Series
29011
“DASAR lelaki tak berguna.” Suara Diane pecah, serak oleh marah yang cuba dia tahan. “Jadi begini kelakuan you di belakang I, sayang?”
Langkahnya deras, tumitnya menghentak marmer restoran itu tanpa belas. Lelaki itu duduk membelakanginya, santai, menikmati makan malam mewah bersama seorang perempuan bergaun biru. Diane tak peduli siapa perempuan itu. Matanya hanya tertuju pada bahu lelaki itu; lebar, kokoh, terlalu dikenali untuk disalah anggap.
“I percaya pada you…” suaranya pecah separuh. “Tapi kenapa kenapa you sanggup khianati I? Kenapa you curang dengan I?!”
Air mata sudah menyesaki pandangannya, menggoyahkan dunia yang dulu terasa utuh. “You kata minggu depan nak lamar I, kan? Tapi apa yang you sedang buat sekarang ni? Berani you makan romantis dengan perempuan lain ya? I ni pun you tak pernah bawa ke tempat semahal ni…”
Perlahan lelaki itu menoleh, namun wajahnya tenang. Terlalu tenang.
Dan di antara kabut air mata, Diane menampar pipi kacak itu tanpa ragu.
Buk!
“You jahat!” jeritnya, suara bergetar di dada. Tangannya mencapai gelas jus oren di atas meja dan dalam satu hembusan dendam, disimbahkannya ke wajah lelaki itu. Kini kot mahalnya dah basah dek jus oren di tangan Diane. Wajahnya sebelah merah, juga kerana penangan penampar sulung gadis itu.
Cukup dramatik. Cukup menjiwai.
Tindakan itu membuat para pengawal peribadi yang berjaga segera bergegas ke arah Diane, jelas berniat melindungi tuan mereka.
‘Alamak… lelaki ni ada bodyguard? Rannie tak cakap dengan aku pun! Habislah aku kalau macam ni…” batin Diane, jantungnya berdegup laju. Panik dan gugup bergabung jadi satu, sementara para pengawal semakin mendekat seperti singa mengelilingi mangsa.
HAKIKATNYA, Diane bukan betul-betul datang ke sini untuk melabrak kekasih yang curang. Tidak. Sama sekali tidak.
Misi malam ini hanyalah lakonan air mata.
Rannie sahabat baiknya, si gadis bergaun biru itu telah meminta bantuan. Rannie dijodohkan oleh ibu bapanya dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Hari ini sepatutnya mereka berjumpa, makan malam, dan ‘berkenalan’ sebelum berkahwin. Namun, Rannie belum bersedia, malah belum sanggup dikurung dalam janji yang tidak diingini.
Jadi dia menawarkan sesuatu pada Diane.
Menurut Rannie, Diane hanya perlu datang dan berpura-pura sebagai kekasih lelaki itu. Dia perlu huru-harakan majlis makan malam mereka. Sebagai balasan, Rannie akan membayarnya dengan jumlah wang yang cukup besar.
Dan bagi Diane yang sedang diulit hutang peninggalan orang tuanya, tawaran itu ibarat durian runtuh. Mana mungkin dia tolak! Agak berisiko dan semestinya kerja gila, tapi cukup lumayan untuk meneruskan hidup.
“Berhenti! Jangan dekat!” jerit Diane, marah bercampur takut, saat salah seorang pengawal cuba menarik lengannya. Dia buntu. Tak ada cara lain.
“If you all sentuh I lagi, I akan gugurkan anak dalam perut I ni!” suaranya lantang, bergetar. “Ini anak Tuan you!”
Para pengawal terdiam, seperti batu disambar petir. Langkah mereka mati, wajah-wajah garang tadi kini diselimuti panik.
Diane terus menunduk, menutup muka dengan kedua belah tangan, dan mula menangis sepenuh hati. Air matanya mengalir deras, mencipta ilusi yang sempurna.
“Ya, I mengandungkan anak you, sayang…” suaranya serak, penuh sendu palsu yang kedengaran terlalu meyakinkan.
Dia melangkah semula ke arah lelaki itu, lelaki dalam sut mahal lencun yang kini diam dan terpaku. Wajahnya kabur di balik air mata, dunia seakan berputar dalam samar cahaya restoran.
“Sampai hati you…” bisik Diane, nadanya retak, jemarinya mencengkam kerah kot lelaki itu. Air mata menitis tanpa henti, dan di tengah semua kekacauan itu, lakonannya benar-benar hidup.
Sangat real. Untuk seseorang yang dibayar semata-mata untuk berbohong, Diane kelihatan terlalu meyakinkan untuk sekadar pelakon.
NAMUN, semuanya berubah ketika lelaki itu tiba-tiba bersuara. “Seriously, Diane?”
‘Hah? Kenapa aku macam kenal suara tu?’ Diane mengucap dalam hati.
Dan lelaki itu menyambung, santai. “Honestly, I expected more from you.”
Dup! Dap! Dup! Dap!
Jantung berdegup laju.
Lelaki itu perlahan mendongak. Pandangannya tajam seperti bilah pisau yang baru diasah, menikam terus ke dada Diane tanpa belas. Dalam sekelip mata, segala keberanian yang tadi menggelegak lenyap begitu sahaja.
Aura yang menyelubunginya begitu menekan, membuatkan Diane rasa kecil, kerdil, dan sangat-sangat menyesal kerana wujud di radius dua meter darinya.
DAN sebelum sempat Diane berfikir lebih jauh…
Buk! Buk! Buk!
Bunyi ketukan kuat dari luar dinding kaca restoran itu membuat Diane terlonjak kecil. Kepalanya spontan berpaling. Seorang gadis dalam gaun biru sedang melambai-lambai ke arahnya dari luar, wajahnya cemas.
Diane mengelip-ngelip, cepat-cepat menyapu sisa air mata yang masih mengaburkan pandangan. Apabila matanya benar-benar fokus.
Dia kaku.
Rannie?!
Jantung Diane terjun bebas, menghentam dasar perutnya. Tangannya mula menggeletar, seluruh badannya jadi panas-dingin seperti disiram ais dan api serentak.
Kalau Rannie ada di sana, di luar sana… maka siapa…
Siapa perempuan yang duduk di meja ini bersama lelaki itu?!
DENGAN gerakan perlahan, kaku, dan penuh rasa takut, Diane menoleh semula. Wajah perempuan itu kini jelas di hadapan matanya bukan Rannie, bukan gadis muda yang meminta bantuan tadi. Wanita ini jauh lebih matang, elegan, dan… jelas bukan orang biasa.
“Hah?! Siapa, siapa… you?” Diane hampir tercekik dengan kata-katanya sendiri. Suaranya pecah di hujung.
Wanita itu hanya mengangkat kening, reaksi yang entah apa maksudnya. Tapi Diane tahu satu hal, dia sudah buat silap besar.
Pantas dia berpaling semula pada lelaki yang sejak tadi masih menatapnya. Tubuhnya menegang, lututnya rasa longgar, dan lidahnya kering.
Dan saat matanya bertemu semula dengan wajah lelaki itu…
Oh tidak.
“B–Bos!” jerit Diane refleks, hampir terloncat dari tempat berdirinya. Tangannya segera melepaskan cengkaman pada kolar lelaki itu. Mukanya pucat bagai kapur. Nafasnya berpacu seperti baru berlari marathon menentang maut.
Ya Tuhan. Lelaki itu…
Lelaki yang dia baru sahaja lempang, siap tuang jus oren ke mukanya tadi. Lelaki yang dia tuduh curang, lelaki yang dia kata mengandungkan anaknya, bukan orang lain.
Itu CEO syarikat tempat dia bekerja.
Mr. Boss!
Lelaki yang tanda tangannya tertera di setiap slip gaji yang menyelamatkan hidupnya setiap bulan.
“Ya Allah, matilah aku hari ni,” bisiknya serak, tetapi malang sekali suaranya keluar cukup kuat untuk kedengaran.
Diane cuba undur langkah, namun tumit kasutnya tersangkut pada kaki meja. Tubuhnya hampir rebah, kalau bukan kerana tangan lelaki itu sempat menyambar pergelangan tangannya dengan kekuatan yang menggetarkan. Dalam satu gerakan pantas, lelaki itu menariknya ke arah dada bidangnya, dan sebelum Diane sempat menjerit, tubuhnya sudah jatuh separuh terduduk, di atas pangkuan lelaki itu.
Dunia berhenti lagi. Nafas Diane hilang.
Lelaki itu membisik, “Be careful Diane. Ingat, you sedang hamil anak I.”
LELAKI itu. Mr. Boss…
Syed Arrasy Irfan.
Nama itu sudah cukup untuk membuat mana-mana ahli lembaga berdiri tegak dan para pesaing menelan liur. Lelaki itu bukan sekadar CEO, dia simbol kuasa. Seorang tokoh yang terkenal dengan ketajaman minda bisnesnya, strategi yang nyaris mustahil diramal, dan sikap dingin yang membuat orang sukar meneka apa yang sebenarnya dia fikirkan.
Parasnya? Wajahnya tegas dengan rahang tajam, mata kelam yang menyimpan seribu rahsia, dan senyuman yang jarang muncul… tetapi bila muncul, cukup untuk membuat dunia berhenti bernafas seketika.
Namun, meskipun seluruh kota mengenali namanya, satu perkara tetap jadi tanda tanya besar, di usia tiga puluh tahun, Syed Arrasy masih belum pernah dikaitkan dengan sesiapa. Tiada kekasih, tiada gosip, tiada bayang-bayang wanita di sisi. Dunia korporat menganggapnya sempurna, tapi sunyi. Dan mungkin, terlalu berbahaya untuk disentuh.
Namun malam ini, lelaki itu sedang memegang pinggang seorang perempuan.
Dan perempuan itu… adalah Diane.
Diane yang sekarang hampir tak dapat menelan air liur sendiri, separuh terduduk di pangkuan lelaki itu, membeku dengan wajah yang entah mahu menangis atau pengsan.
Tatapan Syed Arrasy turun kepadanya. Dingin. Tajam. Menghunus tepat ke jantung. Tapi kemudian, bibir lelaki itu bergerak sedikit, terbitlah smirk nipis, berbahaya, seolah-olah dia sedang menikmati kekacauan yang baru Diane cipta.
Senyuman itu bukan sekadar senyuman. Ia seperti janji halus bahawa hidup Diane selepas ini tidak akan tenang.
Dan Diane tahu.
Dia harus lari. Sekarang.
Dengan segala tenaga yang tersisa, Diane mengumpul keberanian dan…
PANG!
Dia menyiku perut lelaki itu tanpa sempat berfikir panjang. Tubuh Syed Arrasy tidak berganjak banyak, tapi cukuplah untuk memberi peluang kepada Diane melompat bangun dan melarikan diri seperti roh dikejar malaikat maut.
“Ma… Maaf, Puan! Saya… saya tersalah orang!” katanya tergagap-gagap di ambang pintu, menunduk pada wanita elegan yang duduk bersama bosnya. Suaranya pecah, hampir menangis.
Diane menunduk rendah, cuba lari secepat mungkin, tapi malangnya, matanya yang degil sempat juga menjeling ke arah meja itu sekali lagi.
Dan di sanalah Syed Arrasy sedang menatapnya dengan senyuman nipis di hujung bibir. Smirk itu kali ini lebih tajam, lebih penuh makna, seolah-olah dia baru saja menemui permainan baru yang menghiburkan.
Tubuh Diane menggigil. Tulang belakangnya meremang. Dia berpusing pantas dan terus berlari keluar dari restoran, hampir tersandung di tangga. Nafasnya tercungap-cungap, wajahnya merah padam menahan malu dan ngeri.
Habis aku. Habis. Besok, aku kena buang kerja. Atau lebih teruk, kena saman sebab menyimbah jus oren kat muka CEO sendiri!
Diane terus berlari ke arah jalan besar, kasut tingginya hampir patah. Dalam kepalanya hanya bergema satu perkara, smirk itu. Senyuman licik yang masih berbayang di retina matanya, senyuman yang membuatkan jantungnya terus berdetak laju walaupun dia sudah jauh dari tempat kejadian.
Apa maksud dia tadi? Kenapa senyum macam tu? Kenapa macam... puas?
“Matilah aku esok…”
Share this novel
bab 2
Nk terus membaca