Bab 30

Detective Completed 54058

Sikit lagi Dara hampir putus nafas. Dia terkejut dengan kemunculan seorang manusia di sini. Di sisi Haris. Sempat dia menilik penampilan baharunya. Lain benar, tidak seperti kebiasaan.
Kemunculan Amy itu dengan pakaian serba hitam mengikut potongan badan. Gayanya tidak ubah seperti bodyguard yang sedang bertugas.
"Masih belum terlambat awak nak tarik diri. Kalau awak tak nak teruskan kerjasama kita, balik dengan Amy. Dia akan hantar awak dengan selamat."
Dara terngadah. Kini tumpuan dia milik Haris sepenuhnya. Tanpa sedar bibir mengetap kuat. Haris itu mengusir dia dengan cara paling kurang budiman.
"Hurry up! Saya tak nak buang masa layan kebisuan awak." Marah Haris geram bila Dara itu hanya berdiri umpama patung.
Orang-orang dia semuanya sudah mengambil posisi masing-masing. Hanya dia yang masih sibuk melayani ragam Dara.
"Saya akan teruskan." Perlahan saja sebutan Dara. Dia sendiri naik segan bila Haris dan Amy itu dari tadi merenung dia umpama pesalah.
"Berapa kali nak cakap. Spill it out! Saya pekak. Cakap biar saya boleh dengar dengan kuat dan jelas."
"Saya...Akan...Teruskan! Dengar tak?!" Turun naik dada Dara. Dia menjerit sekuat hati. Dia lupa keadaan sekeliling. Dia lupa jika ada yang mendengar dia terpekik seperti orang gila.
"Much better?"
Mengecil sepasang mata Dara. Tadinya dia diperlihatkan wajah merah Haris yang menahan marah. Sekarang, seraut wajah lelaki bertukar lembut sekelip mata. Jangan cakap, Haris sedang buat silap mata.
"Lain kali jangan pendam. Luahkan. Baru awak akan rasa lebih tenang dan waras untuk membuat sesuatu keputusan."
Terkebil-kebil Dara memandang Haris. Beginikah cara Haris untuk membuat dia merasa lega? Hampir saja melongo sendiri. Haris itu hanya memalukan dirinya di depan mereka semua saja.
Haris memandang jam pada pergelangan tangannya. Siang pun sudah melabuhkan tirai. Pesta di malam hari bakal bermula sebentar lagi.
"Awak akan masuk dengan Amy...Ingat pesan saya. Jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri. Ikut saja arahan saya ataupun Amy. Dan awak perlu ingat seperkara, awak di bawah pengawasan kami semua."
Dara tunduk. Haris menyerahkan sesuatu kepadanya. Dalam waktu yang sama, dia memikirkan tentang 'kami'. Ramai sangat ke yang terlibat? Dia bukan nak buat apa pun. Setakat nak pantau sejauh mana kejahatan Emir. Bukan nak masuk campur urusan kejahatan lelaki itu.
"Pakai ni...Kita akan berhubung melalui ini."
Lambat-lambat Dara mengambil. Dia kurang mengerti kenapa Haris mengambil langkah terlalu berjaga-jaga? Dari cerita-cerita yang pernah Dara tonton di kaca tv, cukup sekadar duduk selang beberapa meja, kemudiannya perhatikan pasangan sejoli tersebut dari jarak jauh. Itu sudah memadai bagi Dara.
"Kalau kantoi...Emir datang menegur awak, don't talk anything. Biar Amy uruskan selebihnya."
Kini pandangan Dara bertaut dengan sepasang mata bening milik Haris.
"Faham?"
Dara berat mulut. Dia tidak tahu, sama ada dia kagum atau pun menyampah dengan perancangan Haris yang boleh dikatakan agak rapi. Dia selesa tunduk, jarinya bermain-main dengan earpiece pemberian Haris.
"Berlakon jadi bisu pun bagus juga...Senang kerja saya." Bisikan Haris singgah dicuping telinganya.
"Move!"
Tanpa pedulikan betapa bahangnya wajah Dara, Haris sudah memberi arahan. Dan dia nampak ada bayang hitam yang sudah terpacak di sisinya yang memaksa dia menoleh.
"Shall we?"
Amy yang mengajak Dara untuk mulakan misi ringkas mereka untuk hari ini.
Dara itu hanya membisu biarpun langkah dia sudah perlahan-lahan mengekori Amy dari belakang. Tak sampai seminit, Amy perlahankan langkah juga. Menunggu dia yang berjalan mengalahkan raja sehari lambatnya.
"Kena nampak macam kita ni kawan rapat. Jangan buat saya macam ibu segala pelacur yang paksa awak ke sini."
Dara tidak tunggu lama untuk menoleh. Dia belum lagi soal siasat Amy. Sebaliknya, dia pula disembur dengan bahasa kurang menyenangkan.
"Tak perlu terkejut, Dara. Saya memang dah dilatih untuk bercakap tanpa hati."
Serasanya, tak perlu Dara bertanya dari mana Amy berlatih. Tuk guru dia tak lain tak bukan Haris lah orangnya.
"Dah ready?" Tanya Amy buat kali terakhir sebaik tiba di pintu masuk. Sempat dia menoleh pada Dara yang memasang earpiece di telinga dan menutup dengan rambut yang dibiar lepas.
Dara tarik nafas dalam-dalam. Dia cuba berfikiran positif. Dia datang untuk membongkar kejahatan Emir. Dia tidak akan menoleh lagi selagi Emir tidak meringkuk dalam penjara. Dan tidak akan ada lagi simpati dalam dirinya buat lelaki itu.
"Jom!"
Sebaik melangkah masuk ke dalam, Dara rasa hampir jatuh. Bau-bauan yang menusuk rongga hidungnya buatkan dia mual seketika. Sikit lagi dia hampir muntah bila terasa perutnya bergelora.
Amy yang perasan keadaan Dara, memaut lengannya kemas lalu berjalan melepasi kumpulan manusia yang saling berlaga-laga cawan sambil menonggak minuman keras beramai-ramai dengan sekali teguk. Mulalah mereka bersorak bangga. Sempat Amy melirik pada mereka. Hujung bibirnya menyinis. Kumpulan remaja itu bukan yang mereka cari.
Suara sorakkan mereka semua semakin menjauh. Barulah rasa ingin muntah itu beransur pergi. Udara perlahan-lahan mula memenuhi ruangan dada. Memberi segala udara yang menghilang tadi.
"Jangan tunjuk diri tu lemah. Kalau orang perasan awak macam rusa baru masuk kampung, mereka akan cuba ambil kesempatan!"
Terus kepala Dara berpusing-pusing. Dia mencari keberadaan Haris yang mungkin sedang memerhatikan dia dari jauh. Jiwanya tidak tenteram selagi lelaki itu tiada di depan mata.
"Pandang atas..." Amy rapatkan diri dan berbisik pada telinga Dara. Tahu apa yang sedang dicari.
Dara menurut. Dia mendongak pada tingkat atas yang boleh dilihat dari bawah. Dalam kelompok manusia yang terkinja-kinja, ada satu susuk yang berhoodie berdiri hampir dengan palang dan dapat dia rasakan renungan yang tersembunyi itu terhala ke arahnya.
"Don't smile!"
Seperti dapat tahu apa yang ingin dilakukan Dara, suara Haris terlebih dahulu menyapa.
Cepat-cepat senyuman Dara lesap. Dia masih memerhati Haris yang perlahan-lahan jatuhkan sedikit tubuhnya, kedua belah tangan menjadi tongkat pada badannya.
"Awak tenung saya macam ni, kerja kita tak akan selesai. Hanya urusan jiwa kita yang bakal mulakan sesi suai kenal."
Lagi.
Suara Haris yang berbunyi. Tiada kemarahan langsung pada suaranya. Yang ada, hanya suara maskulin yang meresahkan jiwa wanitanya.
Dara mengalihkan pandangan bila merasa ada yang mencuit. Lalu dia mengikut Amy. Duduk pada satu meja pada sudut paling kanan. Ingin menghampiri meja itu pun menjadi satu masalah pada besar bila dia perlu melalui kelompok manusia yang sibuk menari tidak ingat dunia.
Ada yang terhuyung-hayang dengan segelas cawan berwarna coklat cair di tangan, ada yang menari tanpa menghiraukan keadaan sekeling dengan tali bajunya hampir melorot. Dan baru Dara perasan. Hampir separuh daripada kelab ini dihadiri oleh anak muda.
Ketika Dara sibuk memerhati semua manusia di dalam ini, dia di datangi pelayan yang mengambil pesanan. Itu dia serahkan pada Amy. Dia tidak tahu menu di kelab malam. Apa yang dia tahu, kelab malam tempat untuk berlibur. Bukan tempat untuk makan malam.
Dara panjangkan leher. Sejak dia menjejakkan kaki ke sini, dia belum nampak lagi kelibat Emir dan Umairah. Gara-gara mereka lah, dia cemarkan kaki jejak ke sini.
"Looking for me?"
Dara menjeling ke atas. Bukan Haris yang dia cari. Bezanya kali ini, lelaki itu duduk dengan gaya seperti seorang penyangak dengan ke dua belah kaki di silangkan atas meja sambil menghalakan pandangan padanya.
"Tengok depan."
Dara menurut.
"Slowly...move your head to two o'clock."
Anehnya, otak Dara dapat menerima arahan Haris kerana tubuhnya memberi tindak balas sangat baik. Di situ, dia menemukan kumpulan manusia. Ada sebuah meja di tengah-tengah mereka. Hanya terdapat tiga orang manusia yang duduk ditemani wanita masing-masing. Termasuk Emir.
"Jumpa teman lelaki awak?"
Haris jangan nak mulakan pergaduhan di sini. Soalan Haris hanya mengundang carutan Dara. Sekadar carutan di dalam hati.
"Kita tengok malam ni, dia menang jackpot macam selalu tak."
Dara tidak tahu apa maksud jackpot yang disebut Haris. Apa yang Dara dapat lihat, lelaki itu sedang berjudi! Ada wanita yang mengetuai mereka dengan memutar roulette. Kemudiannya, dia nampak sendiri Emir mencampak kepingan-kepingan syiling berwarna kuning di tengah-tengah meja.
"Dia dah menang banyak kali. Sebab tu dia tak cari awak, Dara. Dia kaya, dan kaya."
Kaya apa dengan berjudi! Haram tetap haram. Jangan pernah ubah segala hukum sesuka hati. Tempelak hati Dara. Marah sungguh bila mendengar Emir meraih kemenangan hasil daripada berjudi.
"You're mad, Dara..."
Kenapa ya, tatkala Dara baru melayan marahnya. Haris akan datang menjirus satu tan petrol di hatinya? Apa Haris memang sengaja mahu dia terlihat marah sepanjang masa? Apa Haris tidak sedar, marah hanya memburukkan rupa paras seorang wanita.
"Ingat! Jangan nak buat kerja bodoh."
Dara jadi benci pula bila setiap gerak geri dia menjadi perhatian Haris. Tadi dia memang berniat nak cabut earpiece, dicampak ke atas lantai, lalu dipijak sehingga menjadi cebisan. Terasa seperti dia memijak kepala Emir. Barulah dia berpuas hati.
"Itu penyambung nyawa awak dan saya! Jangan sampai malaikat maut muncul kerana tindakan bodoh awak tu."
Hilang budi bahasa Haris. Haris kembali seperti biasa. Memarahi dia umpama anak kecil.
Perlahan-lahan tangan Dara melorot jatuh.
"Good!"
Perbualan mereka terganggu bila ada suara yang sedang meraikan kemenangan. Terus Dara memberi tumpuan pada meja yang baru selesai pusingan pertama perjudian.
Dari sini, Dara nampak Emir menahan marah. Habis semua barang di atas meja dicampak. Umairah selaku pendamping menjalankan tugas memujuk Emir yang seperti di luar kawalan.
"Dia kalah."
Suara di sebelah menggamit Dara. Amy tenang meneguk airnya.
"Minumlah."
Mata Amy melirik pada air di depan Dara.
"Just lemon tea...untuk ketenangan awak."
Mana mungkin Dara boleh tenang kalau dia sedang diperlihatkan sisi kejahatan baru Emir.
Namun, demi meredakan hatinya. Dara sisip juga straw ke bibir. Dia mula basahkan tekaknya. Benar kata Amy, marahnya kian beransur. Separuh gelasnya sudah kosong.
"Dara? What are you doing here?!"
Dara menyentuh earpiece. Kenapa lain benar suara Haris? Tadi suara Haris itu kedengaran maskulin. Kenapa dia tidak merasakan getaran seperti selalu? Sekarang, apa yang Dara dengar. Suara orang yang gelisah. Kalut bercampur dengan terkejut.
"Dia datang dengan saya, Emir. Kami baru sampai."
Baru Dara sedar. Emir yang datang menyapa dia. Dan Amy yang menjawab soalan Emir seperti yang di arahkan Haris. Lantas dia menoleh pada sebatang tubuh yang sudah berdiri sangat hampir dengannya.
"Don't!" Tegah Haris bila ada pergerakkan dari Dara.
Bibirnya bergerak-gerak. Namun suaranya belum mampu menutur sepatah pun. Dia terkejut kerana tertangkap oleh Emir.
"Stay one minute!" Haris memberi arahan lagi.
Tidak tahu kenapa, Dara dapat melihat mulut Emir bergerak-gerak. Tapi aneh, apa pun disebut Emir itu tidak mampu sampai ke pendengaran. Suara Haris yang mampu mengawal semua pergerakkan dia. Selebihnya dia nampak Emir yang bersuara dengan Amy. Apa inti pati perbualan mereka, dia kurang faham.
Entah datang dari mana dua orang lelaki yang terhuyung-hayang sambil memegang gelas lalu melanggar Emir. Separuh badan lelaki itu dijirus dengan air.
"Now, Dara!" Arahan seterusnya menyusul.
Namun, Dara masih terpinga-pinga sendiri. Lelaki yang menumpahkan air pada Emir itu, berjaya mengalihkan tumpuan Emir. Mereka saling bertelagah. Ada juga sesi tolak menolak.
Cuma Dara masih belum faham arahan terbaru Haris. Apa yang sekarang? Tak mungkin Haris itu mahu dia membelasah Emir. Kekuatan dia bukan setanding lelaki itu.
"Ikut saya!"
Suara itu kedengaran sangat dekat. Terasa seperti angin yang menghembus ke telinganya. Dara dipaksa untuk berpusing. Dia nampak lelaki berhoodie itu sudah mencengkam lengannya lalu diheret tubuhnya mengekori langkahnya dari belakang.
Dia ditolak secara paksa untuk masuk ke dalam kereta sebaik tiba di luar. Haris juga telah mengambil tempat di kerusi pemandu. Hoodie yang menutup kepalanya ditarik kasar.
"Kenapa tak lari?! Tak boleh ke awak fokus? Orang saya dah alihkan perhatian dia, dan saya dah bagi arahan sangat jelas. Awak masih nak stay dekat sana?!" Naik seoktaf suara Haris. Dia geram bila Dara abaikan arahannya. Dara hanya berdiri seperti patung cendana pada waktu yang salah.
"Jawab Dara! Jangan nak jadi bisu." Haris geram bila Dara itu hanya diam dan tunduk. Ikutkan marahnya, dia mahu menarik Dara itu supaya memandang dia. Haris ingin tahu, apa yang membuatkan Dara hilang tumpuan.
"Kalau macam ni...Saya dah salah pilih orang, Dara...Saya dah salah rekrut orang." Terketap-ketap gigi Haris. Dia fikir, dia mampu membentuk Dara menjadi perempuan yang lebih berani.
Turun naik dada Dara. Dia tidak faham maksud Haris. Namun, dia agak tersinggung dengan kata-kata Haris. Dia angkat muka, kemudiannya dia mencari seraut wajah lelaki yang nampak kecewa.
"Awak tanya kenapa saya tak boleh fokus?!"
Dara beranikan diri bertentang mata dengan Haris. Dia pun tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan untuk melawan lelaki ini.
"Sebab dalam kepala saya, cuma ada awak Haris! Awak!" Jari Dara menunjal dada Haris beberapa kali. Tanpa sedar pandangan dia juga kabur. Dia benci menjadi lemah di depan Haris.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience