BAB 8
"Along mana ibu?" tanya Eisya sambil berlari mendapatkan abangnya.
"Ibu, mana ibu?" kali ini giliran Hisyam.
Sebelum masuk ke bilik pembedahan, Kamal sempat menelefon adik-adiknya dan memaklumkan kejadian yang menimpa ibu mereka.
Eisya hanya mampu meraung apabila melihat ibunya dari jauh. Wayar-wayar yang berselirat di badan ibunya menambahkan duka di hati.
"Ibu...jangan tinggalkan Eisya. Eisya berdosa. Eisya selalu lupa membalas panggilan ibu. Ibuuuuuu," raung anak kedua itu.
Hisyam mendapatkan kakaknya. Mereka saling berpelukan. Masing-masing tidak peduli dengan mata lain yang memandang.
Sungguh tidak disangkan kejadian seperti ini berlaku kepada keluarganya. Hisyam juga terduduk di lantai, mengesali apa yang telah terjadi.
"Kalaulah aku selalu balik dan lawat ibu. Tentu ibu tidak sunyi. Tentu ibu tak jadi begini," Hisyam bermonolog sendirian.
*************************
Hari semakin larut, Mak Mah masih lagi tidak sedarkan diri.
Kamal kalut.
Diperiksa nadi ibunya. Lemah.
Anak mata ibunya ternaik ke atas.
Sesekali dada ibunya berombak.
Dia begitu terdesak.
Kini ketiga-tiga mereka membaca yassin di sisi katil ibunya. Suara mereka terkawal kerana sudah diberi peringatan agar jangan sampai menganggu pesakit lain yang juga mengalami penyakit kronik.
Air mata Eisya tumpah tapi dia sedaya upaya memastikan tajwidnya betul. Sesekali dia memegang tangan ibunya.
Dia bersumpah akan menjaga ibunya dengan baik selepas ini.
Wujudkah kesempatan itu?
*****************************
Azan Subuh berkumandang.
Jari mak Mah bergerak. Kamal tersedar. Diperhatikan lagi. Bimbang dia hanya berhalunisasi kerana mamai. Ketiga-tiga mereka baru sahaja tertidur.
Benar! Jari mak Mah bergerak.
Terus Kamal mendapatkan ibunya.
'Ibu....ibu...buka mata bu. Kamal dan adik-adik ada ni," ucapnya perlahan.
Mata mak Mah celik sedikit. Makin lama makin buntang.
Gugur air mata seorang ibu. Walaupun dalam keadaan yang sakit, Mak Mah kenal semua suara yang kini sedang tersedu-sedan di sisi katilnya.
Diperhatikan satu persatu wajah anak-anak syurganya.
Masing-masing dengan mata yang bengkak. Wajah yang sugul dan kelihatan tidak terurus.
Dia pasti anak-anaknya tidak tidur, tidak makan. Apa yang pasti Mak Mah bermimpi. Mimpi dia bertemu dengan kekasih hatinya. Siapa lagi kalau bukan arwah suaminya.
Suami datang mahu menjemput Mak Mah pergi. Tangan Mak Mah dipegang kemas.
Baru sahaja kakinya mahu melangkah, seorang anak kecil memeluk kakinya erat. Hampir sahaja Mak Mah terjatuh.
"Jangan pergi..jangan pergi...datang lagi dua orang anak kecil. Merengek-rengek mereka meminta di dukung,"
Kini Mak Mah pasti, 3 anak kecil yang muncul dalam mimpinya adalah Kamal, Farisya dan Hisyam.
Share this novel