, rambut panjang Marissa ditarik, dicengkam lebih kasar sebelum satu tamparan yang paling kuat dia singgahkan pada pipi wanita itu. Puas hatinya! Terasa kematian orang tuanya benar-benar terbela dan terbalas setiap kali melihat Marissa kesakitan. "Aku nak kau gugurkan kandungan kau, Marissa! Seorang tu pun dah cukup menyusahkan hidup aku! Aku tak nak anak, kau faham tak?! Aku tak nak anak! Pergi mampuslah dengan anak-anak ni semua! Aku tak perlukan anak!" Semakin keras suara herdikan Tengku Riz Farhan, semakin menyakitkan juga segala perbuatan tangannya pada tubuh Marissa. Tidak terkira, sudah berapa kali dia melempang wajah wanita itu sehingga pecah hujung bibirnya. Ikutkan hati, mahu sahaja dia menamatkan terus riwayat wanita itu tetapi dia enggan Marissa mati lebih awal dan dengan cara yang lebih mudah. Dia mahu Marissa terseksa lebih teruk dan mati perlahan demi perlahan. Itu tekadnya.
"Jangan, budak ni tak salah. Biarkan saya lahirkan dia. Saya janji, saya tak akan bebankan Tengku."
"Kau... "
"Mama,"
Tersentak Marissa saat ada suara kecil memanggilnya. Toleh ke arah sisi, wajah sembap Tengku Laayin yang kelihatan. Anak itu terlihat takut dan menggigil, seolah-olah tahu dengan kesakitan Marissa, namun dia tetap menyusun langkah untuk mendekati keberadaan kedua-dua orang tuanya ketika itu.
"Kau keluar! Jangan sampai tangan aku ni singgah kat muka kau juga! Keluar!"
Tengkingan keras Tengku Riz Farhan langsung kedengaran tetapi tetap tidak mampu mematikan langkahan Tengku Laayin. Melangkah bersama anak patung beruang di tangan sambil air matanya tidak berhenti mengalir keluar.
"Mama,"
"Kau naik! Naik!!!" Lantang Tengku Riz Farhan mengherdik tanpa melepaskan cengkamannya pada rambut Marissa.
"Naik, sayang. Mama okey, mama okey! "
"Mama! Sayang mama! Yin nak mama!" Tangisan dan raungan Tengku Laayin langsung memecah, memecah ketika tubuhnya tiba-tiba sahaja ditarik kasar oleh Tengku Riz Farhan. Ini kali pertama dia menyentuh tubuh anaknya kerana sebelum ini memang dia tidak pernah peduli langsung dengan kemunculan Tengku Laayin di dalam hidupnya. Rasa marah dan benci terhadap keturunan Marissa membuat dia selalu jijik untuk menyentuh anak kecil itu.
"Kau ni kan, betul-betul mencabar tahap kesabaran aku! Kau dengan mak kau memang sama! Sama-sama sial!" Tengku Riz Farhan memaki sebelum mengangkat tangan mahu menyakiti tubuh kecil anaknya. Namun tidak sempat ketika tangannya tiba-tiba sahaja dicapai laju oleh Marissa.
"Ayin tak salah! Tengku boleh pukul saya, seksa saya, tapi jangan sakiti Ayin. Dia anak Tengku juga, darah daging Tengku!" Marissa merayu bersungguh-sungguh sambil menggeleng kepalanya berkali-kali. Tubuh kecil Tengku Laayin terus ditarik lalu dibawa erat ke dalam pelukannya. Ibu mana yang sanggup melihat anaknya sendiri menangis kesakitan! Biar dia sendiri yang sakit asal bukan anaknya sahaja!
"Apa tadi? Boleh pukul? Boleh seksa?" Pecah tawa jahat Tengku Riz Farhan. Berdiri di sisi anak isterinya bersama senyuman yang paling kejam dan licik. "Suri!!!" Nama pembantu rumahnya dilaung kuat dan saat itu juga Marissa langsung menggeleng ketakutan. Dia tahu, apa kesudahan kisah pada hari itu, dia tahu dan dia dapat membayangkan kesakitan yang bakal dia tanggung sebentar nanti.
Muncul Suri lalu ikutan menunduk ketakutan di hadapan Tengku Riz Farhan.
"Kau bawa dulu binatang peliharaannya cewe ini naik, kau tutup pintu kamarnya! Karena aku lagi ada urusan sama dia!"
Laju Suri mengangguk tanpa kata. Turut menitiskan air mata saking berasa terlalu bersimpati dengan nasib Marissa tetapi apakan daya, dia sedar, dia tidak akan mampu untuk menolong. Tubuh kecil Tengku Laayin yang sedang meronta-ronta ditarik, didukung lalu laju dibawa keluar. Setiap hari dia yang selalu menjadi saksi di atas kesakitan Marissa namun kepada siapa lagi dia mahu mengadu? Pengaruh dan kekuasaan majikannya itu bukan hanya kuat di Malaysia, tetapi di Indonesia juga sama. Lelaki itu terlalu bijak bermain muka, bersembunyi di sebalik kekejamannya yang sebenar.
"Tengku, saya merayu. Jangan! "
Tanpa mempedulikan rayuan Marissa, Tengku Riz Farhan kembali mencengkam kuat rambut isterinya itu. Malah sempat juga menyinggahkan tamparan pada wajah Marissa sebelum tubuh wanita itu diseret dengan kejam ke arah dapur. Berkali-kali tubuh Marissa dipukul, ditendang tanpa belas dan setiap kali wanita itu meraung kesakitan, Tengku Riz Farhan akan memecahkan tawa puas. Ya, memang dia sangat puas dan lega setelah melakukan semua itu. Dendam darah harus dibayar dengan darah!
"Gugurkan kandungan kau, Marissa! Aku benci setiap anak yang keluar dari rahim kau! Aku jijik dengan semua keturunan kau!!!" Tengku Riz Farhan mengherdik untuk kesekian kalinya. Beralih mengambil sebatang rokok, dinyalakan tetapi bukan untuk dinikmati sebaliknya dibawa mendekati lokasi keberadaan Marissa sebelum dicucuh kejam pada seluruh tubuh wanita itu. "Kau rasakan ni! Ni baru sikit, Marissa! Aku boleh buat hidup kau lebih menderita daripada ni!"
"Sa... sakit! Sakit, Tengku!!!"
Share this novel