BAB 9

Romance Completed 20321

Buku Bahagiakan Hatimu-Ibnu Qayyim Al-Jauziah diselak satu demi satu. Terasa diri ini begitu kerdil di mata Tuhan apabila membaca buku yang dibelinya itu. Buku yang menceritakan tentang ciri-ciri hati yang kotor, hati yang sudah mati, hati yang bersih dan menghindari godaan syaitan. Helaian yang begitu menarik minatnya ialah ketika membaca bahawa Allah itu pelindung apabila kita membaca Al-Quran dan bagaimana caranya untuk mengelak dari hasutan syaitan. Buku yang begitu memberi peluang untuk dia muhasabah diri sendiri yang banyak cacat cela. Yang tak sesempurna mana. Yang masih mencari ilmu bermanfaat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Dia cuba mendidik hatinya untuk bersabar. Bersabar untuk apa? Untuk menerima ketentuanNya dengan redha dan hati yang terbuka.

Ibnu Qayyim Al-Jauziah memberikan gambaran bahawa sabar bukan bererti menyerah tanpa usaha namun sabar juga bukan bererti perjuangan tanpa hasil. Sabar adalah teman kesejukan di antara usaha yang maksima dan tawakkal yang sepenuhnya. Sabar adalah timbulnya keyakinan yang kuat kepada janji Allah, kerana sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Dengan sabar juga hati begitu optimis, bahawa Allah akan segera menyambung niat dan keinginan tulus seorang hamba.

Buku itu ditutup dan diletakkan ke atas meja. Daun pintu dibuka sedikit. Kedengaran suara wanita mengetuk gegendang telinga, diselangi bunyi ‘keletang keletung’ yang datangnya daripada dapur. Ibu beria-ia mahu belajar memasak kek coklat dan biskut chocolate chips daripada Durrah yang suka membuat dessert. Hati ingin menyertai namun akal terlebih dahulu menghalang. Lebih baik dia mengurungkan diri di dalam bilik bacaan sehingga waktu makan malam. Mungkin itu lebih baik dan mungkin juga itulah keputusan yang terbaik.

Telefon bimbit dicapai dan butang lagu ditekan. Kedengaran kumpulan Raihan yang diselangi dengan nasyid daripada kumpulan Rabbani menjadi halwa telinganya. Raid senyum segaris dan mencapai pen menulis khat dan sehelai kertas. Tulisan bismillahirrahmanirrahim ditulis dengan penuh berhati-hati mengikut apa yang telah dia pelajari ketika menghadiri kelas menulis khat pada setiap hujung minggu. Khat Nasakh, khat Kufi Fatimi, Khat Diwani Jali, Khat Ijazah, Khat Tajj, Khat Farisi, Khat Thuluth dan Khat Riq’ah adalah di antara jenis-jenis khat yang dia pelajari.

“Raid, sayang…”

Raid mendongak. Ibu. “Ya, ibu?” soalnya dan tersenyum manis. Pen khat diletak.

“Mari sini, kami nak minta pendapat Raid tentang kek yang ibu dengan Durrah buat. Raid kena jadi juri macam cerita MasterChef,” terus lengan Raid ditarik lembut dan tubuh anaknya digesa untuk turun ke tingkat bawah. Nak tak nak terpaksalah kakinya dihayunkan untuk menuruni anak-anak tangga dan menuju ke dapur. Aroma kek coklat menusuk rongga hidungnya. Hmm… sedap sungguh! Kek yang terhias cantik di atas kabinet dipandang teruja. Siap ada strawberi lagi tu. My favourite fruit. Boleh kecur air liur dibuatnya! “It’s beautiful. Siapa yang buat hiasan ni, ibu?” tanyanya.

Puan Rafidah mengangkat-angkat keningnya nakal. “Siapa lagi kalau bukan chef terkenal kita iaitu… Chef Durrah!”

“Ibu…” tertunduk malu Durrah kerana digelarkan dengan nama sebegitu. Tatkala pandangan matanya memandang ke arah Raid, kebetulan lelaki itu turut sama membalas renungannya. Segera Durrah mengalihkan pandangan dan menolak pinggan kek itu ke sisi. Sudu turut diletakkan di situ. “Errr… rasalah kek yang tak seberapa ni. Saya pun dah lama tak masak kek. Takut terpesong jauh aje rasanya.”

“Ibu yakin mesti sedap punya,” sampuk Puan Rafidah yang ingin mengusik.

Raid senyum. Satu suapan disuap masuk ke mulut setelah lafaz basmalah dibaca. Melihat wajah berdebar-debar Durrah begitu mencuit hati, begitu juga dengan wajah ibunya. Niat di hati ingin mengusik kedua-dua orang wanita di hadapannya itu. Raid berpura-pura terbatuk dan memukul dadanya perlahan, kononnya tersedak. Kononnya! Dahinya dikerutkan sengaja dan sempat dia menjeling ke arah mereka. Masing-masing sudah tayang muka terkejut tahap infiniti. “Ehem. Ehem. Ehem!!!”

“Err… tak sedap ke, Raid? Awak okey ke tak ni?” Durrah dah cuak semacam. Hailaa… kenapa Raid tak berhenti batuk ni? Takutnya! Aku ada terlebih letak serbuk koko ke? Terlebih letak serbuk penaik ke? Tapi rasa-rasanya betul acuannya sebab selalunya memang itulah sukatan yang dia buat selama ini untuk sebiji kek. Sudu dari tangan Raid cuba diambil namun Raid terlebih dahulu melarikan ke arah lain. “Aaa… awak nak air tak? Kejap! Saya ambilkan air kosong untuk awak,” ujar Durrah dan tergesa-gesa mengambil cawan.

Puan Rafidah menghampiri Raid dan mengusap belakang anaknya. “Ya Allah ya Tuhanku, macam manalah boleh tersedak? Tak sedap ke kek tu, Raid?”

Raid membuka kelopak mata yang sedari tadi terpejam dan matanya dikenyitkan nakal. “Ini tersedak pura-pura, ibu,” bisiknya perlahan dan tersengih panjang. Apabila Durrah berpaling dan datang dengan secawan air kosong, muka kelat dan serius tahap tak hengat (ingat) ditayangkan dengan mimik muka sakit yang dibuat-buat. Hampir pecah ketawa Puan Rafidah dibuatnya tetapi sempat dia berpura-pura batuk dan menutup mulutnya dengan tangan. Khuatir Durrah akan terlihat senyuman yang dia cuba sembunyikan.

“Nah, air kosong…”

Raid menggeleng, tidak mahu. “Tak nak…”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience