Bab 7

Romance Series 72307

“RHEA!”

Rhea angkat wajah saat suara garau itu menampar gegendang telinganya.

“Rhea! Kenapa ni?” Hairi yang baru turun daripada kereta itu langsung mendapatkan Rhea. Niatnya mahu singgah membeli kek di kedai Rhea. Terkejut dibuatnya melihat keadaan kedai Rhea yang sudah kucar-kacir itu.

Rhea tak menjawab. Dia hanya mengangkat bahunya lemah. Sungguh dia sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa lelaki tadi tiba-tiba bertindak begitu. Hanya air matanya yang laju mengalir ke pipi.

Melihat kek dan dessert yang dia buat terbazir begitu saja, hatinya jadi pilu. Bukan murah bahan-bahan yang digunakannya. Modalnya juga agak besar.

Perlahan-lahan Rhea bergerak mengutip sisa kek dan dessert yang bertaburan. Semuanya sudah tidak boleh dimakan lagi. Habis rosak.

Hairi turut sama membantu Rhea mengemas. Meja yang sudah terbalik tadi, diangkat kembali.

“Rhea, siapa yang buat semua ni?” soal Hairi apabila melihat keadaan wanita itu lebih tenang berbanding tadi.

“Saya tak tahu,” jawab Rhea lemah. Kepala digeleng perlahan.

Sedang mereka berdua sibuk mengemas, jiran-jiran yang lain juga keluar membantu Rhea. Mereka juga simpati dengan nasib Rhea.

“Kalau akak ada tadi, memang akak kerjakan budak tu cukup-cukup,” ujar Kak Timah geram. Sayangnya dia terlambat. Waktu kejadian, dia sibuk memasak di dalam rumah.

Rhea tersenyum kelat. Dia terharu dengan keprihatinan jiran-jirannya. Syukur dia diberikan jiran-jiran yang baik seperti mereka.

Tak lama selepas itu, Hayyan pulang. Tadi dia keluar menaiki motosikal. Terus berubah raut wajahnya saat melihat orang ramai di hadapan rumahnya.

“Kenapa ni?” soal Hayyan. Dia turun daripada motosikal. Matanya meliar memerhati sekeliling.

“Ada orang dengki dengan Rhea. Habis di tendangnya meja jualan Rhea,” balas Kak Nah, salah seorang jirannya.

Pandangan mata Hayyan langsung jatuh pada Rhea. Entah mengapa hatinya jadi sakit melihat wajah sayu isterinya itu.

“Rhea, awak okey?” soal Hayyan.

Rhea hanya mengangguk lemah. Kalau dia tak okey pun, dia kena okey juga. Mungkin tiada rezeki untuknya hari ini. Mungkin juga ALLAH nak gantikan dengan rezeki yang lain.

SEJAK kejadian siang tadi, Hayyan perasan isterinya itu asyik mengelamun. Dia mahu mendekati Rhea tapi entah mengapa seakan ada sesuatu yang menghalangnya daripada buat begitu. Sudahnya dia hanya mampu memerhati wanita itu.

“Rhea.”

Rhea tersentak. Air mata yang mengalir di hujung mata cepat-cepat dikesat dengan jari. Tubuh yang sedari tadi bersandar di sofa terus tegak.

“Ya?” Pandangannya terhala ke arah Hayyan.

“Awak menangis?” Hayyan terus ketap bibirnya selepas menyoal. Soalan apa kau tanya ni Hayyan? Dah terang-terang kau nampak dia menangis! Hayyan rasa macam nak ketuk kepala sendiri pun ada.

Rhea menggeleng perlahan. Tapi tiba-tiba... Tangisannya terhambur. Dia tak mampu nak tahan lagi.

Hayyan beranikan diri mendekati Rhea. Dia duduk bertinggung di hadapan isterinya itu.

“Rhea...” Hayyan tak tahu bagaimana nak memujuk. Ini kali pertama dia melihat Rhea dalam keadaan begini.

“Abang, apa salah Rhea? Rhea tak pernah kacau sesiapa... Kenapa diorang buat macam ni kat Rhea?” soalnya dalam tangisan yang semakin kuat. Terhinggut-hinggut bahunya melepaskan tangisan.

Hayyan terdiam. Melihat Rhea menangis, dinding hatinya dihiris pilu. Tapi dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk wanita itu.

“Rhea...” Secara spontan, tubuh kecil Rhea terus disauk ke dalam pelukannya. Belakang tubuh Rhea diusap perlahan seakan memujuk.

Rhea memejamkan matanya. Kejadian yang berlaku hari ini sangat menyedihkan baginya. Bukannya dia tak reda dengan ketentuan ALLAH. Tapi dia sedih kerana ada yang iri hati dengannya sehingga sanggup merosakkan jualannya. Sedangkan dia tak pernah menganggu kehidupan sesiapa.

HAYYAN menjeling sekilas ke arah Rhea yang sudah nyenyak tidur di atas sofa itu. Hatinya dijentik rasa sayu melihat bengkak di bawah mata isterinya itu. Pasti kerana Rhea terlalu banyak menangis hari ini.

“Ibu...” Armel keluar daripada bilik. Tadi Rhea sudah tidurkan dia terlebih dahulu.

“Shh... Ibu tengah tidur. Sini dekat ayah.” Hayyan terus bangun dan mendapatkan Armel. Tubuh kecil itu dibawa ke dalam dukungannya.

“Armel nak tidur dengan ibu,” balas Armel. Dia sudah terbiasa tidur dengan Rhea selama ini.

Hayyan mengangguk perlahan. “Ibu dah tidur dekat sofa. Sekejap lagi ayah bawa ibu masuk bilik. Armel tidur dulu ya?” pujuknya. Tak sampai hati pula dia nak kejutkan Rhea yang sudah dibuai mimpi itu.

“Okey.” Mujurlah Armel tak banyak karenah. Hayyan tak perlu nak memujuknya berkali-kali.

Hayyan terus membawa Armel masuk ke dalam biliknya.

SELEPAS menidurkan Armel, Hayyan kembali ke ruang tamu kembali. Rhea masih nyenyak tidur. Perlahan dia menghampiri isterinya itu.

Wajah Rhea ditatap lama. Dadanya jadi berdebar. Entah mengapa. Dia sendiri tidak pasti. Benarkah wanita ini yang dia cinta selama ini? Tapi mengapa dia hanya mengingati Trisha dan bukannya Rhea?

Wajah Hayyan terus berubah panik bila melihat dahi Rhea berkerut-kerut. Bibirnya menggumam sesuatu yang tidak jelas di pendengarannya.

“Rhea...” panggilnya lembut.

Kepala Rhea tergeleng-geleng walaupun matanya masih terpejam rapat.

“Rhea...” Hayyan jadi semakin kesian melihat keadaan Rhea. Apa yang berlaku siang tadi pasti memberikan kesan besar pada wanita itu. Kasihan Rhea... Entah siapalah yang sanggup lakukan hal buruk itu kepadanya.

Perlahan-lahan Hayyan mencempung tubuh Rhea. Kaki bergerak melangkah ke kamar Armel. Memang selama ini Rhea tidur di bilik Armel. Itu pun atas permintaan Hayyan sendiri. Dia masih belum bersedia untuk tidur sebilik dengan Rhea. Walaupun dia tahu Rhea itu halal untuknya, dia belum dapat menerima Rhea sepenuhnya lagi.

Dengan berhati-hati dia meletakkan tubuh Rhea di atas katil. Di sebelah Armel yang sudah dibuai mimpi.

“Selamat malam, Rhea,” gumamnya perlahan. Selimut ditarik menutupi tubuh Rhea dan Armel.

Usai itu Hayyan terus bergerak meninggalkan bilik mereka. Pintu bilik ditutup rapat.

Sewaktu berjalan menuju ke biliknya, mata Hayyan terpandangkan gambar perkahwinan mereka yang tergantung di dinding. Kakinya berhenti bergerak.

“Sayangku Rhea...” Entah mengapa tiba-tiba bibirnya menyebut panggilan itu. Hayyan sendiri terkejut.

Dahinya berkerut halus. Kepalanya terasa berdenyut-denyut. Cepat-cepat Hayyan melangkah ke biliknya.

PAGI itu bangun saja daripada tidur, Rhea terus melangkah ke dapur. Hidungnya menangkap bau haruman masakan dari arah sana. Siapa pula yang masak subuh-subuh begini?

“Abang?” Rhea menggosok perlahan matanya. Rasa macam tak percaya bila dia nampak Hayyan sedang sibuk memasak di dapur.

“Dah bangun?” Hayyan senyum segaris. Entah apa mimpinya, bangun je daripada tidur dia terus masuk ke dapur. Cadangnya hari ini mahu menyediakan sarapan buat Rhea dan Armel.

“Abang buat apa?” soal Rhea. Dia mendekati lelaki itu.

“Saya masak nasi goreng untuk awak dan Armel.”

Kening Rhea berkerut. “Nasi goreng?”

“Kenapa? Awak tak suka makan nasi goreng? Atau awak tak makan nasi goreng?” soal Hayyan kembali.

Rhea pantas menggeleng. “Rhea suka.” Nasi goreng adalah makanan kegemarannya. Lagi-lagi nasi goreng yang dimasak oleh Hayyan.

“Abang... Abang dah ingat semula ke?” soal Rhea sebak.

Pergerakan tangan Hayyan yang sedang mengacau nasi di dalam kuali itu terhenti seketika. Wajah Rhea dipandang lama. Dia tak pasti sama ada ingatannya sudah kembali atau tidak.

Macam semalam, tiba-tiba saja bibirnya menyebut panggilan ‘sayangku Rhea’. Pagi ini pula tiba-tiba dia tergerak hati mahu memasak nasi goreng untuk Rhea dan Armel. Semuanya terjadi dengan tiba-tiba.

Hayyan tidak menjawab soalan Rhea. Dia menyambung kembali menyiapkan nasi gorengnya.

“Terima kasih abang,” ucap Rhea. Dia yakin suatu hari nanti ingatan Hayyan pasti akan pulih sepenuhnya. Dan dia tidak akan pernah jemu menunggu sehingga detik itu tiba.

“Awak dah okey?” soal Hayyan prihatin.

Rhea senyum seraya mengangguk. Dia tidak tahu bagaimana dia boleh tidur di atas katil. Rasanya semalam dia tertidur di dalam pelukan Hayyan. Adakah Hayyan yang membawanya masuk ke dalam bilik? Mengenangkan hal itu, berbunga-bunga hati Rhea.

“Hari ni saya dah mula bekerja.”

“Abang dah dapat kerja? Kat mana?” soal Rhea teruja.Hebat betul Hayyan! Tak sampai sehari dia keluar mencari kerja semalam, hari ni terus diterima bekerja.

“Bitara Holdings.”

Dengar saja jawapan Hayyan, tubuh Rhea langsung mengeras. Senyuman di bibirnya tadi perlahan-lahan memudar. Dia tak tahu dia nak gembira atau tidak sekarang ni.

Kenapa? Kenapa dalam banyak-banyak syarikat dekat situ juga Hayyan diterima bekerja?

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience