RUANG bar terbuka yang terletak di aras teratas sebuah bangunan tinggi di Kuala Lumpur itu menjadi lokasi pertemuan mereka berdua. Angin malam yang sesekali menyapa ke tubuh memberikan suasana dingin dan nyaman. Saat waktu sudah menginjak hampir ke dinihari, keduanya masih berteleku di situ.
Tania meletakkan gelas berisi minuman ‘cocktail’ yang berada di tangannya ke atas meja. Hembusan nafas yang kedengaran berat terluah dari bibir. Seraya pandangannya dihala tepat ke raut lelaki muda yang duduk di kerusi bersebelahan.
Tampan, segak serta mempunyai gaya tersendiri. Selain itu, memiliki sikap dan peribadi yang baik juga sopan. Lebih tepat lagi lelaki ini termasuk dalam golongan yang orang gelar sebagai ‘husband material’. Lelaki dambaan para wanita di luar sana. Spontan akal fikiran Tania yang sibuk berputaran terlintaskan sesuatu.
“Zaf, you nak kahwin dengan I tak?” Soalan itu terpacul dari bibir Tania.
Tersentak. Lelaki di hadapannya nyata melopong. Membutang matanya memandang semula ke arah Tania. Berterbangan pergi topik yang sedang mereka berdua bualkan sebelum itu.
“Hah?? Kahwin dengan you?”
Tiba-tiba sahaja soalan berkenaan menerjah ke telinga. Manalah dia tak terperanjat. Tania pula mengangguk dalam reaksi bersahaja. Mengiyakan pertanyaan Zafril.
“Ha’ah, jadi pengganti my ex-boyfriend. Sebab semua orang dah tahu I akan berkahwin. Malangnya pengantin lelaki yang disebut-sebut tu tak ada. So, I terpaksalah cari orang lain untuk ganti tempat dia. I tak jumpa orang lain. I nampak you je yang paling sesuai. Lagipun you juga tentu sedang kecewa sama macam I kan. Then, apa kata kita buat satu ‘deal’?”
Kening Zafril terus bertaut. Kata-kata Tania mengundang curiga. “Maksud you? ‘Deal’ yang macam mana?”
“Well, kita kahwin pura-pura. Di mata semua orang kita adalah suami isteri. Tapi, di belakang mereka kita buat hal masing-masing. I offer you ‘deal’ untuk menjadi suami ‘palsu’ I.”
‘Deal’.
Riak muka Zafril terus berubah warna dan tona. Dia ditawarkan untuk berkahwin dan menjadi suami kepada gadis ini. Bukankah itu cita-citanya sedari dahulu? Untuk memiliki gadis jelita yang berada di sisinya. Dan kini peluang keemasan itu sedang terbentang di depan mata. Ibarat seperti permata yang jatuh bergolek. Takkan nak lepaskan peluang ini? Tapi…
“You nak kahwin dengan I semata-mata sebab nak buat ‘deal’?” Zafril menyoal mahu mendapatkan lebih penjelasan terhadap cadangan yang diusulkan Tania.
“Yup. Kita kahwin selama setahun je. Selepas itu kita berpisahlah. Tujuan perkahwinan ni hanya untuk tutup mulut-mulut orang sekeliling. Nanti bila diorang dah lupa tentang gosip ‘panas’ yang tengah heboh tu kita bercerailah. Apa pendapat you? You setuju tak?”
Zafril meneguk liur. Terasa pahit pula saat ditelan. Duh! Gadis ini. Rencananya kedengaran seakan mudah sahaja untuk dilakukan. Belum pun berkahwin sudah disebut soal cerai. Pengaruh drama TV banyak sangat agaknya.
Adakah Tania menyangka bahawa mahligai perkahwinan yang ingin dibina semudah itu? Masalahnya yang nak mengangkat ‘akad’ saat upacara pernikahan itu berlansung nanti adalah dia. Takkan perkara sebegini ingin dibuat main-main? Haish. Hati Zafril mendengus runsing.
Melihat Zafril menyepi, Tania lantas memuncungkan bibir mungilnya. Sudah diduga. Lelaki ini pasti tidak akan bersetuju dengan rencana yang dia aturkan.
“Erm kalau you tak nak takpelah, Zaf. I cari orang lain je…”
Kata-kata Tania menghentikan lamunan Zafril. Pantas telapak tangannya menyentuh ke jemari Tania yang berada di atas meja.
“Wait...”
Tania menjongketkan kening sambil merenung ke raut Zafril. Menanti lelaki itu meneruskan ucapannya yang tergantung. Sesaat kemudian dilihat Zafril menganggukkan kepala.
“Okey, I setuju.”
Dan tika itu bebola mata Tania membesar dan bersinar. Senyuman lebar terukir di bibir. Teramat gembira. Tanpa sedikit pun membayangkan sebarang kerumitan yang mungkin berlaku akibat daripada rencana ‘gila’nya.
“Great. Kalau macam tu next week you follow I balik ke Ipoh k. Kita jumpa my family,” ujar Tania bersama perasaan penuh teruja. Lega. Selesai sudah satu masalah. Hatinya melonjak riang.
“What? Secepat itu?” Zafril bertanya dalam nada terkejut.
Sejujurnya dia belum bersedia untuk mengadap orang tua Tania. Apakah reaksi mereka nanti? Apa pula persepsi kedua ibu bapanya saat mengetahui dia ingin melamar model terkenal ini menjadi isterinya? Rumit.
“Yalah. Abah dan ummi I dah tak sabar nak jumpa dengan ‘my future husband’. Selepas ni diorang takkan bising-bising lagi suruh I kahwin. So, lagi cepat kita selesaikan hal ni lagi baik. I tak nak tunggu lama-lama.”
Zafril mengetap bibir sambil berfikir sesuatu. Raut wajah jelita Tania direnung seketika.
“Erm Tania, I nak tanya you sesuatu…”
“Hurm tanya apa?”
“You tak takut jadi ‘janda’ bila kita berpisah nanti?”
Tania memandang ke wajah Zafril. Lantas dia tertawa mempamerkan barisan gigi putih berseri yang tersusun cantik menghiasi mulutnya bagai iklan ubat gigi ‘Colgate’.
“Tak. Buat apa nak takut? Kebanyakan janda kan ‘hot’. I yakin kerjaya modelling I nanti akan bertambah ‘meletops’ lepas kita berpisah. Nama I akan semakin popular. Haha.”
Zafril terkedu. Telan liur dia mendengar bicara Tania. Ada ke wanita lain yang segembira ini saat disebut perkataan ‘janda’? Kakaknya sendiri meraung bagai nak gila ketika ditinggalkan oleh bekas suami dahulu.
Aduh, pening kejap kepala Zafril. Perempuan ini memang bukan biasa-biasa. Perempuan ini benar-benar ‘luar biasa’. Sanggupkah Zafril memperisterikan perempuan sebegini? Mampukah dia mendidik Tania menjadi seorang isteri solehah suatu hari nanti?
Namun, jauh di sudut hati ada sesuatu yang membuatkan Zafril nekad dengan keputusan yang bakal diambil. Bahawa cintanya kepada Tania masih ada. Malah, cinta itu kembali mekar semula di sudut hatinya. Biar pun Tania berkata bahawa perkahwinan yang akan berlansung cuma sekadar sebuah lakonan dan atas dasar ‘deal’ semata-mata, namun Zafril yakin dia dapat melenturkan hati Tania perlahan-lahan nanti. Lama-kelamaan tentu akan cair jua.
“Okey, kita kahwin. I akan jadi suami you.” Zafril mengangguk sekali lagi memberi sebuah jawapan pasti.
“Great. Thank you so much. I sayang you, Zaf. You dah selamatkan I tau,” ucap Tania dengan ceria tanpa sebarang makna. Hanya sebuah ucapan ‘sayang’ yang tidak bermaksud apa-apa.
Sebaliknya bibir Zafril mengukir sebuah senyuman tersirat. Andai ini takdir yang telah tertulis untuknya maka Zafril menerima dengan hati terbuka. Satu tahun sahaja. Dalam tempoh satu tahun ini Zafril akan pastikan Tania jatuh cinta terhadap dirinya. Mungkinkah itu yang akan terjadi?
Share this novel
good novel
best. TQ sistur cantik
follow