MCJSKS BAB 4 : HADIAH

Romance Series 2756

RIZ ADRIAN bersandar pada sofa empuk di butik itu dengan wajah tenang, tetapi hatinya sudah mula goyah. Setelah hampir satu jam menyaksikan Inka Christie bertukar lebih sepuluh pasang pakaian, dia mula meragui kebijaksanaannya membawa gadis itu ke sini.

“Inka, cuba gaun ini pula,” katanya sambil menyerahkan gaun malam terakhir, berwarna biru firuz dengan potongan duyung yang menonjolkan keanggunan pemakainya.

“Aku rasa ini paling sesuai untuk majlis malam ini.”

Inka mengambil gaun itu dengan ragu-ragu.

“Awak yakin ke? Tak nak saya cuba yang lain dulu?”

“Cuba saja. Jangan buang masa,” balas Riz dengan nada dingin, tetapi matanya tidak dapat menyembunyikan sedikit rasa ingin tahu.

Beberapa minit kemudian, pintu bilik persalinan terbuka perlahan. Riz Adrian mengangkat pandangannya dan terpana.

Inka melangkah keluar dengan gaun biru firuz itu, yang terletak sempurna di tubuhnya. Rambutnya yang panjang dilepaskan ke sisi, menambahkan pesona klasik pada penampilannya. Riz Adrian hampir lupa bernafas. Ya Allah, apa aku dah buat? fikirnya.

'Masya Allah.. cantiknya ciptaan-Mu, Ya Rabbi..' gumam Riz Adrian dalam hati.

“Macam mana?” tanya Inka sambil memusingkan badannya sedikit, cuba mendapatkan pendapat.

Riz terbatuk kecil, cuba menyembunyikan debaran di dadanya.

“Cukup... memadai,” jawabnya ringkas, tetapi nada suaranya sedikit bergetar.

Pekerja butik yang berada di situ tersenyum lebar.

“Tuan dan Puan betul-betul nampak seperti pasangan suami isteri yang serasi. Romantis sekali.”

Inka segera menggeleng dengan panik.

“Oh tidak, kami bukan—”

Namun, Riz menyampuk sambil tersenyum sinis.

“Terima kasih atas pujian itu.” Riz Adrian senyum nipis.

Sesaat Inka menoleh kepadanya dengan mata membulat. “Riz!” bisiknya dengan nada marah.

“Tapi kau tak nafikan kita nampak serasi, kan?” balas Riz dengan wajah selamba, tetapi matanya jelas memancarkan rasa geli hati.

Setelah selesai urusan di butik, Riz menghantar Inka pulang. Sebaik kereta berhenti di hadapan rumah Inka, Riz menoleh ke arahnya.

“Cepat bersiap. Mummy aku tak suka tetamu datang lambat,” katanya sambil membuka pintu kereta untuk Inka.

Inka turun sambil menghela nafas.

“Baiklah. Tapi awak juga jangan ambil masa terlalu lama untuk bersiap. Saya tak mahu awak menyalahkan saya sorang kalau kita sama-sama lambat.”

Riz mengangguk dan memerhati Inka melangkah masuk ke rumahnya. Hatinya masih terasa bergetar memikirkan penampilan gadis itu di butik tadi.

Setelah beberapa ketika, Inka keluar dari rumahnya dengan gaun biru firuz yang sama. Rambutnya kini disanggul rapi dengan beberapa helai dibiarkan terurai, menambahkan lagi pesonanya. Riz yang sedang menyandarkan badan di kereta memandangnya dengan kagum.

Dia segera membuka pintu untuk Inka, tetapi tidak dapat menahan diri untuk berkata,

“Kau betul-betul tahu cara buat orang terdiam. Kau cantik sangat malam ni, Inka”

Inka tersipu-sipu tetapi cuba menyembunyikannya dengan wajah serius.

“Jangan terlalu memuji. Kita sudah lambat.”

Di dalam kereta, suasana pada mulanya tenang. Riz memandu dengan penuh fokus, sementara Inka diam sambil memandang ke luar tingkap.

Namun, tiba-tiba Inka menjerit, “Oh tidak!”

Riz hampir hilang kawalan, tetapi berjaya menstabilkan stereng keretanya.

“Apa yang kau buat ni? Kau nak kita kemalangan?” tanyanya dengan nada marah.

Inka memandangnya dengan wajah cemas.

“Saya lupa nak beli hadiah untuk ibu awak! Macam mana saya boleh lupa? Ini sangat memalukan!”

Riz memandangnya sejenak sebelum menghela nafas panjang.

“Kau fikir Mummy aku perlukan hadiah?”

“Sudah tentu! Bukankah majlis ini untuknya?”

Riz memutar bola matanya. Malas mahu melayan ragam Inka Christie yang dianggap agak berlebihan.

“Kau benar-benar tak faham, kan? Mummy aku lebih hargai kehadiran kau daripada apa-apa hadiah.”

“Tapi—” Inka tayang wajah bersalah. Hampir menitiskan air mata.

“Diam dan percayalah pada aku,” Riz memotong. “Lagipun, aku dah siapkan sesuatu untuk Mummy. Jadi, masalah selesai.”

Inka diam seketika, tetapi akhirnya tersenyum kecil.

“Awak selalu ada jawapan untuk segalanya, kan? Terima kasih dah selamatkan saya dari rasa bersalah ni”

Riz tersenyum sinis. “Itu kelebihan aku.”

Mereka tiba di rumah agam Datin Sri Ruhil Amani tepat pada masanya. Inka keluar dari kereta dengan perasaan campur aduk—rasa teruja, gugup, dan sedikit marah kepada Riz. Namun, dia tahu malam ini pasti akan menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Datin Sri Ruhil Amani menyambut kedatangan Inka bersama Riz Adrian di ruang tamu yang luas di kediaman mewah itu. Inka Christie melangkah sedikit gugup, namun pautan lengan kekar Riz Adrian di pinggang rampingnya itu menyalurkan sedikit semangat untuk kekal bertenang. Walaupun sedikit tidak selesa dan tidak wajar, entah mengapa Inka sendiri tidak membantah, namun terasa lebih selamat.

Majlis hari lahir Datin Sri Ruhil berlangsung dengan suasana yang hangat dan meriah. Meskipun disambut dengan sederhana, kehadiran sanak saudara dan rakan-rakan terdekat membuatkan suasana terasa seperti sebuah perhimpunan keluarga besar yang penuh kasih sayang.

Inka berdiri di sudut ruang kediaman mewah itu sambil memerhatikan tetamu yang bersalaman dengan mesra antara satu sama lain. Dia kagum melihat keluarga Riz Adrian yang begitu besar dan disegani, tetapi tetap merendah diri. Walaupun rata-rata tetamu berasal dari golongan ternama, mereka tidak memperlihatkan keangkuhan.

“Kau terkejut, kan?” Riz Adrian tiba-tiba menyapa dari sisi. Dia mengenakan sut hitam yang rapi, membuatkan dirinya tampak lebih tampan daripada biasa.

“Terkejut? Maksud awak?” Inka memandangnya dengan kerutan kecil di dahinya.

“Melihat keluarga aku. Mereka mungkin nampak seperti kerabat diraja, tapi hakikatnya, mereka manusia biasa yang penuh dengan drama,” katanya dengan nada sinis tetapi tidak menyembunyikan senyuman kecil di wajahnya.

Inka tertawa kecil. “Drama macam mana? Setakat ini, mereka kelihatan cukup sempurna.”

“Percayalah, kau baru nampak permukaannya saja.”

Ketika mereka berbual, suara Datin Sri Ruhil tiba-tiba bergema melalui mikrofon di tengah-tengah majlis.

“Tetamu yang dihormati, saya dan suami ingin mengambil kesempatan ini untuk membuat satu pengumuman istimewa.”

Inka dan Riz Adrian serentak memandang ke arah pentas. Dato’ Sri Rasdhan berdiri di sisi isterinya dengan senyuman penuh makna.

“Sempena ulang tahun kelahiran saya dan hari bahagia ini, saya dengan gembira ingin mengumumkan tarikh pertunangan anak lelaki kami, Riz Adrian…”

Riz Adrian menegakkan tubuhnya. Apa pula drama baru ni?

“…dengan gadis yang cukup istimewa, Inka Christie, yang kini berada di sini bersama kita semua.”

Inka terpaku. Suasana menjadi sunyi. Semua mata di situ kini tertumpu kepada Inka yang berdiri kaku. Jantungnya berdegup kencang, dan dunia terasa seakan berhenti berputar.


“Inka?” Riz Adrian memanggil perlahan, tetapi gadis itu sudah kehilangan keseimbangan. Tubuhnya bergoyang, dan sebelum dia sempat jatuh, Riz Adrian cepat-cepat menyambutnya.


“Inka!” Riz bersuara panik, menarik perhatian semua tetamu.

Inka yang sudah tidak sedarkan diri direbahkan perlahan ke atas sofa terdekat. Beberapa ahli keluarga Riz Adrian segera mengerumuni mereka. Datin Sri Ruhil kelihatan cemas, tetapi cuba mengawal keadaan.

Beberapa minit kemudian, Inka mula membuka matanya perlahan-lahan. Pandangannya kabur, tetapi dia dapat melihat wajah Riz Adrian yang membongkok ke arahnya.

“Snowball…” bisik Inka, matanya masih separuh terbuka.

Suasana menjadi senyap. Beberapa tetamu saling berpandangan, dan seorang wanita tua di sebelah kanan tiba-tiba bersuara,

“Snowball? Siapa itu? Teman lelaki dia ke?”

Kenyataan itu mencetuskan gelak ketawa kecil di kalangan tetamu. Inka yang kini sudah sedar sepenuhnya segera duduk tegak sambil memegang kepalanya.

“Eh, apa ni?” dia bertanya dengan nada bingung.

Riz Adrian menahan senyumnya.

“Kau pengsan, dan perkara pertama yang kau sebut bila sedar adalah nama Snowball.”

Inka tersentak. Dia memegang mulutnya dengan tangan.

“Oh tidak! Maksud saya… Snowball itu kucing saya!”

Gelak ketawa semakin menjadi-jadi. Inka menunduk malu, tetapi rasa paniknya belum reda sepenuhnya. Dia tiba-tiba teringat sesuatu.

“Pukul berapa sekarang?” dia bertanya, suaranya sedikit mendesak.

Riz memeriksa jam tangannya. “Hampir tengah malam. Kenapa?”

Inka berdiri tergesa-gesa, memandang Riz dengan wajah cemas.

“Saya perlu pulang sekarang! Snowball perlu diberi makan. Kalau tidak, dia akan mengamuk dan mungkin memusnahkan rumah saya!”

Riz menatapnya tidak percaya.

“Kau serius? Di saat begini, itu yang kau fikirkan?”

Inka memandangnya dengan mata membulat.

“Awak tak faham betapa berbahayanya Snowball kalau dia lapar!”

Riz menghela nafas panjang, tetapi akhirnya mengangguk.

“Baiklah, aku hantar kau pulang. Tapi kalau Snowball buat apa-apa lagi pada aku, aku takkan teragak-agak nak masukkan dia dalam kandang selamanya.”

Inka hanya mendengus kecil, tetapi senyuman terselit di wajahnya. Malam itu, walaupun penuh dengan kejutan dan drama, dia tahu hidupnya kini akan berubah untuk selamanya.

Inka hampir menitiskan air mata apabila Datin Sri Ruhil bertegas menghalangnya pulang. Wajah Inka yang penuh kebimbangan tidak sedikit pun melembutkan hati Datin Sri Ruhil.

"Inka, ini bukan soal main-main. Saya dan suami sudah membuat keputusan. Kalau kamu tidak bersetuju, saya akan rasa amat terkilan," ujar Datin Sri Ruhil dengan suara lembut tetapi tegas.

Riz Adrian segera menyampuk, "Ibu, ini tak masuk akal! Mana boleh main paksa—"

Namun, belum sempat Riz Adrian habis berbicara, Inka tiba-tiba mengangkat tangannya, memotong percakapan Riz.

"Saya setuju." Inka menunduk malu.

Riz terkejut.


"Apa?!... Tidak, Inka!"


"Saya setuju," ulang Inka, kali ini suaranya lebih lantang. Pandangannya tetap pada Datin Sri Ruhil.

Datin Sri Ruhil tersenyum puas.


"Bagus, Inka. Saya tahu kamu gadis baik. Riz, kamu patut bersyukur mempunyai bakal tunang seperti dia."

Inka hanya mengangguk, tetapi dalam hatinya hanya ada satu tujuan—segera pulang untuk memastikan Snowball baik-baik sahaja.

***

Kereta Riz meluncur di jalan raya dengan senyap. Suasana di dalam kereta agak tegang, namun Riz akhirnya memecah kebisuan.

"Kenapa kau setuju?" tanyanya tanpa menoleh ke arah Inka. Wajahnya menegang.

Inka mendengus kecil.

"Kalau saya tak setuju, awak fikir ibu awak akan biarkan saya pulang? Saya cuma nak balik cepat-cepat. Snowball pasti lapar."

Riz menggeleng perlahan.

"Kau lebih risaukan kucing daripada hidup kau sendiri. Kau sedar tak apa yang baru kau persetujui tadi?"

Inka menjeling.

"Saya setuju sebab tak nak bergaduh dengan ibu awak di depan orang ramai. Lagipun, siapa kata saya akan ikut perancangan dia? Ini cuma sementara. Bila masanya tiba, saya akan cari jalan keluar."

Riz mendengus tidak percaya.

"Kau memang luar biasa, gadis pelik!"
Riz geleng kepala.

Sebaik tiba di rumah, Inka melompat keluar dari kereta dan segera berlari ke pintu rumahnya. Hatinya tidak tenang memikirkan Snowball.

Namun, sebaik dia membuka pintu dan memanggil nama kucing kesayangannya, tiada balasan.

"Snowball? Sayang, awak di mana?" panggil Inka sambil memeriksa setiap sudut rumahnya.

Tiba-tiba dia mendengar bunyi dentingan logam dari arah rumah Riz Adrian. Rasa tidak sedap hati muncul. Dia segera melangkah keluar menuju ke rumah Riz.

Di dalam rumah Riz, dapurnya sudah hancur berantakan. Periuk dan kuali bersepah di lantai, bungkusan makanan bertaburan, dan Snowball sedang duduk di tengah-tengah kekacauan itu sambil menjilat bulunya dengan santai.

"Ya Allah, Snowball!" jerit Inka, menahan rasa malu dan panik.

Riz berdiri tidak jauh dari situ dengan wajah kelat, tangan memegang dahinya.

. "Aku baru kemas dapur ni semalam," katanya dengan nada putus asa.


"Saya minta maaf, Riz. Saya akan kemaskan semuanya," ujar Inka sambil segera melangkah masuk ke dapur, tetapi langkahnya terhenti apabila terdengar ketukan kuat di pintu utama.

Tiga orang pegawai Jabatan Agama Islam melangkah masuk ke rumah Riz tanpa menunggu jemputan.

"Encik Riz Adrian, kami mendapat aduan bahawa terdapat aktiviti bersekedudukan di rumah ini," kata salah seorang pegawai dengan suara tegas.

"Apa? Ini salah faham!" ujar Riz, cuba menjelaskan.

Namun, pandangan pegawai tersebut tertumpu pada Inka yang sedang berdiri di dapur dengan pakaian yang agak terbuka—gaun potongan duyung dari majlis tadi. Inka segera memeluk tubuhnya, wajahnya merah padma.

"Maaf, tuan. Ini tak seperti yang tuan sangkakan," kata Inka cemas.

"Kalau begitu, sila beri penjelasan kenapa saudari berada di rumah lelaki yang bukan mahram pada waktu ini," soal pegawai itu dengan tegas.

Riz segera menyampuk.

"Dia hanya datang nak ambil kucing dia. Snowball tu, kucing berwarna putih tu!" Dia menunjuk ke arah Snowball yang masih duduk dengan tenang di tengah dapur, tidak sedar dirinya menjadi punca semua kekacauan ini.

"Kucing? Nama teman lelaki awak Snowball, ya?" balas seorang pegawai lain sambil tersenyum sinis, menyebabkan Inka semakin panik.

"Tidak! Snowball itu benar-benar kucing! Lihat saja!" Inka hampir menangis sambil menunjuk ke arah Snowball.

Namun, pegawai itu menggeleng.

"Apa pun alasan kamu, kami terpaksa membawa kamu berdua ke pejabat untuk siasatan lanjut."

Riz menghela nafas panjang, namun akhirnya bersetuju.

"Baiklah. Tapi tolong, jangan tinggalkan kucing ni di sini. Kalau tak, dia akan musnahkan rumah aku!"

Pegawai-pegawai itu saling berpandangan, keliru tetapi akhirnya bersetuju untuk membawa Snowball sekali ke pejabat mereka.

Malam itu menjadi malam yang paling memalukan dalam hidup Riz dan Inka. Namun, jauh di lubuk hati, Riz tidak dapat menahan senyuman kecil melihat betapa kalutnya hidupnya sejak mengenali gadis bernama Inka Christie.

Aduhaiii, Snowball... pasal kau, tuan kau kena tangkap khalwat! Happy reading gaisss...jgn lupa follow and comment. Yg dh follow trma kasih byk²..syg semua :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience