BAB 11

Romance Completed 4031

“Bila Johan nak hantar Shafie?” Rania memandang ayahnya. Dia kurang faham dengan soalan yang diajukan kepada ayah Shafie itu.

“Secepat yang mungkin. Paling lewat pun hujung bulan ni lah Dato’.” Jawab Johan.

“Rania, Mak Cik dah bincang dengan keluarga Mak Cik di kampung. Adik Mak Cik sudi jaga Shafie. Jadi kami nak hantar Shafie balik ke kampung. Kami datang ni nak minta kebenaran dari Dato’ untuk benarkan Shafie letak jawatan.” Terang Siti Aishah. Letak jawatan? Rania kurang faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Siti Aishah.

“Kenapa sampai perlu letak jawatan? Kenapa tak biarkan Shafie di rawat di hospital?”

“Adik Mak Cik bekas jururawat. Dia berhenti kerja dan jadi suri rumah selepas melahirkan anak bongsu.”

“Kami redha dengan ketentuan Illahi Rania. Shafie tak mungkin dapat berdiri semula. Kami pasrah. Jadi, biarlah dia tinggal dengan adik Mak Cik di Perlis tu.” Sambung Siti Aishah.

“Tapi, tak terganggu ke kehidupan adik Mak Cik tu? Anak-anak dia macam mana? Boleh terima ke?” tanya Rania. Dia seakan berat hati untuk membenarkan Shafie pulang ke kampungnya. Namun setelah dijelaskan, Rania terpaksa akur. Memang benar kata-kata Ibu Shafie. Sampai bila dia hendak menjaga Shafie. Dia ada kehidupannya sendiri. Lagipun, Shafie pernah memberitahu yang impiannya adalah untuk menetap di kampung halaman ibunya. Dia terlalu sukakan suasana kampung ibunya itu. Indah dan damai, katanya.

Sudah hampir dua bulan Shafie berada di kampung halaman ibunya. Dan setiap hari jugalah Rania akan menelefonnya. Tidak lengkap hidupnya jika tidak berbual atau bercerita dengan Syafie. Kehidupan Shafie bertambah baik di sana. Malah, Shafie juga telah berhasrat untuk terus menetap di sana. Walaupun Rania selalu berhubung dengan Shafie melalui tekefon, dia masih dapat rasakan kehidupannya seakan kosong. Tumpuannya terhadap kerja selalu terganggu. Bagi menghilangkan perasaan itu, dia akan menghubungi Shafie. Perbuatan Rania itu disedari oleh Dato’ Rashid. Kekerapan Rania yang bergayut di telefon dengan Shafie serta bercerita tentang Shafie membuat Dato’ Rashid mula bersuara. Namun jawapan yang diberikan oleh Rania adalah kerana Shafie sahabatnya sejak kecil.

“Nia, kamu tahukan yang Amirul sudah berkahwin?” tanya Dato’ Rashid sewaktu mereka sedang menikmati hidangan makan malam. Rania hanya mengangguk. Lansung tidak mengangkat muka. Dia seolah tidak berminat untuk berbicara mengenai Amirul.

“Kenapa ni? Bukan ke kamu cintakan Amirul?” Rania mencebik.

“Mana rasa cinta kamu tu? Takkan kerana dia dah kahwin, hilang terus rasa cinta kamu kat dia?” usik Dato’ Rashid. Dia seakan cuba mengorek sesuatu dari Rania.

“Perlu ke papa sebut nama dia waktu kita tengah makan ni?” marah Rania. Dato’ Rashid hanya tersenyum. Seakan dapat menduga reaksi Rania.

“Kamu tak suka ke dengar nama dia? Aa..mii…rulll.” Usik Dato’ Rashid lagi.

“Dengar nama dia buat menyakitkan hati je.” Geram Rania. Dia seakan meluat mendengar nama tu.

“Kenapa lak? Takkan hanya kerana dia kahwin dengan perempuan lain, kamu dah memusuhi dia? Cinta ke tu? Sepatutnya kamu mendoakan kesejahteraan hidupnya.”

“Dia penyebab Shafie lumpuh. Kalau dia tak telefon Nia dan bagitau yang dia nak kahwin, Nia takkan naik angin. Dan kemalangan tu takkan terjadi. Hidup Shafie takkan berubah.” Bentak Rania. Seleranya seakan mati. Dia segera mencapai air basuh tangan yang telah disediakan. Setelah selesai membasuh tangannya, dia terus bangun untuk beredar dari situ.

“Jangan salahkan Amirul. Ini semua takdir yang telah tertulis untuk kamu.” Rania mengangkat kening. Kurang mengerti dengan apa yang cuba disampaikan oleh ayahnya.

“Duduk dulu. Papa nak bagitau kamu sesuatu.” Rania akur. Dia duduk semula. Menanti bicara seterusnya dari ayahnya.

“Kawan papa dah dapat jumpa pusat rawatan yang pakar dalam fisioterapi.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience