Pukul satu.
Setelah selesai mengemas meja jualan dan memasukkan semua barang ke dalam kereta, Kesha menoleh ke arah Amiza. “Miza, jangan lupa call dia tau.”
Dengan senyum penuh makna, Kesha masuk ke dalam keretanya dan berlalu pergi, meninggalkan Amiza seorang diri di hadapan dewan.
Hanya dia… dan sekeping kertas dengan nombor telefon misteri.
Amiza menatap kertas itu. Mindanya berperang.
‘Aku nak call ke?’
‘Patut ke aku call?’
‘Tak boleh ke aku biarkan je?’
Dia menghela nafas dalam, akhirnya mengeluarkan telefon dari beg tangannya. Jari-jarinya hampir menekan nombor itu…
HONK!
Amiza tersentak.
Sebuah Proton Saga kelabu berhenti betul-betul di hadapannya.
Perlahan-lahan, tingkap di bahagian penumpang diturunkan, dan suara yang cukup dikenali kedengaran.
“Jom.”
Lelaki tadi!
Dia… tunggu aku ke? Kata suruh call!
“Cik Amiza?” panggil lelaki itu lagi.
“Ah, ya! Baik…”
Panik, Amiza segera memasukkan telefon dan kertas nombor telefon ke dalam beg tangannya. Tangannya teragak-agak membuka pintu bahagian belakang.
“Duduk depan.”
Lelaki itu bersuara lagi, nada suaranya tenang tapi tegas.
“Belakang ni penuh dengan barang.”
“Ah… B-baik.”
Dengan sedikit teragak-agak, Amiza bergerak ke pintu bahagian penumpang hadapan, membukanya, dan melangkah masuk ke dalam kereta.
Dan saat dia menutup pintu, satu persoalan besar bergema di dalam kepalanya.
‘Apa aku buat ni?! Kenapa aku masuk jugak dalam kereta lelaki ni?!’
Setelah dia memakai tali pinggang keledar, lelaki itu mula memandu.
Lima minit perjalanan.
Dan sepanjang lima minit itu… mereka hanya diam.
Amiza menoleh sedikit ke sisi, mencuri pandang ke arah lelaki di sebelahnya.
Siapa sebenarnya dia ni?
Dia langsung tak nampak teragak-agak atau gelabah. Seolah-olah situasi ini adalah perkara biasa. Seolah-olah mereka memang saling mengenali.
Dan itu membuatkan Amiza semakin keliru.
Mengumpul sedikit keberanian, Amiza membuka mulut, “Erm… tadi—”
“Rayyan.”
Amiza terkedu. “Hah?”
Lelaki itu masih fokus pada jalan raya, tetapi dia tersenyum kecil.
“Nama saya Rayyan. Boleh panggil Ray.”
‘Eh?!’
‘Aku tanya ke tadi?!’
“Err… Encik Rayyan, saya—”
“Ray.”
Amiza terkebil-kebil. “Eh?”
“Awak Miza, kan?” Lelaki itu menoleh sedikit, mata hitamnya tajam tapi penuh keyakinan. “Panggil saya Ray.”
‘Dia ni…’
‘Time aku nak cakap, dia pun nak cakap jugak!’
Menarik nafas panjang, Amiza mencuba sekali lagi. “R-Ray… Tadi kawan saya Kesha tu, dia—”
“Selamatkan awak?” Ray menyampuk sebelum dia sempat habiskan ayatnya. “Ya, tak perlu ucap terima kasih. Saya faham.”
Amiza membatu.
‘Hah?!’
‘Oi lelaki!’
‘Asyik kau je cakap!’
‘ARRGH! GERAMNYA!’
‘Dahlah! Malas aku nak cakap lagi!’
Dengan wajah masam, Amiza mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Dan di sebelahnya, Ray tersenyum kecil.
Setelah diam untuk beberapa ketika, Amiza seperti tidak dapat menahan kata-kata yang terbuku di hatinya. Dia tetap ingin menjelaskan kepada Rayyan, takut lelaki itu tersalah sangka yang dia perempuan terdesak yang sanggup mengambil mana-mana lelaki pun untuk menjadi kekasihnya hanya kerana ingin ‘berlagak’ di hadapan rakan-rakannya.
Amiza menarik nafas lagi, duduk tegak dan berpaling ke arah Rayyan, “Ray, sebenarnya saya—-”
“Kita dah sampai,” potong Rayan lagi.
‘APA?!!’
‘KALI KETIGA!’
‘Kali ketiga dia potong cakap aku!’
Kegeraman Amiza hampir memuncak, badannya bergetar seperti gunung berapi yang ingin meletus.
Setelah kereta berhenti, Rayyan melepaskan tali pinggang, membuka pintu dan keluar dari kereta.
Amiza masih kaku di tempat duduk.
Dan dalam diam, kemarahan yang dia pendam akhirnya meletus.
Matanya membara, tangannya secara automatik membuat gaya mencekik lelaki itu di udara.
“ARGHHH! DIA NI!!!”
“Tunggu apa lagi? Cepatlah keluar,” lelaki itu tiba-tiba berpaling memanggilnya.
Amiza tersentak.
Cepat-cepat Armiza duduk tegak semula, membetulkan gayanya sambil tersenyum nipis, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Nasib baik Rayyan tidak melihatnya ‘mencekiknya’ tadi.
Amiza menutup mata, menghela nafas dalam, menenangkan perasaan geramnya terhadap lelaki itu.
Setelah keluar dari kereta, barulah Amiza tersedar, ‘Eh, ini… ini bukan restoran… INI RUMAH!’
Kereta rupanya diparkir di luar sebuah rumah Semi-D dengan halaman kecil. Halaman itu dipenuhi dengan bunga-bunga orkid dan bunga keladi pelbagai jenis. Semuanya segar dan berbunga berwarni-warni. Ternyata dijaga dengan rapi.
‘Kenapa lelaki ni bawa aku ke sini?’
‘D-dia nak buat apa kat aku!?’’
“Hey! Apa awak nak buat–”
“Assalamualaikum! Nenek!” Dan ini kali keempat, ayat Amiza dipotong lagi oleh Rayyan.
‘Lelaki ni betul-betul tak bagi aku bercakap, kan?!’
‘Huh? Nenek?’
Beranda rumah itu penuh dengan aroma tanah basah. Seorang nenek tua duduk di bangku pendek, tangan cekap menggembur tanah dalam pasu bunga. Topi jerami melindungi wajahnya dari sinar matahari, dan tuala lembap di kepala menahan bahang yang menggigit.
Perlahan-lahan, nenek itu bangkit, sebelah tangan memegang belakang pinggangnya. “Ray? Kamu ke tu? Masuklah. Pagar tak kunci.”
Rayyan tanpa banyak bicara membuka selak, menolak pagar, dan melangkah masuk ke halaman.
“Masuklah,” katanya sambil menoleh ke belakang.
“Ah… baik,” balas Amiza sebelum ikut masuk.
Dan kemudian otaknya baru mencerna apa yang dia baru lakukan. ‘Eh, kenapa aku masuk juga ni?!’ Ini sudah kali ketiga hari ini dia mengikut sahaja arahan lelaki itu tanpa bantahan. Seolah-olah suara Rayyan ada kuasa hipnosis yang membuatkan dia secara automatik menurut.
Nenek tua itu menyipitkan mata ke arah Amiza. “Siapa kamu bawa tu, Ray?”
“Kita masuk dulu lah, Nek. Panas ni,” rungut Rayyan selamba.
“Ha… masuklah,” balas nenek itu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah, diikuti Rayyan dan Amiza yang masih separuh bingung.
Di dalam, suhu lebih baik daripada luar, tapi tetap ada sisa bahang dari panas terik tadi.
“Nenek, Ray buka aircond ya. Panas,” kata Rayyan sambil mencapai alat kawalan jauh.
“Tak payahlah, bazir. Banyak nak bayar letrik nanti,” balas nenek itu sambil berjalan ke bilik air.
Rayyan mendengus. “Nek, Ray beli aircond ni supaya tak panas. Kalau tak, buat apa ada aircond? Lagipun Ray yang bayar bil letrik rumah ni. Lagi satu, kita ada tetamu sekarang.”
Nenek itu menggeleng perlahan. “Ha, yelah…”
Klik. Bunyi aircond mula berdengung, menghantar angin sejuk ke seluruh ruang tamu. Amiza masih berdiri terpaku di depan pintu, tidak pasti sama ada dia patut duduk atau sekadar berdiri di situ sampai habis.
“Duduklah. Tutup pintu tu. Panas.”
Arahan itu terkeluar dari mulut Rayyan, dan entah bagaimana, kaki Amiza terus bergerak. Pintu tertutup, dan dia melabuhkan diri di sofa bertentangan dengan Rayyan.
Beberapa minit kemudian, nenek itu muncul dari bilik air, wajahnya segar selepas mencuci muka. “Ray, jomlah makan dulu. Ajak kawan kamu tu sekali.”
Amiza tersentak. Ini… bukan seperti yang dia bayangkan. Dia ingatkan mereka akan makan di luar, mungkin di sebuah kafe. Tapi ternyata, dia sekarang terperangkap dalam sesi makan bersama seorang nenek yang dia langsung tak kenal.
Rayyan bangun dari sofa dan berkata, “Jom, makan.”
Amiza serta merta bangun dan mengikuti Rayyan masuk ke ruang dapur.
Share this novel