AYAH siap offer nak hantarkan aku ke Melaka. Haih, dah Fatin ajak tumpang dia, senanglah. Tak payah naik bas. Lagi pun Melaka aje pun. Fatin tahu jalan area Melaka ni.
Dapat aku agak yang Zahir pun ikut serta. Dah dia kakitangan Kev & Holding, memanglah ada. Sedap betul mata aku ni memandang ke arah kekacakan Zahir. Tapi rasa tu serta-merta hilang bila Nabila ikut serta sekali. Mereka memang pasangan yang sepadan.
Aku dengan Nabila sebenarnya kawan baik. Dari zaman sekolah lagi. Dan tak sangka aku dan dia boleh dapat kerja di satu company yang sama. Dulunya dia bekerja di Subang Jaya, tapi sekarang, dah setahun dah dia ditukarkan di Johor Bahru. Dan nak jadikan cerita, dia dah bertunang dengan Zahir.
Haih, padah aku juga sebab suka pendamkan perasaan. Lama-lama orang dah ngap Zahir dulu. Kawan baik sendiri pula tu. Tapi tak boleh nak salahkan siapa-siapa, sebab tak ada satu orang pun yang tahu aku suka Zahir.
“Buat apa nak menaruh harapan dekat tunangan orang lagi.”
Aku pandang Fatin dengan wajah mencuka geram. Salah! Ada orang yang tahu aku suka kat Zahir. Iaitu Fatin!
“Ish kau ni. Merepek apa pula dah ni.” Sangkal aku. Fatin ni yang hebatnya, dia pandai baca fikiran dan perasaan orang!
Aku tak pernah pun beritahu siapa-siapa aku sukakan Zahir. Tapi Fatin tahu.
“Tak payah nak tipu aku. Bukan main lagi aku tengok kau pandang dia tak berkelip mata. Dia tunang Nabila. Kau pun satu, carilah pengganti.” Aku lihat aje Fatin yang sedang memandu itu. Kini kami sudah pun masuk ke bangunan hotel yang tersergam indah dan besar.
“Malas aku nak layan kau.” Aku tak nak besarkan cerita. Aku mengaku aku sukakan Zahir, tapi aku tak ada niat nak rampas dia. Lagipun, Zahir bukan suka dekat aku pun. Aku aje yang dalam diam sukakan dia.
“Aku ni boleh tahu apa dalam hati kaulah. Kalau pun aku dengan kau baru kenal 3 tahun, tapi kenal sangat aku dengan perangai kau ni. Jangan nak sembunyikan apa-apa dari aku.”
“Dahlah tu Tin kepala tin! Cari parking cepat!”
***
PETANG itu, aku dan Fatin minum petang di gerai tepi pantai. Fuh, sedap betul tekak pekena ABC. Sejuk tekak aku ni.
“Kau tolong order cendol pulut satu.” Arah aku kepada Fatin. Fatin mengangguk dan mengangkat punggungnya dan berlalu.
“Hai Nisa.” Tegur satu suara. Aku pantas menoleh. Nabila.
“Hai, Biela. Duduklah.” Aku mempelawa dia duduk di sebelah aku.
“Sedapnya. Tak sabar pula aku nak makan ABC ni. Terliur pula tengok kau makan.”
“Kalau dah terliur, orderlah. Jangan kau kebas aku punya ABC pula nanti.”
Nabila ketawa. “Sabar. Zahir tengah orderkan juga tu.”
Sentap hati aii bila dengar nama Zahir.
“Macam mana company dekat JB. Okey?” Aku ubah topik. Kalau boleh tak nak ada nama Zahir dalam perbualan kami.
“Okey aje setakat ni. Lagipun, dah dua bulan Dev ambil alih cawangan kat JB tu, banyak juga projek besar masuk. Pandai betul anak Encik kevin tu cari projek.”
Dua bulan? Kira lama juga. Tapi aku baru nampak dia tiga minggu yang lepas. Sebelum ni tak pernah nampak pula si pelat tu. Yang aku tahu, Devid sebelum ni belajar dekat UK. Tapi tak tahu pula dah balik Malaysia.
“Hai Nisa.”
“Hai.” Balas aku tersenyum. Kacaknya dia Ya Allah. Ampunkan aku sebab masih lagi menaruh perasaan dekat tunangan orang. Haih!
Aku tengok aje Zahir yang melabuhkan duduknya di hadapan Nabila.
“Thanks sayang.”
Sentap hati aku dengar panggilan Nabila untuk Zahir.
“Makan elok-elok. Macam tak pernah jumpa ABC pula.” Zahir menegur Nabila dengan senyuman yang paling menawan.
“Iyalah. Awak tak nak makan ke?” Nabila menyoal Zahir pula. Aku dari tadi diam. Layan perasaan. Mana pula Fatin ni? Haih, ni Fatin duk tolong pak cik tu masak pulut kah? Lama sangat ni!
“Saya pesan cendol. Lama sikit, sebab ramai orang.”
Nabila angguk mendengar jawapan Zahir.
Baru nak panjangkan leher tengok Fatin, tiba-tiba Fatin dan Devid datang serentak.
Ya Allah.
Aku berdoa kepada-Mu.
Kenapa mesti ada si pelat ni di sini?
Tolonglah jauhkan dia dari aku.
“Hello bro!” Aku melihat Devid yang menegur Zahir dari arah belakang.
“Hey. Baru sampai ke?” Zahir bangun dan bersalaman dengan Devid.
“Aah. Dari Singapura, terus ke sini.”
Aku dengar aje balasan dari Devid.
Takku sangka, takku duga, Devid melabuhkan duduknya di depan aku. Haih, lemah betul badan aku bila nampak muka dia ni. Antara banyak-banyak manusia, yang aku tak nak jumpa, setakat ni dialah ranking nombor satu. Dulu, Nabila dan Zahir ranking teratas. Sekarang, ada orang yang palinglah aku tak nak tengok. Iaitu si pelat ni!
“Korang makanlah dulu. Encik Dev, saya minta diri dulu ya. Saya nak jumpa Kak Erna jap.”
Aku yang dengar kata-kata Fatin tu dah rasa nak pitam. Fatin nak pergi macam tu aje? Bukan nak ajak aku. Haih, kalau aku ikut Fatin, nanti apa pula kata Nabila. Aku kena juga jaga hati Nabila.
“Oh ya. Jangan risau tentang Nisa. I will take care of her.”
Tiba-tiba suara pontianak ketawa bergema. Siapa lagi kalau bukan suara Fatin. Asal Fatin ketawa? Oh, aku tahu sebab apa.... Sebab.....
“Encik Dev ni, tahu aje apa dalam hati saya. Nasib baiklah Encik Dev ada, taklah Nisa sunyi. Zahir pun dah ada Biela. Dan sekarang Nisa ada Encik Dev.”
“Apa kau merepek ni ubi kayu tin susu!” Aku terus bangun. Aku tarik pergelangan baju Fatin. Fatin ketawa lagi.
Fatin suka betul kenakan aku dengan Encik Devid ni. Sejak kes aku terjerit dekat pejabat tu, sejak tu Fatin kata yang dia rasa Encik Devid suka aku. Kepala otak dia! Haih, Fatin suka aje fikir yang pelik-pelik. Nak suka apanya, kalau suka kacau aku tu, aku boleh terima. Tapi Fatin cakap Devid suka aku macam cinta. Poyo habis! Aku rasa aku ketawa selama setahun pula bila dengar. Tak masuk akal betul! Kita orang ni bezanya jauh sangat. Agama lain-lain. Hati aku pun lain-lain, tak ada suka pun dekat Devid. Eceh!! Aku cakap macam Devid suka aku betul-betul pula.
“Ambil peluang ni. Encik Dev lagi hensem tau kalau nak dibandingkan dengan Zahir kau tu. Dia dah tunangan orang.” Bisik Fatin di telinga aku. Mata mereka yang lain sudah melihat ke arah kami.
“Jaga dia tau Encik Dev.”
“Jangan risau looo. Saya tak bagi dia nakal-nakal.”
Aku jeling Fatin dengan jelingan maut. Ish! Devid pun satu, konon tak bagi aku nakal-nakal. Aku nak nakal apanya? Aku bukannya Lucy, aku Denna Anisa yang dah berusia 25 tahun, satu bulan, dua belas hari! Dah besar dah.
“Encik Dev ada apa-apa ke dengan Nisa ni?” Tiba-tiba Nabila menyoal. Aku rasa macam nak sekel aje kepala Nabila ni. Penyibuk betul!
Encik Devid pandang aku kejap. Dia tersenyum.
“Entahlah. Tapi, saya dah ada bunga tahi ayam saya, sudah cukup.”
Dan aku terdiam.
Aku terpana.
Aku terkejut.
Aku terus toleh dia tak berkelip mata.
Senyuman dia tu lain macam betul!
Dan bunga tahi ayam?
Share this novel