“FAHAD kena faham. Mama kan tak suka memaksa. Mama bukan suruh Fahad get back semula dengan dia. Cuma selesaikan macam anak jantan. Fahad tahu kan macam mana mama besarkan anak mama ni macam mana nak menghormati seorang wanita? Jadi, pergi jumpa dia untuk puaskan hati dia,” ucap Puan Sri Normah dengan nada meyakinkan.
Fahad menghela nafas dan menganguk kecil. “Okey.”
Tersenyum Puan Sri Normah, dia tahu anaknya ini sedikit sebanyak mempunyai sedikit perangainya iaitu keras hati dan kepala.
“Terima kasih anak mama. Nanti mama akan jemput mereka sekeluarga datang ke rumah kita. Jangan tak balik pulak,” kata Puan Sri Normah lega dengan balasan anaknya ini.
“Baik, ma. But, please… jangan nak kenen-kenenkan Fahad. Biar urusan jodoh Fahad, Fahad cari sendiri,” balas Fahad risau dengan kejutan yang emaknya suka lakukan kepadanya.
Terus saja Puan Sri Normah tersenyum lebar. “Dah ada ke?”
TERMENUNG terus Fahad bila membaca mesej daripada mamanya mengatakan Ahad pada waktu makan tengah hari, keluarga Dewi dan Dewi akan datang ke rumah mereka. Dan, dia perlu ada di sana sebelum hari kejadian.
Tiada alasan lagi kerana mamanya sudah mengetahui jadual kerjanya. Siap mengugut lagi akan gugurkan dia dari jawatan sekarang jika terlalu sibuk.
Dia sudah jatuh hati dengan kerjanya sekarang ini, penat dia belajar jauh-jauh dan mengumpul pengalaman hanya kerana tidak hadir perjumpaan keluarga mamanya ingin menyuruh papanya memecat dia.
“Apalah masalah kau ni?” lafaz Fahad geram.
“Saya tak ada masalah,” jawab satu suara.
Fahad tegakkan kepala dan memandang Maira di hadapannya. Tergelak terus Fahad dibuatnya.
“Bos tanya saya kan?” tanya Maira sambil menunjukkan jari ke arahnya. Manakan tidak, dia diarahkan masuk kemudian bosnya hanya merenungnya. Tiba-tiba saja kata sebegitu, takkan bos dia cakap dengan hantu?
Maira sentiasa muncul menjadi buah idea pada setiap penyelesaian.
“Weekend ni buat apa je?” tanya Fahad serius.
“Balik kampung. Atok makin sakit, saya nak melawat atok.” Maira menahan sebak di dadanya.
Fahad mengangguk. “Saya hantar awaklah.”
Terus saja Maira mengecilkan matanya memandang bosnya. Kenapa bosnya ini?
“Tak apa. Saya balik sendiri, tiket pun dah beli,” jawab Maira yakin.
Fahad angguk lagi. “Kalau balik ke sini saya datang ambil awak macam mana?”
“Tak apa. Saya dah beli tiket train pergi balik terus. Jangan buat hal nak berjemput berhantar saya. Bukan-bukan jelah bos ni,” bebel Maira. Apa kenalah dengan bosnya ini terlalu melekat dengannya.
Rimas.
“Kenapa awak macam nak lari dari saya? Apa salahnya saya ambil awak?” tanya Fahad tanpa rasa serba salah atau apa pun. Baginya boleh saja Maira menganggapnya sebagai kawan. Malah sebagai bos pun tak apa.
Maira menggeleng.
“Takut kena gosiplah tu. Okey apa kena gosip dengan laki handsome macam saya,” kata Fahad sambil tayang wajahnya dengan menggerakkan rahangnya.
Maira menjeling. “Ya, bos handsome. So?”
Tersenyum Fahad. “So? Jom.”
“Pergi mana?”
“Beli hadiah.”
Berkerut wajah Maira, namun terus mengikut Fahad dari belakang. “Untuk siapa?”
Terkejut Maira bila Fahad berpusing dan kedudukan mereka sangat hampir. “Untuk seseorang.”
Fahad terus melangkah dan menuju ke lift.
“Perempuan ke lelaki?”
Pertanyaan itu membuatkan Fahad tersenyum. Pintu lif tertutup. “Cemburu ke kalau untuk perempuan?”
Maira hanya menjeling.
Masuk saja ke dalam pusat membeli-belah Maira pandang satu kedai, dia tersenyum. Kedai memasang puzzle. Ini adalah permainan yang paling dia minati, namun dia tiada masa dan pada waktu kecil dulu dia tidak punya duit.
Bia sudah ada duit, dia tiada masa.
Fahad dari tadi memandang Maira, matanya juga memandang kedai yang sama. Lalu, dia tersenyum. “Jom pergi sana.”
Terkejut Maira kerana Fahad menunjukkan kedai yang dia mahu pergi. “Sini ke bos?”
Ceria sungguh suara Maira ketika ini, Fahad dengan wajah seriusnya hanya mengangguk. Dia berpura-pura mencari sesuatu dan dalam diam dia memandang Maira yang khayal melihat setiap gambar puzzle yang ada.
Maira melihat tiap unit yang ada, bibirnya tersenyum.
“Awak rasa, kalau nak bagi orang puzzle nak bagi yang mana?” tanya Fahad.
Maira berfikir. “Dia biasa buat ke tak?”
Fahad diam.
“Susahlah nak jawab soalan ni. Boleh tak awak pilihkan mana puzzle yang terbaik kalau nak bagi seseorang. Atau lagi senang awak je pilih mana yang awak suka. Boleh?” tanya Fahad lagi.
“Kalau dia tak suka macam mana?” tanya Maira semula.
“Mesti suka punya. Sebab saya percaya dengan awak. Kalau dia tak suka, saya ambil balik puzzle tu,” kata Fahad dengan yakinnya.
Maira mengangguk patuh. Terus saja dia menelek satu per satu gambar yang ada. Tersenyum-senyum dia melihat satu gambar puzzle pemandangan bunga Sakura. Dia sukakan puzzle tentang pemandangan. Memang susah untuk gabungkan, namun keindahan selepas itu sangat mengujakan.
“Yang ini.” Dengan yakin Maira menunjuk kepada satu puzzle yang bersaiz 1000 keping.
Bulat mata Fahad melihat berapa kepingan itu. 1000. “Okey kita ambil yang itu.”
Dari jauh Maira hanya memandang puzzle itu dengan berbelah bahagi, kenapa dia berikan yang cantik itu kepada Fahad. Kenapa dia tidak pilih yang lain?
Setelah membeli dan pulang semula ke pejabat. Fahad lansgung tidak mengganggunya. Sebaik saja sampai di keretanya, Fahad sudah berada di sisi keretanya bersama sebungkus hadiah yang dibelinya tadi bersama Fahad.
“Nah, untuk awak.”
“Saya?”
Share this novel