PAGI ini mereka disinari tawa dengan lawak hambar dari Gabriel. Tak henti dia mahu membuat Sephia tersenyum dan ketawa. Senyuman di wajah wanita itu menjadi kegilaan untuk Gabriel oleh kerana Sephia sangat kedekut untuk memberi senyuman jadi Gabriel cuba bermacam cara untuk melihat bibir itu mekar.
“Awak patut pergi kerja sekarang nanti lambat masuk pejabat apa orang kata bos tak ikut waktu bekerja.”
Auch!
Tergores hati Gabriel apabila Sephia menghalau dirinya pagi ini. Jam yang melekap pada lengan tangan dipandang seketika. Betul tekaan Sephia dia akan lewat ke pejabat tambah lagi sekarang waktu jalan raya sesak.
“Tahulah dah tak sayang sebab tu halau.” Nada suara Gabriel kedengaran seperti merajuk bersama wajah yang menunduk. Mata fokus pada kopi yang dikacaunya menggunakan sudu. Rutin harian Gabriel mula berubah sejak berkenalan dengan gadis barista di kafe ini. Hubungan mereka semakin akrab meski Sephia seakan menolak kehadiran Gabriel dalam hidupnya.
Sephia ketawa kecil bersama tangan sibuk mengelap meja dan sebelah lagi tangan memegang botol penyembur khas untuk menghilang segala noda yang ada di meja makan. Keadaan pagi seperti biasa sunyi kerana kafe ini mula beroperasi pada pukul 9 pagi tapi Gabriel main aci redah je sebab dia tahu Sephia akan berada di sini pukul 7 lebih.
“Ya, saya halau awak. Tak nampak saya tengah sibuk ni?” Sephia main tarik tali dengan Gabriel tapi pekerjaan yang dilakukan tidak berhenti, tangan masih lagi mengelap dari meja ke meja.
“Dah tahu kerja pukul sembilan pagi kenapa datang pukul tujuh lebih? Saja nak suruh saya tolong awak kemas kafe ke apa?” Gabriel membalas semula, kepala diangkat sedikit melihat Sephia yang sudah berpeluh dari tadi wanita itu ligat. Kalau tadi Sephia mop lantai, cuci bahagian mesin kopi sekarang lap meja. Semuanya dia buat sendiri padahal staf yang lain akan sampai sekejap lagi. Sudah ditegah pada Sephia jangan buat semua itu nanti orang lain goyang kaki datang kerja sementara dia kepenatan tapi gaji masih juga sama.
“Selalunya saya joging dulu sebelum datang sini, tapi dah orang tu tercangak depan kafe pukul lapan pagi macam tak reti membaca. Punya la besar banner dekat luar tulis waktu kafe operasi nak jugak dia masuk pukul lapan.” Bebel Sephia kemudian mencekak pinggang boleh tahan lenguh asyik tunduk lap meja nasib baik dah selesai.
Gabriel kemam bibir kemudian tayang muka tak bersalah. Sebab dia nak jadi pelanggan pertama Sephia untuk setiap hari, Gabriel tak boleh tengok Sephia buatkan air untuk orang lain nanti dia akan dihasut oleh cemburu. Siapa suruh Sephia curi hati dia kan dah kena hadap perangai aneh Gabriel setiap hari.
“Ya lah. Lepas ni saya datang tepat pukul sembilan tapi janji saya pelanggan pertama yang awak buatkan air, kalau tak saya tak nak datang sini dah.” Macam budak-budak punya perangai Gabriel tunjuk pada Sephia, spesis kuat cemburu dan cemburu buta padahal dia bukan ada apa-apa hubungan dengan Sephia.
Sephia julingkan mata ke atas. Ikut kau lah!
Ting!
Bunyi loceng di pintu masuk kafe petanda ada yang baru melangkah masuk ke dalam kafe. Sontak kedua mereka fokus ke arah itu, lelaki yang lengkah dengan t-shirt berkolar siap ada logo kafe ini tersemat di dada belah kiri. Bibir menyungging senyuman.
“Pagi, Sephia.” Ucap Mikhael dengan pandangan mata bahagia. Kemudian dia menoleh ke arah kanan baru sedar akan kewujudan pelanggan setia kafe ini, Tuan Gabriel.
“Eh, awal lagi Tuan Gabriel datang hari ni.” Sekadar berbasa-basi tanpa menghiraukan pandangan mata tajam dari Gabriel terus Mikhael masuk ke dalam dapur buat apa yang patut.
Sephia macam biasa tak jawab pun sapaan Mikhael, dia tahu cef di kafe ini iaitu Mikhael memang ada menaruh hati padanya. Tapi Sephia tak nak layan katanya datang sini nak cari duit makan bukan cari masalah tambah lagi Mikhael ramai peminat. Tak kuasa Sephia kena serang dengan tegar Mikhael.
“Seronok la tu ada orang wish pagi.” Bibir Gabriel mencebik seakan mengejek sambil bangun dari duduk dan mengeluarkan beg dompet yang tersimpat di dalam kot yang dipakai pagi ini.
Melihat kelakuan Gabriel, Sephia segera berjalan ke arah kaunter bayaran dan menekan skrin di sana. Sama seperti wanita itu Gabriel juga mula menuju ke arah kaunter tersebut kali ini tiada lagi senyuman di wajah Gabriel habis semua diragut dengan ucapan pagi dari Mikhael tadi.
Sephia mentertawakan mimik muka Gabriel dalam hati. Entah apa yang Gabriel tak suka dengan Mikhael, asal Mikahel datang je terus Gabriel macam cencurut. Macam ada tak puas hati dengan lelaki tadi.
“Nah resit, terima kasih. Hati-hati pergi kerja.” Ucap Sephia sambil menghulurkan resit belian kepada Gabriel, perlahan Gabriel sambut dengan reaksi wajah berlainan kali ini.
Hati-hati? Sephia cakap hati-hati pergi kerja.
Yay!
“Tahulah saya nak hati-hati atas jalan raya nak pergi kerja. Awak tu hati-hati kerja dengan sini nanti ada lelaki gila mengurat awak,” Gabriel intai sikit ruang dapur takut lelaki gila yang dia katakan itu mendengar kutukan dari dia.
Sephia mencebik tahu lelaki gila yang dimaksudkan itu Mikhael. Kan dah cakap Gabriel dan Mikhael tak sehaluan, bernafas pun kira berdosa. Entah dendam apa yang Gabriel simpan.
“Bai, saya pergi dulu-dulu.” Gabriel meminta diri kali ini barulah dia tergopoh berlari anak kerana sudah lewat tadi Sephia pesan dia membantah. Masak kali ini dia akan menerima bebelan panjang dari ayahnya sendiri.
Sephia mengantar kepergian Gabriel dengan senyuman kecil. Pandangan mata teralih pada telefon yang berada dalam kocek seluar berbunyi petanda ada panggilan, Sephia tarik telefon keluar dari kocek dan menatap nama pemanggil.
Ibu.
Satu dengusan kasar kedengaran sebelum telefon itu dimatikan dan disimpan semula dalam kocek seluar. Pagi macam ni kalau tak menambahkan dosa dia tak boleh, entah apa lagi sumpah dan makian yang akan dia terima balik nanti.
MATA merenung tajam ke arah anak tunggal miliknya. Puas dah bebel dan nasihat tak jalan juga, entah telinga budak ni tak ada lubang agaknya. Membazir air liur kalau nak marah lagi, bukan dengar pun.
“Abah, sorry….” Gabriel menggosok kepala, muka memang tampak suci di depan ayahnya ketika ini.
“..again.” Sambung Gabriel kali ini dia tersenyum seperti kerang busuk. Abah tak akan marah teruk-teruk sebab dia tahu abah sangat sayangkan dia.
Tuan Ghafar gelengkan kepala. “Dah seminggu datang lambat, apa nak jadi kamu ni? Kemaruk dengan budak barista tu ke apa?” Nada suara Tuan Ghafar tenang tapi bukan wajahnya. Sudah mula mahu naik bengis. Malu bila dengan ramai tuan pengarah mengadu soal kehadiran pewaris syarikat ini. Macam budak-budak punya perangai, budak sekolah pun reti datang awal.
Bukan Tuan Ghafar tak tahu, Gabriel sekarang dekat dengan barista di Kafe Y’ Challe salah satu kafe yang berada di bawah syarikat ini. Bukan main galak dan semangat Gabriel pergi sana walaupun tak buka lagi tapi datang pejabat macam pergi pasaraya ikut sedap dia je.
“Kamu nak bercinta dengan Sephia, abah tak halang. Itu urusan kamu. Tapi kalau sebab dia kamu datang lewat, abah akan arahkan Pak Ngah kamu tutup kafe tu.” Satu ugutan keluar dari Tuan Ghafar sudah tentu seperti anak kucing Gabriel sekarang ini. Pak Ngah yang uruskan kafe dan restoran yang berada di bawah syarikat keluarga ini. Habislah dekat mana pula Gabriel nak cari Sephia.
Gabriel panggung wajah demi Sephia dia harus berani meski berhadapan dengan singa ketika ini. “Abah….kafe tu tempat dia cari rezeki mana boleh buat macam tu.” Sephia punya pasal dia sanggup bantah. Berita fasal rumah tangga dia yang gagal pun sudah senyap jadi ini waktu untuk pertahankan kebahagiaan dia sendiri tanpa campur tangan sesiapa terutama mama.
“Dah tu, nak abah jawab apa dengan pengarah semua kalau kamu datang lambat. Kes kamu bercerai hujung tahun lepas pun abah pening nak jawab dengan media, habis semua wartawan serbu abah. Mama kamu punya perangai saham syarikat ni merosot sampai hari ni dan kamu pula nak menambahkan lagi masalah?” Kali ini suara Tuan Ghafar tegas, dia tak boleh berlembut lagi kali ini. Dewasa mana pun Gabriel, dia tetap terlihat seperti anak kecil di hadapan Tuan Ghafar yang masih perlu ditegur bila salah. Ini juga akibat dari penceraian dia dan Puan Wardah sampai Gabriel terpaksa bergilir untuk pulang ke rumah mereka. Entah di mana Gabriel, anaknya ini akan baik-baik saja satu hari nanti.
Gabriel tertunduk tak berani nak angkat kepala. Rasa bersalah menerpa pintu hati, kesian abah kena hadap semua ni. Sepatutnya dia yang bertanggungjawab atas gosip dan berita yang tersebar di dalam negara ini. Sedar akan khilafnya Gabriel meminta diri untuk keluar, janji pada abah untuk tidak akan lewat lagi!
“Kamu mungkir janji, abah yang nikah dengan Sephia kamu nanti,” saja Tuan Ghafar mahu melihat reaksi Gabriel dengan berkata begitu. Dan tentu cemberut wajah Gabriel.
“Apa abah ni? Pergila cari orang lain, Gabriel punya jangan usik!” Sedikit meninggi suara Gabriel sambil kaki dihayun keluar dari bilik kerja abah. Hilang mod untuk bersikap profesional dengan usikan abah.
Tuan Ghafar menghamburkan tawa sambil kepala digeleng. Marah benar kalau usik soal wanita yang bernama Sephia itu. Kadang-kadang Gabriel hantar gambar di WhatsApp dan bercerita fasal Sephia tu. Dari gambar abah tahu, Sephia tu memang budak baik cuma tak berapa nak ramah dengan orang. Mata-mata Tuan Ghafar juga yang memberitahu segala maklumat tentang Sephia dan mereka juga mengawasi hubungan Sephia dan Gabriel.
Kalau sebelum ini, Gabriel dituntut untuk menurut kehendak Puan Wardah untuk berkahwin dengan Natasya anak Dato’ Khairi tapi hanya bertahan dua tahun sebelum segala berita disebar tahun lepas. Kasihan juga pada Gabriel kerana kadangkala anaknya seakan tidak punya hak untuk memilih hidupnya sendiri.
Share this novel