"IBU, tolonglah! Tolong jangan paksa Risha! Kalau Risha tak nak, tak naklah!!!" Bergema suara nyaring di dalam bilik rumah tradisional berdindingkan papan itu.
"Risha... tolonglah. Untuk sekali ni je lagi ibu minta tolong. Demi maruah keluarga kita. Lepas ni, ibu takkan susahkan Risha lagi, ibu janji." Puan Hanim terus-menerus merayu dan memujuk anak bongsunya yang sedang menangis teresak-esak di bucu katil itu.
"Bu... Risha balik ni sebab nak tengok Kak Rina kahwin, bukan untuk kahwin! Kenapa Risha kena ganti tempat kakak pula! Risha masih belajar lagikan, bu!" bentak Erisha dengan esakan yang semakin kuat. Tidak mungkin dia akan berkahwin dengan lelaki yang dia tidak kenal langsung. Lagipun, dia fikir dia masih terlalu muda untuk berkahwin.
"Nak buat macam mana Risha, Rina dah lari. Macam mana keluarga kita nak hadap keluarga Datuk Fazli... nak hadap tetamu-tetamu jemputan semua tu? Risha nak babah dan ibu tanggung malu ke kalau perkahwinan dibatalkan? Lagi dua hari je lagi majlis tu. Tolonglah, Risha. Kalau Abang Edry Risha tu perempuan, ibu dah minta dia ganti dah. Tapi, sekarang ni Risha je harapan ibu dan babah," balas Puan Hanim dengan suara lirih sambil memandang surat yang ditinggalkan oleh anak keduanya yang diletakkan di atas tilam.
Erisha menunduk dengan bahu terhinggut-hinggut. Tiada tanda-tanda yang menunjukkan tangisannya akan terhenti. Sejak kecil, dia sememangnya seorang anak yang keras kepala dan degil. Selalunya, dia pasti berjaya mengelak dan melarikan diri daripada sesuatu atau seseorang yang dia tidak suka, tetapi nampaknya kali ini peluang itu tiada untuknya. Manakan tidak, masalah kali ini, harga diri dan maruah keluarga yang menjadi taruhan.
Kedengaran bunyi pintu terkuak, namun Erisha tidak tertarik langsung hendak menoleh. Dalam fikirannya sekarang hanyalah tentang hendak melarikan diri, tetapi bagaimana?
"Risha..."
Suara garau itu kedengaran tegas memanggil namanya. Namun, Erisha enggan menoleh. Dia sakit hati dengan semua orang, terutama ibu bapanya sendiri. Sampai hati mereka merosakkan masa depannya.
"Risha..."
Sekali lagi suara garau itu memanggilnya, tetapi kali ini dengan suara yang lebih keras dan tegas berbanding tadi.
"Dengar tak babah panggil ni?"
Erisha lambat-lambat menoleh dengan pandangan tajam sepasang matanya yang basah. "Kenapa, babah? Kenapa mesti Risha kena ganti tempat kakak? Batalkan ajelah perkahwinan tu! Kakak tu pun! Kenapa kakak bercinta dan setuju nak kahwin kalau kakak sebenarnya memang tak nak kahwin! Risha benci kakak! Risha benci semua orang! Benci, benci, benci!" raungnya seraya menyembamkan wajahnya ke tilam.
"Perkahwinan tu tak boleh dibatalkan, Risha. Semua persiapan dah siap. Pihak keluarga lelaki pun dah tahu pasal ni. Risha dah pernah ikut kursus kahwin kat kampus dulu, kan? Tinggal pergi buat test darah, lepas tu tukar nama je dalam borang nanti. Senang cakap, memang Risha kena ganti juga tempat kakak kamu tu! Titik!" tegas Encik Idris.
Spontan tubuh Erisha tertegak. "Babah!!!"
"Risha jangan cuba-cuba nak lari macam kakak kamu tu, ya! Kalau Risha lari, babah akan haramkan Risha tengok jenazah babah kalau babah mati nanti."
"Babah! Sampai macam tu sekali babah buat kat Risha?" Air mata yang jatuh dari kelopak matanya mengalir semakin deras. "Risha benci babah!" Sekali lagi Erisha menyembamkan wajahnya ke tilam, lalu dia menarik kain selimut menutupi seluruh tubuhnya termasuk kepala, lalu dia menangis meraung sepuas-puasnya.
- - - -
ERISHA duduk kaku di hujung katil membiarkan jurumekap profesional merias wajahnya yang tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kelopak matanya sembap, rona kulitnya kelihatan pucat dan bibirnya terkatup rapat. Lagaknya seperti anak patung yang diatur tanpa kehendak sendiri.
Di dalam bilik itu, beberapa orang saudara-mara dan kenalan keluarga sedang sibuk dengan persiapan terakhir sebelum mereka berangkat sebagai rombongan sekejap sahaja lagi. Suara-suara berbual dan ketawa yang kedengaran di luar bilik pula mencipta suasana yang kononnya meriah, tetapi dalam hati Erisha, hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa sakit dan terlukanya dia.
"Okey, dah siap! Wah, cantiknya awak!" puji jurumekap memecah kebisuan di antara mereka sedari tadi, teruja melihat hasil tangannya sendiri.
Erisha hanya mengangguk kecil tanpa memandang dirinya di cermin bulat yang disuakan di depannya. Sejujurnya, dia langsung tidak peduli bagaimana rupanya hari ini. Yang dia tahu, hidupnya akan berubah sepenuhnya selepas ini tanpa kerelaannya.
- - - -
DEWAN besar kampung menjadi lokasi pilihan majlis besar itu berlangsung. Di atas pentas dewan sudah tersedia pelamin indah berlatarkan ukiran kayu klasik menanti pasangan pengantin yang bakal disatukan sebentar lagi.
Meja-meja makan pula sudah tersedia dengan pelbagai jenis hidangan mewah menggambarkan betapa gahnya majlis ini. Namun, bagi Erisha, semua itu tiada makna, melainkan simbol penderitaan yang dipaksakan ke atasnya.
Pada ketika ini, para tetamu sudah pun memenuhi tempat duduk yang disediakan. Jurunikah sedang duduk berhadapan dengan seorang lelaki yang berpakaian baju melayu putih bersih di depan sebuah meja.
Dari pintu masuk dewan, Erisha melangkah perlahan menuju ke pelamin bersama dengan ibunya, tetapi dia langsung tidak mengangkat wajah. Kalau ikutkan hati, dia tidak mahu memandang sesiapapun pada ketika ini.
"Risha jangan tunjuk muka monyok. Cuba senyum," kata Puan Hanim dengan suara berbisik sebaik sahaja mereka duduk di atas pelamin.
Erisha sempat melepaskan keluhan sebelum dia mengangkat sedikit wajahnya dan memandang sekilas lelaki yang bakal menjadi suaminya. Namun, oleh kerana jarak yang agak jauh dan terlindung dengan beberapa orang tetamu yang sibuk mengambil gambar dan video, wajah bakal suaminya itu tidak terlihat jelas.
Tetapi, dia sebenarnya tidak peduli langsung bagaimana rupa bakal suaminya itu. Siapapun lelaki itu, kacak atau tidak, itu tidak akan mengubah hakikat bahawa dia sangat tidak menginginkan pernikahan ini.
Suasana riuh di ruangan itu serta-merta berubah sunyi apabila jurunikah mulai membacakan lafaz akad melalui mikrofon. Suara garau yang kedengaran lantang dan yakin menyusul setelah itu. Namun, beberapa kali juga nama lain tersasul.
"Saya terima nikahnya Erisha binti Idris dengan emas kahwin sebanyak dua ribu ringgit tunai!"
"Sah!" Dua orang saksi mengesahkan pernikahan itu setelah beberapa kali percubaan lafaz akad pengantin lelaki.
Pada saat itu, Erisha merasakan seluruh sendi tubuhnya longgar dan bergetar. Jantungnya berdegup kencang, tetapi bukan kerana bahagia, sebaliknya kerana perasaan terperangkap yang semakin mencengkam dada.
Majlis yang sepatutnya menjadi detik bahagia bagi mana-mana pasangan pengantin, tetapi bagi Erisha pula, sesi ijab kabul itu menjadi titik hitam dalam sejarah hidupnya. Dia kini terikat dalam hubungan tanpa cinta yang pasti akan terus menjadi igauan dan mimpi buruknya dalam tidur mahupun jaga.
- - - -
KERIUHAN suara sanak saudara di luar bilik dan di luar rumah sayup-sayup kedengaran. Usai majlis nikah dan sanding di dewan tadi, Encik Idris mengadakan majlis kenduri kesyukuran di rumahnya seperti yang telah dirancang.
Erisha duduk di birai katil, memeluk lutut sambil termenung jauh. Sejak majlis akad nikah siang tadi, dia tidak bertegur sapa dengan sesiapa langsung kecuali ibunya yang datang sebentar ke bilik untuk memujuknya keluar bertegur sapa dengan sanak saudara dan tetamu, tetapi dia enggan.
Erisha memandang tubuhnya yang kini berasa lebih selesa memakai baju T longgar berlengan panjang dan seluar panjang berbanding dengan busana pengantin yang sarat dengan renda dan sulaman halus siang tadi. Walaupun tiada orang lain selain dirinya di dalam bilik itu, dia tetap memakai tudung. Tahu bahawa sekejap lagi, akan ada 'orang asing' yang akan masuk.
Buat seketika, dia cuba menghadam hakikat. Hakikat menyakitkan bahawa dia kini bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki yang dia tidak kenal langsung dan yang lebih parah, lelaki itu adalah kekasih kepada kakaknya sendiri.
"Gila! Dia orang semua memang gila!" gumam Erisha sambil mengetap kuat giginya. Serasa hendak menangis, tetapi dia sudah puas menangis selama dua hari ini sehinggakan dia berasa seperti air matanya sudah kering kontang untuk meratapi nasibnya.
Bunyi kuakan pintu membuatkan Erisha tersentak daripada lamunan. Spontan pandangannya terhala pada pintu. Melihat lelaki segak yang masih lengkap memakai baju Melayu itu melangkah masuk membuatkan jantungnya berdegup kencang. Cepat-cepat dia menunduk. Otaknya yang berserabut sejak dua hari ini langsung memikirkan satu hal yang menambahkan lagi keserabutannya. Malam pertama? Ah, tak nak! Aku nak lari!
Bunyi derapan kaki yang menghampiri katil membuatkan Erisha semakin gelisah. Nafasnya tersekat-sekat seolah-olah dia lupa bagaimana cara untuk bernafas. Cadar tilam dicengkam erat, tubuhnya dikakukan dengan lagak seperti tugu tidak bernyawa.
“Tak sangka betul...” Suara garau itu kedengaran sinis.
Erisha tidak menoleh dan kekal menunduk. Dia mengetap kuat giginya menanti apa yang hendak diperkatakan oleh lelaki itu.
“Tak sangka betul keluarga kau ni keluarga penipu! Terutama sekali kakak kau!"
Kata-kata lelaki itu menikam tepat ke jantungnya membuatkan Erisha dengan pantas mengangkat wajahnya dan menoleh. Lantas, pandangannya langsung bertaut dengan sepasang mata tajam milik lelaki yang kini bergelar suaminya. Zaq Zaeden. Ya, itulah nama lelaki yang sedang menayang muka penuh amarah dan kebencian itu.
Lelaki itu berdiri tegak di depan Erisha. Pandangan mata tajam dan rahangnya yang menegang kelihatan bergerak-gerak, jelas menunjukkan kemarahan dan kebencian. Lagaknya seperti hendak menelan wanita itu hidup-hidup.
“Kau tahu tak betapa gilanya keluarga kau? Keluarga kau gila dan penipu!" Suara garau itu sarat dengan kejengkelan. "Sepatutnya keluarga kau batalkan je perkahwinan ni, tapi keluarga kau beria juga nak teruskan. Apa yang korang nak sebenarnya ni? Dan kau!" Zaq Zaeden menghalakan jari telunjuknya tepat di depan hidung Erisha. "Yang kau volunter nak ganti tempat kakak kau tu dah kenapa? Dah gatal sangat ke nak paksa perkahwinan ni?"
Erisha mengetap bibir menahan kepedihan yang menyusup masuk ke hatinya. Nampaknya, lelaki itu tidak tahu tentang perancangan minit terakhir ini. Dia yakin dia tidak salah dengar ibu dan ayahnya mengatakan bahawa pihak keluarga lelaki sudah sedia maklum tentang pengantin perempuan yang terpaksa diganti tempoh hari. Adakah ibu dan ayahnya berbohong? atau mungkinkah perbincangan tentang perancangan itu hanya di antara ibu dan babahnya serta ibu bapa pihak lelaki sahaja?
Kenyataannya, dia sendiri tidak mahukan perkahwinan ini. Kalau diikutkan, dia sebenarnya malas hendak bersuara, tetapi mendengar hinaan terus-menerus yang menyambar laju seperti kilat sabung-menyabung daripada lelaki itu membuatkan amarahnya melonjak seperti api yang sedang marak disimbah minyak.
“Kau dan keluarga kau memang penipu! Kau pula dengan muka tak tahu malu sanggup jadi bidak catur keluarga kau!” Zaq Zaeden terus memprovok melepaskan kemarahannya.
Telinga Erisha berdesing. Lantas, dia meraup kasar wajahnya sebelum dia berdiri dan bercekak pinggang. “Kau fikir aku nak ke kahwin dengan kau?!” kata Erisha dengan suara lantang dan bergetar kerana terlalu marah. “Kalau kau tak inginkan perkahwinan ni, aku sejuta kali tak inginlah!”
"Jadi, kenapa kau setuju? Kalau kau betul-betul tak nak, kau boleh je lari... macam kakak kau," perli Zaq Zaeden sambil mengoyak senyum sinis.
“Aku sepatutnya buat macam tu!”
“Jadi, kenapa kau tak buat?” Zaq Zaeden menjongketkan kening.
"Kau pun sama! Kenapa kau tak lari je sebelum tok kadi nikahkan kita? Kau boleh je lari dan kau boleh je tak lafaz akad, kan?"
"Kalau ada otak tu, guna! Kalau sehari atau dua hari sebelum majlis, aku boleh je batalkan perkahwinan ni! Tapi, kalau dah masa aku salam tok kadi tu baru aku tahu pengantin perempuan kena tukar, kau ingat aku ni bodoh sangat ke nak jatuhkan maruah keluarga aku, hah!"
Jeda. Suasana di dalam bilik itu sepi seketika. Hanya bunyi hembusan nafas kuat mereka sahaja yang kedengaran.
"Okey, fine! Kau tak nak, aku pun tak nak perkahwinan ni! Satu solution je sekarang ni..." Erisha menatap tajam ke dalam mata Zaq Zaeden dengan begitu berani. "Ceraikan aku sekarang juga!"
Zaq Zaeden menyengetkan kepalanya sambil mengukir senyuman nipis yang kelihatan seperti mengejek. "Jangan harap! Kau fikir aku akan buat sesuatu yang menyenangkan untuk kau ke?” ujarnya sambil tertawa kecil. “Read my lips... Aku takkan ceraikan kau! Aku akan pastikan kau rasa setiap penderitaan atas apa yang kakak dan keluarga kau buat! Kau akan terus jadi isteri aku supaya kau boleh nikmati setiap detik hukuman kau!"
"Kau!" Erisha menaikkan jari telunjuknya menghala pada wajah Zaq Zaeden sambil mengetap gigi dengan muka tidak puas hati.
Namun, belum sempat Erisha meneruskan bicara, Zaq Zaeden terus berpaling meninggalkan bilik itu membiarkan Erisha berperang dengan emosi dan jiwa yang memberontak.
Share this novel
Woww baby baru.. laju betul buat baby :p