Bab 2

Romance Series 11562

RIZAL tercengang sambil berdiri di hadapan sebuah bangunan. Kini dia sedang menatap bangunan syarikat Jentayu Emas yang diperkatakan oleh bapanya. Seketika kemudian, dia melihat baju kemeja berwarna coklat muda berlengan pendek yang dipakainya dan sebatang penyapu yang berada di genggaman tangannya. Pakaian yang sedang dikenakan olehnya itu adalah pakaian seragam bagi pekerja kebersihan di syarikat tersebut. Rizal kebingungan. Dia mula merasa ditipu oleh bapanya sendiri. Padahal dia sangat berharap agar bapanya memberikan jawatan sebagai Pengarah di sana. Namun setelah dia melaporkan diri, Ketua Pengarah di sana telah mengatakan jika bapanya telah mengarahkan agar Rizal diberikan jawatan sebagai pekerja kebersihan.

Walaupun sangat marah, namun Rizal masih bertahan dan berharap agar semua itu adalah sekadar gurauan daripada Tan Sri Hanafi. Dia sangat berharap bapanya itu akan segera menghubunginya dan mengatakan jika dia hanya diuji untuk sehari. Mungkin keesokan hari, dia akan diberikan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakannya malah sesuai dengan identitinya sebagai anak kepada pemilik syarikat. Sambil menyapu daun kering di halaman hadapan bangunan, Rizal melihat pula ke arah motosikal Honda EX5 yang disediakan oleh bapanya. Hati Rizal semakin panas.

Lelaki itu kemudiannya terduduk di anak tangga di hadapan bangunan. Bukan sahaja dia dipaksa menjadi pekerja kebersihan, malah rumah yang disediakan untuknya juga hanyalah sebuah rumah kecil yang sudah usang. Sebagai anak orang kaya yang membesar dalam keadaan serba mewah, Rizal benar-benar tidak mampu menerima kenyataan apabila diperlakukan sedemikian oleh bapanya sendiri. Rizal mula sedar, itu semua mungkin muslihat awal Tan Sri Hanafi untuk mengenakannya. Di sebabkan itu bapanya itu tidak mengizinkan Rizal memandu sendiri dan membawa keretanya ke sana. Mata lelaki itu kini menatap ke arah motosikal yang menjadi kenderaannya untuk ke tempat kerja tadi.

"Aku mintak kereta lamborghini.. dibaginya aku motor lembugini.. tak guna betul!" Rizal meluahkan rasa tidak puas hatinya, seraya mencampakkan penyapu yang berada ditangan.

"Ahhh!!" Tiba-tiba kedengaran suara jeritan seorang perempuan. Rizal terperanjat apabila penyapu yang dibalingnya itu mengenai seorang gadis yang sedang berjalan di hadapannya.

"Maaf..maaf.. saya tak sengaja.." Rizal segera meminta maaf setelah menyedari kesalahannya.

"Awak ni buta ke? Awak nak bunuh saya? Dah kenapa duk baling penyapu tu kat saya?!" Amira berteriak, meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan Rizal sebentar tadi.

"Saya dah minta maaf kan.. saya tak sengaja.. saya tak nampak awak kat depan tadi.."

"Dengan minta maaf, awak ingat selesai la semua masalah? Kalau macam tu, baik tak payah ada polis dalam dunia ni kalau semua benda boleh selesai dengan minta maaf.."

"Dah tu kau nak macam mana lagi? nak aku sujud kat kaki kau? jilat tapak kaki kau baru kau puas hati?!" Rizal mula meninggikan suara. Dia benar-benar tercabar dengan sikap gadis yang tidak mahu bertoleransi di depannya itu. Amira langsung tersentak dengan perubahan nada suara daripada Rizal.

"Maaf.. saya tak bermaksud macam tu.. yang awak baling penyapu kat saya tu dah kenapa?"

"Kan aku dah cakap, aku tak sengaja.. dari tadi kepala otak aku ni berserabut.. kau jangan la tambahkan lagi serabut aku ni.. pasal penyapu tu, aku minta maaf.. memang aku tak perasan kau kat depan tu tadi.." Rizal mengeluh seraya memicit dahinya. Lelaki itu kemudian kembali terduduk di anak tangga. Mlihatkan keadaan Rizal itu, Amira mulai mengerti. Dia tahu lelaki itu sedang galau dan dirundung masalah.

"Dah la.. saya nak cepat ni.. saya pergi dulu.." Amira kemudian meneruskan langkahnya mendaki anak tangga dan terus melepasi pintu masuk bangunan yang menjadi pejabat kepada syarikat Jentayu Emas. Rizal yang tidak dapat menahan rasa kesal di hatinya segera menyeluk saku seluar dan mendapatkan telefon bimbitnya. Dia sudah tidak tahan dipermainkan oleh ayahnya. Kini dia perlu mendapat penjelasan daripada ayahnya, mengapa dia diperlakukan seburuk demikian. Panggilan telefon kepada ayahnya segera dilakukan.

"Pa! betul ke papa nak Riz jadi cleaner kat sini? Apa maksud papa buat Riz macam ni?" Rizal langsung bertanya setelah panggilan kepada bapanya diterima.

"Hah, apa masalahnya? jadi cleaner pun kerja jugak kan?" Tan Sri Hanafi menjawab disebalik panggilan.

"Pa! Papa sengaja nak kenakan Riz ke apa? sengaja nak malukan Riz?"

"Apa pulak nak malu? Kerja apa pun, asalkan pekerjaan tu halal, apa masalahnya? Riz jangan anggap jadi cleaner tu satu pekerjaan yang hina.. Papa masa muda-muda dulu, sebelum tubuhkan syarikat, papa pun pernah jadi cleaner, jadi buruh, jadi waiter kat kedai makan.." Tan Sri Hanafi membalas.

"Tapi pa.. dulu dengan sekarang mana sama.. zaman papa dulu lain.."

"Yang lain hanya diri kita Riz.. Papa anak orang susah..  membesar dalam keadaan serba kekurangan.. dari kecil terpaksa bekerja untuk sara diri.. tapi Riz hidup dalam kesenangan..membesar dalam kemewahan.. ya, zaman semakin berubah.. tapi nilai diri kita sebagai manusia sepatutnya tidak berubah.."

"Apa maksud papa ni? apa kena mengena dengan nilai jadi manusia pulak? Apa selama ni Riz tak jadi manusia ke?" Rizal tetap membantah.

"Papa tak cakap Riz bukan manusia.. tapi papa nak Riz jadi manusia yang reti bersyukur, tahu nilai diri kita sebagai manusia yang sebenarnya.. Papa nak Riz belajar dan rasa apa yang papa rasakan dulu.. Jadi Riz kerja je macam papa kerja dulu.."

"Tapi pa..." Rizal masih tidak berpuas hati.

"Takde tapi-tapi.. Macam ni, Papa cabar Riz kerja jadi cleaner tu dulu selama enam bulan.. Kalau Riz dapat bertahan selama enam bulan ni, nanti Papa akan lantik Riz jadi CEO Jentayu Emas.. Then kalau Riz berjaya jadi CEO dengan baik selama setahun, i will give you THL Global Group.. macam mana, setuju?" Tan Sri Hanafi membuat perjanjian. Rizal termenung seketika. Dia hanya perlu bertahan menjadi seorang pekerja kebersihan dalam masa enam bulan. Namun tempoh enam bulan itu pada fikirannya agak terlalu lama.

"Tiga bulan la pa.. enam bulan lama sangat.. Riz lulusan King's College London kot.. takkan la jadi cleaner sampai enam bulan.." Rizal cuba tawar-menawar dengan bapanya.

"No.. i said six months." Tan Sri Hanafi berkeras. Mendengar penegasan daripada bapanya, Rizal sekali lagi mengeluh. Namun demi menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan seterusnya mengambil alih empayar perniagaan bapanya, Rizal tiada pilihan lain.

"Deal.. janji, nanti Riz jadi CEO selepas enam bulan.. No other tricks."

"Ya, Papa janji.."

"Tapi boleh tak papa berikan lamborghini dulu kat Riz sekarang? Ini motor buruk lembugini yang papa bagi.. apa ni pa.. kalau nak bagi Riz motor pun, setidaknya bagi la Ducati.." Rizal membuat permintaan.

"Eh, no..no..no.. Selama enam bulan ni, Riz pakai je dulu motor tu dan tinggal kat rumah yang dah disediakan tu.. selepas enam bulan, baru papa belikan Riz kereta baru. Oh, ya.. kad kredit Riz pun papa dah freezed.. so, selama enam bulan ni, Riz pakai je duit gaji yang akan Riz terima nanti untuk survive.. Pandai-pandai la Riz uruskan kewangan dengan gaji 1,500 tu.. Papa dah bank in 2,000  untuk Riz gunakan sehingga Riz terima gaji hujung bulan ni. Selepas ni, no more money from Papa, okey.."

"1,500 tu hanya setakat belanja Riz 2,3 hari je pa.. mana la cukup untuk survive sampai sebulan.."

"Okey, papa busy ni.. kalau takde benda penting, jangan contact papa lagi.. Cubalah bertahan hidup selama enam bulan ni.. bye-bye.." Tan Sri Hanafi segera mematikan panggilan telefon.

"Pa.. wait..Papa... Papa! Papa!!..." Rizal menjerit setelah panggilan mereka diputuskan.

"Tak guna!" Tua kutuk ni sengaja nak kenakan aku ke?" Rizal melaung keras sambil meluahkan rasa kesal terhadap ayahnya.

"Woi! kau bising-bising ni apahal? Jangan nak mengular.. sapu sampah tu cepat! belajar kat sekolah kau malas.. dah jadi cleaner pun nak malas lagi.." Kelihatan seorang lelaki yang berpakaian rapi sedang berdiri di hapadan muka pintu bangunan sambil mencekak pinggang dan menatap ke arah Rizal. Melihat lagak lelaki terbabit, kemarahan Rizal semakin membara. Rizal segera berdiri sambil bertentang pandangan dengan lelaki tersebut. Ingin sahaja Rizal menumbuk lelaki yang telah merendahkannya itu. Namun apabila teringatkan perjanjian dengan ayahnya agar bertahan menjadi seorang pekerja kebersihan selama enam bulan, Rizal terpaksa mematikan hasratnya. Dia tidak ingin tindakannya nanti akan menyebabkan dia kehilangan pekerjaan dan kelayakannya untuk menjadi seorang Ketua Pegawai Eksekutif juga akan terbatal.

"Huh!" Rizal mendengus kencang seraya berpaling punggung. Dia lantas mencapai penyapu yang dibuangnya tadi dan kembali menyapu sampah di lantai hadapan bagunan.

DI rumah Tan Sri Hanafi, lelaki itu sedang membaca buku sambil ditemani isterinya yang menonton rancangan televisyen. Ketika mereka sedang leka dengan aktiviti masing-masing, tiba-tiba Puan Sri Rohayu menegur suaminya.

"Bang, tak elok la buat Riz macam tu.. kejam tau abang suruh dia jadi cleaner."

"Apa yang kejamnya? Bukannya saya buat budak tu mati ke apa.. saya cuma nak dia belajar hidup susah sikit.. bukannya saya nak buat zalim, nak sakiti dia.." Tan Sri Hanafi membalas.

"Tapi Riz kan tak biasa buat semua tu.. dia mana pernah buat kerja-kerja berat.. lagipun, dia kan lulusan dari universiti United Kingdom.. bagi la dia kerja yang sesuai dengan kelayakan dia.." Puan Sri Rohayu ingin memprotes keputusan suaminya.

"Ha, tengok la awak ni.. dia jadi manja macam tu pun sebab awak la.. duk manjakan sangat budak tu dengan kemewahan.. sampai apa pun tak tahu nak buat.. saya buat macam ni pun untuk kebaikan Riz tu sendiri.. saya taknak dia jadi orang yang sombong, bangga dengan kedudukan dan harta.. Bukan awak tak tahu, dah bermacam cerita yang saya dengar dari orang pasal anak kita tu.. bukannya saya tak bagi dia hidup dalam mewah, tapi biarlah dia ada sikap merendah diri, tahu erti kesusahan, hargai perasaan orang lain.. kalau dia sendiri tak pernah hidup susah, macam mana dia nak faham perasaan orang lain.. saya buat macam ni untuk kikis sifat angkuh, sombong dia tu.. biar dia tahu erti syukur.." Tan Sri Hanafi memberi penjelasan kepada isterinya.

"Tapi cara abang keras sangat.."

"Saya terpaksa berkeras kali ni.. dah lama saya terlalu berlembut dengan dia.. sebenarnya saya sendiri menyesal sebab dulu terlalu sibuk dengan urusan perniagaan, sampai lupa tanggung jawab membesarkan anak-anak.. saya lupa nak didik dia untuk kenal tuhan, kenal agama.. sampaikan Riz tu suka berfoya-foya.. sembahyang tak tahu ke mana.. perempuan keliling pinggang.. dalam dua tahun ni, dah acap kali orang duk bagitau saya, dia bawak perempuan masuk hotel.. awak tak rasa malu ke?" Tan Sri Hanafi meluahkan rasa kesal. Puan Sri Rohayu terdiam mendengar kata-kata suaminya itu.

"Saya nak Riz tu tahu macam mana rasanya jadi orang susah.. macam mana rasanya kekurangan wang.. dengan gaji dia tu nanti, cukuplah untuk dia buat belanja uruskan diri dan makan minum dia.. saya taknak dah dia duk berfoya-foya, masuk kelab malam, bawak perempuan masuk bilik hotel.. dalam masa enam bulan ni, biar dia terbiasa dengan keadaan macam tu.. nanti biar dia renungkan sendiri keadaan diri dia tu.." Tan Sri Hanafi menyambung ucapannya.

"Tapi bang.. 1,500 tu sikit sangat.. entah-entah, dia nak buat makan pun tak cukup.."

"Saya sengaja bagi dia gaji paling minimum.. Orang lain yang berkeluarga, dengan gaji sebanyak tu, boleh je hidup.. cukup je makan minum.. lagipun Riz pun bukan kena bayar sewa rumah.. rumah dia saya dah sediakan, walaupun rumah lama.. yang penting, segala keperluan dia dah tersedia.. awak pun jangan cuba-cuba nak bantu dia.. kalau saya tahu awak bagi duit atau apa-apa bantuan kat dia, dengan awak sekali saya dah tak bagi duit, saya bekukan kad kredit awak.." Tan Sri Hanafi memberi peringatan berupa ancaman kepada isterinya.

"Eh, mana boleh macam tu.. malu la saya kalau kawan-kawan saya ajak keluar shopping nanti.. bulan ni pun, rambut pun saya tak buat lagi.. facial pun belum.. baju baru pun dah dua bulan saya tak beli.."

"Kalau macam tu, jangan cuba nak bantu, bagi duit kat anak awak tu.. kalau tak, dengan awak sekali saya suruh jadi cleaner nanti.. tak pun jadi je orang gaji, kerja kemaskan rumah dengan Mak Mah.."

"Ish, saya pulak yang kena kerja.." Puan Sri Rohayu segera bangkit berdiri dari sofa dan mula meninggalkan Tan Sri Hanafi di sana sendirian. Tan Sri Hanafi pula tersenyum sinis tatkala melihat tingkah laku isterinya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience