“Nak balas dendam? Ona boleh bantu. Pertama… duit! Awak kena ada duit. Hanya orang berduit mampu buat segalanya. Ona akan tolong dengan syarat…” sengaja wanita lewat usia 60an itu beri ayat gantung, nak lihat reaksi gadis itu. Si gadis polos itu hanya memberinya tatapan kosong. Takde feel langsung. Orang lain sampai sanggup berbunuhan kerana berebutkan harta.
“Fay, awak dengar ke tak ni? Ona kata akan bantu dari segi kewangan,” Ona ulang semula ayatnya dengan lebih tegas, buat Fayra terkebil-kebil memandang.
“Ona jangan bergurau. Saya tak nak duit Ona.” Selamba Fayra jawab. Ona mati kata. Menjurus tatapan tak mengerti kepada Fayra.
“Tak nak? Jadi, macam mana awak nak balas dendam pada keluarga awak tu?”
Fayra membuang keluh berat. Betul kata Ona, nak buat apa pun di dunia ni perlukan duit kerana duit punya kuasa infiniti yang mampu mengawal manusia.
Ona, atau nama sebenarnya Mona Binti Mahmud, adalah seorang nenek yang Fayra selamatkan ketika melarikan diri dari sebuah kapal laut milik sindiket pemerdagangan manusia. Nenek vogue and slay! Itu gelaran yang diberi oleh mereka yang kenal dengan Ona. Menggelar diri sebagai Madonna dengan penampilan up to date dan hanya mahu dipanggil Ona. Wanita sebaik malaikat, yang sudi terima Fayra tanpa menghakimi kisah silamnya.
“Saya tak tahu, Ona.”
“Sebab tula Ona kata Ona akan tolong tapi ada syaratnya.”
“Apa syaratnya, Ona?”
Ona tersenyum senang mendengar soalan Fayra.
“Syarat pertama... awak kena berubah. Ona nak awak tinggalkan diri awak yang lama. Jadi Fayra Mei Khayla yang dilahirkan semula. Seorang pejuang berhati kental dan tak mudah mengalah. Boleh tak?”
“Hah?!” Fayra terkaget, memandang wajah Ona dengan air muka terkejut.
“T-Tapi Ona…”
“Takde tapi-tapi. Awak nak balas perbuatan keluarga dan kakak tiri awak tu kan? Meski pun awak dah memaafkan mereka, itu tak menjamin bahawa mereka takkan bertindak kejam kepada awak suatu hari nanti. Awak kena ubah sikap awak jika tak nak ditindas oleh mereka, Fay. Awak nak terusan jadi mangsa ke?”
“Tak nak, Ona…” jawab Fayra dengan suara perlahan seraya menggeleng.
“Kalau macam tu, Ona tak nak dengar perkataan tak nak, tapi dan yang sewaktu dengannya. Faham tak?”
Fayra angguk, masih ragu-ragu. Dan anggukan itu adalah permulaan segalanya. Ona mulai bertindak ikut suka hati, seolah terlupa bahawa dia diva pencen yang punya tulang rapuh dan sudah mengeluarkan bunyi berkeriut.
“Tengok Ona buat, belajar betul-betul cara Ona catwalk!”
Fayra terkedu. Ona berada di penjuru, berhampiran pintu masuk bersama pakaian meriah warna pelangi, topi bersayap lebar dan kasut tumit runcing enam inci.
“Strut like this, Fay! Ayun tangan effortlessly di depan macam ni. Bring your hips up and down, macam ni… hah, gini… ah! Aduh!” hampir terkehel tulang pinggang Ona. Lupa agaknya yang dia warga emas tahap tiga.
“Ona… penatlah, dah sehari suntuk saya buat benda yang sama. Bagi canlah saya rehat kejap…”
Fayra tak mengerti kenapa dia perlu lakukan semua ni. Cuma nak balas dendam kan? Dah tu, kenapa Ona asyik paksa dia buat catwalk sepanjang masa?
“In three… two… one… here we go! Runaway strut, go Fay! Watch your step, criss cross walk, Fay! In three… two… one, pause for three seconds… swirl anddd… go! Yeahhh!!!”
Sebulan!
Akhirnya Fayra berjaya puaskan hati Ona. Baru mahu hembus nafas lega lihat senyuman Ona…
“Ikut Ona!”
“Kita nak ke mana, Ona?”
*Make over!”
“Hah?!”
Tiga bulan Ona buat sesuka hati demi misi ‘kelahiran semula’ seketul Fayra Mei Khayla. Akhirnya, Ona sengih puas hati sampai ke telinga.
“Macam mana? Cantik ke tak ni? Asal Ona tengok semacam je?” Fayra pusing-pusing tubuh di depan Ona. Dia tak faham kenapa pagi-pagi lagi Ona dah suruh dia bersiap cantik-cantik. Siap hantar satu set lengkap persalinan serba putih bersama tudung.
“Cantiknya cucu Ona!” tak berkelip Ona pandang. Mata terpancar kekaguman.
“Kenapa kena pakai macam ni, Ona? Kita nak ke mana? Macam nak pergi nikah je,” rungut Fayra sambil tayang wajah pelik.
“Betul, hari ni Fay akan menikah dengan cucu Ona.”
“HAH?!!!”
“Dah, jom pergi ke pejabat agama. Cucu Ona dah tunggu kat situ.”
“Ona! Saya…”
“Jangan risau, semuanya Ona dah aturkan. Awak akan dinikahkan oleh tok kadi.”
Fayra tergamam. Menurut Ona, papa dah dihubungi tapi papa menolak dan bertegas dia takde anak perempuan bernama Fayra Mei Khayla. Bersungguh-sungguh nampaknya papa mahu buang dia dari hidup mereka sekeluarga. Sedih?! Dia sudah tiada rasa itu sejak dia diusir bak kucing kurap dari banglo mewah itu.
“Ona… saya tak layak! Ona tahu kisah silam saya. Cucu Ona layak dapat yang lebih baik dari saya. Jangan teruskan pernikahan ini, Ona.”
“Ona cuma nak awak jadi isteri budak bertuah tu, Fay! Tiada perempuan yang lebih layak selain awak. Jangan risau, cucu Ona tu taklah hensem mana pun. Pendek, hitam, hidung pesek dan selalu kena rejek perempuan. Tapi, dia baik dan romantik! Paling penting, pandai cari duit. Harta dia tujuh keturunan… er… taklah sebanyak tu! Ona rasa sampai dua keturunan je kot, tak habis diguna. Ona akan pastikan awak jadi wanita paling bahagia di dunia.”
Jujur, Fayra benar-benar terharu mendengar kata-kata terakhir Ona. Hanya Ona keluarga dia kini. Dia akan turuti apapun kemahuan Ona. Hanya itu yang mampu dia buat untuk balas semua kebaikan Ona.
Sepanjang akad nikah berlangsung, Fayra ditemani Ona di luar bilik pejabat. Selesai lafaz nikah, suami Fayra keluar untuk bersalaman. Fayra langsung tak berani angkat wajah. Tangan suami dikucup lembut. Hanya sesaat sebelum lelaki itu menarik kasar tangannya. Sekelip mata berlalu tanpa sudi bertentang mata dengan Fayra.
Ona kejar laju. Fayra terkebil-kebil ditinggalkan seorang diri di situ. Tidak lama kemudian, Ona muncul bersama wajah kelat.
“Dasar anak bertuah!” bebel Ona. Fayra tersenyum pedih, wajah cuba dimaniskan. Dia faham apa yang dirasai oleh cucu Ona. Siapa pun takkan suka dipaksa nikah dengan orang asing.
“It’s okay, Ona. Beri dia masa untuk terima semua ni. Saya okay je.”
Tiga bulan menjadi isteri, suami langsung tak muncul di mansion mewah bercirikan Inggeris kuno milik Ona. Fayra tak kisah pun, asal je ada Ona, dia tetap rasa bahagia. Siapa nama suami, bagaimana rupa suami… dia tak tahu! Tak pernah berminat mahu tahu.
Sehingga suatu hari, Fayra dihubungi oleh seorang lelaki bernama Han, yang mengakui bahawa lelaki itu adalah pembantu suaminya.
“Tuan akan failkan penceraian. Tuan pinta supaya perkara ini dirahsiakan dari Ona.”
“Saya faham.” Fayra jawab pendek, tak berminat mahu tahu lebih lanjut.
“Tuan nak tahu, puan ada apa-apa syarat ke? Tuan nak bercerai dengan cara baik.”
Fayra diam, berfikir sejenak.
“Sebelum cerai, saya nak jumpa suami saya.”
“Tu je?”
“Ya!”
Beberapa saat lelaki di hujung talian terdiam.
“Baik, akan saya sampaikan kepada tuan, kalau dah takde apa-apa, saya tamatkan panggilan ni ya, terima kasih puan.”
Fayra tersenyum pendek ketika memandang skrin telefon yang sudah bertukar jadi warna gelap itu. Perkahwinan tanpa hala tuju demi kepuasan seseorang itu, lebih baik diakhiri saja. Dia bukan mahu persendakan institusi perkahwinan, tetapi jika tiada bahagia, kenapa perlu diteruskan? Suami dia tak beri kerjasama langsung. Dia pasrah.
Beberapa hari kemudian, Fayra mendapat panggilan dari Han, pembantu suaminya dan beritahu yang suaminya bersetuju untuk berjumpa. Masa dan tempat sudah ditetapkan. Fayra diminta datang tepat pada masanya kerana suami dia kononnya tidak punya banyak masa kerana sibuk dengan perniagaan. Hal itu tidak diberitahu kepada Ona. Fayra hanya beralasan mahu jumpa kawan.
Fayra bersiap cantik-cantik. Entah mengapa, bukan juga mahu tawan hati calon bekas suami tapi entahlah! Dia mahu lakukan itu. Mungkin inilah pertemuan pertama dan terakhir mereka dan dia mahu pertemuan itu jadi kenangan terindah bagi mereka berdua.
Fayra lebih dulu sampai. Sengaja dia datang awal sepuluh minit dari masa yang ditetapkan. Duduk menunggu sambil minum jus buah segar yang dipesan. Tepat jam sepuluh pagi, seorang lelaki kurus melangkah masuk, berketinggian sekitar 160 sentimeter, berkulit gelap dan memakai cermin mata kanta tinggi empat segi berbingkai tebal warna hitam. Rambut ikal pendek tersikat kemas ke belakang. Fayra mengerut dahi apabila langkah kaki lelaki itu terarah ke mejanya.
Itukah suaminya?
“Fayra Mei Khayla?”
Ah, sahlah kot. Itu suami dia! Memang sebijik macam yang Ona terangkan.
“Ya, saya,” Fayra cuba ukir senyuman manis lalu menjemput suaminya duduk. Mereka duduk bertentangan.
“Seperti yang dikatakan oleh pembantu saya, kita akan bercerai. Saya harap semuanya berjalan lancar. Ada apa-apa permintaan sebelum saya failkan penceraian?”
Fayra bersandar di penyandar. Sebelah tangan di atas meja, jemari mengetuk-ngetuk permukaan meja manakala sebelah tangan memegang gelas berkaki panjang, digoyang-goyang perlahan.
“Kenapa nak cerai? You dah ada pilihan lain ke?”
Lelaki itu menggeleng laju.
“Saya tak cintakan awak.”
Fayra angguk mengerti.
“Saya tahu tujuan sebenar awak, Fayra! Awak cuma nakkan harta. Awak boleh perdayakan Ona, tapi bukan saya. Awak boleh pinta berapa banyak wang yang awak nak sebagai ganti rugi, cuma saya nak hal ini rahsiakan dari Ona.”
Fayra tersenyum sinis. Gelas dibawa ke bibir sebelum air jus dicicip perlahan. Pergerakan anggun, seperti seorang wanita kelas atasan. Lelaki itu terpegun memandang.
“I tak perlukan duit you mahupun duit Ona. I akan berusaha sendiri untuk mencari harta, so you tak perlu risau. I beri jaminan hal ini akan dirahsiakan dari Ona. I juga tak nak kesihatan Ona terganggu.”
“Baguslah kalau macam tu. Saya harap awak pegang kata-kata awak. Saya harapkan kerjasama yang baik dari awak semasa berada di pejabat agama nanti.”
Fayra biarkan lelaki itu berlalu. Hanya ekor mata mengiringi. Selepas kelibat lelaki itu menghilang, Fayra mengangkat punggung dan mulai beredar. Ketika menghampiri kawasan parking, langkah mendadak mati. Tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia lihat lelaki yang barusan berbual dengan dia tadi sedang bercakap-cakap dengan seseorang.
Terhendap-hendap, Fayra cuba merapat sambil sembunyi di sebalik kereta-kereta yang terparkir. Dia mahu curi dengar.
“Nothing? Are you sure?”
“Ya, tuan! Dia tak nak tuntut apa-apa.”
Fayra tercengang. Kenapa suami dia kata macam tu? Macam sedang buat laporan tentang dia pada lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa yang sedang membelakangi dia ketika itu. Siapa lelaki perkasa itu?
“Ini bayaran awak. Pergi cepat!” lelaki bertubuh sasa itu menghulur sekeping cek kepada suaminya, buat Fayra semakin kebingungan. Apa semua ni?
“Terima kasih, tuan. Kalau tuan perlukan saya lagi, saya sentiasa siap sedia untuk menyamar sebagai tuan.”
What the…!
Sekarang baru dia faham. Lelaki yang muncul berbicara dengan dia bukan suaminya yang sebenar. Dia ditipu hidup-hidup! Mungkinkah lelaki yang sedang membelakangi itu suaminya yang sebenar?
“H-Hey!” sempat mengelamun sebelum dikejutkan dengan bunyi enjin mengaum keras. Sia-sia dia jerit. Kedua-dua lelaki itu sudah tiada. Fayra hanya sempat melihat sebuah kereta sport buatan luar negara memecut pergi.
Fayra bergegas mendapatkan kereta yang dia pinjam dari Ona. Tergesa-gesa masuk ke perut kereta lalu memandu laju menuju ke mansion Ona. Dia mahukan kepastian.
“Ona…” Fayra menghampiri Ona yang sedang duduk di salah sebuah sofa di ruang tamu menoleh.
“Awal balik? Kata tadi nak jumpa kawan.”
“Dah jumpa, Ona.” Fayra melabuh punggung di sebelah Ona. Lengan Ona dipeluk manja.
“Ona… siapa nama cucu Ona?”
“Hah?”
“Maksud saya, panggilan manja suami saya.” Cepat-cepat Fayra betulkan ayat bila Ona tayang wajah terkejut.
“Rei… cucu Ona merangkap suami awak tu bernama Reizqi Budhriz, tapi sejak kecil dia lebih suka dipanggil Rei, simple dan senang nak ingat katanya. Kenapa tiba-tiba tanya ni? Awak dah jumpa Rei ke?” Ona pamer wajah curiga.
“Saya baru bercadang nak ajak dia keluar.” Fayra beralasan. Ona tersenyum senang. Bahu Fayra dipeluk mesra.
“Kalau Rei layan awak dengan kasar, beritahu Ona.”
Fayra angguk. Telefon bimbit dikeluarkan dari beg tangan. Gambar yang dia curi-curi ambil ditayang kepada Ona.
“Ona kenal tak lelaki ni?”
Buntang mata Ona melihat gambar seorang lelaki dalam skrin telefon bimbit itu.
“Fay, awak dah jumpa Rei ke?” Ona tanya laju.
“Lelaki ni yang muncul, Ona.”
Gambar yang ditunjukkan pada Ona ditenung sebentar. Lelaki yang menyamar jadi suaminya.
“Itu Sham, Fay! Lelaki suruhan Rei. Budak bertuah tu memang nak kena! Asyik nak menipu je kerjanya. Sejak dulu, setiap kali Ona aturkan blind date, mesti Sham yang muncul gantikan Rei! Hish… geram betul Ona dengan budak bertuah tu!”
Fayra hanya mampu tahan gelak. Tak sedar ke Ona juga secara tak langsung turut terlibat dalam penipuan tu? Ona sendiri pula yang kata cucunya pendeklah, gelaplah, tak kacaklah… rupa-rupanya yang dikata tu budak suruhan cucu dia… hadoi!
Share this novel