MENTARI pagi memancarkan sinarnya, menerangi seantero alam. Burung-burung kecil yang berterbangan di udara kemudian hinggap di dahan pokok akasia besar, bersiulan riang, seolah berzikir memuji tuhan yang memberikan mereka rezeki untuk terus hidup dan mencari makan. Tidak jauh dari pokok akasia tersebut, tersusun barisan pokok bunga yang subur dengan kuntuman bunga-bunganya. Kelihatan seorang lelaki separuh baya memangkas pokok-pokok bunga tersebut agar terlihat kemas dan rapi.
Julai-julai pokok yang dicantasnya tadi dikumpulkan dan di masukkan ke dalam kereta sorong. Setelah selesai melakukan tugasnya, lelaki itu membawa kereta sorong yang sarat dengan sisa ranting pokok menuju ke arah sebuah rumah agam. Di pekarangan rumah tersebut, lelaki yang bertugas sebagai tukang kebun itu mengisi semua sisa ranting yang dipangkasnya tadi ke dalam satu plastik hitam yang besar. Lelaki itu kemudian menghembuskan satu nafas kasar, membuang kelelahan yang bersarang setelah bekerja pada pagi itu. Mata lelaki itu kemudian beralih melihat ke arah rumah agam di depannya.
Di dalam rumah agam milik Tan Sri Hanafi itu, keluarga si pemilik rumah baru selesai bersarapan. Tan Sri Hanafi yang kekenyangan menyandarkan belakang badannya ke kerusi. Tiba-tiba telefon pintar milik lelaki kaya itu berderingan. Tan Sri Hanafi lantas mencapai telefonnya dan segera menjawab panggilan tersebut.
"Tan Sri.. saya ada benda penting nak bagitau.. bekas pengurus kat syarikat, yang bergaduh dengan Rizal tempoh hari, saya dah pecat dia.. beberapa hari lepas dia dah kena tangkap polis sebab terlibat dalam kejadian langgar lari.." Suara Jamal kedengaran di sebalik panggilan.
"Habis tu, apa yang pentingnya? Apa kaitan dia dengan saya?" Tan Sri Hanafi tidak berminat untuk mengetahui keadaan bekas pekerjanya. Baginya lelaki itu sudah tiada kaitan dengan syarikatnya sama sekali.
"Masalahnya.. dari maklumat yang saya dapat.. orang yang dia langgar tu.. Rizal, anak Tan Sri." Jamal sedikit gugup untuk menjelaskan keadaan yang telah berlaku.
"Hah, apa?! Rizal? Habis tu, macam mana keadaan dia sekarang?" Tan Sri Hanafi terkejut besar.
"Dia di masukkan ke hospital.. dengar kata, kecederaan dia teruk jugak.. kaki pun patah.. tapi bila saya ke hospital untuk tengok dia, rupanya Rizal dah keluar dari hospital.. selepas discharge dari hospital tu, saya tak tahu dia kemana.. saya dah pergi ke rumah dia, tapi takde orang.." Jamal menyampaikan laporan.
"Ya Allah.. Apa yang dah jadi kat anak aku? Patut la dia tak pulang-pulang.. Habis tu, takkan awak langsung tak tahu apa-apa dah? tak cuba cari tempat lain?"
"Saya.. saya pun tak tahu nak cari dia kat mana lagi Tan Sri.. lagipun, kalau nak terus cari dan luaskan pencarian, kita kena pakai ramai orang.. saya mana ada dana.." Jamal terpaksa berterus-terang. Dia sendiri bahkan sibuk dengan pekerjaan dan urusan peribadinya. Malah jika ingin mengupah orang, upah perlu dikeluarkan. Jamal sendiri tiada sumber kewangan yang mencukupi untuk membiayai misi pencarian Rizal.
"Saya akan berikan awak 200 ribu ringgit.. upah orang untuk teruskan pencarian.. sesiapa yang dapat jumpai Rizal dan kembalikan dia ke rumah saya, saya akan bagi hadiah satu juta ringgit." Tan Sri Hanafi memberi arahan. Dia ingin anaknya itu segera ditemukan dan di kembalikan ke rumahnya dengan selamat.
"Baiklah Tan Sri.." Jamal akur dengan perintah daripada majikannya itu. Setelah itu, panggilan telefon diantara mereka segera dimatikan.
Tan Sri Hanafi termenung setelah panggilan diputuskan. Dia sangat khawatirkan keadaan anak lelakinya. Di saat itu juga, Puan Sri Rohayu dan anak perempuan mereka, Shahira muncul dan mendatangi Tan Sri Hanafi.
"Kenapa bang? Saya dengar awak nak bagi satu juta kat orang yang jumpa Rizal.. apa dah jadi? kenapa dengan Rizal?" Puan Sri Rohayu bertanya dengan riak wajah yang cemas.
Tan Sri Hanafi berkalih pandang ke arah isterinya buat sejenak. Lelaki itu kemudian kembali mendiamkan diri sambil menjatuhkan pandangan wajahnya. Selepas beberapa detik, barulah Tan Sri Hanafi membuka mulutnya.
"Rizal.. dia.. terlibat dalam kemalangan.. tapi sekarang, dia hilang, tak dapat dikesan.. takde orang tahu kat mana Rizal sekarang.."
"Ya Allah, anak aku!" Puan Sri Rohayu tiba-tiba menjerit sambil menekup mulutnya dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Seluruh tubuhnya dirasakan lemah serta merta. Shahira yang turut terkejut dengan berita mengenai abangnya segera memeluk tubuh ibunya. Gadis itu segera memapah ibunya ke arah kerusi dan menempatkan ibunya di situ.
"Semua ni salah saya.. kalau saya tak hantar Riz ke sana, semua ni takkan jadi.." Tan Sri Hanafi mula menyalahkan dirinya sendiri. Dia kesal. Padahal dia berniat baik, untuk mengubah anak sulungnya itu. Namun langsung tak menjangkakan akan berlaku tragedi sebegitu terhadap Rizal.
"Papa.. jangan salahkan diri papa.. semua ni Allah dah takdirkan.. bersabarlah.." Shahira cuba menenangkan bapanya agar lelaki itu tidak terus menyalahkan diri sendiri di atas kejadian yang menimpa abangnya.
"Tapi.. kalau papa tak hantar abang Riz ke sana, dia takkan jadi macam ni,.."
"Pa, sudahlah.. sekarang ni yang paling penting, macam mana kita nak cari abang Riz.."
"Papa dah arahkan orang untuk cari.. Ira, nanti uruskan dengan pihak media.. luaskan liputan pencarian.. biar pihak media war-warkan, sesiapa yang dapat jumpa dengan abang Riz, kita akan bagi sejuta ringgit, cash!" Tan Sri Hanafi mengarahkan anak gadisnya. Dia tahu, walaupun anak gadisnya itu masih muda, namun Shahira memang dapat diandalkan.
"Baiklah pa.. nanti Ira uruskan dengan pihak media.." Shahira menurut. Seraya itu juga tangannya masih melurut lembut belakang badan ibunya yang masih dihambat kejutan. Puan Sri Rohayu menangis teresak-esak. Masakan tidak, Rizal adalah anak lelaki kesayangannya. Kehilangan anak lelakinya itu benar-benar mengggugah ketenangan jiwanya, apalagi setelah mengetahu anaknya itu telah kemalangan.
AMIRA baru pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal. Di tangan gadis itu terdapat helaian kertas yang digulungnya. Setelah mematikan enjin motosikal, Amira berjalan untuk masuk ke dalam rumahnya. Kertas ditangannya itu dibuka dan lihat dengan senyuman. Dia baru pulang dari masjid terdekat untuk mendapatkan borong perkahwinan. Kini gadis itu tersenyum gembira sambil menatap borang memohon perkahwinannya dengan Rizal.
Dia dan Rizal sudah pun bersetuju untuk bernikah dengan segera dan melaksanakan upacara perkahwinan sekadar memenuhi keperluan syariat sahaja. Tiada sebarang persandingan atau majlis kenduri perkahwinan. Malah hantaran juga tidak diperlukan bagi pihak Amira. Cukup sahaja melaksanakan upacara ijab dan qabul serta memenuhi rukun perkahwinan yang ditetapkan dalam agama.
Amira yang bersemangat, dengan segera mengisi borang yang baru dia dapatkan. Dia ingin menyegerakan urusannya bersama Rizal kerana gadis itu perlu bergegas untuk pulang ke kampung pula bagi menjaga neneknya nanti. Mengikut perancangannya, dia akan segera melangsungkan perkahwinan dengan Rizal dan akan membawa lelaki yang sudah menjadi suaminya itu nanti ke kampung halamannya. Di sana, Amira akan lebih mudah untuk menjaga dua orang yang sedang sakit itu sekaligus.
Sekejap masa, ruangan kosong yang perlu diisi di dalam borang perkahwinanya selesai disiapkan oleh Amira. Gadis itu kemudian menyimpan borang tersebut di dalam sebuah laci sebelum bergegas menuju ke halaman rumah untuk mengangkat kain jemuran di ampaian. Selesai mengisi semua pakaian yang sudah kering dari jemuran di dalam raga, Amira segera kembali ke dalam rumah dan meletakkan pakaian yang baru diangkatnya di ruang tamu.
Satu hembusan kasar dilepaskan dari mulutnya. Amira merasa agak keletihan. Kini dia ingin berehat seketika dan segera membuka siaran televisyen. Sambil menonton, gadis itu mencapai pakaian yang baru diangkatnya sehelai demi sehelai untuk dilipat. Mata gadis itu berselang seli melihat ke arah televisyen yang terpasang dan timbunan kain yang harus dilipatnya.
Tidak lama kemudian, siaran televisyen memaparkan berita tergempar. Seorang pembaca berita wanita dengan nada suara yang penuh keyakinan menyampaikan laporan.
"Tokoh korporat termuka tanah air yang juga pemilik syarikat THL Global Group yang terkenal sebagai salah seorang jutawan terkaya iaitu Tan Sri Hanafi sedang mencari anaknya yang hilang. Kini, beliau telah menawarkan RM1juta kepada sesiapa yang berjaya memberi maklumat mengenai anaknya sehingga anaknya itu ditemukan.."
Amira yang sedang menonton siaran televisyen tersebut tiba-tiba terkejut dengan laungan suara ibunya dari dapur.
"Mira! datang sini jap!" Suara Shiela menjerit memanggil Amira.
"Ya bu.. jap, Mira datang.." Amira bergegas bangkit berdiri dan meninggalkan kain yang masih bertimbun di ruang tamu. Gadis itu dengan kelam-kabut berlari menuju ke arah dapur, tempat ibunya berada.
"Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Hasrizal Hanafi, boleh menghubungi nombor yang tertera di kaca televisyen atau balai polis yang berhampiran." Suara pembaca berita kedengaran jelas sambil paparan di layar televisyen menunjukkan wajah Rizal dan nombor telefon untuk dihubungi.
Namun ketika itu, Amira sudah pun berada di ruangan dapur rumahnya dan langsung tidak mendengar atau melihat laporan berita yang tersiar.
Share this novel
Alahaiii, ada je yg menghalang..tp ok jugak, harap Amira dpt bersatu dengan Rizal..seblm serahkan Rizal kpd keluarganya..