BAB 8

Romantic Comedy Completed 16913

Aliya menghempaskan badannya di atas katil sebaik masuk ke dalam bilik. Haziq yang mengekori dari belakang turut berbaring di sebelah Aliya. Hubungan mereka masih lagi seperti tiga bulan yang lalu. Masih menggelar ‘aku-kau’, tetapi bila di hadapan keluarga, mereka memanggil ‘saya-awak’. Masih ada bantal peluk sebagai pemisah di atas katil dan mereka langsung tidak berbulan madu.

Sesekali Haziq mengintai Aliya yang sedang tidur di sebelahnya. Semenjak mereka pulang dari tempat kerja bersama, wajah Aliya sangat tegang. Entah apa masalah yang dihadapi Aliya, dia tidak tahu. Dia mencuit Aliya sedikit.

“Hmm..” Haziq mencuit Aliya sekali lagi apabila Aliya memberi respons. “Hmm..” Sekali lagi Aliya dicuit hingga akhirnya Aliya mengalihkan tangannya yang menutup wajahnya tadi.

“Kau nak apa ni ? Main cuit-cuit pulak ?” Soal Aliya geram. Haziq pantas menggeleng dan apabila Aliya mahu mengiring membelakangkannya, Haziq mencuitnya lagi.

“Weh, Kappo-boo.. Kau ada masalah ke? Kenapa aku tengok muka kau ni macam ketat sangat je..” Haziq berusaha untuk mengajak Aliya berkongsi rasa dengannya. Pada Haziq, meski mereka tidak menjalani kehidupan sebagai suami isteri, sekurang-kurangnya biarlah mereka menjadi kawan.

Aliya mengiring, kali ini memandang Haziq pula. Di atas katil, bersama bantal peluk sebagai pembahagi, mereka mengiring menghadap satu sama lain. Aliya memandang wajah Haziq sedalam-dalamnya. Patutkah dia memberitahu perkara sebenar kepada Haziq? Apakah tindakan Haziq nanti?

“Kau ada masalah ke? Cuba kau share dengan aku..” kata Haziq lembut. Perlahan-lahan Aliya menggeleng. Melihatkan Haziq yang semakin baik dengannya, (kecuali panggilan Kappo-boo yang sememangnya menyakitkan hati), Aliya jadi tidak sampai hati. Biar apapun, Haziq suaminya yang sah. Dia tidak mahu melukakan Haziq.

“Tak ada apalah.. Aku penat je..”

“Weh.. Kappo-boo.. Share la.. Kau tak kesian ke tengok suami kau yang baik hati ni? Suami yang sanggup berkongsi suka duka dengan kau..” Tidak semena-mena Aliya tergelak. Ada-ada sahaja idea Haziq untuk menghiburkannya. Aliya memandang patung monyet Kappo yang setia di sisinya sejak peristiwa tempoh hari. Hatinya jadi sejuk semerta. Wajah yang muram diganti dengan senyuman.

“Dahlah weh.. Daripada aku layan kau, lebih baik aku pergi mandi..” Aliya bangun dari baringnya dan terus mencapai tuala. Sebaik dia masuk ke dalam tandas, Haziq menjerit kepadanya. “Kappo-boo! Nanti kita solat jemaah sama-sama!” Aliya menjengahkan kepalanya keluar.

“Sorry lah, ye Encik Suami.. Hari ni Cik Isteri tengah cuti, bendera Jepun..” jawab Aliya dan terus pintu bilik ditutupnya. Haziq mempamerkan wajah terkejutnya. Jarinya sibuk mengira sesuatu, kemudian dia menepuk dahinya. Alamak, betullah hari ni dia cuti! Patutlah semalam tak join aku solat!

“Kappo-boo! Nanti lepas aku solat, kita pergi Putrajaya nak tak? Jalan-jalan, aku bosanlah malam ni..”

“Hmmm..” ringkas sahaja jawapan Aliya.

Haziq kembali berbaring dan merenung siling. Selama tiga bulan bersama Aliya, macam-macam perkara mereka telah lakukan berdua. Haziq senang melihat Aliya mesra dengan keluarganya dan juga Ixora. Sudah pastinya Latifah yang paling bahagia sekali. Pernah sekali, Latifah membawa Aliya ke Sabah untuk membeli-belah di sana. Nasib baik Aliya melayan ibunya dengan baik. Terselit juga rasa kagum terhadap insan bernama Aliya Raihana itu.

Kenangan sewaktu mereka berdua bermain badminton, pergi ke Genting Highlands, Legoland di Johor Bahru berlegar-legar di fikirannya. Haziq mula merasakan perkataan musuh yang sebati dalam diri mereka sudah boleh digantikan dengan perkataan kawan pula.

Bila teringatkan semuanya semula, Haziq terasa kelakar sendiri. Sebelum ini, mereka berkahwin bukan atas dasar cinta, juga bukan kerana terpaksa. Dia terdesak mahukan isteri dan Aliya pula bercadang mahu mengenakannya. Tak perlu ditanya pada Aliya, Haziq sendiri tahu niat sebenar isterinya. Dan sekarang ini, Haziq siap boleh duga bila Aliya akan ‘cuti’.

“Kalau Aliya tahu aku kira, mampus dia cakap aku ‘pervert’!” Haziq tergelak di hujung katanya. Tiba-tiba telefon bimbit Aliya berbunyi. Mata Haziq melilau mencari arah bunyi tersebut. Haziq mengangkat bantal Aliya dan matanya tertancap pada telefon tersebut. Tertera nama seseorang di situ.

Pada awalnya, Haziq mahu mengabaikan sahaja, tetapi selepas itu telefon itu berbunyi lagi. Dan apabila sudah tiga kali panggilannya tidak diangkat, sebuah mesej diterima. “Ada benda penting ke sampai nak kena call banyak kali ni ? Siap hantar SMS lagi..” Hati Haziq diketuk rasa curiga. Dia jadi was-was tiba-tiba. Di luar sedar, Haziq mengambil telefon bimbit Aliya dan mula membaca mesej yang baru diterimanya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience