“TERIMA kasih, bos. Maaf sebab menyusahkan bos hantar saya ke klinik,” ucap Tia serba-salah.
Dengan bantuan Gina Tia dipapah ke bilik rehat. Setelah beberapa minit akhirnya Tia sedar dan diberikan air kosong. Uzayr berkeras mahu Tia memeriksa kesihatannya di klinik. Berkali-kali Tia menolak kerana dia cuma mengalami sakit kepala biasa. Apakan daya Uzayr tetap mahu Tia diperiksa lebih lanjut oleh doktor.
Tia terpaksa akur kerana tidak mahu dianggap sebagai pekerja yang kurang sopan. Uzayr cuak apabila wajah Tia yang pucat itu kelihatan tidak bermaya dan kusut. Mungkin Tia kepenatan dan terlalu banyak berfikir sehingga kesihatannya terjejas.
“Jangan cakap begitu. Saya ikhlas bantu awak. Lagipun kalau PA saya jatuh sakit saya juga yang susah. Ibarat sebelah tangan saya ni lumpuh.”
Uzayr ketawa besar. Jauh di lubuk hatinya itulah yang sebenarnya dia rasa bila Tia jatuh pengsan sebentar tadi. Dunianya bagaikan terbalik. Tanpa Tia, sudah tentu kerja-kerjanya di pejabat tergendala.
“Cik Tiara Amanda!” panggil pembantu klinik.
Langkah Tia diatur ke kaunter mengambil ubat. Setelah diterangkan jenis-jenis ubat dan cara pengambilannya, Tia mengeluarkan dompet untuk membayar kos ubat-ubatan.
“Tak payah, Tia. Biar saya yang aje yang bayar,” celah Uzayr dari belakang, dan sehelai not bernilai seratus ringgit dihulur kepada gadis merangkap pembantu klinik itu.
Kerana terlalu kelam-kabut Uzayr tidak sempat membawa Tia ke klinik panel syarikatnya. Belum sempat berkata apa-apa, plastik berisi ubat-ubatan sudah berada di tangan Uzayr.
“Jom!”
“Errr… ke mana?” Bingung Tia seketika dengan Uzayr.
“Saya hantarkan awak balik.” Penggera kereta mewah berjenama antarabangsa milik Uzayr berbunyi bila ia ditekan.
“Awak nak tercegat dekat situ sampai besok ke?” soal Uzayr dari dalam kereta selepas cermin tingkap diturunkan.
Tergesa-gesa Tia membuka pintu kereta lalu duduk di sebelah Uzayr.
“Doktor tak bagi saya cuti sakit pun, buat apa saya nak balik?” Tia menatap wajah Uzayr dari sisi. Dahi pemuda itu berkerut dengan soalan dari Tia.
“No! Saya selaku bos awak, mengarahkan awak untuk berehat hari ni. Hari ni tak payah kerja. Titik!”
Tia memuncungkan mulut. Dia lebih rela bekerja daripada duduk di rumah. Dia akan lebih banyak berfikir jika duduk berseorangan. Ini akan membuatkan dia rasa lebih sakit. Lebih sedih. Sementelahan, Erin juga terus-menerus memulaukan dirinya. Hidup mereka kini terasing. Sunyi tanpa canda gurau seperti selalu.
Sebelum kereta Uzayr bergerak, pemuda itu menyoal-siasat Tia dengan beberapa soalan.
"Awak tengah diet ke, Tia?" tebak Uzayr.
"Hah! Ma… mana ada, bos." Tia menjawab gugup.
"Awak dah kurus benar saya tengok. Tak perlu nak berdiet bagai sampai pengsan." Uzayr memerhati Tia di sebelahnya dengan ekor mata.
"Saya dah beritahu tadi, bos. Saya tak pernah diet pun."
Berkelip-kelip kelopak mata Uzayr dengan jawapan Tia. Selalunya perempuan yang cukup menjaga bentuk badan akan berdiet habis-habisan untuk mendapatkan berat dan bentuk badan idaman.
"Saya penat. Semuanya bos punya pasal. Bagi saya kerja banyak sangat." Tia sengaja menyakat Uzayr untuk melihat reaksi pemuda itu.
"Banyak sangat ke kerja awak kat pejabat tu? Macam tipu je. Bukan main senang hati lagi awak bergelak-ketawa dengan Gina Montel tu."
Suka-suka hati Uzayr memberi gelaran 'montel' di hujung nama Gina. Kalaulah Gina tahu… mesti leper Uzayr dikerjakan.
Nampak gayanya Tia tidak boleh lagi bersembang dengan Gina lama-lama. Dalam diam-diam, ulahnya diperhati oleh Uzayr. Sekalipun mereka bersembang, hal kerja tetap didahulukan.
“Ni ubat awak. Makan ubat tu, tahu. Jangan disimpan buat pekasam.”
Gegendang telinga Tia dipaksa mendengar nasihat Uzayr. Plastik ubat disumbat ke dalam tas tangan seiring dengan ucapan terima kasih.
“Rumah awak kat mana?” soal Uzayr mematikan lamunan Tia.
“Saya balik sendiri ajelah, bos.” Cepat-cepat Tia memintas.
“Awak di bawah tanggung jawab saya. Saya akan hantar awak balik. Cepat, beritahu saya kat mana rumah awak?” tekan Uzayr.
“Kerinchi,” beritahu Tia perlahan.
Kereta Uzayr menelusuri ke jalan Bangsar yang tidak berapa sesak ketika itu. Sejak tadi, mereka berdua lebih banyak melayan perasaan masing-masing. Tia sibuk dengan telefon pintarnya. Manakala, Uzayr sesekali menjeling Tia yang tampak ayu dalam persalinan berwarna merah jambu, lebih terserlah sifat feminin Tia.
“Kita dah nak sampai. Kat lampu isyarat tu nanti bos kena buat pusingan U,” jelas Tia kepada Uzayr.
Uzayr mengangguk. 100 meter lagi Uzayr akan membuat pusingan U sebelum masuk ke perkarangan pangsapuri milik Tia.
“Terima kasih, Encik Uzayr. Saya dah cakap tak nak balik, tapi bos hantar saya balik juga,” bebel Tia selamba.
“Sama-sama. Ingat, rehat cukup-cukup. Esok saya dera awak bagi kerja banyak-banyak. Hahaha.” Bukan main seronok Uzayr ketawa.
Tia melambai kepada Uzayr sebelum pemuda itu berpatah balik ke pejabat.
“Assalamualaikum." Kaki melangkah masuk ke dalam rumah serentak dengan ucapan salam.
Tia tidak berhasrat untuk berehat di bilik tidur. Matanya belum lagi mengantuk. Langsir di pintu gelangsar ditarik ke sisi dan jaluran jingga dari sang matahari menyusup masuk ke dalam rumah.
'Layan TV lagi baik,' omel Tia dan tercari-cari saluran menarik untuk ditonton.
'Yang inipun bolehlah…,' bisik hati Tia saat filem Inggeris ditayang di kaca TV.
Baru lima minit menonton TV, telefon pintarnya bergetar tanda ada pesanan masuk. Tia buat tidak tahu dan terus memaku pandangan pada filem aksi itu. Seketika kemudian, deringan yang amat dikenalinya mengganggu konsentrasi Tia.
"Hello, bos?" jawab Tia ringkas.
"Hello… wah, marahnya!" jawab Uzayr tetapi masih tetap fokus pada pemanduan.
"Maaflah, bos. Saya tengah syok tengok TV tapi bos pulak kacau daun," terang Tia jujur.
"Awak tengok TV? Saya bagi awak cuti supaya awak dapat berehat. Bukannya tengok TV," tekan Uzayr di hujung talian.
"Saya memang tengah rehat. Baring-baring sambil tengok TV," ujar Tia sambil menguap.
Matanya semakin mengecil dan kudup mata mula terkatup perlahan-lahan. Mungkin kesan ubat yang terpaksa dia ambil oleh Uzayr sebentar tadi. Suara Uzayr sayup-sayup kedengaran di cuping telinganya.
"Tia! Tia! Awak dengar tak ni?" panggil Uzayr cemas apabila suara Tia tidak lagi kedengaran. Dia berkira-kira untuk berpatah balik semula untuk memeriksa keadaan Tia.
'Laaa… tidur rupa-rupanya!'
Uzayr ketawa sendiri apabila dengkuran halus menerjah pendengarannya. Tia tertidur ketika bercakap dengan Uzayr. Tidak jadi dia membebel lagi dan bising-bising tentang kesihatan Tia.
Tubuh Tia dikalih ke kiri setelah agak lama tidur telentang. Teraba-raba tangan Tia mencapai objek di dahi. Terasa sesuatu seperti jeli yang melekat di situ. Sekeping pelekat berjenama Cool Fever telah ditampal oleh seseorang ke dahinya oleh seseorang ketika dia tidak sedarkan diri. Pandangannya ditebar ke sana-sini. Dia masih berada di sofa di ruang tamu rumahnya. Perlahan-lahan tubuh kurusnya ditegakkan untuk bangun.
"Kau demam. Lepas makan bubur nanti kau makan ubat ni pulak."
Tia menoleh ke arah suara itu. Erin berjalan sambil menatang dulang berisi semangkuk bubur dan air kosong lalu diletakkan di meja sisi.
"Makanlah. Nanti perut masuk angin," arah Erin tanpa memandang muka Tia.
Erin mahu beredar segera namun tangannya pantas disambar Tia. Keprihatinan Erin terhadap dirinya amat meruntun sekeping hati milik Tia yang libang-libu.
"Erin… maafkan aku. A… aku tahu kau marahkan aku. Aku berharap sangat, kau faham situasi aku," rayu Tia sesungguh hati.
Erin tetap seperti tadi. Beku dan bercakap apabila perlu. Langkah Erin dibawa ke kamar. Pintu bilik ditutup rapat. Setitik demi setitik air mata Tia jatuh membasahi pipi. Sedih kerana berasa diri tersisih. Tubuh terhinggut mengikut irama tangisannya yang pecah tanpa dapat ditahan lagi.
Tiba-tiba bahu Tia dicuit. Tubuh Tia dipeluk dengan kemas. Tia menangis semahunya dalam dakapan Erin yang duduk di sebelahnya.
"Sudahlah tu. Habis bengkak mata kau tu," kata Erin perlahan. Belakang tubuh Tia diusap lembut.
"Ma… maafkan aku, Erin." Tidak henti-henti ungkapan itu meniti di bibir Tia.
"Aku dah maafkan kau, Tia. Cuma aku minta tolong dekat kau. Lepas ni, tolonglah fikirkan diri kau dulu sebelum orang lain. Aku bukannya suka-suka nak marah kau. Aku sayangkan kau macam adik-beradik aku sendiri. Bila kau sengsara, aku pun rasa sengsara, Tia," lirih Erin dalam sendu.
Tangannya diletakkan di dadanya sendiri. Sungguh, jiwa dan raganya perit menyaksikan Tia dilambung-lambung seperti boneka.
Tia teresak-esak menangis sehingga penglihatannya menjadi kabur. Erin mengambil mangkuk bubur yang semakin sejuk. Sudu yang dikaut dengan bubur nasi disua ke mulut Tia. Mulut Tia dingangakan membiarkan dirinya dimanja oleh Erin.
Tangan Tia merampas sudu tadi lantas menyuapkan Erin bubur yang sama. Kedua-duanya saling berpelukan kembali dan menghamburkan kerinduan seorang sahabat lama.
"Aku ada sesuatu untuk kau," kata Erin selepas adegan penuh air mata tadi beransur pergi.
"Apa dia?" soal Tia kehairanan.
Erin berlalu ke kamarnya meninggalkan Tia yang terpinga-pinga. Seminit kemudian, dia ke ruang tamu dan meletakkan sesuatu di tapak tangan Tia. Air mata Tia semakin laju mengalir seperti sungai. Mulutnya ditekup kerana tidak percaya selepas melihat objek yang berada di tapak tangannya.
"Kenapa, Erin? Kenapa kau sanggup buat sampai begini sekali?" Bahu Erin digoncang kuat.
Hujung jari-jemari Erin menyeka air mata yang bergenang di tubir mata Tia yang semakin ketara membengkak.
"Sebab aku tahu, gelang ni amat bermakna buat engkau. Ini amanat aku. Tolong jaga gelang ni baik-baik. Jangan sekali-kali kau jual lagi seperti semalam. Boleh, kan?"
Semakin berjujuran manik-manik jernih di pipi Tia yang tidak pernah kering. Begitu mulia hati Erin sehingga sanggup berkorban begitu rupa. Kedua-dua belah tangan Erin digenggam kemas.
"Tak terbalas budi kau pada aku, Erin. Kau satu-satunya sahabat aku di dunia dan di akhirat." Erin tersenyum gembira melihat senyuman Tia menata wajah bujur sirihnya.
***
"UNTUNGLAH badan…," sapa Gina yang sudah duduk di depan Tia tanpa dipelawa.
"Apa yang untungnya ni, Gina?" Berlapis dahi Tia dengan kenyataan Gina.
"Bos sayang betul dekat kau. Nampak sangat dia ambil berat pasal kau bila kau jatuh pengsan."
Terjongket-jongket kening Gina menerangkan situasi sebenar.
"Mana-mana pekerja yang jatuh pengsan depan dia pun mesti dia akan bertindak hal yang sama."
Tia malas untuk bercakap banyak. Bahaya betul mulut si Gina. Habislah bergoncang satu wisma jika Gina menjaja inti cerita yang tidak betul. Gina mengusap hujung dagunya yang bulat. Matanya dikecilkan seraya menyorot tajam kepada Tia yang kelihatan tenang.
"Mengikut firasat akulah, bos tu ada hati kat kau kut, Tia."
Gina terkekeh-kekeh ketawa. Mana tahu telahannya betul. Jika benar, Nelly lah salah satunya manusia yang akan kecewa dan makan hati.
"Ah! Pandailah kau. Dia buat semua tu atas dasar ihsan dan belas sebagai seorang manusia. Bukan sebab hal peribadi. Ni… kau jangan fikir bukan-bukan, eh? Hal semalam tak perlu nak ungkit lagi. Aku pun dah sihat walafiat. Kau tak ada kerja ke?" soal Tia lembut berbaur tegas.
"Yelah… yelah. Tak perlu nak halau aku. Aku pergilah ni," rajuk Gina seraya menolak kembali kerusi Tia ke tempat asal.
"Rehat nanti jumpa aku kat pantri. Aku ada bawa kek coklat."
Gina tersengih suka. Bukan susahpun hendak pujuk Gina. Bab coklat dan kek, laju saja kesalahan Tia dimaafi. Gina melayangkan satu flying kiss buat Tia. Tergeleng-geleng Tia melihat tingkah nakal Gina.
"Ehem… dah sihat?" tegur Uzayr yang tercegat di depan Tia beberapa minit yang lepas.
Tia begitu tekun melaksanakan tugasannya sehingga batang tubuh Uzayr yang berada di depannya langsung tidak disedari.
"Eh, bos! Selamat pagi. Alhamdulillah, saya dah sembuh sepenuhnya." Tia menjawab pertanyaan Uzayr dengan sopan.
"Baguslah. Kalau begitu, tengah hari ni bolehlah ikut saya dengan Nelly. Ada lunch discussion dengan klien," pesan Uzayr.
"Ikut bos dengan Cik Nelly? Baiklah. Nanti saya sediakan apa yang patut," jawab Tia mendatar.
Dia kurang selesa berhadapan dengan Nelly walaupun atas tiket rakan sekerja. Ini kerana, Nelly suka mencari kesilapan Tia walaupun sebesar hama. Entah apa tanggapan Nelly terhadap Tia yang sebenarnya dia pun tidak tahu.
Panjang muncung Gina saat diberitahu tentang temujanji mereka yang terpaksa dibatalkan secara tiba-tiba. Namun, Tia bijak memancing angin Gina dengan memberinya kek coklat seperti yang dijanjikan.
Pertemuan mereka dengan klien berjalan dengan lancar. Kini tiba saatnya untuk mereka menjamu selera.
"Bos, saya ke ladies sekejap." Tia meminta diri sebelum berlalu ke tandas di bangunan hotel bertaraf lima bintang itu usai menikmati makan tengah hari.
"Aku tak sangka pula zaman sekarang ni PA masih ada hubungan sulit dengan bos sendiri."
Hampir rebah Tia mendengar tuduhan tidak
berasas dari Nelly. Tia sendiri tidak pasti bila mereka bermusuhan.
Nelly mengerling Tia sekilas di singki untuk mencuci tangan. Sebatang gincu YSL Rogue Pur Couture dioles ke bibirnya yang seksi.
"Cik Nelly tak ada hak nak tuduh saya yang bukan-bukan. Hubungan saya dengan Encik Uzayr hanya sebagai majikan dan pembantu peribadi. Tidak lebih dari itu.”
Tia cuba menahan getaran suaranya yang menahan geram. Kaki dan tangannya terasa sejuk seperti ais. Nelly dengan sesuka hatinya melontarkan fitnah yang tidak berasas dan tidak masuk akal.
Nelly menutup kembali gincu itu seraya merapi-rapikan rambutnya yang disanggul persis sang pramugari. Dia menoleh ke arah Tia dengan pandangan sinis. Kali ini dia mengeluarkan minyak wangi berjenama Paco Rabbane Fame dan disembur ke setiap pergelangan tangan dan di bawah cuping telinganya.
Tia cepat-cepat menarik beberapa helai tisu untuk mengelap tangannya usai mencuci tangan. Dia ingin menapak untuk keluar dari bilik air yang ‘panas’ dek mulut lancang Nelly yang tidak tahu langsung menjaga hati orang lain.
"Macamlah aku tak tahu. Perempuan macam kau tu lembut gigi dari lidah. Diam-diam ubi berisi. Nak hidup senanglah katakan. Nampak aje baik. Tapi…." Ayat Nelly tergantung di situ.
Sehina itu tanggapan Nelly terhadapnya. Dia hanya bekerja untuk mencari rezeki yang halal. Tidak terlintas di benak untuk menjadi perempuan murah seperti itu.
Tia yang ingin keluar mematikan hasratnya. Dia mendekati Nelly dan memandang gadis itu tepat ke matanya.
“Saya tak sangka Cik Nelly masih hidup di zaman 20 tahun ke belakang. Pendapat Cik Nelly tentang hubungan sulit antara bos dan secretary sudah lapuk. Zaman sekarang ni bukan setakat secretary je yang boleh ada affair dengan bos, Marketing Executive pun ada juga yang menggedik untuk memikat bos.”
Pantas Tia beredar dari situ sebelum keadaan menjadi lebih tegang. Yang pasti hatinya cukup puas dapat melihat wajah Nelly yang mencuka kerana sindiran pedasnya tadi.
Share this novel
best citer ni..bestnya kalau ada kwn mcm Erin