Bab 32

Drama Completed 5973

Saraa kini sudah berada di hadapan sebuah rumah. Apabila melihat di halaman rumah tersebut memang sudah diketahui bahawa rumah itu agak tidak terurus. Rumput panjang dibiarkan tidak dipotong, buaian yang berada di halaman rumah itu juga sudah kelihatan berkarat.

Kedengaran bunyi tangisan bayi dan suara jeritan seorang wanita dari dalam rumah. Setelah beberapa ketukan yang tidak diendahkan, Saraa memberanikan dirinya untuk masuk dalam rumah tersebut kerana pintu rumah itu tidak berkunci. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat wanita yang menjerit-jerit itu sedang menepas seorang bayi yang berumur dalam lingkungan tiga bulan dengan menggunakan tuala.

"Bodoh! Bodoh! Kau janganlah nangis! Kenapa kau lahir kat dunia ni hah?! Kenapa aku bodoh sangat lahirkan kau kat dunia ni?!" ujarnya sambil tangannya terus menepas bayi tersebut tanpa henti.

Bayi yang tidak tahu apa-apa itu hanya tahu menangis. Tangisannya yang amat kuat itu menyebabkan wajahnya merah kerana susah untuk bernafas.

"Mila!!!" panggil Saraa.

Mila yang mendengar namanya dipanggil segera menoleh ke arah suara gerangan yang memanggilnya. Tindakannya yang menepas bayi tersebut terus terhenti.

"Sa...Saraa...?" dia terkejut.

"Kau gila ke? Kalau mati anak ni macam mana?!" tengking Saraa lalu mengangkat bayi yang sudah menangis hingga hilang suara itu.

Mila tidak menjawab tengkingan Saraa. Dia masih terkejut melihat wanita yang berada di hadapannya itu ialah....Saraa Airisha. Dia menampar-nampar pipinya sendiri.

...

"Saraa, Saraa. Jom keluar, kita makan sama-sama," panggil Mak Minah sambil mengetuk pintu bilik Adam yang diguna oleh Saraa.

"Eish apa awak ni. Saraa dah keluarlah tadi," tegur Pak Mail.

"Keluar? Saya tak tahu pun," Mak Minah mengerutkan dahi.

"Dia keluar masa awak bersembang dengan Jah kat dapur tadi. Dia tak nak ganggu perbualan awak dan Jah jadi dia cakap kat saya je yang dia nak keluar," terang Pak Mail.

"Ohhhh," Mak Minah mengangguk.

"Dahla kalau macam tu mari kita makan," ajaknya.

...

"Apa nama dia?" tanya Saraa sambil melihat bayi yang sudah terlena di dakapannya.

Mila melihat anaknya yang berada dalam dakapan Saraa sayu.

"Afif. Afif Mohamad Zahir,"

"Kenapa kau dera dia? Dia tak tahu apa-apa pun,"

Mila meraup wajahnya dan mula menangis.

"Aku tertekan. Sejak dia lahir, bertubi-tubi masalah datang. Aku menyesal lahirkan dia. Aku rasa aku dah lahirkan anak pembawa malang," Mila teresak-esak.

"Sanggup kau cakap macam tu kat anak kau sendiri. Setahu aku, anak ni pembawa berkat aje bukan pembawa malang," marah Saraa.

Tangisan Mila semakin kuat mendengarnya. Saraa menggosok-gosok belakang badan Mila untuk menenangkannya.

"Mana suami kau?" tanyanya lembut.

Mila menghela nafas berat sebelum berkata-kata.

"Tiga bulan lepas, masa aku lahirkan si Afif ni, dia kena tangkap dengan SPRM sebab terlibat dengan kes rasuah. Lepas tu, kereta kami kena tarik sebab tak habis bayar. Rumah ni jadi macam ni sebab along selalu datang sini takutkan aku sebab suami aku tak bayar duit kat diorang. Aku tak tahu pun dia pinjam duit ngan along, Saraa!! Minggu lepas pulak tuan empunya rumah ni datang nak halau aku sebab aku dah takde duit nak bayar sewa. Aku tertekan Saraa, aku tertekan!" luahnya melepaskan segala bebanan di hati.

"Kalau macam tu, jom ikut aku balik," ajak Saraa tiba-tiba.

"Balik mana?" Mila memandang wajah Saraa untuk menagih jawapan.

"Balik rumah pusaka kitalah,"

"Tak nak!"

Afif yang tidur bergerak sedikit apabila mendengar suara ibunya yang meninggi. Terkejut.

"Shhhh," Saraa menepuk-nepuk perlahan paha Afif untuk mendodoikannya.

"Yang kau tiba-tiba nak tinggikan suara kau ni dah pahal?!" marah Saraa.

"Kalau kau tak nak balik, kau nak pergi mana? Merempat? Ataupun kau memang nak kena bunuh dengan along?!"

"Aku malu nak tunjuk muka aku kat orang dalam rumah tu lagi. Aku dah setahun kot tak balik rumah sejak aku berkahwin hari tu," Mila kembali menangis.

"Yang kau bodoh sangat terus tak nak balik tu kenapa? Dah bahagia sangat berlaki sampai abaikan keluarga?" sindir Saraa.

"Bukan macam tu, aku bukan tak nak balik. Suami aku yang larang aku balik. Dia kata, kalau aku balik jugak, talak akan jatuh serta-merta,"

"Bodohnya kau, Mila. Dia lagi penting dari keluarga sendiri ke? Tengok, sebab kau pentingkan sangat suami macam tu lah hidup kau sengsara. Bukan sebab anak kau yang tak tahu apa-apa ni," pandangan mereka berdua terus jatuh ke wajah Afif yang tenang dibuai mimpi itu.

Mila terus mengusap kepala Afif lembut dengan rasa kesal menyelubungi hatinya.

"Maafkan ibu, sayang,"

"Kita balik ya, Mila," pujuk Saraa.

Mila mengangguk.

"Dah, pergi kemas baju kau sekarang. Kita balik sekarang jugak," arahnya.

"Saraa, sebelum tu aku nak cakap sesuatu," Mila memegang tangan Saraa.

Saraa hanya memandang wajah Mila sebagai tanda sedia mendengar apa yang ingin dikatakan.

"Maafkan aku sebab layan kau teruk sangat selama ni. Aku menyesal. Aku sedar segala kesilapan aku kat kau memang susah untuk dimaafkan tapi kau tetap baik dengan aku. Terima kasih ya, Saraa," dia memeluk Saraa sebelum berlalu ke dalam bilik untuk mengambil pakaiannya dan Afif.

Saraa tersenyum mendengarnya. Senyuman yang sukar ditafsirkan oleh sesiapa.

"Ibu Afif dah setuju untuk balik kat rumah tu. Tak lama lagi semuanya akan lengkap," bisiknya ke telinga Afif yang masih lena diulit mimpi indah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience