14

Romance Series 93217

Ezmal mengeluh lemah. Bibirnya menyisip sedikit demi sedikit air coklat panas yang berada di tangannya. Pandangannya langsung dibuang pandang ke arah langit malam yang disinari cahaya bintang. Sengaja dia duduk di balkoni itu bagi mencari sedikit ketenangan. Entah mengapa sejak kebelakangan ini emosinya agak kurang stabil. Malah tumpuannya pada kerja juga agak terganggu. Apa yang dilakukannya serba tidak kena. Puas dia berfikir namun sehingga kini dia langsung tidak temui jawapannya. Tiba - tiba fikirannya melayang jauh ke Malaysia. Wajah kedua ibu bapanya bermain - main di kotak fikiran Ezmal. Betapa dia sangat merindui kedua - dua insan itu. Jika diikutkan kata hati, mahu sahaja dia pulang menemui mereka. Namun akalnya menghalang.

Tujuan dia membawa diri ke Rusia ini bukanlah hanya kerana kerja semata - mata. Tetapi ianya lebih kepada membawa hati yang lara. Jujur Ezmal katakan, hatinya belum cukup kuat untuk menerima kenyataan bahawa wanita yang dicintainya dalam diam - diam selama ini telah menjadi milik orang lain. Malah lebih menyakitkan apabila orang yang merampas kebahagiaannya itu adalah sepupunya sendiri. Namun Ezmal tidak menyalahkan Harraz dalam hal ini. Semuanya berpunca dari dirinya sendiri. Jika dia mengambil langkah berterus - terang dari awal, pasti semua ini tidak akan terjadi.

Setiap hari dia pasti akan mengikuti setiap perkembangan terbaru Aayra melalui sosial media milik wanita itu. Walaupun dia tahu perbuatannya itu adalah salah, malangnya Ezmal tetap jua melakukannya. Sudah berkali - kali dia cuba membuang perasaan itu namun semakin dia mencuba, semakin kuat perasaan itu hadir ke dalam dirinya. Bahkan ianya sudah menjadi seperti sebuah kewajipan untuk Ezmal melakukan perkara itu. Hidupnya tidak akan tenang selagi dia tidak menatap wajah wanita yang dicintainya dalam diam - diam itu.

‘I miss you so much, Aayra.' Ezmal bermonolog sendirian. Wajahnya diraup beberapa kali.

Wajah Aayra galak bermain - main di kotak fikirannya kini. Tiba - tiba bibirnya menguntum senyuman. Segala kenangan bersama Aayra serta - merta melayang - layang di kotak fikirannya. Sungguh dia terlalu merindui keletah comel wanita itu. Dia masih ingat keakraban antara dia dan Aayra suatu ketika dahulu. Saat itu Aayra begitu prihatin terhadap dirinya. Setiap hari wanita itu pasti akan menyediakan sarapan buatnya tanpa jemu. Tidak cukup dengan itu, pada sebelah petang pula Aayra pasti akan turun ke deretan gerai kecil berhadapan wisma ZE Corporation untuk mendapatkan kuih karipap sardin kesukaan Ezmal. Jika tidak dimakan, Aayra pasti akan merajuk. Betapa dia sangat merindui detik - detik itu. Ketika itu antara mereka tidak pernah ada sempadan. Ezmal melayani Aayra tidak ubah seperti kekasihnya sendiri. Namun semua itu berubah setelah dia terlihat hubungan mesra Aayra dan seorsng lelaki. Saat itu, Ezmal mula menyimpan perasaan marah dan benci terhadap Aayra. Bagi Ezmal, Aayra tidak ubah seperti kebanyakkan wanita yang dikenalinya. Semuanya mendekatinya hanya kerana pengaruh dan kekayaan yang dimiliki oleh keluarganya. Jadi sejak dari itu, dia sengaja melayani Aayra dengan dingin. Ezmal meletakkan mula jurang di antara mereka. Hubungan yang terjalin di antara dia dan Ramona dijadikan alasan utama untuk dia mengelak dari melayani Aayra dengan baik. Pelbagai cara dilakukan untuk terus menyakiti hati Aayra sehinggalah dia mendapat berita bahawa wanita yang dicintai dalam diam itu bakal mengahwini Harraz, sepupunya sendiri. Kesakitan itu semakin terasa dan anggapannya kepada Aayra masih sama. Aayra tidak ubah seperti wanita - wanita lain yang digelar pisau cukur. Namun semua tanggapan itu berubah saat dia mula mengetahui bahawa lelaki yang dilihat bersama Aayra tempoh hari adalah abang kandung wanita itu sendiri. Penyesalan mula menghimput dirinya namun apakan daya semuanya sudah terlambat. Nasi sudah mula menjadi bubur.

Ezmal tahu tidak sepatutnya dia masih menyimpan perasaan itu di dalam hatinya. Apatah lagi disaat ini Ramona masih tetap menjadi tunangannya. Namun entah mengapa semakin lama dia bersama Ramona semakin pudar rasa cintanya terhadap gadis itu. Pelbagai cara dilakukan Ezmal bagi memutikkan kembali rasa cintanya terhadap Ramona, namun semakin dia mencuba semakin dia terseksa. Ezmal sendiri tidak pasti mengapa semua ini harus terjadi. Apa yang dia tahu, sejak kehadiran Aayra di ZE Corporation, perasaan sayangnya pada Ramona kian menghilang. Adakalanya dia terasa begitu rimas untuk melayani sikap tunangnya itu. Ianya begitu menyesakkan fikirannya.

Selama Ezmal berada di sini, Ramona tidak pernah berputus asa dari menghubunginya. Setiap hari ada sahaja panggilan dan whatsapp yang diterima dari gadis itu. Malangnya tidak ada satu pun yang dijawab. Jika ditanya, Ezmal sering memberi alasan bahawa dia terlalu busy menguruskan projek terbaru syarikatnya. Sebolehnya dia tidak mahu segala fokus dan tumpuannya terganggu ketika menguruskan projek tersebut. Jadi dengan cara itu Ramona akan terus berhenti dari menganggunya. Sejujurnya dia berasa sangat simpati dengan apa yang dilakukannya terhadap Ramona. Namun hatinya tidak mampu menipu. Ezmal tidak mahu terus memberi harapan kepada gadis itu walhal dia sendiri tahu hatinya bukan milik Ramona lagi. Pernah terdetik di hati Ezmal untuk berterus terang sahaja tentang isi hatinya terhadap Ramona. Tetapi malangnya saat dia terpandangkan wajah gadis itu, serta merta niatnya terbatal. Ezmal belum punya kekuatan untuk melakukan hal itu. Apatah lagi apabila dia tahu Ramona sudah tidak mempunyai keluarga lain. Kedua ibu bapanya sudah meninggal ketika dia masih kecil lagi. Kemudian Ramona dibesarkan pula oleh nenek dan datuknya. Ketika gadis itu sedang berperang dengan peperiksaan akhir tahun di universiti, dia dikejutkan pula dengan kematian nenek dan datuknya akibat kemalangan. Sejak dari itu, Ramona mula hidup sendirian. Semua saudara maranya tidak mahu ambil peduli dengannya lagi. Kata mereka, Ramona tidak henti - henti mendatangkan sial buat keluarga mereka. Jadi sedikit sebanyak hal itu telah membuatkan Ezmal berasa simpati dengan nasib yang menimpa diri Ramona.

Ezmal masih ingat bagaimana dia mula mengenali gadis itu suatu ketika dahulu. Ketika itu mereka sama - sama belajar di UK. Pada mulanya Ezmal langsung tidak mengetahui bahawa Ramona adalah salah seorang dari pelajar yang ditanggung biasiswanya oleh yayasan bapanya. Acap kali dia bertemu gadis itu sendirian di sana. Saat itu dia terpanggil untuk mengenali Ramona dengan lebih dekat lagi. Rancangan demi rancangan dilakukan bagi menarik perhatian Ramona terhadapnya dan akhirnya dia berjaya mencuri hati gadis itu. Setelah mereka menjalin cinta, barulah Ezmal mengetahui bahawa gadis itu adalah salah seorang dari penerima biasiswa milik yayasan bapanya. Sejak dari itu Ezmal mula memasang strategi untuk menyelidik akan latar belakang Ramona. Setelah mengetahui segala - galanya timbul satu perasaan simpati di lubuk hatinya dan sejak dari itu, Ezmal mula bertekad di dalam hatinya bahawa dia tidak akan mensia - siakan hidup Ramona. Gadis itu akan dijaga dengan penuh kasih sayang. Hal itu turut diceritakan kepada keluarganya. Nasib menyebelahi Ezmal apabila kedua ibu bapanya langsung tidak menghalang hubungan mereka bahkan sekali gus mereka merencanakan pertunangan Ezmal dan Ramona sebaik sahaja kedua - duanya tamat belajar.

Sejak dari itu, hubungan Ramona dan keluarganya terus menjadi akrab. Ramona dilayan bagai keluarga sendiri. Apa sahaja yang diinginkan, pasti dipenuhi oleh keluarganya. Dia ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi tidak hairanlah mengapa Ramona sedikit pun tidak gusar jika dia tidak melayani kehendaknya kerana gadis itu tahu keluarganya Ezmal pasti akan berpihak kepadanya. Sedikit sebanyak hal ini telah membuatkan Ezmal semakin terseksa saat ini. Tanpa sedar sekali lagi bibirnya mengeluh. Wajahnya diraup dengan penuh rasa kusut. Mug coklat panas ditangannya langsung diletakkan di atas meja lalu dia merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Ezmal perlu berehat. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikannya pada esok hari. Lampu di meja sisinya segera dipadamkan lalu matanya turut dipejam rapat. Semoga dia mampu mimpi yang indah - indah pada malam ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience