“DAHLIA! Cepat sikit, meja VIP tu dah tunggu kopi!” jerit bosnya dari kaunter restoran.
Hari ini memang lebih sibuk dari biasa. Pelanggan cukup ramai sampai tak menang tangan melayan.
Dahlia mengeluh panjang sambil cuba menyeimbangkan dulang di tangan.
'Ingat aku ni robot ke boleh buat sepuluh kerja sekaligus?' Sempat Dahlia bersungut di dalam hati.
Namun, dia tetap bergegas menuju ke meja yang terletak di hujung restoran yang dihiasi bunga segar dan lilin wangi itu.
Seorang lelaki tampan, berwajah tenang tetapi jelas terlihat angkuh di rautnya dengan sut mahal yang membaluti tubuh sedang menunggu di meja tersebut. Tengku Hayder Al-Wakeel.
Dahlia tak kenal siapa lelaki itu. Tapi, aura ‘bossy rich guy’ di sosok itu memang jelas terlihat. Muda, kaya, tampan dan bergaya. Memang pakej yang cukup lengkap.
“Ini kopi encik,” kata Dahlia sambil mengangkat cawan di dalam dulang.
Bagaimana pun belum sempat diletakkan cawan kopi di hadapan lelaki itu, seorang pelanggan lain telah terlanggar lengannya tanpa sengaja. Dan…
Plaaash!
Kopi panas tumpah tepat membasahi baju kemeja putih lelaki itu.
“WHAT THE—!”
Tengku Hayder terus terbangun dari duduknya. Terkejut. Juga marah. Matanya mencerlung ke arah Dahlia.
“Kau buta ke?!”
Semua mata pelanggan berpaling untuk melihat babak itu. Dahlia tergamam. Tengku Hayder memandang ke bawah melihat kemeja putihnya yang sudah bertukar menjadi corak abstrak kopi.
“Oh tidak… saya… saya minta maaf!” Dahlia panik lalu cepat-cepat ambil tisu ingin mengelap.
“Jangan sentuh aku! Kau tahu tak baju ni harga berapa?!” jerkah Tengku Hayder.
Dahlia yang pada mulanya rasa bersalah, terus naik angin. Sudahlah letih dengan kerjanya yang tidak habis sepanjang hari ini. Perangai menjengkelkan pelanggan yang seorang ini membuatkan kesabarannya menipis.
“Saya dah cakap saya minta maaf. Encik nak saya bayar ke? Fine! Nanti potong dari gaji saya!”
“Gaji kau?” Tengku Hayder ketawa sinis. “Kau ingat gaji waitress macam kau mampu ganti baju aku ni hah?!”
Dahlia menggenggam penumbuk. Ya Allah, sabar Dahlia… sabar. Tapi mulutnya memang tak boleh duduk diam. Panas hati!
“Saya dah cakap tadi bukan salah saya. Saya dah minta maaf elok-elok. Takkanlah maruah encik yang besar sangat tu tak boleh terima sepatah ‘maaf’ dari orang macam saya?!” Suara Dahlia meninggi sambil dia bercekak pinggang.
Wajah Tengku Hayder terus bertukar tona. Merah menyala menahan marah. Tak pernah seumur hidup ada perempuan yang berani meninggikan suara terhadapnya seperti itu!
Bos Dahlia yang melihat keadaan semakin tidak terkawal itu dengan segera datang menghampiri. Wajahnya cemas.
“Encik Tengku, saya betul-betul minta maaf atas sikap buruk pekerja saya. Dahlia, awak jangan banyak cakap. Cepat minta maaf lagi. Tunduk hormat pada Encik Tengku!”
Encik Tengku. Duh! Baru Dahlia tahu lelaki sombong bongkak ini bernama Tengku. Tengku apa? Tengku-rak? Atau Tengku-juh? Ah, whatever!
“Saya dah minta maaf tadi. Tapi, Encik Tengku ni tak nak terima. Saya takkan tunduk pada dia. Bukan salah saya!” Dahlia teguh membela diri.
“Dahlia!” jerkah bosnya. “Awak dipecat!”
Saat itu Dahlia terpaku. Nafasnya menyesak. Dia dipecat disebabkan lelaki sombong, bongkak dan ego ini??
Dahlia memandang tepat ke wajah Tengku Hayder. Dia mengukir senyuman sinis ke arah lelaki itu.
“Terima kasih Encik Tengku sebab menjadi punca saya dipecat hari ni. Baju encik memang mahal. Tapi jangan lupa, ego encik tu lebih murah dari secawan kopi yang tumpah tadi!”
Bamm!
Dahlia hempas apron yang ditanggalkan dari tubuhnya di meja. Lalu dia terus melangkah keluar dari restoran tanpa menoleh ke belakang lagi. Di dalam hatinya berjanji bahawa dia tidak ingin bertemu lagi dengan lelaki ego yang menyakitkan hatinya tadi!
Sementara Tengku Hayder pula masih tegak di tempatnya berdiri. Menahan gejolak amarah yang bersisa. Tidak pernah ada yang berani melawan kata-katanya seperti tadi.
Hanya perempuan itu. Perempuan yang cukup kasar dan biadap! Berharap tidak akan ada lagi pertemuan antara mereka selepas ini.
Hai semua. Thanks singgah ke novel kisah santai-santai ni. Enjoy reading :)
Share this novel