"Iris,tunggu dulu!"
Lengan Iris Qarissa yang berlapik baju dilelar.Dengan pantas Iris Qarissa merentap tangannya dari pegangan Aniq.Cerlung matanya memandang wajah Aniq.
"Saya tak sangka Aniq.Awak sanggup pergunakan kak Dewi semata-mata untuk kepentingan awak.Awak ingat awak ada duit awak boleh buat apa yang awak suka?Patutlah kak Dewi beria-ia paksa saya hantar bunga tu ke sini."Luah Iris Qarissa dengan nada kesal.
Semakin dia cuba menjauhkan dirinya daripada lelaki ini,semakin lelaki ini cuba mendekatinya.
"Salah ke saya buat macam tu,Iris? Ni je cara untuk saya dapat jumpa dengan awak.Kalau saya call atau mesej awak,belum tentu awak akan balas.Bila saya datang cari awak,macam-macam alasan yang saya dapat daripada puan Dewi.Tu semua sebab awak nak mengelak daripada saya kan?Kenapa Iris?Kenapa?Sebelum saya pindah ke sini,hubungan kita ok je.Awak tak pernah nak mengelak macam ni."
Nafas digali dalam sebelum Iris Qarissa kembali menyambung bicara.
"Ya,dulu memang saya tak boleh nak elakkan diri daripada awak.Sebab ada pak su dan mak su.Awak jadikan diorang alasan untuk awak datang jumpa saya kan?Saya ingat awak betul-betul ikhlas nak tolong kami selama ni.Tapi...lepas awak luahkan segala isi hati awak pada saya,saya dah mula hilang kepercayaan pada awak.Kalau awak datang dalam hidup saya sebagai seorang sahabat,jujur saya cakap saya tak ada sebarang halangan.Tapi kalau awak rapat dengan saya dan Izz semata-mata untuk mengisi kekosongan hati awak,maaf saya tak boleh terima."Balas Iris Qarissa mempertahankan pendiriannya.
Aniq mengeluh kasar.Dia sedar,dia tidak bijak dalam memikat hati wanita.Lebih-lebih lagi hati wanita yang sudah pernah terluka seperti Iris Qarissa.Aniq mula menyesal dengan sikapnya yang terburu-buru dalam membuat tindakan.
"Ok,Iris.I'm sorry.Saya tahu saya salah dalam hal ni.Awak dah banyak kali beritahu yang awak tak mahu mana-mana lelaki cuba rapat dengan awak sebab semata-mata nak berdamping dengan awak.Dan saya dah jadi salah seorang daripada mereka.I broke my promise.Tapi Iris,tentang hati dan perasaan ni,tak ada siapa yang boleh halang.Perasaan tu datang dengan sendiri."Aniq masih cuba memujuk.
"Tapi awak boleh pujuk hati awak.Kalau awak rasa awak nak saya terima awak sebagai kawan,saya boleh je jumpa awak macam biasa.Layan awak macam biasa.Tapi selagi awak masih lagi ada simpan perasaan pada saya,maaf Aniq.Baik awak lupakan kewujudan saya dan Izz dalam hidup awak.Saya balik dulu."
Iris Qarissa terus melangkah pergi.Langsung dia tidak berpaling ke arah Aniq.Mungkin ini sahaja cara yang ada supaya lelaki itu boleh terus melupakannya dan mencari kebahagiaan dia sendiri.Dia tidak mahu kehidupan seorang lelaki seperti Aniq hancur kerana wanita seperti dia.
Aniq akur.Dia hanya membiarkan Iris Qarissa pergi tanpa ada sedikit pun niat untuk menghalang.Bukan kerana dia sudah berputus asa.Tetapi dia tidak mahu memaksa.Dia mahu Iris Qarissa tenang dahulu.Kemudian,dia akan muncul kembali sebagai sahabat seperti yang Iris Qarissa mahukan dan perlahan-lahan dia akan memikat hati wanita itu.Kerana dia yakin,usaha yang berterusan pasti akan membuahkan hasil.
*******
"Assalamualaikum."
Iris Qarissa menapak masuk ke dalam rumah.Melihat kelibat ibunya,pantas sahaja Izz Harith mahu berlari mendapatkan Iris Qarissa.Namun,Siti lebih dulu menghalang.Lantaran melihat wajah keletihan anak saudaranya itu,pasti Iris Qarissa mahukan ruang untuk berehat.
"Kenapa nek Ti?Izz nak jumpa mama."Ujar Izz Harith dengan memek muka meminta simpati.
Wajah Izz Harith dipagut lembut sebelum kepala anak kecil itu diusap.
"Izz sayang mama tak?"Soal Siti.
"Sayang....sangat.Kenapa nek Ti?"
"Kalau Izz sayang mama,Izz jangan kacau mama dulu.Biarkan mama berehat.Mama kan baru balik dari kerja.Mesti dia letih.Izz bawa mainan ni semua masuk bilik.Nanti bila mama dah rehat,baru Izz jumpa mama.Boleh?"
Mendengar bicara Siti,Izz Harith pantas mengangguk laju.
"Oklah...Izz naik dululah nek Ti.Thank you nek Ti sebab belikan mainan.Sayang nek Ti."
"Nek Ti pun sayang sangat dekat Izz.Cium nek Ti sikit."
Siti menyua pipinya kepada Izz Harith.Lalu,bibir Izz Harith terus berlabuh di pipi Siti.Satu kucupan kecil diberikan buat Siti.Siti tersenyum nipis.Pantas Izz Harith membawa semua permainan yang baru dibelinya ke tingkat atas.Melihat kelibat Izz Harith yang sudah hilang dari pandangan,Siti menapak ke ruang tamu.
"Lambat balik hari ni?Banyak tempahan dekat kedai ke?"Soal Siti menyapa Iris Qarissa.
Iris Qarissa yang sedang bersandar di dada sofa menoleh ke arah Siti.
"Tadi Iris kena buat delivery dekat hospital.Tu yang lambat sikit.Mm...Izz mana?Tak nampak pun dia?"Soal Iris Qarissa sambil mengintai ke arah ruangan lain mencari kelibat si anak.
"Ooh,mak teh suruh dia main permainan yang mak teh beli tadi dekat atas.Adalah tu dia main dekat bilik.Saja mak teh suruh dia jangan ganggu Iris.Mak teh tengok Iris macam penat sangat hari ni."Balas Siti sambil melabuhkan punggung di hadapan Iris Qarissa.
"Tak adalah penat mana mak teh.Iris ok je.Mungkin sebab cuaca sekarang ni panas kot.Tu yang macam nampak letih.Terima kasih mak teh sebab tolong Iris jaga Izz.Lagi satu,mak teh janganlah manjakan dia sangat.Dah banyak sangat mainan yang mak teh belikan untuk dia."
"Ala....Untuk cucu mak teh juga.Bukan orang lain.Nasib baik ada Izz tu.At least mak teh ada kawan berborak.Rajin dia layankan nek Ti dia berbual.Mulut dia pun boleh tahan ramah.Mm...Kamu duduklah berehat dulu.Mak teh nak ke dapur masak untuk makan malam."
Belum sempat Siti mengangkat punggung,Iris Qarissa terlebih dahulu menghalang.
"Tak payah masaklah,mak teh.Malam ni kita makan dekat luarlah.Dah lama rasanya tak keluar makan dengan mak teh.Kali ni biar Iris yang belanja."
"Nak makan luar tu boleh.Tapi kalau Iris yang belanja,mak teh tak setuju.Iris kan baru je kerja.Duit gaji pun belum dapat.Duit simpanan Iris tu,Iris simpan je.Kali ni biar mak teh yang belanja.Tak luaklah duit mak teh setakat belanja Iris dan Izz je."
"Tapi mak teh..."
"No tapi-tapi.Kalau Iris berdegil,kita makan dekat rumah je.Mak teh masak."Tegas Siti.
Akhirnya Iris Qarissa mengalah.Dia akur dengan kehendak Siti.
"Yalah...Mak teh menang.Mak teh belanja.Iris tukang makan.Puas?"
Siti tersenyum lebar.
"Macam tulah anak saudara mak teh.Dah,pergi naik atas mandi lepas tu solat.Kejap lagi dah masuk Maghrib.Lepas solat kita dah boleh keluar makan.Kalau lambat pergi nanti balik pun lambat.Si Izz tu bukan boleh tidur lewat.Esok pagi dia mengantuk dekat sekolah."Ujar Siti.
"Ya,mak teh.Iris naik dulu ya.Kejap lagi kita keluar."
Iris Qarissa terus mengatur langkah ke tingkat atas untuk membersihkan diri dan mengerjakan solat Maghrib.Melihat kelibat Iris Qarissa yang sudah pun beredar,Siti turut sama melangkah menuju ke biliknya.
"Mak teh,Iris terasa nak makan dekat restoran Thai lah?Tempat yang mak teh selalu bawa Iris makan dulu.Ada lagi ke restoran tu mak teh?"
Siti yang berada di sebelah hanya mengangguk kecil.
"Ada lagi.Cuma pekerja dia je yang bertukar.Kalau Iris teringin sangat nak makan makanan Thai,kita pergi jelah ke sana terus.Lagi pun hari biasa macam ni tak ramai sangat orang."Balas Siti yang duduk di sebelah tempat pemandu.
"Ok,mak teh.Kita pergi ke sana."
Iris Qarissa terus membelok keretanya ke perkarangan restoran yang dituju.Keretanya diparkir saat sampai di hadapan restoran.
"Mak teh nak makan apa?"Soal Iris Qarissa setelah mereka mengambil tempat di dalam restoran tersebut.
"Mak teh tak kisah.Mak teh ikut je apa yang Iris order."Balas Siti.
"Ok,Iris order set yang ni jelah.Banyak sangat nanti tak habis pula."Ujar Iris Qarissa sambil menghalakan jari telunjuknya ke set menu yang terdapat di dalam buku menu yang diberikan oleh pelayan restoran.
Usai mengambil pesanan,pelayan restoran itu pantas beredar dari meja mereka.Izz Harith yang leka dengan telefon pintar Iris Qarissa menoleh seketika ke arah ibunya sebelum pandangannya dibawa mengitari sekeliling.Belum sempat matanya kembali memandang gajet di tangan,matanya terpasak pada susuk tubuh seseorang yang sangat dikenalinya.Pantas Izz Harith mengangkat punggung,lalu berlari ke arah figura itu.Perbualan Iris Qarissa dan Siti terhenti saat melihat tindakan spontan Izz Harith.Iris Qarissa pantas bangun dan terus mengejari langkah anaknya.
"Uncle!"
Sapa Izz Harith sambil memeluk kaki figura tersebut.Iris Qarissa yang berada di belakang Izz Harith terpempan melihat tingkah si anak.Mana tidaknya,belum sempat dihalang,Izz Harith sudah pun mendakap lelaki yang berada di hadapannya.Lelaki itu menoleh.
"Izz?"
Izz Harith mendongak memandang Aniq sambil tersenyum lebar.Aniq pantas bertinggung,lalu tangannya dibawa memegang kedua bahu Izz Harith.
"Hey,how are you my handsome boy?Lama tak jumpa.Rindulah uncle dengan dia.Izz datang sini dengan siapa?"
"Izz sihat je.Izz datang dengan mama dan nek Ti."Balas Izz Harith.
"Izz,jom kita makan."
Panggilan Iris Qarissa membuatkan Izz Harith dan Aniq menoleh ke arahnya.Iris Qarissa tidak menunjukkan sebarang riak saat pandangannya bertemu dengan mata Aniq.Aniq kembali berdiri.Izz Harith yang memahami isyarat si ibu pantas berjalan semula ke arah Iris Qarissa.
"Tak sangka boleh jumpa Iris dekat sini."Ujar Aniq.
Iris Qarissa hanya tersenyum kelat membalas kata-kata Aniq.Kewujudan Aniq di situ langsung tidak diendah.
"Izz jom kita pergi dekat nek Ti.Kesian nek Ti duduk sorang-sorang tunggu kita."
Iris Qarissa pantas menarik tangan Izz Harith kembali ke meja mereka.Baru sahaja kakinya setapak melangkah,Izz Harith pula memberhentikan langkah.Iris Qarissa menoleh memandang anaknya.
"Kenapa Izz?"Soal Iris Qarissa dengan kening berkerut.
"Kita ajaklah uncle makan sekali dengan kita.Kesian uncle tu makan sorang-sorang."Pinta Izz Harith dengan wajah penuh berharap.
"Ala...Uncle tu dah besar.Dia tak kisah pun makan sendiri."Balas Iris Qarissa.
"Tapi Izz nak uncle.Please mama....Dah lama tau kita tak jumpa uncle."
Riak wajah Izz Harith berubah mendung.Bila-bila sahaja air matanya boleh merembes keluar.Melihat keadaan anaknya yang seakan mahu menangis itu,akhirnya Iris Qarissa mengalah.
"Fine...Pergilah panggil uncle tu.Mama tunggu dekat meja dengan nek Ti."
Mendengar sahaja kata-kata ibunya,Izz Harith terus berlari semula ke arah Aniq.Nama Aniq dilaung.Aniq yang baru sahaja mahu beredar pantas menoleh.Langkahnya terhenti.
"Jom uncle.Mama ajak makan sama."Bicara Izz Harith saat dia sudah berada di hadapan Aniq.
Kening Aniq ternaik memandang Izz Harith saat mendengar bicara anak kecil itu.
"Betul ke ni?Mama yang ajak atau Izz yang ajak sebenarnya?"
Izz Harith menggaru kepalanya yang tidak gatal.Dia tersengih kecil.
"Sama jelah kalau Izz ajak atau mama ajak.Jom uncle."
Izz Harith terus mencapai tangan Aniq sebelum menarik tangan Aniq mengikuti langkahnya.Aniq yang akur dengan kehendak Izz Harith sekadar menurut.
"Panjang sangat muncung tu.Izz mana?Bukan Iris ikut dia ke tadi?"Soal Siti setelah Iris Qarissa kembali mengambil tempat di sebelahnya.
"Ada tu dengan uncle dia."Balas Iris Qarissa sambil menjeling ke arah Aniq yang sedang memimpin tangan Izz Harith.
Siti berkerut kening.
"Uncle?Uncle mana pula?"
Iris Qarissa mengangkat kedua bahunya tanda tidak mahu mengambil tahu.Siti yang melihat tingkah anak saudaranya itu hanya mampu menggelengkan kepala.
"Assalamualaikum."Ucap Aniq saat sampai di meja yang menempatkan Iris Qarissa dan Siti.
"Waalaikumsalam.Tak silap ni doktor yang dekat Kedah tu kan?"Soal Siti.
Aniq tersenyum nipis.
"Panggil saya Aniq je puan."
"Eh,apa pula panggil puan.Panggil je aunty.Jemputlah duduk Aniq.Patutlah Izz mengejar sampai ke sana tadi.Ternampak uncle dia rupanya."Ujar Siti sambil mengerling Iris Qarissa di sebelah.Wajah Iris Qarissa masam mencuka.
"Maaf aunty kalau kehadiran saya ni mengganggu makan malam aunty dan Iris."Ucap Aniq.Terbit rasa bersalah dalam hatinya tatkala melihat wajah mencuka Iris Qarissa.
"Mana ada.Tak ganggu pun.Dah namanya rezeki.Tak salah kita berkongsi.Betulkan Iris?"Soal Siti sambil menyenggol lengan Iris Qarissa.Sempat dia membuat isyarat pada bibirnya supaya Iris Qarissa melengkung senyum.
Mahu tidak mahu Iris Qarissa hanya tersenyum kelat.
"Aniq,jemputlah makan.Jangan segan-segan.Nanti kalau tak cukup kita order lagi.Kejap,aunty panggil pelayan.Air Aniq belum orderkan?"Soal Siti.
Aniq sekadar mengangguk kecil.Siti memanggil semula pelayan restoran itu sebelum memesan minuman dan membuat penambahan pada menu makanan mereka.Setelah itu,mereka menikmati makan malam mereka bersama walaupun kehadiran Aniq seakan tidak dialu-alukan oleh Iris Qarissa.
Tanpa mereka sedar sepasang mata sedang memerhati mereka dari jauh.Beberapa keping gambar ditangkap sebagai bukti.Seraya itu,nombor telefon seseorang didail.Selang beberapa deringan,terdengar suara garau seseorang di hujung talian.
"Yes,ada apa call aku sampai tak sempat nak tunggu esok?"Soal lelaki di dalam talian.
"Boss,saya ada maklumat terbaru ni."Balas lelaki yang bertopi itu.
"So,apa maklumat yang penting tu?"
"Sekarang saya tengah ekori mereka di sebuah restoran."
Bibirnya tersungging senyuman kecil.
"Itu je ke maklumat penting yang kau dapat?Kejap,kau cakap mereka?Siapa mereka tu?"
"Inilah yang pentingnya,boss.Saya nampak dia keluar dengan seorang perempuan tua dan seorang budak lelaki dalam usia lima atau enam tahun macam tu.Lepas tu diorang datang makan dengan seorang lelaki.Siapa mereka semua ni pada Cik Iris tu,saya belum pastikan lagi.Tapi saya ada hantar beberapa gambar mereka pada boss.Mungkin boss kenal siapa mereka?"Terang lelaki bertopi itu.
Harraz terdiam seketika.Skrin telefon pintarnya disentuh,lalu aplikasi WhatsApp dibuka.Paparan gambar yang dihantar oleh orang upahannya ditatap seketika.Sedar akan kebisuan majikannya itu,nama majikannya diseru beberapa kali.Selang beberapa ketika barulah Harraz kembali membalas panggilan namanya.
"Ya,aku dengar.Aku tengah tengok gambar yang kau hantar.Aku cuma kenal perempuan tua tu sahaja.Itu ibu saudara Iris.Iris dah berkahwin baru ke?Budak kecil tu anak daripada hasil perkahwinan baru dia?"Soal Harraz ingin tahu.
"Mm...Yang tu saya tak pasti,boss.Tapi saya akan siasat nanti."
"Baik.Aku nak kau dapat maklumat tu secepat yang mungkin.Terus perhatikan mereka sampai kau dapat semua maklumat."Arah Harraz.
"Baik,boss.Saya letak dulu."
Panggilan terus ditamatkan.Harraz menghenyak punggungnya di atas sofa.Pelipisnya diurut lembut.
"Macam mana kalau dia dah kahwin baru?Betul ke budak tu anak Iris?Aah..!!Tak kisahlah dia dah kahwin atau belum.Yang penting aku dah jumpa dia semula."Monolog Harraz sendiri.
Harraz tersungging senyum.Dagunya yang sudah berjambang halus diusap lembut.Dia hanya perlu menanti maklumat baru tentang Iris Qarissa sebelum dia mula mengatur langkah mendekati wanita itu semula.
Share this novel