Rate

HFM 70 | | Takut Tak Berbelah Bahagi

Romance Series 121199

Perlahan-lahan kerutan di tengah kening itu melurut. Dihya pandang Tuan Samsoong dengan ketapan gigi. Bawah bibir digigitnya kerana menahan rasa. Perasaannya berat yang ditanggung selama ini semakin mengasak jiwanya.


"Kyren dah maklumkan pada saya yang Zane akan menceraikan Astrid dalam masa terdekat. Dan dia sudahpun dokumentasi kan penceraian ke mahkamah. Hanya menunggu masa sahaja untuk hal tu di rasmikan." Tuan Samsoong memandang ke arah Dihya. "Adakah kamu puncanya?"

Dihya menahan nafas secara sembunyi. Rahangnya terketap erat. Tak terbayang dia apa reaksi Tuan Samsoong sekiranya orang tua ini tahu hal sebenar. Perbualannya dengan Zane tadi masih terngiang-ngiang di dalam kepala. Sebak dia pun masih tersisa lagi.


"Jika benar ianya kerana kamu, itu bermakna Zane sudahpun serius dalam hubungan ini."


"Tidak tuan. Tuan Zane hanya beritahu keputusan penceraian ini atas kehendaknya sendiri bukan disebabkan saya."nafi Dihya.


"Kalau betul tak apa. Tapi kalau ianya disebabkan Zane sukakan kamu, ianya takkan berakhir dengan baik Dihya. Kamu tahu tu?"

Dihya mengepal erat jari jemari dalam genggaman sebaik dengar. Dah terlambat untuk semua tu. Dia tak dapat menghalang Zane lagi! Lelaki itu sudahpun membuat keputusan muktamad.


"Tak kira apa sekalipun, kamu perlu menolak perasaan Zane. Jika dia melamar kamu, kamu perlu tolak lamaran itu serta merta. Kamu perlu ingat apa tujuan saya menghantar kamu kepada Zane. Kamu diarahkan untuk menjaga nama baik Zane. Bukan mengeruhkannya lagi."

Dihya mengangguk faham.


"Baik tuan."balas Dihya dengan ketulan udara di dalam kerongkong. Dia benar-benar kesal dan kecewa dengan keputusannya untuk melakukan semua ni dari awal. Kalau la dia tidak menerima tawaran ini pasti dia takkan sakiti hati Zane dan musnahkan kepercayaan lelaki tu!

Kalau Zane tahu hal sebenar, sudah pasti Zane takkan pernah maafkan dia apalagi percayakan dia lagi.

END OF FLASHBACK

Perasaannya berat. Entah kenapa dia rasa semua ini salah. Dia tak patut bersetuju apalagi terima lamaran ni sejak awal lagi. Keputusannya ini sama sekali salah. Tapi dia tak boleh nak berpatah balik. Masa pun tak dapat diputar semula kerana semua ini sudah terlambat.

Tapi kalau dia teruskan jugak, dia takut yang dia takkan dapat pulihkan keadaan semula sekiranya hal sebenar didedahkan nanti.

Apa patut dia lakukan sekarang?

Jantung di dalam dada berdetak laju bagai nak gila. Peluh resah pecah membasahi tapak tangannya yang sedang memegang pen. Seluruh urat saraf ikut berdenyut sakit kerana begitu gementar dia rasakan gara-gara takut tika itu.

Dihya berasa takut yang tidak berbelah bahagi. Dia begitu kejung di situ.

Tiba-tiba satu sentuhan hinggap di belakang bahu Dihya. Perlahan-lahan Dihya berpaling. Matanya terkunci akan wajah yang sedang tersenyum kepada dia. Tatapan mata yang selama ini telah mencuri hatinya merenung dengan penuh kasih pada dia. Menambahkan lagi perasaan berbelah bahagi yang Dihya rasakan sejak tiba di situ. Lihat saja tatapan mata itu, siapa aje yang sanggup kecewakan Zane, sekiranya lelaki ini tersenyum begini pada dia, apa yang dia mampu lakukan?


"Ada apa ni?"tanya Zane.

Dihya kembali memandang pegawai pendaftaran perkahwinan di hadapannya sebelum dokumen di atas meja bawah tangan pula. Zane sudahpun menandatangan dokumen pendaftaran perkahwinan mereka, kini tinggal giliran dia pula.


"Tuan.." bisik Dihya semasa memandang Zane dengan kening berkerut susah hati.


"Hm? Kenapa?"tanya Zane.


"Saya takut..." lafaz Dihya perlahan. Sumpah! Dia takut keputusan dia ini salah dan akan menyakiti Zane di masa hadapan nanti.


"It's okay. Everything gonna be fine. Just sign it."pujuk Zane memegang tangan berpen Dihya cuba memberi semangat.

Dalam keadaan menggeletar Dihya akhirnya akur. Dia tunduk menandatangani dokumen itu untuk beberapa saat sebelum di akhiri dengan menulis namanya sendiri.

Setelah itu pegawai bertugas mencapai dokumen tersebut selepas diserahkan oleh Zane. Untuk beberapa minit pegawai tersebut mengisi dan menyelesaikan key in data dalam sistem.


"Sekarang pengantin perempuan dengan pengantin lelaki boleh ambil gambar untuk sijil perkahwinan anda."ujar pegawai saat tunjuk booth gambar di sebelah kanan kaunter pendaftaran.

Zane terus bangun dari situ sambil menarik Dihya bersamanya. Mereka duduk di kerusi menghadap kamera yang tersedia di situ.

Zane yang menyedari betapa sejuknya tangan Dihya sepanjang masa itu, dia capai tangan Dihya lalu digenggam ke celah jari jemari dengan erat. Sentuhan itu buatkan Dihya menahan nafas dalam. Tiba-tiba aje dia lupa macam mana nak bernafas dengan betul.

Pada masa Dihya ketakutan dan resah. Zane pula berasa lega dan gembira kerana akhirnya mereka telahpun sah menjadi suami isteri. Selepas ini dia dapat bersama dengan insan yang dia cintai tanpa sebarang halangan dan gelisah lagi.


"Baik, pandang kamera. Kedua-dua pengantin boleh senyum."

Dalam terpaksa Dihya mengukir senyuman sementara Zane dengan lebar menayang barisan giginya. Lalu pegawai sama mengambil gambar selang beberapa saat kemudian.

Dan setengah jam kemudian Zane dan Dihya keluar dari pejabat tersebut dengan sijil perkahwinan masing-masing.

Seperti bermimpi, Dihya kejung di samping Zane sepanjang masa itu. Dia masih belum percaya bahawa dirinya sudahpun bergelar isteri sah buat Zane.

Wajah Zane jelas kelihatan berpuas hati.


"Dah selesai tuan?" Kyren di tepi kereta menyambut mereka berdua.


"Dah...mana wedding band tu?"Zane mendekat sambil hulur tangan ke arah Kyren.

Pada masa itu, Dihya pandang ke arah Kyren. Melihat lelaki itu mengeluarkan kotak cincin dari dalam poket kot sebelum diserahkan kepada Zane. Gulp! Liur gugup ditelan untuk ke sekian kali. Dihya kering tekak kerana gelabah dia tidak surut-surut sejak tadi.

Mata Kyren bergerak melirik akan wajah bungkam Dihya sebelum dia mengocek telefon dari kot.

Disaat Zane berdiri di hadapan Dihya, lelaki itu mencapai tangan Dihya lantas menyarung wedding band pada jari manisnya. Pada masa itu Kyren mengambil gambar.

Bersama nafas tertahan, Dihya bercemik sebak apabila tiba giliran dia untuk menyarung cincin di jari Zane. Air mata mengalir di pipi kerana dia tidak lagi dapat membendung rasa sebak yang mengasak dalam dada sejak beberapa jam yang lalu.

Seumur hidup, Dihya tidak pernah mengimpikan kehidupan yang sempurna apalagi dapat mengahwini seseorang yang mencintai dirinya. Jadi dia begitu terkejut hingga tidak tergambar perasaan yang dirasai. Tambah-tambah lagi suaminya ini adalah tuannya sendiri yang telah dipertanggungjawabkan padanya untuk dilindungi.

Tersarung sahaja cincin pada jari Zane, Dihya terus mendakap Zane.


"Terima kasih untuk semuanya Dihya."ucap Zane membalas pelukan tersebut.


"Saya pun... "angguk Dihya menyeka air mata dari pipi sebaik melepaskan pelukannya. Sedangkan dalam hati tidak henti-henti dia mengucap ulang kata maaf.

Kyren di situ hanya memerhati. Lelaki itu melihat wajah dingin Zane kini dihiasi dengan seri bahagia yang pertama kali dia lihat selama 10 tahun bekerja di bawah Zane. Melihat betapa gembiranya Zane dengan perkahwinan itu, Kyren dalam diam berasa serba salah. Sebab dia takut jika hubungan ini tidak berkekalan lama. Terutamanya setelah kebenaran terbongkar nanti.

Sejak awal Dihya bertemu dengan Zane, Kyren sudah dapat menduga hal akan menjadi serius hingga ke tahap ini. Cuma dia tidak dapat lakukan apa-apa memandangkan keadaan Zane semakin membaik semenjak Dihya berada di dalam hidup Zane. Kerana itu Kyren hanya memerhati dan mendiamkan diri sepanjang masa ini.


"Okay. Mari ambil gambar dulu." Maklum Zane. Menyentak lamun Kyren. "Ambil gambar elok-elok Kyren..." arah Zane saat merangkul bahu Dihya bersama sebelah tangan memegang sijil perkahwinannya.

Dihya di situ memandang Kyren dengan air mata masih bertakung di tubirnya. Dia tenung tatapan dingin lelaki itu cuba mencari jawapan sama ada keputusannya ini betul atau tidak. Namun Kyren mengalihkan mata dari Dihya sesaat selepas itu. Seakan lelaki itu tahu apa yang bermain dalam fikiran Dihya tetapi ambil keputusan untuk tidak mengendahkannya.

CLICK!

Gambar Dihya bersama Zane cantik diambil dengan latar belakang pejabat pendaftaran tersebut. Seorang tersenyum senang. Seorang lagi memandang kamera dengan senyuman lebar namun mata berair.

Share this novel

fieyluv fieyluv
2025-03-09 20:08:19 

pleaseee baik baikk jee, takutlahh???


NovelPlus Premium

The best ads free experience