Bab 10

Short Story Series 55082

"'Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.' Surah al-Baqarah ayat 286. Ingat pesan Abang Atan, Rina. Abang tahu Rina seorang gadis yang kuat sehingga Rina dipilih oleh Allah untuk menjadi kekasih-Nya. Disetiap kesulitan itu pasti ada kemudahannya. Surah al-Insyirah ayat 5 hingga 6." Abang Atan menoleh ke sisi melihat Rina yang hanya mendiamkan diri memandang ke luar jendela. Mereka sudah hampir tiba ke kampung halaman mereka. Disepanjang perjalanan Rina tidak tidur, wanita muda itu kadang kala hanya memejamkan mata bagi mengelakkan rasa mual.

"Abang dengar apa yang terjadi tadi di universiti. Aqil tu, pandai agama budaknya. Dia selalu mengajar abang tentang Islam tapi mungkin tadi dia terlupa. Biasalah manusia mana yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Kamu janganlah fikirkan sangat apa yang dia katakan tadi itu. Apa yang abang pasti Aqil itu benar-benar ikhlas mencintai Rina." Abang Atan menoleh lagi kesisinya dan kali ini Rina sudah menutupkan matanya kembali dan membuatkan Abang Atan kembali diam.

Rina cuba membuang semua ingatan yang terjadi kepadanya sepanjang dia berada di universiti. Berkali-kali dia cuba beristighfar tetapi tetap saja gagal melupakan kejadian tadi. Bukan tentang kejadian Aqil yang mempermalukannya buat kali kedua di kafeteria tetapi selepas kejadian itu di bilik asrama giliran Jun pula yang menyesakkan fikiran dan dadanya.

Rina dan Aqilah saling membantu mengemas barang-barang mereka yang mahu dibawa balik. Bilik dipastikan sudah bersapu dan bersih sebelum mereka mahu meninggalkan bilik asrama itu buat selama-lamanya. Banyak kenangan mereka di situ. Suka dan duka dikongsi bersama. Rina sedang memasukkan pakaian di dalam beg bagasinya sebelum tiba-tiba Jun masuk ke dalam bilik itu dengan riak wajah yang masam mencuka. Rina dan Aqilah memilih untuk diam dan tidak bertegur sapa dengan Jun kerana dia tahu gadis itu pasti tidak akan menyukainya jika mereka menyapa dirinya.

"Rina, aku nak cakap sikit dengan kau." Jun tiba-tiba bersuara dibelakang Rina yang sedang mengemas barang.

"Ada apa?" Rina memandang Aqilah sebelum memandang ke arah Jun semula. Kelihatan jelas wajahnya menunjukkan riak kemarahan yang ditahan.

"Kenapa kau buruk-burukkan aku pada orang lain?" Jun merenung Rina tajam.

"Daripada mana pula kau mendapat cerita?" Rina membalas renungan Jun itu dengan pandangan yang redup. Dia cuba mengawal emosinya ketika itu. Walaubagaimanapun Jun pernah menjadi sahabat baiknya dahulu. Biarlah api dilawan dengan air kerana jika api dilawan dengan api pasti api itu akan semakin marak.

"Kau jangan nak berdalih. Kalau kau tak buruk-burukkan aku kenapa nenek di kantin itu menyindir aku dengan Syahiran?" Jun sudah mula meninggikan suaranya. Dia berasa begitu marah melihat wajah Rina yang begitu tenang.

"Yang kau terasa pedasnya kenapa? Kalau kau tak makan cili tak mungkin kau akan terasa dengan kata-kata nenek di kantin itu yang ada benarnya." Aqilah pula yang meninggikan suara kepada Jun apabila gadis itu mula meninggikan suara. Dia sudah hampir tidak mengenali Jun yang selama ini dikenalinya. Gadis itu benar-benar sudah berubah.

"Kau diam! Aku tak cakap dengan kau pun yang kau nak menyibuk kenapa?" Jun merenung Aqilah dengan amaran agar gadis itu tidak masuk campur dengan urusannya bersama Rina.

"Aku tak akan menyibuk kalau bukan kawan aku yang tuduh bukan-bukan! Apa masalah kau sebenarnya ni? Apa yang kau tak puas hati sangat dengan Rina?" Aqilah langsung tidak takut dengan amaran yang diberikan oleh Jun itu demi membela Rina yang tidak bersalah.

"Memang aku tak puas hati dengan dia. Kenapa disebabkan dia nama aku ikut tercemar sekali? Hanya disebabkan aku berkawan dengan dia banyak orang meragui diri aku juga. Sampaikan ibu bapa aku yang berada di kampung berikan aku tekanan sama sebab berkawan dengan dia! Aku malu kau tahu tak? Aku rasa seperti orang mengumpat dibelakang aku! Hubungan aku dengan Iqmal pun tidak seperti dulu. Kita orang asyik bergaduh dan semuanya pasti disebabkan oleh dia!" Jari telunjuk Jun menunjuk tepat ke wajah Rina yang hanya mendiamkan diri daripada tadi.

"Kau merepek apa ni? Kau lebih kenal kawan kau sendiri berbanding orang lain. Kau kenal baik buruk dia sejak kita diawal semester lagi tapi kenapa kau ikut meragui dia? Kenapa kau harus malu berkawan dengan Rina sedangkan kau tahu dia tidak berdusta. Pernah kau cuba jelaskan kepada orang tua kau apa yang menimpa Rina sebenarnya? Tak pernah kan? Kau bukan mendapat tekanan daripada orang tua kau, Jun! Aku tahu orang tua kau pasti memahami situasi Rina kalau kau jelaskan pada mereka apa yang terjadi di hotel beberapa bulan yang lepas. Kau ada disana! Kau dan Syahiran saksi mata melihat Rina teraniaya.”

“Kau tertekan disebabkan oleh Iqmal. Lelaki yang kau cintai! Kau lebih memilih teman lelaki kau daripada memilih kawan kau sendiri. Kau takut ditinggalkan jadi kau pilih untuk membuang kami. Jangan salahkan orang lain diatas jalan yang kau pilih. Rina tidak pernah memaksa untuk kau terus berkawan dengannya dan tidak pernah sekali pun dia memburuk-burukkan nama kau seperti yang kau tuduhkan itu. Aku kecewa dengan kau! Aku tak sangka ini perangai kau sebenarnya. Kau benar-benar sudah berubah. Pintu hati aku yang masih terbuka untuk kau sekarang sudah tertutup rapat Jun." Aqilah mengendurkan suaranya dan menahan air matanya daripada mengalir. Sakit rasanya kehilangan salah satu kawan baik yang selama ini menjadi tempatnya bergantung harap di universiti.

"Maaf." Tiba-tiba Rina bersuara apabila lama dia membisu.

"Maafkan aku, Jun. Aku tidak tahu kau begitu terluka disebabkan aku. Aku tidak bermaksud untuk menarik kau sama ke dalam masalah yang menimpa aku. Aku tidak tahu apa yang akan membuatkan hati kau reda daripada kemarahan ini. Aku lepaskan kau pergi Jun. Kalau persahabatan kita ini membuatkan kau terseksa, pergilah. Anggap saja nama aku tidak pernah wujud di dalam kamus hidup kau dan aku juga akan melakukan hal yang sama walaupun itu sulit untuk aku." Perlahan-lahan Rina memeluk Jun dengan erat buat kali terakhir. Air matanya yang menitis segera diseka sebelum dia memalingkan badannya daripada Jun dan menyambung semula mengemas pakaiannya seperti tiada apa-apa berlaku.

"Pergilah, kau bukan sebahagian daripada kami lagi." Aqilah berjalan menuju ke pintu dan menarik daun pintu itu sehingga terbuka luas. Dia tidak bermaksud mahu menghalau tetapi ini semua adalah kehendak Jun sendiri maka dia tunaikan.

Jun memusingkan badannya. Jujur ketika itu dia juga sangat sedih dengan apa yang terjadi kepada mereka tetapi demi kasihnya terhadap Iqmal dia sanggup membelakangkan kawan-kawannya. Air matanya ditahan daripada mengalir dihadapan mereka, wajahnya masih diketatkan agar tidak menunjukkan riak penyesalan di situ. Jun melirik ke arah Rina yang tidak mengendahkannya dan memandang Aqilah di hadapannya yang menunduk tidak mahu melihat wajahnya. Jun kuatkan diri, dia melangkah keluar daripada bilik asrama yang pernah ditempatinya bersama kawan-kawannya itu. Ketika hampir separuh berjalan, Jun memberhentikan langkahnya dan menoleh kembali. Pintu bilik itu sudah tertutup rapat. Kini secara rasminya mereka bukan lagi kawan baik. Gelang tangan di tangannya ditarik dan dibuang ke dalam tong sampah yang besar disisinya sebelum berjalan pergi.

"Terima kasih, Abang Atan. InsyaAllah, Rina ingat pesan abang." Rina mengucapkan terima kasih kepada Abang Atan sebaik saja lelaki itu selesai menurunkan barang-barangnya daripada bonet kereta.

"Ini ada sedikit duit untuk buat belanja minyak." Rina menghulurkan tiga keping duit sepuluh ringgit ke arah Abang Atan yang mengelap peluhnya yang mengalir di dahi.

"Hish, kamu ni. Kalau abang nak duit dari tadi abang dah mintak. Tak payah, abang ikhlas tolong kamu. Simpan duit tu elok-elok dan buat belanja barang dapur. Abang dah nak balik ni takut isteri di rumah tu membebel. Kamu jaga diri baik-baik, kalau perlukan pertolongan telefon saja Kak Limah ya jangan telefon abang nanti abang yang kena sembelih." Sempat lagi Abang Atan bergurau sebelum membolosi masuk ke dalam keretanya dan dipandu pergi keluar dari kawasan rumah yang serba kekurangan itu.

Rina melihat rumahnya yang masih gagah berdiri walaupun sudah banyak kayu yang dimakan anai-anai. Perlahan-lahan kunci rumahnya dibuka dan ditolak pintu rumahnya itu. Suram dan kosong kerana sudah hampir beberapa bulan tiada penghuninya tetapi masih bersih sama seperti kali terakhir ditinggalkan cuma berhabuk sedikit. Rina memberi salam sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Semua suis lampu dipastikan berfungsi dengan baik kerana tidak mahu bergelap ketika malam menjelma. Apabila semua sudah dipastikan masih di dalam keadaan yang baik, Rina duduk di salah satu kerusi rotan di ruang tamu rumahnya dan memejamkan mata membayangkan wajah arwah Puan Mawar dan Nek Jah yang gembira menyambut kepulangannya jika dulu dia balik bercuti. Kini tiada sesiapapun yang mahu menyambut kedatangannya melainkan rasa hampa.

Rina membuka matanya dan melihat kerusi kosong dihadapannya itu. Disitu adalah tempat duduk kesukaan Nek Jah dan Puan Mawar akan duduk dibawah memandangkan ibunya lumpuh. Walaupun Puan Mawar sudah berusia tetapi dia tetap manja dengan Nek Jah. Nek Jah sering membelai rambut Puan Mawar dan Puan Mawar akan membelai pula rambutnya yang berbaring di paha. Hanya itulah yang mampu diberikan oleh keluarganya iaitu kasih sayang. Walaupun mereka tidak beharta tetapi mereka kaya dengan kasih sayang yang utuh dan tidak pernah rapuh.

"Nanti kalau kamu lahir ke dunia ini, ummi janji akan mencintai kamu setulus hati ummi. Biar apa nanti orang kata buruk tentangmu ingatlah ada Allah dan ummi yang akan melindungimu. Tiada nanti hari-harimu tidak diisi dengan cinta ummi. Kamu tidak akan merasa kekurangan walaupun tiada ayah disisimu." Rina mengusap perutnya yang membuncit dan keras itu.

Tiba-tiba Rina teringat suaminya. Apakah agaknya yang dilakukan oleh lelaki itu ketika ini?

Kali terakhir mereka berjumpa di hospital tempat dia dirawat ketika ditolak oleh Areen dahulu.
Amirul Haikal bin Tan Sri Mansur. Umur lelaki itu jika tidak salah 27 tahun memandangkan lelaki itu lahir pada tahun 1992. Dia masih ingat akan kad pengenalan lelaki itu yang dilihatnya di hospital tempoh hari. Cukuplah untuk mengisi borang pendaftaran kelahiran anaknya nanti selepas bersalin. Sekurang-kurangnya nanti sijil kelahiran anaknya tidak kosong dibahagian maklumat bapa.

“Demi Allah, kamu bukan anak zina seperti yang mereka tuduhkan itu.” Rina mengucapkan perkataan yang menyakitkan itu sambil memeluk perutnya seolah-olah dia sedang memeluk bayinya ketika itu.

Selepas selesai menunaikan solat isyak dan menikmati biskut kering sebagai makan malamnya hari itu Rina menuju ke bilik tidurnya bersama Puan Mawar. Dilihat tilam nipis yang dilipat dan sebuah almari buruk dihujung bilik. Rina menghampar semula tilam nipis itu dan diambil satu kain batik milik Puan Mawar sebelum dicium kain itu. Serta merta rindunya menggebu. Bau Puan Mawar dapat dihidunya dengan jelas. Rina membaringkan dirinya di tilam. Tidak berapa lama kemudian Rina tertidur dibuai mimpi yang indah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience