Tidak jadi untuk dia masuk ke dalam wad di kala terlihat satu susuk tubuh yang masih termenung jauh, melontarkan pandangan tidak beriak ke jendela yang terbuka daunnya. Raid kaku tidak bergerak di kala matanya tertancap pada air mata Durrah yang masih setia mengalir. Tangannya dibawa ke dada. Seakan-akan hati Durrah dan luka Durrah dapat dirasainya kini. Selama mereka berkawan, dia sudah menganggap Durrah sebagai seorang adik. Adik yang perlu dijaga, dilindungi dan dibahagiakan. Benar, Durrah agak lurus namun itu tidak bermakna Imtiyaz boleh mempermainkan hati gadis itu sesuka hatinya sahaja!
“Ya Allah… aku mohon agar, Durrah dapat kebahagiaan yang dia impikan.”
Hatinya berbisik perlahan. Raid cuba tersenyum manis untuk menceriakan Durrah lantas menolak daun pintu dengan huluran salam. Durrah menjawab salamnya, lemah. Lima kuntum bunga mawar putih di tangan dihidu baunya sebelum diletakkan elok di atas riba Durrah yang berbalutkan selimut. Raid tergelak kecil.
“Kenapa… gelak-gelak ni?” soal Durrah pelik.
“Bila saya tengok bunga, lepas tu saya tengok muka awak yang putih ni, tiba-tiba saya boleh membuat satu kesimpulan yang muka awak sebiji macam bunga. Bunga mawar yang mekarnya mendatangkan kebahagiaan dan keceriaan kepada orang lain. Dan kuncupnya bunga itu, membuatkan orang di sekeliling menjadi penanti yang setia,” ujarnya selamba. Oh, bagaimanalah dia boleh menjadi sebegini jiwang agaknya? Selalunya ayat ‘bunga’ seperti ini hanya dapat diluahkan di dalam hati sahaja. Raid, Raid. Pelik kau ni!
“Saya ni bunga?” Durrah menundingkan jarinya ke mukanya sendiri.
Raid senyum segaris. “Awak bunga, saya pula jadi kumbangnya…”
“Kumbang?” Ada-ada sahajalah modal Raid untuk mencuit hatinya. Durrah tergeleng-geleng perlahan sebelum bibir entah bila mengukir senyuman nipis. Terasa kekok pula kerana sudah lama dia tidak mampu untuk tersenyum sebegini rupa sejak tiga bulan yang lepas. Ketika dia dalam tempoh berpantang pun hanya ibu Raid yang riuh bercerita itu dan ini kepadanya. Dia hanya mendengar sahaja, tiada sepatah kata yang sesuai untuk menyampuk. Sungguh dia terhutang budi dengan keluarga Raid yang sanggup menjaganya biarpun dia dan Raid tidak ada apa-apa hubungan istimewa. “Awak kumbang yang nakal sebab suka mengusik orang.”
Tersengih Raid mendengarnya. “Kiranya saya ni kumbang limited edition lah!”
Durrah tergelak kecil. Tawa yang membuatkan hati Raid berbunga-bunga gembira. Alhamdulillah! Nampaknya Durrah sudah semakin ceria sekarang dan lebih banyak bercakap. Kalau dahulu mulut yang satu itu susah benar mahu bersuara.
“Raid… awak…”
Raid menoleh sekilas. Membalas renungan redup milik lelaki itu menghadirkan rasa aneh buat hatinya kini. Segera pandangannya dialihkan ke tempat lain. Durrah tertunduk dengan wajah yang membahang. “Terima kasih sebab… sudi temankan saya dan ada untuk saya bila saya hampir berputus asa. Ibu awak dengan awak, serta ayah awak… dah banyak tolong saya. Saya… saya tak tahu nak balas jasa awak. Saya tak tahu…”
“Awak tak perlu susah-susah nak menabur jasa… sebab ibu saya pun ikhlas bantu awak, begitu juga dengan ayah saya. Ibu cakap, kalau kawan susah kita mestilah tolong kawan tu. Baik pada waktu dia senang dan susah sebab kawan yang sejati tidak akan meninggalkan kawannya,” tenang Raid menjawab biarpun sebenarnya mulut kata lain, dan hati kata lain. Bukan alasan itu yang ingin dia katakan. Bukan alasan itu yang perlu diketengahkan. Bukan alasan itu yang menjadi ‘alasan’ untuk soalan Durrah!
Durrah mengangguk, terharu. “Terima kasih.”
“Most welcome, Durrah.” Dengan jantung yang sudah berdegup kencang Raid meninggalkan Durrah untuk sementara waktu, meminta diri untuk ke surau sebentar. Wudhuk diambil dan usai sahaja dia menunaikan solat sunat wudhuk, dia berteleku lama menghadap kiblat. Memandang ayat-ayat daripada Al-Quran yang digantungkan kemas di dinding surau milik hospital itu. Air matanya berlinangan, entah untuk kali yang ke berapa kerana Durrah. Tangannya ditadah, kelopak matanya dipejamkan serapat mungkin.
“Ya Allah, andai kata hambaMu ini hanya seorang insan yang menjadi pengganggu dan perosak rumah tangga orang lain, aku mohon agar Kau maafkan aku. Aku sedar akan kesilapan dan kesalahan diriku yang serba hina ini. Buangkan rasa yang kupendam setelah sekian lama nama dia terukir di hatiku. Maafkan aku, ya Allah! Maafkan aku kerana tidak dapat mengawal perasaan dengan memendamkan perasaan kepada Durrah yang tidak mungkin akan menjadi milikku. Aku tahu dia cintakan Imtiyaz. Aku tahu, ya Jabbar. Kerana itulah aku ingin memohon kekuatanMu untuk aku melupakan namanya. HambaMu yang hina dan lemah ini tak akan menjadi kuat tanpaMu. Aku harap dia akan bahagia dengan insan yang menjadi pilihan hatinya. Kau bahagiakanlah Durrah ya Allah. Andai dia bahagia, pasti aku juga akan tumpang gembira biarpun mungkin… aku bukanlah yang berada di sisinya.”
Raid terhenti sejenak. Air matanya gugur setitis.
“Ya Allah, jadikanlah hati ini… hati yang tabah, hati yang kuat dan cekal untuk menempuhi pahit-pahit kehidupan di duniaMu ini. Biarlah aku menyemai rasa cinta buat yang halal. Jauhkan aku daripada benda-benda yang haram, ya Rahim. Dan… sampaikan salam rinduku kepada bakal Hawa iaitu jodohku kelak, In Shaa Allah. Biarkan hati ini tidak diisi dek perasaan cinta sehinggalah Hawa itu hadir dan menjadi isteri di sisiku. Aamiin.”
Jemarinya mencapai kalamullah yang tersusun elok di atas rak. Helaian Al-Quran diselak sedikit dan kemudian dia memulakan pembacaannya. Teringat akan kata-kata ustaz yang pernah mendidiknya, “Kalau kita nak mengadu, nak report, nak menangis dan bercakap dengan Allah, solatlah. Allah akan dengar sebab tidak akan ada yang menghalang. Kalau kita nak Allah pulak yang bercakap dengan kita, Allah tenangkan hati kita, Allah pujuk kita, bacalah Al-Quran sebab itu kata-kata Allah. Biarkan mungkin kita tak faham maknanya tetapi hati pasti akan menjadi lebih tenang apabila kita membaca Al-Quran.”
Ya Allah, benarkan aku untuk merasai ketenangan melalui kalamMu…
Share this novel