"PEREMPUAN macam kau memang tak layak jadi menantu aku!" Suara Puan Anita bergema di setiap ruang. Tubuhnya menggigil bukan sebab benci tapi terlalu lama menyimpan amarah di dada. Petang ini amarahnya membuak dan meletup bila menantunya berada dalam pelukan suaminya.
Pandangan matanya tajam ke arah Naira dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Jijik. Di matanya, Naira seperti makanan busuk yang jatuh dalam dulang hidangan keluarga.
"Mama, cukup! Jangan nak melenting sesuka hati awak."
"Mama marah sebab papa peluk dia!"
Puan Anita melihat dengan jelas, riak wajah Naira nampak tenang. Sebesar zarah pun langsung tiada rasa bersalah dalam diri menantunya. Naira seperti sengaja mencabar dirinya.
"Mengucap mama! Papa selamatkan Naira," pujuk Tuan Adnan.
"Papa diam!" tengking Puan Anita.
Tanpa berlengah kakinya melangkah laju ke arah Naira seperti naik hantu. Lengan Naira ditarik kasar agar Naira berdiri di hadapannya. Rambut Naira direntap hingga menantunya terdongak.
"Hei, kau cuma kahwin dengan Izril sebab nak tutup hubungan kau dengan suami aku kan! Baik kau mengaku sekarang!"
Ayat itu keluar juga akhirnya. Semua mata memandang Puan Anita sedang memaki Naira. Mak Nor dan Seri hanya mampu tunduk dan diam membisu. Bagi mereka bila Puan Anita mengamuk, langit runtuh pun mungkin lebih senyap daripada keadaan sekarang.
"Ma, Naira isteri saya. Tak mungkin papa nak buat benda bukan-bukan," pujuk Izril, tenang.
Izril yang baru tiba di tepi kolam menghampiri Naira tapi mama menolaknya kasar. Tangan Izril cuba menggapai tubuh isterinya namun dipukul mama. "Mama! Lepaskan isteri saya."
"Abang, mama nampak papa...."
"Cukup ma! Mak Nor sendiri call saya bagitahu Naira jatuh kolam."
Sakitnya hati Puan Anita melihat Izril menyebelahi Naira. Makin bertambah sakit apabila melihat Naira senyum dan pura-pura lemah ketika berada di dalam pelukan anaknya.
"Kau betul-betul tak ada maruah Naira. Abang, isteri abang tu bukan tak reti berenang. Mama sendiri nampak...."
"Ma, stop! Saya kenal isteri saya. Papa, terima kasih selamatkan Naira."
"Tanggungjawab papa abang. Nasib baik Seri bagitahu abang yang isteri abang tergelincir."
Puan Anita tidak mahu mengalah. Dia mengejar Seri dan Naira yang cuba beredar.
"Jangan ingat semua orang dalam rumah menangkan kau, kau boleh pijak aku Naira!"
"Anita! Apa lagi yang tak puas hatinya? Seri, bawa Puan Sulung ke bilik cepat. Jangan dilayan Puan Besar tu. Angin monsun mana dia bawa dari luar terus serang menantu saya."
"Papa, abang masuk pergi tengok Naira dulu."
Tuan Adnan mengangguk dan menghampiri isterinya sedang bermuka tegang. Bahu isterinya cuba dipaut tapi sayang tangannya ditepis. "Papa, mama masih tak percaya yang Naira tak reti berenang."
Satu keluhan dilepaskan kasar. Tuan Adnan mendekatkan wajah ke arah isterinya. "Kenapa pula mama?"
"Elah bagitahu saya Naira tu pernah selamatkan Puteri."
"Selamatkan Puteri?"
.
.
.
"Jadi betul cakap Elah!" Suara Puan Anita meninggi. Kali ini dia tidak akan biarkan perempuan liar ini terus berkuasa di dalam rumahnya.
"Kau rosakkan rumah tangga Elah sampaikan Arash sanggup tinggalkan dia.”
Terjongket kening Naira. Pandangannya kosong tapi bibirnya mengoyak senyuman nipis yang menghina. Puas rasanya melihat satu-satunya perempuan yang paling berkuasa dalam rumah ini melenting.
"Saya tak tahu dan saya tak nak ambil tahu. Semua tu salah Arash. Suka menggatal belakang isteri. Saya tak layan tapi Arash yang ambil kesempatan bila Izril tak ada, so... bukan salah saya."
"Dasar perempuan muka tak malu."
Naira mengangkat tangan menepis tangan mama.
"Malu saya tak ada langsung ma. Saya cuma belajar dari seorang lelaki yang mama panggil dia papa. Ayah kepada suami saya."
Pangg!
"Kau... kau ni... memang perempuan tak ada akhlak, bermuka tembok!"
Naira memanggung wajah. Pipinya yang sakit langsung tidak dihiraukan. Matanya tajam menangkap bebola mata mama yang sedang membara.
"Terserah mama nak kata saya apa. Jangan lupa saya masih menantu dalam rumah ni."
"Kau!"
Sekali lagi tangan Puan Anita naik namun Naira sekali lagi mencengkam pergelangan tangan mama dari singgah ke pipinya.
"Mama jangan lupa dalam rumah ni pun ada lagi teruk muka dia daripada saya. Buktinya... depan mata saya sendiri."
Pandangan Naira beralih ke arah bapa mentuanya yang berada di sebalik pintu kaca. Naira tahu papa memasang telinga tapi sayangnya, bicaranya tertikam mama. Mama pula yang terasa dengan bicaranya.
"Cempaka Naira!"
Puan Anita menekan dadanya terasa sakit. Nafasnya seakan tersekat. Muka dia merah menyala menahan geram.
"Mama, Naira. Apa benda lagi ni? Sampai atas dengar?" soal Izril yang baru selesai mandi.
"Abang, abang tolong mama....”
Tangannya menunding ke arah Naira di sisi anaknya. "Mama tak nak tengok syaitan betina dalam rumah ni. Halau dia, sekarang juga!”
"Jangan berani kau halau menantu aku Anita!”
Izril dan Naira menoleh ke arah Tuan Adnan yang baru muncul di antara mereka. Naira senyum senget tanda kemenangan, Izril mengangguk tanda setuju dengan keputusan papa. Sayangnya, tidak untuk Puan Anita. Dia makin tidak dapat terima kenyataan ini. Matanya membuntang melihat suaminya sekali lagi menyebelahi menantunya.
"Ma, saya tak minta jadi menantu mama tapi mama sendiri yang jemput syaitan ni masuk ke rumah," ucap Naira perlahan.
"Naira, awak cakap apa ni? Awak, isteri saya bukan syaitan," pujuk Izril sedikit berbisik.
"Saya cakap… rumah ni terlalu kecil untuk sembunyikan dosa. Sudahnya saya yang kena tanggung amarah mama," balas Naira dengan nada kesal.
Tangan suaminya ditolak kasar. Naira berlari menuju ke bilik tanda protes. Hatinya sakit tapi dirinya tetap puas dengan apa yang berlaku.
Tiada siapa sedar pandangan Tuan Adnan lekat di bayang menantunya. Entah mengapa perempuan itu bukan menantu tetapi bunga beracun yang dia sendiri tidak mampu lepaskan dengan mudah.
New baby Mengusik Nafsu daripada win. Pilihan membaca di tangan anda. Novel ini bakal mengusik hati reader sekali, insyaAllah. Hahaa....Happy reading. ?❤️
Share this novel