Bab 30

Romance Series 59840

TANGISAN Shahira semakin reda. Pelukannya kepada Rizal mulai renggang dan perlahan-lahan dilepaskan. Gadis itu kembali menatap wajah abangnya dan pandangan mereka saling bertatapan. Beberapa pasang mata yang sedang memerhatikan mereka di dalam restoran langsung tidak dihiraukan oleh dua beradik itu.

"Abang.. jom ikut Ira.. kita balik, jumpa mama dan papa.." Shahira bersuara perlahan. Pandangan matanya terlihat redup.

"Mama?.. papa?.." Rizal masih tidak mengingati memori mengenai ahli keluarganya. Bahkan dia sendiri masih ragu mengenai identiti Shahira yang mengaku sebagai adiknya itu. Namun Rizal tidak berani menyanggah gadis tersebut memandangkan pandangan mata gadis itu terlihat penuh keikhlasan. Air mata yang dicurahkan oleh Shahira tadi bukanlah air mata kepura-puraan. Malah fikir Rizal, mustahil bagi gadis cantik itu untuk berlakon dan berpura-pura sebagai adiknya. Langsung tiada keuntungan buat gadis itu untuk menyamar menjadi adiknya. Di tambah dengan kondisinya yang kehilangan ingatan, Rizal terpaksa menerima hakikat jika Shahira itu adalah adik perempuannya.

"Kali terakhir kami dapat tahu pasal abang, abang accident.. kami dah cari abang, tapi langsung tak tahu abang duk kat mana.. dua tahun kami cari abang.. rupa-rupanya abang dah pindah, duduk kat sini.. abang... betul tak ingat apa-apa? Abang tak ingat kat Ira?" Shahira masih tidak mempercayai keadaan abangnya yang mengalami amnesia. Rizal terdiam. Selepas beberapa detik, barulah lelaki itu membuka mulutnya.

"Semasa sedar kat hospital, abang langsung tak ingat apa-apa.. bahkan abang tak tahu siapa diri abang.. Mujurlah masa tu ada Amira.. dia yang tolong dan jaga abang.." Rizal menyeka air mata yang tersisa pada wajah Shahira.

"Amira?"

"Ya.. masa tu, katanya dia tunang abang.."

"Tunang? bila masa pulak abang bertunang?" Shahira terkejut dengan pendedahan abangnya.

"Abang pun tak tahu.. masa abang sedar tu, katanya, dia tunang abang.. lepas tu kami kahwin dan pindah ke sini.." Rizal terus bercerita. Shahira pula semakin terkejut.

"Kahwin? Abang dah kahwin?! Siapa Amira tu?" Shahira semakin ingin tahu. Kedua tangannya dengan pantas memegang kedua belah lengan Rizal dengan kemas.

"Eh, dia.. yang bercakap dengan Ira kat sini tadi.."

"Hah! Dia tu isteri abang? owner restoran ni?" Shahira semakin dihentak oleh kejutan. Padahal sudah beberapa kali dia bertegur sapa dengan wanita itu, namun dia langsung tidak tahu jika Amira itu adalah kakak iparnya.

"Ah, ini restoran kami.." Rizal mengangguk. Shahira menepuk dahi.

"Padahal Ira dah dua, tiga kali datang makan kat sini.. tak tahu pun restoran ni milik abang Ira sendiri.. Ira pun tak pernah nampak abang kat sini.."

"Emm.. abang jarang ada kat restoran ni.. restoran ni isteri abang yang jaga.. abang banyak habiskan masa kat kebun.." Ujar Rizal dalam memberikan penjelasan.

"Kebun? Abang berkebun?" Shahira seolah tidak percaya. Abangnya suatu ketika dahulu yang merupakan lelaki yang suka hidup bersenang lenang, kini sudah berubah menjadi pekebun yang memerah keringat. Shahira mula memerhatikan seluruh tubuh abangnya itu. Jelas terlihat, kulit pada wajah dan lengan lelaki tersebut sedikit gelap berbanding dahulu. Mungkin kerana terlalu lama berjemur panas, bekerja di bawah sinar terik mentari.

"Hmm.. mana isteri abang tu? tadi ada kat sini.." Shahira mula mencari kelibat Amira yang tadinya baru selesai berbual dengannya. Matanya melilau ke sekeliling arah. Rizal pula melepaskan hembusan keluhan dengan perlahan.

"Dia dah pergi.. mungkin dia marah lepas tengok kita berdua tadi.."

"Hah?!" Shahira tergamam. Kemudian barulah dia sedar, wanita itu pastilah cemburu setelah melihat dia bersama Rizal, berpelukan sebentar tadi. Orang-orang yang berada di sana masih belum tahu hubungannya dengan Rizal. Tidak hairan jika kakak iparnya itu cemburu kerana tidak mengetahui sekiranya Shahira itu adalah adik iparnya sendiri.

"Jom la, kita pergi cari dia.. tak baik duk biarkan dia marah macam tu.. kesian dia.." Shahira mula merasa kasihan terhadap Amira yang tersalah anggap mengenai hubungannya dengan Rizal.

KERETA yang dipandu oleh Amira tiba di pekarangan rumah. Setelah memberhentikan kenderaannya, perempuan itu berdiam seketika di dalam kereta. Adegan berpelukan diantara Rizal dan gadis tadi kembali terbayang di fikirannya. Perasaannya bercampur baur diantara marah, kecewa dan sedih. Shahira meletakkan kepalanya pada stereng kereta dengan kedua belah tangannya masih menggenggam erat alat pengemudi kenderaan tersebut.

"Kenapa perlu jadi macam ni?" Amira menghantukkan dahinya ke stereng kereta beberapa kali untuk melepaskan geram. Wanita itu kemudian menarik badannya dan bersandar pada kerusi keretanya. Kedua belah tangannya menghentak keras stereng, meluahkan rasa kecewa.

Tidak lama kemudian, Amira baru melangkah keluar dari kereta. Langkah kakinya perlahan-lahan menaiki anak tangga rumah. Hatinya yang sarat dengan perasaan sedih dan kecewa memberati langkahnya untuk berjalan. Tiba diberanda, wanita itu langsung masuk ke dalam rumah melalui pintu yang sudah tersedia terbuka tanpa memberikan salam seperti kebiasaannya.

Langkah kakinya yang lemah terus di atur menuju ke arah sofa usang di ruang tamu. Setelah menghempaskan punggungnya ke sofa, Amira kembali termenung. Aksi berpelukan suaminya tadi terus menghantui fikiran. Di saat itu, Shiela yang tadinya berada di ruang dapur, mula muncul di ruang tamu. Si ibu itu menjadi pelik melihat kepulangan anaknya yang sepatutnya berada di restoran.

"Mira, kenapa awal balik? Mana Rizal?" Soal Shiela.

Mendengar nama Rizal disebut, Amira sudah tidak mampu menahan air matanya. Perempuan itu langsung menangis teresak-esak dan merebahkan tubuhnya seraya membenamkan wajahnya ke sofa.

"Mira.. kenapa ni? kenapa menangis? apa dah jadi?" Shiela terpinga-pinga melihat kelakuan anak perempuannya. Kakinya dengan pantas menuju ke arah Amira yang sedang terpuruk dalam kesedihan itu. Amira pula terus menangis lebat tanpa mempedulikan pertanyaan ibunya. Shiela duduk di samping Amira dan mengelus belakang tubuh anak perempuannya itu.

"Bagitau ibu.. apa dah jadi sampai Mira menangis ni? Anak ibu tak pernah menangis macam ni.." Shiela cuba memujuk. Pada masa yang sama, Halimah pula muncul di ruang tamu.

"Kenapa pulak si Mira menangis ni?" tegur Halimah.

"Entahlah mak.. Shiela tanya pun, dia tak jawab.." Shiela membalas pertanyaan ibunya.

Seketika kemudian, kedengaran bunyi enjin sebuah kenderaan tiba di pekarangan rumah. Halimah segera mengintai dari jendela untuk melihat gerangan siapa yang mendatangi rumahnya ketika itu. kelihatan sebuah Toyota Hilux di parkir di belakang kereta Proton Saga merah milik Rizal.

"Siapa pulak yang datang ke rumah masa ni?" Halimah masih tertanya-tanya. Wanita tua itu kemudian mengerutkan dahinya apabila melihat Rizal dan seorang gadis cantik turun dari kenderaan tersebut.

"Laa.. Rizal balik dengan siapa pulak tu? Perempuan mana yang dia bawak?" Luah Halimah, penuh pertanyaan.

"Assalamualaikum.." Suara Rizal bergema, memberi salam disaat berdiri di muka pintu.

"Waalaikumussalam.." Jawab Halimah dan Shiela serentak. Amira pula masih menangis, mendiamkan diri sambil tertiarap di sofa.

Rizal dan Shahira mula melangkah masuk ke dalam rumah.

"Rizal, kenapa dengan Amira ni? balik-balik je terus menangis.. Kau ni pulak dari mana? Siapa perempuan ni?" Soal Shiela setelah melihat Rizal pulang dengan membawa seorang gadis.

'Huh, dah berani bawak balik perempuan lain kat rumah pulak.' Amira menggerutu di dalam hati setelah mendengar kata-kata ibunya. Namun perempuan itu masih tetap mendiamkan wajahnya ke arah sofa tanpa ingin mengangkatnya. Tangannya dikepal, menahan rasa geram yang semakin mengetuk hati.

"Ibu.. ini Shahira.. dia adik Rizal.. adik kandung Rizal.." Rizal mula membuka mulut dan memperkenalkan Shahira kepada ahli keluarga isterinya.

"Adik? Rizal.. Rizal dah ingat semula?" Shiela yang terperanjat segera bertanya. Rizal lantas menggelengkan kepala.

"Rizal masih tak ingat apa-apa.. tapi Ira.. dia kenal Rizal.. katanya, dia adik kandung Rizal dari KL.."

"Alhamdulillah Ya Allah.. akhirnya Allah pertemukan semula kau dengan keluarga kau Rizal.." Shiela berdiri sambil menekup mulutnya. Matanya tidak berkedip menatap ke arah Shahira yang sedang berdiri di samping Rizal. Wajah kedua orang itu terlihat mempunyai sedikit kemiripan. Fikir Shiela, tidak salah lagi, Shahira itu adalah adik kepada Rizal.

"Adik?" Amira tersentak. Wanita itu segera bingkas dari tiarapnya. Punggungnya di angkat dari sofa dan Amira mula berpaling tubuh untuk melihat ke arah Rizal. Kini Amira mulai sedar akan khilafnya. Dia tadi terlupa jika suaminya itu sudah kehilangan ingatan dan terputus hubungan dengan keluarga. Selama ini mereka langsung tidak tahu mengenai asal-usul dan latar belakang suaminya itu. Mendengar bahawa gadis tadi sebenarnya adik kepada suaminya, Amira mula merasa bersalah. Dia tadinya terlalu mengikut emosi dan cemburu buta. Menyedari kesilapannya, Amira segera menyeka air mata yang tersisa dikelopak mata.

Langkah kaki Amira segera menuju ke arah Rizal dan Shahira. Matanya asyik menatap ke arah Shahira yang terlihat sangat cantik. Tidak salah lagi, wajah Shahira mempunyai kemiripan dengan suaminya, terutama pada mata dan mulut mereka. Fikir Amira, wajarlah dia merasa pernah melihat gadis itu sebelum ini, kerana gadis tersebut mempunyai persamaan dengan Rizal. Padahal dia sama sekali sudah melupakan peristiwa yang berlaku lebih dua tahun lalu, di mana mereka pernah bertemu di terminal bas.

"Kenapa sayang menangis?" Rizal segera memegang tangan Amira yang sedang merapatinya. Lelaki itu menyeka air mata yang masih tersisa di pipi isterinya itu dengan ibu jari tangannya.

"Maaf.. sayang salah faham tadi.." Amira malu sendiri seraya menggigit bibir bawahnya. Matanya yang menatap Rizal kemudian dijatuhkan kebawah. Wanita itu kemudian berkalih pandang pula ke arah Shahira yang berdiri disebelah kiri suaminya. Di dalam hati, Amira memuji kecantikan adik iparnya itu.

"Laa.. duk menangis tadi tu, rupanya sebab cemburu kat adik ipar sendiri ke?" Shiela mengusik anak perempuannya. Wajah Amira mula merona kemerahan setelah mendengar perlian daripada ibunya itu.

"Hmm.. biasa la tu.. orang berbadan dua ni memang mudah emosi.." Halimah cuba menyebelahi cucunya.

"Kak... dah mengandung?" Shahira masih kekok untuk membahasakan diri Amira sebagai kakak iparnya. Matanya berselang seli melihat ke arah Rizal dan Amira setelah mendengar ucapan Halimah. Rizal dan Amira segera mengangguk sambil tersenyum.

"Wah, tak sangka pula Ira.. selepas dua tahun, dapat jumpa semula dengan abang.. dapat add on pulak kak ipar dengan anak saudara.." seloroh Shahira. Amira kemudian mendekati Shahira dan memegang kedua belah tangan gadis tersebut.

"Saya minta maaf.. kita dah jumpa sebelum ni, tapi saya tak tahu pulak awak ni adik Rizal.." Amira meluahkan rasa bersalah.

"Ish, apa pulak nak minta maaf.. dah kita pun sama-sama tak tahu.. now, you're my sister in law.. i kena panggil you kakak.." Shahira yang sentiasa bersikap merendah diri mula dapat menyesuaikan diri dengan kakak iparnya. Amira pula masih tersipu-sipu.

"Terima kasih sebab dah jaga dan tolong abang Riz selama ni.. Kami sekeluarga dah bersusah payah cari dia selama ni.. kami risau kalau terjadi apa-apa kat dia.. nasib baik ada Kak Mira yang tolong jagakan dia.." Shahira tidak lupa untuk berterima kasih kepada Amira yang sudah merawat abangnya selama ini.

"Akak sekali lagi nak minta maaf.. sebelum ini akak dah cuba cari keluarga abang Rizal, tapi tak berjaya.. masa tu telefon dia pun takde, akak pun tak tahu apa-apa pasal keluarga dia.. tambah lagi dia sendiri dah hilang ingatan, tak tahu apa-apa.." Amira kembali kesal apabila mengingati kejadian yang berlaku lebih dua tahun lalu.

"Dah la kak.. akak tak salah pun, tak perlu minta maaf.. akak dah tolong jaga dan rawat abang Riz ni pun, kami dah sangat bersyukur.." Shahira tersenyum lebar.

"Ah, Ira sepatutnya dah balik KL hari ni.. jom la, ikut Ira sekali.. Abang.. Papa dan Mama dah lama rindukan abang.." Shahira menyambung ucapannya.

"Eh, hari ni? takkan kami nak pergi dengan tiba-tiba macam ni?" Rizal agak terkejut dengan permintaan adiknya.

"Dah tu, abang nak balik bila?"

"Emm.. tunggu sehari dua lagi.. abang kena uruskan kebun dan ayam-ayam tu dulu.. uruskan restoran elok-elok, baru boleh tinggal.."

"Alah, setakat kebun dan ayam tu, Tokma kau pun boleh tolong uruskan.." Halimah bersuara.

"Tapi restoran tu la.. susah sikit nak tinggal.. kan baru je bukak.." Rizal masih serba salah.

"Takpe la.. restoran tu ibu boleh uruskan.. okey, hari ni dengan esok, bawa ibu pergi sana.. biar ibu tengok-tengok dulu.. ajarkan ibu macam mana.." Shiela pula memberi saran.

Pada masa yang sama, Shahira semakin girang. Dia nanti akan membawa abangnya itu pulang ke rumah mereka di Kuala Lumpur untuk menemui orang tua mereka. Dia yakin, ibu bapanya itu pasti akan gembira dengan kejutan yang akan dia berikan nanti. Dia sendiri tahu, kedua ibu bapa mereka sering melebihkan Rizal berbanding dirinya. Namun Shahira tidak pernah mengambil hati. Dia tahu abangnya itu merupakan anak emas bagi orang tua mereka namun mereka juga tidak pernah mengabaikan Shahira. Fikir gadis itu, wajar sahaja ibubapa mereka melebihkan abangnya kerana abangnya itu satu-satunya anak yang akan mewarisi legasi perniagaan bapanya. Pada Shahira sendiri, dia sebenarnya tidak berminat untuk berkecimpung dalam perniagaan.

Share this novel

Mythic 20 Ronaldojr7
2025-02-10 21:40:47 

tq update.....


NovelPlus Premium

The best ads free experience