19

Romance Completed 132660

Hana menaiki Uber sendirian ke klinik setelah tiga hari demamnya berlarutan. Demamnya sekejap baik, sekejap datang lagi. Sehinggakan sudah 3 hari dia tidak masuk bekerja.

Sewaktu di klinik, doktor telah mengambil sampel darah bagi tujuan memeriksa kalau-kalau terdapat masalah kesihatan lain yang serius. Tanpa banyak kata, Hana membenarkan sahaja sebarang prosedur dibuat ke atasnya.

Tumpuannya kini hanya untuk kembali sihat. Selesai urusan di klinik, Hana berkeputusan untuk pulang ke rumah ibunya. Digagahi jua untuk memandu sendiri. Waktu kurang sihat begini teringin dia mengadu kepada mama dan ayah tercinta.

Sambil memandu, Hana memasang fon telinga. Nombor Azleen dihubungi untuk memaklumkan hal cuti kepada rakan sejawatnya itu. Sudah beberapa kali Azleen membuat missed call.

"Hello. Hana kau kat mana? Kau okay ke?" suara lantang Azleen menerpa telinga Hana.

"Aku demam lagi Leen. Aku baru balik klinik." lemah suara Hana menjawab.

"Allah, ye ke. Macam teruk je gayanya tu? Doktor ada cakap apa?"

"Yelah Leen, tak larat sangat aku ni. Doktor dah bagi ubat demam. Tapi nanti aku kena follow up lagi. Maaf Leen, aku tak dapat masuk office."

"Alah, takpe. Nanti pandai-pandai la aku bagitahu singa tu yang kau mc lagi. Kau okay tak sekarang ni?"

"Okay sikit. Jangan risau."

"Manalah aku tak risau. Kau tu kalau demam teruk juga, tapi tak pernah lagi lama macam ni. Kau kena kuat tau, Hana." pesan Azleen.

Hana tersenyum kecil. Sepedas-pedas mulut Azleen, kawannya itu pandai dalam menasihati.

"Yelah." Hana jawab sepatah.

Dalam diam dia terfikir-fikir untuk bertanyakan tentang Hazim. Tapi mustahil tiba-tiba sahaja dia hendak mengajukan soalan itu kepada Azleen.

"Kau cuti ni elok la Cik Qistina tu banyak sikit kerja. Kalau tak dia asyik nak mengarah kau je!" Azleen memulai sesi bergosip. Hana tergeleng perlahan.

"Lagipun Hana kau nak tahu tak? Bos pun takde dalam seminggu macam tu. Pergi honeymoon kat Japan katanya. Uih untunglah orang!" sambung Azleen lagi.

Hana terdiam sebentar. Patutlah Hazim menyuruh dia supaya tidak menghubungi. Hana mengelamun sebentar. Entah apa dia perlu rasa.

"Na? Hanaaa?? Hello?" Azleen memanggil-manggil, sekaligus membawa Hana ke dunia realiti.

"Ye? Leen. Takpe lah. Aku kena pergi dulu. Aku nak balik rumah mama aku kejap." laju Hana meminta diri.

"Yelah. Kau pergi dengan siapa? Kau naik apa? Kau drive sendiri ke?" bertalu-talu pula Azleen menyoal.

"Aku drive sendiri. Dah on the way pun ni."

"Ish kau ni! Dah tak sihat macam tu drive jauh pulak! Kang jadi apa-apa macam mana? Eh la Hana ni.." bebel Azleen.

"Tak jauh pun dekat je. Aku okey."

Tanpa sedar mata Hana bergenang. Tiba-tiba sahaja dadanya sebu. Mulut ditekup supaya tidak terdengar sebaknya.

"Yelah. Drive elok-elok. Dah, aku letak nak ni. Apa-apa inform aku. Bye. Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam." usai menjawab salam, panggilan diputuskan.

Hana cepat-cepat menyapu air mata yang jatuh. Tidak mahu nanti mamanya perasan apa-apa. Kau kena kuat, Hana!

.
.

Puan hajah Azizah segera muncul di muka pintu rumah setelah dihubungi anak bongsu perempuannya sebentar tadi.

Keluar sahaja Hana dari kereta, Azizah memandang dengan sedikit hairan. Wajah anak daranya yang agak cengkung, dan mata yang sembap menjadi tanda tanya. Baru sebulan lebih mereka tidak bersua.

"Mama.." Hana mencium tangan Azizah lalu dipeluk erat mamanya.

"Hana ok ke ni? Kenapa ni sayang?" hati seorang ibu kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

Hana sudah mencebik menahan air mata. Semakin ingin menangis mendengar pertanyaan mamanya. Azizah meleraikan pelukan lalu mencari wajah Hana.

"Demam..." jawab Hana apabila sudah ditenung oleh Azizah.

Serentak itu murah air matanya mencucuri pipi. Mudah sahaja dia menangis kali ini. Barangkali kerana terlalu memendamkan banyak perkara. 'Kalaulah mama tahu, Hana tak cukup kuat ma...'

"Kesiannya anak mama ni. Besar-besar pun nangis lagi bila demam. Dah, jom masuk." Azizah pantas memujuk.

Haji Halim yang kebetulan baru pulang dari restoran miliknya lekas mencari-cari kelibat Hana setelah melihat kereta Axia milik Hana terparkir di halaman rumah. Turut ada bersama adalah satu-satunya anak lelakinya yang juga abang Hana, Badrul Hisyam.

"Assalamualaikum!" Halim memberi salam.

"Dikna! Ooo Dikna!" suara Badrul pula melaung dari pintu rumah memanggil adik perempuannya yang mesra disapa Dikna.

"Waalaikumusalam." Azizah yang sedang asyik menonton televisyen menjawab salam.

Tidak mampu dia untuk bangun memandangkan Hana sedang mengerekot tidur di atas ribanya. Macam anak kecil.

"Ni ha, Dikna kamu. Demam katanya. Dah tiga hari mc." Azizah memandang risau ke arah Halim dan Badrul.

"Demam? Bila dia sampai ni? Dia bawak kereta sendiri ke?" Badrul mengambil tempat dia atas lantai, berdekatan Hana.

Tangannya dilekapkan ke dahi dan pipi si adik. Memang panas hangat dirasakan. Hana tergerak-gerak sebelum membuka sedikit mata.

"Dia drive sendiri la ni. Tadi mama dah marah dia. Bukannya awak tak kenal Hana ni macam mana." Azizah mengusap rambut Hana yang sudah sedar dari lena.

Itulah sikap anaknya yang satu itu. Hana yang manja dan dalam masa yang sama agak degil.

"Kenapa tak call angah? Bahaya tau tak sihat macam ni. Kang pengsan tengah-tengah memandu tu macam mana?" kali ini Badrul pula bersyarah.

"Tadi okey dah sikit." Hana membalas.

"Makin kecik anak ayah ni, ayah tengok. Hana dah makan ke belum ni?" tegur Halim pula sambil mengusap kepala Hana.

"Takda seleralah ayah. Rindu mama ayah."

Hana melentokkan pula kepala ke bahu ayahnya. Seronok dimanjakan ahli keluarga sendiri.

"Manalah tak sakit, makan pun tak nak. Malam ni tidur sini. Nanti mama masak sedap-sedap." pesan Halim sambil memandang isterinya.

Azizah hanya mengangguk. Jauh di sudut hatinya agak bimbang. Lain macam dirasakan kali ini apabila memandang Hana. Bagai ada masalah yang didiamkan oleh Hana. Walaupun Hana berkeras mengatakan dia cuma kurang sihat.

.
.

Hana dihantar pulang oleh kedua ibu bapa dan Badrul. Turut serta kakak sulungnya, Amira Huda dan anak saudaranya Camilla.

Setelah dua hari bermalam di rumah keluarga, Hana perlu pulang untuk Walaupun dia berdegil mahu memandu sendiri, Badrul awal-awal lagi sudah membebel panjang.

Ikutkan hati mahu sahaja Hana terus tinggal di sana. Dia lebih tenang apabila dikelilingi ahli keluarga sendiri.

Ada mama dan ayah yang sangat menatang Hana bagai minyak yang penuh, abang yang penyayang, tidak lupa juga kakak sulung yang sentiasa menjadi tempat dia mengadu.

"Balik je bila-bila Hana rasa nak balik. Pintu rumah tu sentiasa terbuka. Mama, ayah, angah, kak Mirah ada untuk Hana."

Kata-kata ayah masih terngiang-ngiang di telinga Hana saat mereka ingin bertolak pulang tadi. Bagaikan mengerti gundah yang kini melanda hatinya. Sikap Hana yang jelas berbeza dapat dihidu oleh orang tuanya.

Hazim mundar mandir di dalam bilik pejabat sambil membelek aplikasi Whatsapp nya. Pesanan yang beberapa kali dikirim kepada Hana tidak dibaca. Apatah lagi panggilannya.

Kali ini dia sendiri akan turun ke aras bawah untuk mencari gerangan si isteri. Hampir seminggu tidak bersua muka dengan Hana, hatinya dipagut risau.

Bilik pejabat Qistina yang terbuka luas didekati Hazim. Wanita yang sedang ralit menghadap skrin komputer itu tersedar akan kehadiran Hazim.

"Qis.."

"Yes, Encik Hazim. Anything i boleh tolong?" tanya Qistina sambil dia memerhatikan mata Hazim melilau kiri dan kanan menembusi cermin biliknya.

Cari buah hati lah tu!

"Where's Atilia Hana?" Hazim bertanya terus terang. Meja Hana yang kosong ditenung tanpa riak.

"Hana dah almost a week tak datang. She's on sick leave."

"Sick? Dia sakit apa?" wajah Hazim bertukar serius.

"Katanya demam. Not so sure." Qistina tidak mengulas panjang.

Dia juga kurang tahu akan keadaan sebenar Hana. Qistina hanya diberitahu oleh Azleen bahawa gadis itu demam.

"Nevermind." tutur Hazim sepatah sebelum lenyap dari ruang bilik Qistina.

Qistina mencebik sesaat. Elok la gadis itu tidak ada di hadapannya saat ini. Geram pula dia rasa. Seminggu ini tugasnya menimbun.


.

Hana yang baru selesai membersihkan diri keluar dari ruang shower dengan hanya berkemban. Langkah diatur hati-hati menuju ke arah hadapan cermin besar.

Matanya tertumpu pada kesan lebam kebiruan di lengan sebelah kiri. Tidak besar namun agak jelas. Tidak pasti dari mana kesan itu muncul, Hana menyelak pula bahagian belakang pehanya yang juga menunjukkan keadaan yang sama.

Hana termenung sebentar, memandang wajah sendiri di dalam pantulan cermin. Wajahnya pucat, ditambah pula dengan lingkaran gelap di bawah mata. Hana meraup muka dengan perasaan yang tertekan.

Kotak ubat di tepi cermin dibuka dan dua biji botol ubat dicapai. Hari ini dia bakal menemui doktor untuk mengetahui keputusan ujian darah tempoh hari. Sebaiknya dia cepat menyiapkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience