Series
2474
Ghazali terjaga di tengah malam. Rumah kayunya berderit perlahan. Angin malam masuk melalui celah-celah tingkap dan dinding. Tubuhnya basah dengan peluh sejuk yang menempel di kulit dan jantungnya berdegup terlalu laju seolah cuba memberitahunya sesuatu yang tidak dapat difahami sepenuhnya.
Dia duduk di tepi katil. Lutut ditarik ke dada, memeluknya erat. Sunyi menyelimuti seluruh bilik hanya bunyi jam berdetik perlahan dan angin yang berdesir. Tetapi mimpi itu tetap menempel di mata,hati dan di setiap inci fikirannya.
Ghazali menarik nafas panjang dan mula berbicara perlahan pada dirinya sendiri.
“Kenapa kau selalu muncul malam-malam begini seolah menunggu aku di antara tidur dan terjaga tetapi tak pernah sekali pun, menampakkan wajahmu. Tidak pernah bercakap dan tidak pernah beri satu jawapan pun yang nyata sampai aku sendiri tidak tahu sama ada ini hukuman atau amaran atau hanya permainan yang kau buat untuk mengusik hati aku yang lemah ini."
Dia menunduk, menatap lantai kayu sejuk dan membiarkan bayangan bulan bermain di dinding bilik.
“Tubuhmu bergerak perlahan seperti menari. Lenggokan tangan dan bahu halus yang mengalir dan meskipun aku tidak melihat wajahmu, aku rasa setiap pergerakan itu menuntut sesuatu dari aku sesuatu yang tidak pernah aku sedari sebelum ini dan terasa seperti kau meninggalkan jejak di kulitku belaian lembut yang mengusap lenganku dan hembusan nafas hangat di pipiku membuat bulu roma meremang dan jantungku berpacu”
Dia berdiri dan melangkah perlahan ke tingkap. Angin malam menyusup masuk membawa aroma kemboja samar menembus seluruh bilik.
“Tak mungkin aku yang gila. Apa sebenarnya yang kau mahu dari aku? Adakah ini dendam? Amaran atau kau bermain dengan tidurku dan mengisi hatiku dengan ketakutan?”
Sunyi kembali menyelimuti rumah kayu itu. Bunyi jam berdetik perlahan seolah menambah ketegangan yang tidak putus-putus di udara malam. Ghazali tahu, di dalam hati sesuatu sedang menunggu sesuatu yang tidak pernah menampakkan muka tetapi selalu hadir, mengusik dan menuntut sesuatu yang tidak dapat diabaikan.
***
Bulan separuh menyorot di langit, memantul lembut di permukaan sungai Kampung Langir. Angin malam berdesir membawa aroma lumpur basah dan kemenyan yang terbakar perlahan di atas batu sungai bawah jambatan.
Teratai berdiri di tepi air. Berkemban batik panjang melekat di tubuh, sedikit basah akibat embun malam. Di tangannya tergenggam batok kelapa berisi air yang dicampur bunga kemboja, bunga raya dan daun pandan.
Perlahan-lahan dia menuang air itu ke muka, merasakan sejuknya menyentuh kulit. Setiap titisan yang jatuh menimbulkan bunyi halus, seakan mengiringi ritual malam sunyi.
Tangan Teratai bergerak ke lengan, mengurut perlahan dari bahu ke pergelangan. Air batok kelapa mengalir, membasahi setiap inci kulit. Tubuhnya seakan menari mengikuti aliran air dan bayangan bulan.
Rambut panjangnya disentuh dengan jari-jemari, menyisir helai demi helai sambil menundukkan kepala lalu titisan yang luruh, mencipta riak halus di permukaan air sungai.
Kemban basah masih melekat di tubuhnya tetapi perlahan-lahan Teratai menanggalkannya, melangkah masuk ke sungai. Lumpur lembut menapak di kaki.
Arus air membungkus tubuhnya dalam dingin yang menyegarkan sekaligus menegangkan.
Sambil terus mengurut tubuh. Teratai bersenandung.
“Ah… kau di mana, wahai yang ku rindu. Langit malam tahu rinduku ini. Di sungai sunyi, di angin sepi. Datanglah padaku, walau dalam mimpi..."
Dia menatap permukaan sungai, menabur bunga kemboja dan bunga raya ke arus, sementara asap kemenyan berputar mengelilinginya.
Gerakan tubuhnya mesra dengan air. Tangan kanan bergerak menari mengikuti cahaya bulan dan tangan kiri memegang bunga, kepala menunduk dengan anggun. Bayangan di jambatan berlenggok bersamanya, seolah alam turut menari dalam sunyi ritual itu.
Teratai menunduk lagi, mengusap air di lengan dan wajah dengan lembut selain membiarkan hembusan angin malam, membawa aroma bunga dan kemenyan ke seluruh tubuhnya.
“Hati yang setia tunggu di sini. Yang rindu jangan kau tinggalkan. Datanglah walau jauh dan tersembunyi. Janji yang tersimpan di dalam sunyi."
Selesai mandi, dia duduk di tepi sungai. Tubuh basah melekat kemban yang kini digenggamnya perlahan, nafas panjang menenangkan diri.
Malam tetap sunyi tetapi bunyi ranting, air beriak dan desiran daun seolah hidup sendiri. Sesuatu bergerak di bawah permukaan air tidak terlihat namun nyata.
Aroma bunga dan kemenyan memenuhi Kampung Langir, menebarkan misteri yang menunggu untuk diungkap.
***
Malam itu udara di Kampung Langir pekat dengan bau hujan yang baru berhenti. Di rumah kayu milik Teratai, lampu minyak tanah menyala malap di sudut bilik. Bayangan api menari di dinding.
Di atas lantai, sehelai tikar mengkuang terbentang. Di sisi tikar, tersusun bahan-bahan urutan. Sebotol minyak kelapa yang dicampur serai wangi dan lengkuas muda. Seikat daun pandan digulung kemas. Semangkuk kecil bunga tanjung dan melur serta secekak kemenyan yang terbakar perlahan dalam bekas tanah liat.
Teratai duduk bersila, berkemban batik. Rambutnya digulung tinggi. Suara cengkerik dan burung malam bersahutan menjadi latar kepada ritualnya yang tidak sekadar urutan tapi seakan rawatan batin yang hanya dia tahu rahsianya.
Perempuan yang datang malam itu ialah Salmah, isteri muda Pak Daud dari hujung kampung. Wajahnya pucat. Tubuhnya letih selepas bersalin dua minggu lalu. Dia duduk perlahan di atas tikar, menunduk segan.
“Tak apa, Mah... malam begini bagus,” tutur Teratai lembut, suaranya serak kecil namun tenang.
“Darah masih panas, urat belum pulih betul. Kalau dibiarkan, nanti sejuk duduk dalam badan. Itu yang buat perempuan cepat layu.”
Salmah mengangguk perlahan.
“Saya pun rasa badan tak sedap, Kak Teratai... sejak dua hari ni, dada rasa sesak...mimpi pun bukan-bukan.”
Teratai tersenyum kecil, matanya redup memandang wanita itu.
“Kadang bukan mimpi. tapi sisa darah yang belum lepas, masih berbau di urat. Mari baring, biar aku urutkan.”
Salmah meniarap perlahan. Teratai mengambil sedikit minyak dari mangkuk kecil, menggosoknya di tapak tangan hingga hangat lalu menyapu ke belakang tubuh Salmah dengan gerakan panjang dan perlahan.
Minyak itu berbau wangi. Campuran serai, halia bara dan sedikit cendana. Setiap kali tangannya menekan lembut, bunyi halus keluar dari bibir Teratai seperti jampi yang dilagukan perlahan.
"Wahai darah, jangan beku...wahai urat, jangan simpul... wahai tubuh, bangkitlah seri...biar angin keluar pergi...”
Salmah memejam mata, tubuhnya sedikit menggigil. Nafasnya berat tapi perlahan-lahan menjadi teratur.
Teratai menukar posisi, mengurut dari tengkuk ke pinggang. Pinggang ke hujung kaki. Tekanan tangannya konsisten, berirama seperti melodi malam.
“Kalau badan rasa berangin, jangan tahan. Biarkan keluar.”
Salmah separuh tersenyum, matanya masih tertutup.
“Lebih sakit dari luka bersalin,” jawab Teratai perlahan sambil mengusap perlahan perut Salmah.
Kemenyan masih membakar. Asapnya melingkar di udara, memantul di cahaya lampu minyak. Suasana bilik berkabus tipis dan dalam kabus itu, wajah Teratai tampak lain.
“Dah... jangan banyak fikir. Esok pagi bila matahari naik, kau minum air rebusan daun sirih ni. Biar sejukkan rahim. Dan malam esok, kalau badan masih berat... datang lagi.”
Salmah bangun perlahan, menyalam tangan Teratai.
“Terima kasih, Kak Teratai... tangan akak panas tapi tenang betul rasa bila disentuh.”
Teratai hanya tersenyum.
“Bukan tangan aku yang tenangkan, Mah.”
Suara itu lembut tapi cukup membuat bulu roma Salmah berdiri.
Di luar, angin malam bertiup lagi. Dan di bawah jambatan Kampung Langir. Bunga-bunga kemboja yang pernah ditabur malam sebelumnya hanyut perlahan, seolah masih mencari pemiliknya yang sebenar.
Share this novel