31 Terus Terang

Family Series 110448

Rhett mengetuk pintu rumah banglo mewah itu berkali-kali. Telefon bimbit juga sudah beberapa kali ditekap di corong telinga untuk membuat panggilan namun tidak berjaya. Dia mulai kerisauan lalu cuba meninjau melalui jendela kaca yang tertutup rapat.

Lantaran tidak mampu melihat di dalam kerana ditutupi tabir, Rhett kembali ke muka pintu lalu mulai mengetuk berulang kali.

“Zara! Zaraaa!!! Buka pintu ni!” Sambil mengetuk, Rhett menjerit lantang.

“Zaraaa!!!” Pekik Rhett lagi. Kerisauan dan rasa bersalah meruap buat dia hampir mahu tendang daun pintu yang diperbuat dari kayu import termahal itu. Tiba-tiba daun pintu terkuak sedikit. Wajah Zara tersembul.

“Rhett?” Zara kelihatan terkejut lalu menarik daun pintu, membuka ruang seluasnya.

“Zara, kau tak apa-apa?” Rhett bertanya pantas. Zara memandang hairan lalu menggeleng.

“Mummy kau kata tadi kau demam. Saya call berkali-kali tapi telefon kau tak aktif.”

Zara tenung Rhett dengan wajah terharu. Tersentuh hati wanitanya. Ternyata lelaki itu masih ambil berat.

“Saya cuma beralasan kerana tak nak mummy banyak soal mengapa kita tak kembali ke majlis tu. Kau pun tahu macam mana perangai mummy tu kan? Saya okay je. Telefon saya tengah charging.”

Rhett melepaskan nafas penuh kelegaan. Zara tersenyum manja. Wajah dipenuhi putik-putik bahagia.

“Masuklah dulu. Saya buatkan air.” Pelawa Zara lalu berundur untuk beri ruang Rhett melangkah masuk.

“Ada orang tak selain kau?” Tanya Rhett yang masih statik tidak bergerak di muka pintu. Zara terus tersipu-sipu dengar. Pipi putihnya dicemari rona merah.

“Hanya saya seorang.” Zara jawab dengan suara perlahan lalu tertunduk malu. Rhett mengangguk tenang.

“Baguslah. Saya memang nak berbincang dengan kau.” Usai berkata, Rhett melangkah masuk. Baru setapak dua, Rhett mematikan langkah lalu menoleh ke belakang.

“Bu Narti!” Jeritan Rhett menyentakkan Zara. Wajah menekur lantai dengan pantas dia dongakkan.

“Saya datang, tuan muda!”

Buntang mata Zara melihat seorang wanita pertengahan usia terkocoh-kocoh menghampiri mereka dengan kepala berbungkus kain selendang.

“Kau bawa bibik?” Zara tanya dengan riak wajah tidak percayanya. Rhett angguk.

“Tak elok saya datang ketika kau seorang je dalam rumah. Sebab tu saya bawa bibik. Kau tak kisah kan? Awalnya saya nak suruh Bu Narti jaga kau tapi dah kau kata kau takde apa-apa, rasanya tak perlulah saya tinggalkan bibik bersama kau.”

Zara terkesima. Tidak tahu harus respon apa. Dia diam dan hanya mampu membiarkan Rhett dan bibiknya masuk ke dalam rumah. Rhett terus menghenyak punggung di sofa tanpa dipelawa.

“Duduklah, Zara. Ada perkara penting saya nak bincangkan dengan kau. Bu Narti… buatkan air please.” Seperti dialah tuan rumah, Rhett mengarah ikut suka hatinya. Zara menurut tanpa banyak songeh. Bu Narti pula terkocoh-kocoh mencari di mana letaknya dapur di rumah banglo serba luas itu.

“Zara…” Rhett bersuara setelah beberapa kali tarik buang nafasnya. “perkahwinan kita tak mungkin terjadi.”

Rhett merenung Zara yang kelihatan tenang saat dia tuturkan kata-kata itu. Tenang di luar, tiada siapa menduga dalamannya. Jujur, Rhett diasak rasa bersalah namun dia cuba tepis jauh-jauh. Dia bukannya lelaki kejam dan tak berperasaan. Dia tahu semua salah dia. Dia berubah dan mungkir janji. Tapi soal hati, dia tidak mampu menghalang! Bukan salah takdir, hati dia yang berubah.

“Saya tahu. Tapi saya tak mampu menghalang kehendak keluarga.” Jawab Zara dengan tenang.

“Kau kena bertegas, Zara. Saya… maaf tapi saya terpaksa berterus terang… kau bakal terluka kalau perkahwinan ni tetap diteruskan, Zara. Saya dah hilang rasa pada kau. Saya dah tak cintakan kau. Saya mencintai orang lain, I’m crazily in love with someone else. I am so sorry…”

Usai Rhett menoktah kata, Zara tunduk menekur lantai. Perlahan, tangisan halus kedengaran. Bahu Zara mulai terenjut-enjut. Rhett tergamam. Semakin dia dihimpit rasa bersalah melihat Zara menangis.

“Saya cuba untuk terima kenyataan bahawa semuanya dah berubah sejak saya kembali, Rhett. Walau pun kesetiaan saya selama ini kau balas dengan tuba, saya cuba maafkan kerana saya juga pernah lukakan hati kau dahulu. Tapi, saya tak curang Rhett. Saya masih setia dan mencintai kau sepenuh hati. Saya pegang janji kita walau pun kita terpisah beribu batu jauhnya. Sampai saat ini, saya masih cuba mencari apakah kekurangan diri hingga kau berpaling tadah? Apa kelebihan wanita itu yang saya tak punya, Rhett? Cinta yang bertahun-tahun kita jaga hancur sekelip mata kerana orang ketiga!”

Dalam tangisan pilunya, Zara meluah segala rasa yang terbuku di hati. Rhett terpaku. Buat seketika, dia hilang kata-kata. Argh! Dia dah lukakan hati wanita yang pernah dia bersumpah setia sampai mati itu. Rhett meraup wajah dengan penuh rasa kesal.

“Saya dah kahwin, Zara.” Rhett akhirnya berterus terang kerana tidak mampu lagi mengawal rasa bersalah yang membelenggu diri.

“What?!” Hampir terjerit Zara kerana terperanjat.

“Saya dah kahwin dengan wanita yang saya cintai di Thailand. Tiada siapa yang tahu, kau orang pertama yang tahu. Saya beritahu supaya kau mengerti mengapa saya tak nak teruskan perkahwinan kita.”

Zara merenung Rhett tanpa berkelip sebelum menggeleng laju.

“Kau cuma beralasan kan? Kau mungkin dah berubah, tapi kalau sampai dah kahwin di sempadan, saya tak percaya. Kalau betul kau dah punya isteri, mengapa kau lebih banyak habiskan waktu di pejabat? Lepas kerja kau terus balik ke rumah? Tak logik, Rhett!”

Rhett termangu mendengar kata-kata Zara. Tu pasal isterinya memang berada di rumah, cuma dia tak berpeluang nak bermesra kerana asyik dikepit oleh Tok Teh! Batin membentak. Perlukah dia berterus terang dengan Zara mengenai status Deila Araferro? Tak! Masanya belum tiba.

“Saya bercakap benar, Zara. Saya memang dah kahwin. Siapa isteri saya, biarlah rahsia buat sementara waktu.” Rhett berkata dengan serius. Zara merenung Rhett dengan mata basah digenangi air mata.

“Sampai hati kau buat saya macam ni, Rhett.” Lirih Zara jawab lalu menekup wajah dengan kedua-dua tapak tangannya.

“Apa?!!! Kau dah kahwin ke Rhett?!!!” Suara bak halilintar dari arah pintu menyentakkan Rhett dan Zara.

Ibu Zara meluru masuk dengan wajah merah padamnya. Kasut bertumit tinggi segera ditinggalkan bila dia hampir terpelecok gara-gara kelam kabut. Rhett terpempan. Alamak, masalah besar!

“Mummy!” Zara bingkas bangun lalu cepat-cepat mengesat air mata. Rhett ikut berdiri.

“Betulkah apa yang mummy dengar, Zara? Rhett dah kahwin di sempadan?”

“Tak, bukan macam tu mummy… Rhett…”

“Kau jangan nak bela lelaki ni, Zara! Kau kahwin dengan siapa, Rhett? Selama ni aunty tak pernah nampak kau berpeleseran dengan perempuan.”

“Errr… aunty… saya memang…”

“Mummy, dahlah tu. Hal ni biar saya dan Rhett selesaikan. Mummy tak perlu masuk campur… please, mum!” Zara menarik ibunya menjauh. Rhett berundur bila Zara beri isyarat untuk pergi dari situ.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu.” Rhett meminta diri lalu memanggil bibiknya. Ibu Zara memandang tajam. Tak mungkin dia biarkan perkara itu berlalu tanpa jawapan pasti.

“By the way, Rhett…” Ibu Zara bersuara lantang lalu tersenyum sinis. Langkah besar-besar Rhett mendadak mati. “Del ditahan di hospital, cedera kena air panas semasa majlis.”

Terasa langit runtuh menghempap sekujur tubuh bila dengar kata-kata ibu Zara.

Ya Allah, Deila Araferro!

Tajam sepasang mata ibu Zara memerhati setiap gerak geri Rhett dan riak wajah lelaki itu. Semakin lebar senyum sinis terukir di wajah wanita pertengahan usia yang kelihatan vogue dengan mekap elegannya itu.

Rhett Raffendy! Kau takkan bahagia setelah kau hancurkan hati satu-satunya anak kesayangan dia... bisik batin ibu Zara.

Next chapter akan menyusul lewat sikit ya, enjoy!

Share this novel

Zainabzety
2024-05-12 17:53:50 

tolong la tok teh tegas la ngn rhet jngn biar del mnderita

Zainabzety
2024-05-12 17:49:15 

cis pompuan tua setan..kalau kau ikut cakap perempuan tu rhet kau x kan bahagia kesian del


NovelPlus Premium

The best ads free experience