Aqilah yang memandu dengan kelajuan sederhana menoleh ke kirinya seketika sebelum dia memandang ke hadapan semula. Dia mengeluh sendiri apabila melihat keadaan Rina yang bukan semakin membaik tetapi semakin memburuk sejak Areen balik daripada rumah mereka semalam. Pagi tadi sahaja Rina hampir pengsan di dapur tetapi nasib baik wanita itu sempat bertaut pada meja yang berdekatan dan menenangkan dirinya sebelum tenaganya kembali semula. Aqilah mahu mengajaknya ke klinik tetapi Rina menolaknya dengan baik dengan mengatakan bahawa dia sudah memakan Panadol dan mereka harus bertolak sekarang jika tidak mahu kemalaman di jalan menuju ke Kuala Lumpur semula.
Aqilah melihat telefonnya yang menunjukkan arah jalan ke alamat Aqil yang diberikan oleh Areen semalam. Dia juga sempat membaca mesej yang dihantar oleh ibunya yang mengkhabarkan Qalifh baik-baik sahaja dan tidak meragam mencari Rina kerana ketika mereka berangkat daripada rumah anak kecil itu masih dibuai mimpi.
Hampir dua jam perjalanan mereka tempuh, Aqilah membelokkan keretanya ke kiri ke arah destinasi yang diberitahu oleh Waze. Kereta Aqilah berhenti di hadapan pagar sebuah sekolah agama yang ditutup rapat agar tiada orang sembarangan boleh masuk ke dalamnya. Aqilah dan Rina keluar daripada kereta dan melihat sekeliling yang sunyi sepi.
Aqilah memberanikan diri mendekati pagar yang tertutup itu dan memberi salam dengan suara yang kuat sebelum terdengar seseorang menyambut salam mereka dan pintu pagar itu ditarik sedikit memberikan ruang untuk Aqilah dan Rina melaluinya masuk ke dalam.
“Boleh saya bantu cik berdua?” Seorang lelaki yang kelihatannya masih dalam lingkungan remaja bertanya kepada mereka.
“Betulkan ini alamat di sini?” Aqilah langsung menunjukkan alamat di tangannya kepada remaja lelaki yang berbaju putih dan berkain pelikat hijau. Di atas kepalanya dililit serban yang bewarna putih juga.
“Betullah disini alamatnya. Cik berdua nak daftarkan anak ke sekolah maahad tahfiz ini ke?” Remaja lelaki itu bertanya lagi dan matanya sempat melirik ke arah wanita berpurdah yang mendengar perbualannya dan sahabat wanita itu.
“Tak, sebenarnya kami nak cari orang. Awak kenal tak orang nama Adam Aqil?” Aqilah bertanya sambil memasukkan semula alamat di tangannya ke dalam beg semula.
“Maafkan saya kerana menyampuk perbualan kamu tetapi boleh saya tahu siapa kamu berdua dan ada urusan apa kamu berdua mahu bertemu dengan Aqil?” Tiba-tiba mereka terdengar suara seorang wanita yang berdiri tidak jauh dari mereka bersama beberapa wanita yang lain.
“Saya Aqilah dan ini Rina. Kami daripada Kuala Lumpur datang ke sini untuk mencari Aqil sahabat kami selepas kami dapat tahu dia berada disini.” Aqilah mendekati wanita itu untuk bersalaman. Rina juga melakukan perkara yang sama. Entah kenapa ketika dia bersalaman dengan wanita itu dia dapat merasakan bahawa wanita itu seperti menekan tangannya sedikit sebelum dilepaskan.
“Saya Wana, salah seorang guru pengajar di maahad ini.” Wana memperkenalkan dirinya dan beberapa sahabatnya yang berada di situ. Sewaktu mereka mahu menuju ke kantin Wana terlihat akan dua wanita asing yang berada di hadapan pagar sekolah sedang berbual dengan pelajar lelaki yang ditugaskan untuk menjaga pintu pagar secara bergiliran. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menyertai perbualan itu apabila terdengar nama Aqil disebut-sebut.
“Boleh kami berjumpa dengan Aqil?” Rina bertanya kepada Wana apabila wanita itu mendiamkan diri selepaskan memperkenalkan dirinya.
“Kamu semua pergilah ke kantin dahulu, saya akan datang kemudian.” Wana tidak menjawab pertanyaan Rina sebaliknya dia menyuruh sahabatnya yang lain menuju ke kantin dahulu.
Kelihatan jelas Wana tidak mahu menjawab pertanyaan Rina sebentar tadi. Aqilah menggigit bibir bawahnya sambil cuba mengawal emosinya itu. Berkali-kali dia beristighfar agar bersabar kerana mereka datang ke tempat orang dan mahu meminta bantuan jadi tidak seharusnya dia mengikut emosi.
“Cik Wana, boleh kami berjumpa dengan Aqil?” Aqilah mengulangi pertanyaan Rina yang sengaja tidak dijawab oleh Wana tadi.
“Kamu berdua boleh ikut saya ke rumah abi. Mari kita berbual dengan selesa disana.” Sekali lagi Wana tidak memberikan jawapan yang diinginkan oleh Rina dan Aqilah. Malah sebaliknya wanita itu mula berjalan menunjukkan jalan.
Rina yang terasa badannya mula sakit semula menarik nafas yang sangat panjang sebelum mengikut langkah Wana. Aqilah mendengus kuat sebelum ikut juga berjalan dekat dengan Rina kerana risau Rina bakal pitam seperti tadi pagi. Jika diikutkan hati mahu saja dia memarahi Wana di situ kerana langsung tidak menghormati mereka tetamu yang datang jauh daripada Kuala Lumpur. Tidak sampai sepuluh minit mereka berjalan mereka sudah berada di hadapan sebuah rumah yang sederhana tetapi kelihatan indah kerana disekelilingi dengan alam semula jadi.
“Jemput duduk.” Wana mempersilakan Rina dan Aqilah duduk di kerusi yang berada di beranda rumah sebelum Wana masuk ke dalam selepas memberikan salam.
“Apa kena dengan Wana tu? Nampak sangat dia tak suka kita datang ke sini.” Aqilah berbisik kepada Rina selepas Wana hilang dari pandangan.
Rina hanya mengangkat bahunya tidak mahu berkata banyak kerana dia sedaya upaya menahan kesakitan yang dialaminya ketika itu. Tubuhnya sudah mengeluarkan peluh dingin menambahkan lagi ketidakselesaan.
“Assalamualaikum, Aqilah, Rina.” Seorang lelaki separuh baya keluar daripada rumah sambil memberi salam kepada Aqilah dan Rina yang sedang menikmati pandangan di luar.
“Ustaz Tobrani?” Rina dan Aqilah serentak berdiri apabila melihat Ustaz Tobrani pensyarah di universitinya dahulu di hadapan mereka.
“Kamu berdua apa khabar?” Ustaz Tobrani ketawa kecil apabila melihat bekas kedua anak didikannya terkejut melihat dirinya.
“Alhamdulillah kami sihat. Ya Allah, lama sungguh kami tidak berjumpa ustaz.” Aqilah terasa sebak tiba-tiba kerana dapat bertemu semula dengan salah satu pendidik mereka di universiti dahulu. Sudah lama mereka tidak berjumpa akhirnya Allah memberikan kesempatan mereka bertemu semula.
“Adakah ini maahad tahfiz ustaz? Sebab saya ingat lagi dulu ustaz kata cita-cita ustaz adalah untuk membuka maahad tahfiz sendiri.” Rina juga merasakan hal yang sama seperti Aqilah. Sejak daripada kejadian dia dipulaukan dia sudah tidak lagi berbicara dengan Ustaz Tobrani kerana berasa sangat malu.
“Alhamdulillah, Allah kabulkan doa ustaz untuk membuka sekolah sendiri. Rina apa khabar? Kenapa tidak dibawa Qalifh bersama?” Ustaz Tobrani melihat Rina yang dipandangannya tidak berubah sama sekali.
“Ustaz kenal anak saya?” Rina terkejut apabila Ustaz Tobrani bertanyakan tentang anaknya yang jelas tiada siapa yang tahu kecuali orang yang dekat dengannya sahaja ketika itu.
“Macam mana ustaz tak kenal kalau Aqil asyik bercerita tentang anak kamu dan kamu.” Ustaz Tobrani memberitahu sumber informasi daripada mana dia mengenali Qalifh sambil ketawa kecil lagi. Memang daripada dahulu Ustaz Tobrani terkenal dengan sikapnya yang suka tersenyum dan ketawa apabila berbicara dengan orang.
“Ustaz, boleh saya bertemu dengan Aqil?” Rina langsung bertanya tidak berbasa basi lagi kerana memang tujuannya ke situ untuk bertemu dengan Aqil.
“Selepas apa yang kamu semua lakukan kepada dia kenapa dicari lagi orang yang sudah dihalau pergi?” Tiba-tiba Wana datang semula dengan ditangannya mendulang air. Air itu diletakkan di atas meja dengan sedikit kasar kerana dia berasa marah apabila tetamu yang tidak diundang itu bertanya mengenai Aqil. Memang daripada tadi dia sengaja tidak mahu menjawab pertanyaan Aqilah dan Rina mengenai Aqil lebih-lebih lagi apabila mengetahui wanita berpurdah itu adalah Rina Altafunisa wanita yang sering diceritakan oleh Aqil kepada bapanya jika lelaki itu datang bertandang ke rumah mereka. Disebabkan wanita itulah Aqil dihalau oleh bapa angkatnya dan disebabkan wanita itu juga Aqil sering menyendiri.
“Wana jaga lisan dan adab kamu terhadap tetamu. Abi tidak pernah mengajarkan kamu akhlak yang buruk.” Ustaz Tobrani menegur anak satu-satunya itu dengan hemah agar tidak mempermalukan anaknya dihadapan tetamunya itu.
“Abi, apa abi tidak kasihan terhadap Abang Aqil? Lihat keadaannya yang sering menyendiri dan menangis apabila teringatkan wanita ini? Apakah tidak cukup awak menyeksanya sehingga dia dibuang keluarga? Apa lagi yang awak inginkan, Rina Altafunisa?” Wana masih tidak mahu berhenti sampai disitu walaupun dirinya sudah ditegur oleh bapanya. Dia tidak pernah bersikap seperti itu terhadap sesiapapun tetapi dia tidak dapat mengawal emosinya terhadap wanita yang bernama Rina Altafunisa itu.
“Jangan menuduh sesuatu jika awak tidak tahu hujung pangkalnya. Apa yang terjadi bukan salah Rina.” Aqilah yang sejak daripada tadi tidak berpuas hati terhadap Wana turut sama mengadu mulut mempertahankan Rina.
“Jika dia seorang wanita yang mulia seperti yang dikhabarkan bukankah sepatutnya dia menjaga maruahnya? Awak wanita yang sudah bergelar isteri tetapi awak masih memberikan harapan kepada lelaki lain sehingga dia tidak mampu untuk berhenti mencintai awak. Awak bagaikan racun di dalam hidup yang merosakkan keimanan seseorang.” Wana mengeluarkan segala semua yang terbuku di dalam isi hatinya yang memang mahu dia ucapkan jika dia bertemu dengan Rina.
Rina yang mendengar segala tuduhan daripada Wana itu hanya mendiamkan diri tidak membalas sedikitpun kata-kata Wana. Dibiarkan Wana mengeluarkan seluruh kemarahannya pada hari itu dengan harapan selepas itu Wana memaafkannya dan tiada lagi dendam di dalam hati wanita itu. Aqilah yang sekali lagi mahu mempertahankan Rina ditarik tangannya oleh Rina agar memberhentikan niatnya itu. Dia meminta agar Aqilah bersabar dan membiarkan Wana memarahinya sepuas hati.
“Astaghfirullah, Wana. Istighfar ingat Allah, nak. Segala apa yang kamu tahu belum cukup untuk kamu menghukum Rina dengan kata-kata kamu. Tuduhan yang kamu lemparkan itu boleh jatuh kepada fitnah. Kamu tidak mengetahui keseluruhan cerita jadi jangan ikut campur urusan mereka.” Ustaz Tobrani menggelengkan kepala melihat kelakuan anaknya yang selama ini tidak pernah dilihatnya.
“Abi, bukan niat Wana untuk masuk campur urusan orang lain tapi Aqil itu sudah seperti abang kepada Wana. Abi tak kasihan ke melihat Abang Aqil seperti itu? Wana tak sanggup melihat keadaan abang Aqil seperti itu abi. Apalah erti kehidupan jika di dalam hati kita tiada ketenangan. Rina Altafunisa, jika awak masih mempunyai hati nurani pulanglah ke Kuala Lumpur dan jangan datang ke sini lagi. Seandainya awak datang semula menemui Abang Aqil saya takut di hari kemudian keadaan lebih bertambah buruk dari yang sekarang. Asal awak tahu sahaja, Abang Aqil sudah berangkat pergi bermusafir sejak daripada tadi pagi. Saya minta maaf kerana telah berkata kasar kepada awak.” Wana masuk semula ke dalam rumah meninggalkan tetamunya itu dengan air mata yang mengalir membasahi pipinya.
Ustaz Tobrani beristighfar sekali lagi dan menggelengkan kepalanya. Wana memang begitu mengambil berat tentang Aqil kerana Wana sudah menganggap lelaki itu seperti abang kandungnya sendiri. Ustaz Tobrani sekali lagi meminta maaf kepada Aqilah dan Rina diatas kelakuan Wana tadi dan meminta tetamunya itu tidak masukkan ke dalam hati.
“Tidak mengapalah kalau begitu, kami minta diri dulu.” Rina meminta diri selepas mendengar ucapan maaf dari Ustaz Tobrani.
“Kita nak balik macam itu saja ke? Macam mana dengan Aqil?” Aqilah mencegah Rina berdiri daripada duduknya. Punyalah mereka meredah pagi untuk bertemu dengan lelaki itu tidak mungkin mereka pulang dengan tangan kosong.
“Bukankah tadi Wana sudah kata Aqil tiada disini.” Rina mengingatkan Aqilah semula tentang kata-kata Wana yang mengatakan bahawa Aqil sudah bergi bermusafir sejak daripad tadi pagi.
“Ustaz pun tak akan tak tahu Aqil pergi ke mana?” Aqilah masih tidak berpuas hati dengan apa yang didengarnya. Tidak mungkin Ustaz Tobrani tidak mengetahui ke mana tujuan Aqil.
“Saya doakan Allah mempermudahkan urusan kamu berdua. Hati-hati ketika balik ke Kuala Lumpur. Ingat pesanan ustaz, jangan lupa berhenti solat berjemaah di masjid pertama yang kamu lihat.” Ustaz Tobrani tidak menjawab soalan Aqilah malah sebaliknya dia mengikuti langkah Rina yang sudah menuju ke jalan keluar.
Aqilah menjelingkan matanya ke atas dan mengeluh kasar. Dengan terpaksa Aqilah bangun daripada duduknya dan berjalan laju sedikit untuk mengejar langkah Rina yang sudah berada di atas jalan kaki lima. Aqilah sempat juga mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Tobrani walaupun kedengarannya tidak begitu ikhlas kerana dia terasa hati di atas perbuatan Wana dan Ustaz Tobrani itu.
“Buang masa kita je pergi sini. Cakaplah dari tadi Aqil tiada tak perlulah kita nak mendengar si Wana tu cakap bukan-bukan.” Aqilah mengeluarkan rasa amarah yang disimpannya sejak daripada tadi apabila mereka sudah hampir sampai ke kereta mereka.
“Semua yang terjadi pasti ada hikmah. Sabar ya, sahabat. Semoga Allah membalas kebaikan kau kerana menemani aku hari ini.” Rina cuba membuatkan Aqilah ketawa dengan kata-kata yang sengaja dimanjakan nadanya oleh Rina agar Aqilah tidak terlalu memikirkan kata-kata Wana sebentar tadi.
Aqilah dan Rina masing-masing sempat melihat pagar maahad tahfiz itu buat kali terakhir sebelum Aqilah memandu meninggalkan kawasan itu dan menuju ke Kuala Lumpur. Tidak sampai dua puluh minit Aqilah memandu matanya melihat ke arah jam di keretanya, waktu zuhur baru sahaja masuk. Rina meminta Aqilah untuk mencari surau yang terdekat agar mereka boleh tumpang untuk menunaikan solat disitu sebelum meneruskan perjalanan balik. Tidak perlu masa yang lama untuk Aqilah mencari surau apabila Aqilah mengikuti seorang lelaki tua yang lengkap berjubah dan berkopiah menunggang motorsikal. Pastilah lelaki tua itu mahu menunaikan solat berjemaah di surau kampung.
“Aku baru teringat kata-kata Ustaz Tobarni tadi. Kenapa dia suruh kita berhenti solat isyak berjemaah dekat masjid pertama yang kita nampak? Aku rasa kita sampai Kuala Lumpur pun petang tak sampai malam.” Aqilah bertanya kepada Rina ketika mereka mahu keluar daripada kereta.
“Entah. Mungkin dia menyangka Kuala Lumpur itu jauh.” Rina memberikan jawapan yang dia sendiri kurang pasti mengapa Ustaz Tobrani mengatakan itu kepada mereka.
“Kau ok tak ni? Asal muka kau makin pucat?” Aqilah bertanya kepada Rina seraya belakang tapak tangannya di letakkan di dahi Rina. Panas.
“Aku ok, panas sikit je.” Rina menolak lembut tangan Aqilah sebelum dipimpinnya menuju ke dalam surau kampung itu.
“Dia ni ada saja alasannya. Nanti sampai Kuala Lumpur aku bawa kau terus pergi klinik. Aku tak nak dengar apa-apa alasan lagi daripada kau.” Aqilah memberiathu Rina rancangan sebentar nanti dengan wajah yang mencuka sehingga membuatkan Rina menggelengkan kepalanya sambil ketawa kecil.
Share this novel
best ceritanya, bila nk update
update plezz
update plezz,