Bab 3

Romance Series 12632

NAZRIL akhirnya melepaskan cengkamannya pada kolar baju Isaac yang sudah tidak berdaya di atas lantai setelah berkali-kali Damia cuba menarik bajunya untuk meleraikan pergaduhan.

"Kau dengar baik-baik, Damia bukan milik kau!" Nazril berbisik keras di telinga Isaac sebelum dia berdiri.

Wajahnya terlihat tenang, tetapi sinar matanya jelas memancarkan kemarahan yang membara. Tanpa berkata apa-apalagi, dia terus membuka jaket kulit yang bersarung di tubuhnya, lalu dihulurkan kepada Damia. "Pakai ni,” ujarnya pendek, tetapi tegas.

Damia memandang jaket itu buat seketika sebelum dia menyambut huluran tersebut setelah dia faham akan maksud lelaki yang berniat hendak menutup aibnya itu.

“Jom, arah sana,” kata Nazril sambil melangkah menuju ke hujung lorong dengan kedua-dua tangan di dalam poket seluarnya.

"Tapi, dia..." Damia memandang Isaac yang masih terbaring lemah di atas lantai dan berlumuran darah itu dengan perasaan serba salah.

"Biarkan je dia kat situ. Pandai datang, pandai-pandailah dia pulang. Jangan risau, dia takkan mati," kata Nazril dengan nada yakin tanpa memberhentikan langkah kakinya, mahupun menoleh.

Damia melepaskan satu keluhan panjang yang kedengaran begitu berat sekali sebelum dia mengekori lelaki itu dengan langkah perlahan sehingga mereka tiba di hujung lorong.

Spontan Damia mengerutkan dahi melihat Nazril berhenti di sebelah sebuah motosikal berkuasa tinggi. Rasa hairan menjengah dalam hati. Kenapa dia parking kat tempat tersorok macam ni? Motosikal jenis ni bukan murah. Siapa dia sebenarnya? Anak orang kaya ke? Tapi, kenapa dia kerja jadi pekerja stor je? Pelbagai andaian mulai bermain di fikirannya, namun lamunannya langsung terhenti saat Nazril menghulurkan topi keledar kepadanya.

“Motosikal ni saya pinjam kawan saya punya,” kata Nazril seolah-olah dapat membaca fikiran wanita yang sedang berteka-teki sendiri itu. "Saya hantar awak balik."

“Tak payah susah-susah, saya boleh je balik sendiri.”

Nazril langsung menatap mata Damia dengan pandangan serius. “Lepas apa yang dah berlaku, saya takkan biarkan awak balik sendiri, jom!”

Nada suara dan ketegasan lelaki itu membuatkan Damia tidak mampu membantah lagi. Dia akhirnya mengalah, lalu dia mengambil topi keledar yang dihulurkan kepadanya dan memakainya sebelum dia menaiki motosikal berkuasa tinggi itu dengan perasaan berat hati.

“Pegang saya kuat-kuat, nanti jatuh,” arah Nazril sebelum dia menghidupkan enjin.

Damia menggeleng. “It's okay, saya boleh duduk elok-elok.”

Nazril mengangkat bahu dan tanpa amaran, dia terus memecut motosikal itu membuatkan Damia spontan mencengkam kuat bahu lelaki itu kerana terkejut.

“Awak gila ke?!” jerit Damia, namun suaranya tenggelam dalam bunyi deruman enjin motosikal dan deruan angin yang memukul wajahnya.

Nazril tersenyum licik, lalu dia memulas minyak menambah kelajuan motosikal membuatkan Damia terpaksa memegang lelaki itu dengan lebih kuat.

- - - -

"WHO sent you home?"

Suara keras yang tidak asing lagi dalam kegelapan ruang tamu rumah berkeluasan sederhana itu membuatkan Damia spontan memegang dadanya kerana terkejut. Ruang tamu yang gelap-gelita tadi langsung berubah menjadi terang-benderang selepas kedengaran bunyi suis lampu ditekan.

Puan Kyra sedang berdiri di tepi dinding dengan riak muka tegang dan bengis memandang anak perempuannya itu sambil berpeluk tubuh. "I'm asking you, Mia... who sent you home?" Kali ini, nada suaranya kedengaran lebih keras berbanding tadi.

“Kawan... kawan di tempat kerja."

"Mia dah lupa ke apa mommy pernah cakap sebelum ni?"

Damia mendengus. “Mommy... Mia dah 32 tahun, mommy. Bukan budak kecil lagi. Salah ke kalau Mia bercinta? Mia pun nak berkahwin macam orang lain juga."

“No!"

"What's your reason, mommy?" Damia mengepal penumbuk, berusaha sedaya upaya mengawal emosinya. "Masa Mia dengan Isaac dulu pun..."

"We're not talking about Isaac now, Mia!" pintas Puan Kyra dengan mata terjegil garang.

"Tak kisahlah pasal Isaac atau kawan Mia tadi tu, mommy. I need your reason! Kenapa mommy mati-matian tak nak Mia jalin hubungan dengan lelaki? Mommy takut Mia akan cari daddy sebagai wali ke kalau Mia nak kahwin? atau sebab mommy takut Mia akan tinggalkan mommy lepas kahwin? Itu ke alasan mommy? Tell me, mommy!" balas Damia dengan muka bengang tanpa menyedari suaranya semakin meninggi.

“No... but I have a reason," balas Puan Kyra dengan riak wajah dan nada suara yang sudah mengendur, tidak seperti tadi.

"Sampai bila mommy nak terus buat Mia macam ni, mommy? Sampai bila! I'm begging you, mommy. Tolonglah berhenti buat hidup Mia penuh dengan teka-teki macam ni! It's exhausting!"

Riak wajah Puan Kyra serta-merta berubah. Kelihatan seperti ada kesedihan dan kekesalan yang terpancar dari sinar matanya. "Nanti tutup balik lampu ruang tamu," ujarnya seraya berpaling hendak menuju ke biliknya. Dia sudah tiada daya untuk terus bertekak dengan anak perempuannya itu.

Namun, baru beberapa langkah dia berjalan, langkahnya tiba-tiba terhenti. Tubuhnya langsung tersandar pada dinding sambil memegang dadanya buat beberapa saat sebelum tubuhnya perlahan-lahan melurut ke lantai.

“Mommy!” Damia terus berlari ke tempat ibunya dengan muka cemas, lalu tubuh wanita itu segera dipangku. "Mommy, Mia minta maaf. Mia tak berniat... bertahan, mommy, please!" Dia segera mengeluarkan telefon dari beg silangnya, lalu dia terus membuat satu panggilan kecemasan.

Puan Kyra kelihatan cuba membuka mulut untuk berkata sesuatu, tetapi suaranya tidak kedengaran langsung. Hanya mulutnya sahaja yang terkumat-kamit.

“Mommy, stay with me! Stay awake, please, please, please!" rayu Damia, lalu dia segera melakukan rawatan kecemasan sementara menunggu pihak medik tiba. Sambil melakukan rawatan kecemasan, tidak henti-henti dia menuturkan kata maaf dengan perasaan serba salah yang kian menggunung.

- - - -

SELEPAS menghantar Damia pulang ke rumahnya dalam keadaan selamat, Nazril tidak terus pulang, sebaliknya dia menuju ke kawasan perbukitan yang menghadap pemandangan bandar raya yang berkerlipan seperti taburan bintang di langit.

Bunyi deruan angin malam menjadi satu-satunya teman setianya malam itu. Dia mematikan enjin motosikal, lalu dia menanggalkan topi keledarnya sambil melepaskan keluhan berat seolah-olah melepaskan beban yang menyesak di dadanya.

Dia memandang lampu-lampu kota sambil bersandar pada motosikal. Wajah yang sama mengganggu fikirannya hampir setiap waktu kembali menjelma di layar fikirannya, lengkap dengan senyuman nipis yang seringkali terpampang pada wajah itu setiap kali mereka bersemuka.

"Aku nak tengok sampai bila kau nak terus berlakon tak kenal aku!" Nazril menggumam dengan suara yang kedengaran seperti marah bercampur dengan kecewa.

Namun, saat dia mengingat kembali sinar mata tulus dan polos yang terpancar daripada sepasang mata berwarna hazel coklat itu, dia yakin ada sesuatu yang tidak kena.

"What exactly has happened to you?" Nazril melepaskan keluhan panjang sebelum dia mengeluarkan telefon dari poket seluarnya, lalu dia membuat satu panggilan. Dia tidak menunggu lama pun untuk panggilannya dijawab. "Hael, I need your help!"

"Sure! I'm always here for you, bro! So, tell me... what help you need?" balas suara garau di hujung talian.

"Let's meet!"

- - - -

"KAU ada masalah ke? Dah dua hari aku tengok kau banyak diam dan asyik termenung macam ni. Kalau kau ada masalah, kau jangan pendam sorang. Aku ada je ni. Kalau aku boleh bantu, aku bantu," ujar Alin memecah kesunyian di meja kaunter penyambut tetamu.

Lambat-lambat Damia menoleh diiringi dengan keluhan. "Mommy aku... mommy aku dah dua hari kat ICU, masalah jantung. Dahlah tak boleh jaga kat wad. Jadi, aku boleh pergi lawat mommy aku masa melawat je, itupun sampai sekarang mommy aku masih ditidurkan," luahnya dengan suara lemah. Bukan setakat fizikalnya sahaja yang keletihan, tetapi emosinya juga.

"Patutlah muka kau nampak pucat. Mesti kau tak cukup tidur fikir pasal mommy kau, kan? Aku simpati pasal mommy kau, Mia. Insya-Allah, mommy kau akan sembuh. Kau ada perlukan apa-apa tak?"

Damia menggeleng kecil.

"Kalau kau ada perlukan apa-apa, kau jangan segan cakap kat aku tau!" pesan Alin sambil memegang bahu Damia. "Jangan tak makan, kena cukup rehat. Nanti kalau kau sakit tak dapat datang kerja, takdalah kawan aku nak bergosip."

"Gosip jugalah kau, ya!"

Mereka berdua serentak ketawa kecil, walaupun tidak seceria seperti hari-hari sebelum ini. Namun, belum sempat perbualan mereka berlanjutan, seorang lelaki bertubuh tinggi dan berpakaian formal tiba-tiba muncul di depan mereka.

“Cik Damia, Encik Azhan nak jumpa awak di pejabat dia sekarang,” kata lelaki itu dengan lagak profesional.

Damia mengerutkan dahi. “Saya? Kenapa dia nak jumpa saya?”

"Oh! yang tu saya tak tahu, tapi dia suruh awak datang sekarang tau.”

Damia memandang Alin sekilas pandang sebelum dia memandang semula lelaki yang masih terpacak di depan mereka itu. " Okey, saya pergi sekarang."

"Kenapa Encik Azhan nak jumpa aku eh? Aku ada buat salah ke? Ke sebab aku masuk lewat kemarin? Tapi, aku dah jelaskan pun kat dia kenapa aku lewat. Mamat stor tu pun ada jadi saksi masa aku bagitahu alasan kenapa aku lewat." Damia berteka-teki sendiri dengan hati sedikit resah. Risau jika dia tiba-tiba diberhentikan kerja pada saat-saat genting sebegini.

Encik Azhan sedang sibuk menekan-nekan papan kekunci komputer ketika Damia masuk. Namun, lelaki itu terus berhenti melakukan kerjanya sebaik sahaja Damia berdiri di depannya.

"Selamat pagi, Encik Azhan. Erm, ada hal apa encik panggil saya ya?"

"Hmm, duduklah dulu," pelawa Encik Azhan dengan senyuman mesra.

Damia turut tersenyum, lalu dia terus duduk dengan sopan sambil memandang wajah Encik Azhan menanti apa yang hendak diperkatakan oleh lelaki itu.

"Macam mana dah dengan keadaan mak awak sekarang? Dah sedar dah?"

"Belum sedar lagi, masih ditidurkan."

Encik Azhan mengangguk kecil dengan muka prihatin. "Saya doakan semoga mak awak cepat sembuh."

"Insya-Allah, amin. Terima kasih, encik," ucap Damia.

Encik Azhan lantas menarik laci dan mengeluarkan sebuah kotak kecil, lalu diletakkan di depan Damia. "Ini untuk awak."

Damia memandang kotak itu dengan berlapis-lapis kerutan di dahi. “Ini…"

“Itu kunci kereta,” jawab Encik Azhan sambil tersenyum. “Kereta tu untuk kegunaan awak.”

Damia tergamam buat seketika sebelum dia menolak kotak tersebut ke depan lelaki yang tidak kurang kacaknya itu. “Encik Azhan, saya tak boleh terima. Saya..."

“Awak kena terima, Damia." Laju Encik Azhan memintas. “Saya faham keadaan awak yang terpaksa berulang-alik ke hospital. Saya cuma nak pastikan awak boleh bergerak dengan mudah tanpa perlu risau pasal pengangkutan.”

“Tapi..." Damia melepaskan keluhan panjang. "Tapi, saya tak layak. Saya masih baru lagi bekerja kat sini, nanti apa kata staf yang lain? Mesti dia orang akan…”

“Ini bukan soal layak atau tak, Damia. Ini arahan daripada Tuan CEO kita. Saya cuma orang tengah je. Kalau awak tak terima, saya yang kena nanti." Sekali lagi Encik Azhan memintas.

"Tuan CEO?" Damia menatap kunci itu dengan perasaan serba salah bercampur dengan rasa hairan. Dalam ramai-ramai pekerja, kenapa Tuan CEO tu peduli dengan aku? Diakan CEO baru, aku pun pekerja baru kat sini. Jumpa pun tak pernah, getus hatinya.

"Damia?" panggil Encik Azhan sambil menjongketkan kening melihat wanita di depannya itu yang kelihatan seperti sedang berfikir. "Awak kena terima. Bukan setakat kena, tapi wajib!"

“Kalau macam tu, okey... saya terima. Saya pinjam dulu. Nanti mommy saya dah discaj, saya pulangkan balik ya?" Akhirnya Damia bersetuju.

Encik Azhan tersenyum. “Bagus! Hm, pasal nak pulangkan tu, tunggu apa kata bos besar kita nanti. Okeylah, awak dah boleh pergi sambung kerja awak. Kereta tu ada kat parking bawah tanah, petak nombor 12."

"Baik, encik, terima kasih. Err... cakap kat Tuan CEO tu, saya ucap terima kasih banyak-banyak." Usai bercakap, Damia terus berdiri setelah dia mengambil kotak kecil berisi kunci itu. Namun, belum sempat dia berpaling, Encik Azhan memanggilnya semula.

"Ya, encik? Ada apa-apa lagi?" soal Damia dengan lagak sopan.

"Jangan lupa, kalau ada apa-apa masalah, bagitahu saya.”

Damia mengangguk perlahan, lalu dia mengucapkan terima kasih sekali lagi sebelum dia mengorak langkah menuju ke pintu.

"Apa dia buat kat situ? Semenjak dua menjak ni, bukan main kerap lagi aku tengok dia bercakap mesra dengan Encik Azhan. Nak menggodalah tu! Jangan harap kau boleh pikat crush aku tu, budak miskin! Aku takkan biarkan!" gumam Melina dengan muka tidak puas hati sambil memerhati Damia yang baru sahaja keluar dari bilik pengurus besar hotel mewah itu. "Kau tengoklah apa aku buat kat kau nanti!"

Baru sahaja dia hendak meneruskan langkahnya yang terhenti tadi, dia terpandang Damia berselisih dengan pekerja stor yang baru masuk itu. Tiba-tiba, senyuman licik terlakar pada wajahnya selepas dia terfikirkan sesuatu. "Siap kau!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience