27 Jadi Yang Pertama

Family Series 57531

Satu persatu manusia mulai bergerak meninggalkan tanah perkuburan itu. Tak ramai pun yang hadir, cuma beberapa anak-anak muda yang membantu menguruskan pengebumian opah. Boleh dikira dengan jari warga kampung yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada opah. Yang masih setia di sisi Deila ketika itu cuma nenek Jiah dan Amirul.

Deila masih tidak berganjak dari kedudukannya sedari tadi. Masih berteleku di sisi tanah yang masih merah lembab. Walau pun esakan sudah tidak kedengaran, air mata masih laju mengalir keluar dari tubir mata.

“Del… hari dah nak petang. Tengok awan tu, rasanya nak hujan ni. Lebih baik kita balik sekarang.” Suara nenek Jiah lembut menyapa pendengaran. Bahu Deila diusap lembut.

“Nek, Del kini tinggal sebatang kara… opah… opah dah takde. Rumah tu… sunyi tanpa opah. Del tak nak balik.” Deila menggigit bibir, cuba menahan esakan dari meluncur keluar.

“Jangan cakap macam tu Del. Mati itu pasti, kita kena reda dengan pemergian opah kau. Nenek masih ada. Kau tak keseorangan Del.” Nenek Jiah yang sudah mulai sebak memeluk bahu Deila.

“Betul kata nenek Jiah, Del. Ramai yang sayangkan kau. Yang pasti, kau takkan kesunyian.” Amirul yang sedang berdiri di belakang mereka menyampuk.

“Saya bukan tak reda… saya tahu mati itu pasti. Saya reda nek, saya reda dengan pemergian opah. Cuma, saya masih tak puas bermanja dengan opah. Masih banyak perkara yang saya mahu katakan kepada opah. Terlalu banyak dosa saya dan saya langsung tak sempat minta maaf dengan opah. Saya kesal dengan diri saya, nek! Saya cucu yang tak tahu diuntung. Saya dah banyak lukakan hati opah. Saya berdosa, nek! Saya berdosa pada opah. Saya sedih bila lihat sampai opah meninggal pun, orang kampung langsung tak mahu beri penghormatan. Semua disebabkan saya.”

Nenek Jiah memeluk Deila sambil meratap hiba.

“Demi Allah, jangan cakap macam tu Del! Bukan salah kau. Suatu hari, mereka pasti faham. Kau tak salah. Opah kau tak pernah salahkan kau. Dah, jangan cakap macam tu lagi.”

Deila menangis teresak-esak di dalam pelukan nenek Jiah. Sampai saat ini, dia masih salahkan diri. Opah tidak akan jatuh sakit kalau bukan disebabkan dia. Dia tahu antara penyebab opah sakit ialah kerana tertekan dengan cakap-cakap orang kampung. Mereka anak beranak dipulaukan, bukan itu saja. Kedai runcit dia juga semakin sunyi kerana turut diboikot oleh orang kampung.

Opah sudah cukup berjuang untuk terus kelihatan kuat di hadapan dia, hakikatnya dia tahu opah memendam rasa. Dapat dia selami kesedihan opah setiap kali mereka bertentang mata. Apa yang paling dia kesali ialah dia tidak mampu buat opah tersenyum dengan ikhlas sampai saat opah menutup mata. Mengenang semua itu, dari tangisan kini berganti raungan.

“Sabar Del, jangan macam ni!” Pujuk Nenek Jiah yang juga sedang teresak-esak. Tangisan mereka berdua seolah menyatu, menghasilkan sebuah melodi yang begitu menyayat hati siapa pun yang mendengar.

“Saya rindukan opah, nek! Saya masih mahu lihat senyuman manis opah, gelakan ceria opah. Saya masih mahu dengar bebelan opah, gaduh dengan opah. Saya tak pernah penat bila lari keliling rumah dikejar opah. Saya tak pernah mengeluh bila opah pukul saya dengan penyapu lidi dia. Saya rindukan semua itu, nek! Ya Allah… apa harus saya buat lepas ni?”

Tangisan nenek Jiah semakin keras kedengaran.

“Dan opah kau pasti lari merajuk di rumah, tak mahu balik selagi kau tak datang pujuk. Murni! Saya pasti akan rindukan kau!” Nenek Jiah meraung hiba. Turut terkesan dengan kata-kata Deila.

Sedang mereka berbalas tangisan, bunyi guntur mulai kedengaran bersahut-sahutan di langit kelabu. Amirul yang kelihatan sedikit cemas kelam kabut menghampiri mereka berdua.

“Kita balik sekarang, nenek Jiah… Del… hari dah nak hujan ni.”

Deila dan nenek Jiah serentak melonggarkan pelukan. Masing-masing kalut mengeringkan air mata. Deila mendongak, merenung awan yang semakin kehitaman sebelum menoleh, memandang Amirul.

“Mirul, saya rasa lebih baik kau hantar nenek Jiah balik dahulu. Kau guna motor kan? Saya bawa kereta tapi saya masih mahu temankan opah sekejap.”

“Hari nak hujan, Del.” Kata Amirul dengan wajah tidak bersetuju. Dia risau Deila pula yang sakit nanti.

“Saya mahu temankan opah sekejap lagi. Dah, kau bawa nenek Jiah balik. Nanti kedapatan hujan. Saya tak nak nenek Jiah sakit.” Tegas Deila.

Amirul diam, merenung Deila dengan wajah tidak puas hatinya.

“Nek balik dengan Mirul dulu. Nanti saya menyusul. Dah, pergi cepat. Nanti hujan.” Deila mendesak nenek Jiah yang juga sedang tayang wajah membantah ketika itu.

“Yela… kau tu jangan pula berlama-lama sampai kena hujan. Esok-esok pun kau masih boleh datang tengok opah. Nenek balik dulu.” Apabila dentuman guruh kedengaran lagi, nenek Jiah mengalah. Sambil berkata, dia bingkas mengangkat punggung.

“Cepat-cepat balik, Del. Jangan tunggu sampai hujan turun baru kau kelam kabut nak balik.” Sempat Amirul titip pesan sebelum menarik nenek Jiah untuk pergi dari situ.

Deila tidak mampu menahan sebak selepas pemergian Amirul dan nenek Jiah. Bebola mata kembali digenangi air apabila kubur bertanah merah yang masih lembab itu direnung. Hanya beberapa saat diperlukan untuk air mata kembali membasahi wajah Deila. Dia mulai teresak-esak di atas kubur opah.

“Opah…” Seru Deila dengan penuh sebak. “bagaimana Del mahu teruskan hidup tanpa opah?”

Deila kesat air mata bila pandangan kabur. Dia mahu melihat tempat di mana jasad opah bersemadi dengan jelas. Dia mahu merasakan kehadiran opah di sisinya walau pun hakikatnya jasad opah dah tiada.

“Opah… maafkan Del, opah. Del berdosa pada opah. Del tahu opah tak marahkan Del kerana berkahwin senyap-senyap dengan Rhett. Del tahu opah juga sukakn Rhett. Yang buat opah terluka ialah tanggapan orang kampung. Yang buat opah tertekan ialah penerimaan keluarga Rhett. Opah takut sejarah berulang, bagaimana ibu diperlakukan oleh keluarga Rhett, begitu juga yang mungkin berlaku kepada Del. Maafkan Del kerana meletakkan opah dalam situasi ini. Maafkan Del kerana sampai saat terakhir, Del tak mampu bawa Rhett jumpa opah.” Deila meluah segala rasa yang dipendam sejak awal tadi kerana dia tidak mahu nenek Jiah mahu pun Amirul mendengarnya. Seolah opah ada di situ, Deila menangis teresak-esak sambil berlutut di depan kubur opah.

“Opah… Del seorang yang kuat. Apa pun yang berlaku dalam perkahwinan ni, Del janji Del takkan tewas. Sesakit apa pun, Del akan hadapi dengan tabah. Opah jangan risau. Del takkan menderita. Del takkan biarkan keluarga Rhett memperlakukan Del seperti mana mereka dah lakukan kepada ibu. Doakan Del, opah.”

Usai berkata, hujan mulai merintik. Dari setitis ke puluhan titis, menyaingi derasnya air mata Deila yang sedang mengalir ketika itu. Langit ikut menangis, mungkin turut bersimpati dengan nasib Deila yang kini tinggal sebatang kara. Atau juga hujan yang turun dengan lebatnya itu adalah kerana opah turut menangis ketika itu. Deila tidak berganjak, masih tetap berlutut di hadapan persemadian opah.

Deila yang sudah lencun mulai menggigil kesejukan. Tetapi dia masih tetap tidak mahu berganjak dari situ. Air mata masih deras seperti air hujan yang menyirami bumi ketika itu. Dia tidak mahu pergi dari sisi opah. Untuk apa dia kembali ke rumah? Opah tiada di situ. Opah kini berada di kawasan yang luas itu. Opah pasti kesunyian kalau dia pergi.

“Del rindukan opah…” Tangis Deila, merenung sayu tanah merah di hadapannya.

“Opah…” Nama itu diseru lagi. Tangisan terhenti mendadak apabila Deila merasa ada sesuatu yang aneh. Hujan masih begitu lebat, tetapi tiba-tiba tubuhnya tidak disirami air hujan. Deila mendongak kerana merasa pelik. Terkejut bila lihat sebuah payung sedang melindungi tubuhnya dari air hujan.

“Kenapa biarkan diri basah kuyup ni? I thought you are stronger than me, Deila! Saya tak tinggalkan kau untuk lihat kau menderita macam ni, Del.”

Bertambah terkejut dengar suara yang menegur, Deila pantas menoleh ke belakang. Pandangan bertaut dengan sepasang mata yang sudah merah basah.

“Maaf kerana jadi orang yang terakhir muncul, Deila.”

Tangisan Deila pecah tak tertahankan. Dari esakan, Deila meraung hiba.

“Opah! Sampai saat terakhir, opah masih berharap untuk jumpa kau! Untuk apa kau datang sekarang?!” Raung Deila lalu bangkit dan terus menumbuk menampar dada lelaki di hadapannya itu.

“Maafkan saya, Del! Saya berdosa! Saya dah lukakan hati kau dan opah.”

“Kau kejam, Rhett! Kau tahu opah sayangkan kau! Sampai hati kau biarkan opah tertunggu-tunggu!”

Pegangan pada pemegang payung terlepas saat Rhett menarik Deila ke dalam pelukan. Payung berwarna hitam itu jatuh terhempas di atas tanah.

“Ya, saya kejam. Maafkan saya, Del. Terima kasih kerana masih sudi telefon dan beritahu tentang opah. Kau dah buat saya tersedar sesuatu. Saya tak nak kehilangan kau, Del. Sepanjang perjalanan, saya berdoa supaya saya boleh berada di sisi kau. Saya takut saya terlewat. Saya mahu jadi orang pertama yang ada bersama kau melalui semua ini, tenangkan kau dan saya juga mahu jadi orang pertama yang sorong bahu saat kau menangis. Saya mahu jadi orang pertama yang muncul dalam fikiran kau bukan hanya di saat kau gembira bahkan di saat kau bersedih. Maafkan saya kerana terlalu taksub mahu selesaikan masalah peribadi saya secepat mungkin hingga saya mengabaikan kau.”

Tangisan Deila bertukar jadi raungan menyayat hati. Raungan yang tenggelam dek hujan lebat dan bunyi guruh yang sesekali memukul langit yang semakin gelap. Tangisan mereka bersatu walau pun suara esakan Rhett langsung tidak kedengaran tetapi Deila tahu, lelaki yang sedang memeluknya dengan erat itu turut menangis hiba kerana dada Rhett naik turun dengan laju, bahu terenjut-enjut.

“Maafkan saya, demi Allah Del… saya benar-benar menyesal kerana datang terlalu lewat. Maafkan saya, opah! Saya tidak berani janji, tetapi depan kubur opah, saya janji saya akan cuba sedaya upaya untuk terus kuat demi kau, Del. Saya akan cuba sedaya yang mampu untuk jaga kau, berada di sisi kau apabila kau perlukan saya. Satu hal saya berani janji di depan kubur opah… I will never leave you, Deila Araferro!”

Deila tidak menjawab. Wajah masih terbenam di dada Rhett. Kata-kata Rhett seolah memberi sinar baru pada kehidupan yang bakal dia lalui selepas ketiadaan opah. Tetapi, untuk bersandar seratus peratus kepada apa yang Rhett ucapkan adalah sama seperti melangkah masuk ke dalam lembah penderitaan secara rela hati.

Tak! Deila tahu mengucapkan taklah sesukar melaksanakan. Dia sedar masih ada Rhett Raffendy yang mungkin akan terus kekal berada di sisinya atau mungkin cuma dipinjamkan sebentar untuk bersama dia. Masa depan tiada siapa mampu meramal dengan tepat. Sebab itu dia tidak memberi sebarang respon. Biarlah dia tunggu dan lihat saja apa bakal berlaku kelak. Mampukah Rhett terus berjuang demi seorang gadis kampung seperti dia? Atau Rhett bakal tewas di tengah jalan?

Rhett kelam kabut melepaskan pelukan bila kilat mulai sambung menyambung di atas langit. Payung yang masih terlantar di atas tanah segera dikutip.

“Kita balik dulu, Del. Bahaya kita terus berada di sini.” Ajak Rhett seraya menarik tangan Deila untuk pergi dari situ. Deila melangkah dengan hati yang begitu berat. Kepala dipusing ke arah kubur opah.

“Opah…” Seru Deila dengan air mata berjujuran jatuh. Tersayat hati Rhett mendengar suara sayu Deila. Jemari Deila digenggam erat. Semoga saja melalui pegangan itu, dia mampu menyalur sedikit kekuatan buat wanita yang sangat dia cintai itu.

Rhett menyuruh Deila masuk ke dalam keretanya. Kata Rhett, kereta Kancil Deila boleh diambil esok saja. Deila hanya mengangguk lemah. Dia tiada mood mahu bertekak walau pun jauh di sudut hati, dia masih terasa hati dengan Rhett. Marah masih bersisa, rajuk masih menebal.

Sepanjang dia jaga opah selepas balik dari bandar, bukan sekali malah berkali-kali dia cuba hubungi Rhett. Panggilan dan pesanan. Semua dia dah buat. Sungguh-sungguh dia mahu tunaikan permintaan opah yang mahu bertemu Rhett. Malangnya, lelaki itu terus menyepi. Hampir saja Deila putus asa dan menganggap semua kata-kata Rhett semasa di dalam bas hari itu hanya sekadar omongan kosong.

“Kenapa kau tak pernah jawab panggilan saya? Langsung tak baca pun mesej saya?” Sedang menggigil kerana kesejukan dalam perjalanan balik, sempat Deila tanya. Tak senang duduknya memikirkan tentang ketidakpedulian Rhett pada dia dan opah. Kalau dah tak peduli, mengapa susah payah muncul ketika ini?

“Papa rampas telefon bimbit saya. Selepas balik dari stesen bas hari tu, saya memberontak dan suruh papa batalkan perkahwinan saya dan Zara. Akibatnya, saya dikurung oleh papa.”

Deila pandang tidak percaya. Dah masuk alaf 21 kot, masih ada rupanya parents yang buat perkara lapuk macam tu!

“I bet kau dilepaskan kerana upacara nikah kau.”

Giliran Rhett memaling wajah, memandang Deila dengan biji mata terbelalak dan mulut ternganga luas.

“Isteriku! Bukan hanya terpaling cantik tapi juga terpaling bijak! Macam mana kau tahu?”

Kembang kuncup lubang hidung dengar kata-kata Rhett. Lelaki ni dah kenapa? Terpaling katanya? Terlebih betullah!

“So… kau dah beri saya madu ke?” Deila terus aju soalan tanpa mempedulikan kata-kata Rhett tadi.

“Tak, saya lari!”

“What?!”

“Saya lari ke sini selepas kau call nangis-nangis. Tangisan kau buat saya rasa nak mati, Del! Roh saya melayang dari jasad tinggalkan saya untuk cari kau. Saya kenalah ikut, bukan?”

Deila tersandar di penyandar kerusi. Dapat dia selami perasaan Zara ketika itu. Ditinggalkan semasa nikah, sekuat mana pun seorang wanita itu pasti akan terluka teruk. Lebih-lebih lagi ianya dilakukan oleh seorang insan yang sangat dicintai. Pasti hati Zara hancur luluh.

“Kau dah lukakan hati Zara.” Keluh Deila dengan rasa kesal menggunung. Rhett merenung Deila beberapa saat. Wajah tak bersalah langsung.

“Zara tahu saya mencintai orang lain, Del. Saya dah berterus terang, cuma saya tak cakap siapa wanita itu. Mereka semua tahu tetapi tetap mahu teruskan perkahwinan tu. Tindakan saya salah tapi saya tak menyesal, Del. Saya tak nak teruskan kerana Zara mungkin akan lebih menderita bila saya tidak berlaku adil kepada dia nanti.”

Berkaca mata Deila saat beradu pandangan dengan Rhett. Dia tersentuh dengan kata-kata Rhett. Tidak mahu teruskan kerana tidak mampu berlaku adil. Tuluskah kata-kata itu? Dia tidak pernah bertentang empat mata dengan Zara tetapi dia sangat yakin yang Zara jauh lebih cantik dan bergaya berbanding dengan dia. Rhett lebih dari mampu jika mahu cukupkan kuota sampai empat sekali pun. Tapi dia menolak kerana tidak mampu berlaku adil. Bertapa Rhett menyantuni insan bernama wanita jika betul kata-kata itu tulus diucapkan.

“Kau tak nak Zara terluka kerana kau masih cintakan Zara?” Entah mengapa soalan itu terpacul dari mulut Deila. Dia bukan cemburu. Rasanya tak layak dia merasa cemburu kerana Zara lebih dulu menjalin cinta dengan Rhett. Mungkin cuma mahu menguji kerana tidak yakin dengan keikhlasan Rhett. Ya, hanya cinta yang memungkinkan semua itu. Tidak sanggup mahu melukakan hati insan yang disayangi. Itu sudah cukup jelas bukan?

“I wouldn’t say it’s because of love, Del. Saya tak nak Zara terluka kerana dia tidak bersalah dalam hal ini. Saya berpaling tadah. Saya tak mahu dia terusan terluka disebabkan saya. She deserves better.”

Deila mengangguk. Faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Rhett. Faham kerana dia juga hampir mengalami situasi yang sama. Dia dan Amirul pernah mengikat janji di zaman kanak-kanak, bezanya mereka tidak menjalin hubungan cinta sampailah dewasa. Cuma mereka berdua terlalu rapat hingga kadang-kadang menimbulkan salah faham orang kampung. Tak seperti Rhett dan Zara.

Deila terus mengunci mulut apabila kereta Rhett memasuki halaman rumahnya. Rasa sebak kembali menghurung. Berkaca-kaca mata saat Deila memaku pandangan ke arah pintu dan berkalih ke jendela. Selalunya opah akan menjenguk di jendela sebelum membuka pintu. Kini, dia tak mungkin akan melihat opah mengintai di jendela atau bukakan pintu untuk dia.

“Del, turunlah!” Rhett menegur bila lihat Deila tidak berganjak dari tempat duduk. Melihat Deila tunduk mengesat air mata, Rhett membukakan pintu kereta untuk Deila.

“Saya tahu ianya sukar, tapi kau kena kuat Del. Opah pasti sedih bila lihat kau macam ni.”

“Saya rindukan opah.” Luah Deila sambil cuba menahan esakan.

“Saya juga rindukan opah. Tapi opah dah berada dalam jagaan Allah. Kalau rindu, kita sedekahkan doa buat opah. Insyaallah, rindu pasti terubat.”

Deila angguk lalu dia kesat air mata sehingga kering. Rhett menghulur tangan, mahu membantu Deila keluar dari kereta. Deila menggenggam jemari Rhett lalu menghadiahkan secebis senyuman.

“Isteriku yang terpaling…”

“Shut up, Rhett!” Pangkas Deila dengan laju. Kembang bulu roma dengar perkataan itu. Rhett tergelak.

“Bukankah kau patut jawab, ya suamiku yang terpaling kacak?”

“Urgh!” Deila memutar bola mata dengan rasa sebal. Makin galak Rhett mentertawakan Deila.

“Ya Allah! Kenapa basah kuyup ni?! Korang berdua nak jatuh sakit dan susahkan tok di kampung serba kekurangan ni ke hah?!”

Deila terkejut bukan kepalang. Pantas dia menarik tangan dari genggaman Rhett.

Itu… suara Tok Teh kan? Dah kenapa orang tua tu boleh ada di rumah dia?

next chapter akn menyusul lewat sikit ya, stay tuned!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience