BAB 10

Romance Completed 4031

“Rania bawak banyak bersabar yea.”

“Nape ni doktor?” Suara Rania bertukar cemas.

“Shafie dah sedarkan diri, tapi….” Melihatkan Doktor Aziz menarik nafas seolah-olah cuba mengumpul kekuatan untuk menyambung semula kata-katanya, Rania bertambah bimbang. Dia tidak putus-putus berdoa agar tiada perkara yang buruk menimpa Shafie.

“Dia lumpuh. Anggota badannya sebelah kiri tidak berfungsi.” Rania terkesima.

“Ya Allah.” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Rania.

“Hentakan terlalu kuat Rania. Dia melindungi kamu dengan badannya. Kamu tak tercedera parah sebab dia tahan semua hentakan dalam perlanggaran tu. Dia peluk kamu sekuat-kuatnya.”

“Masa nak keluarkan kamu berdua dari kereta tu pun, dia masih peluk kamu. Dia tutup kepala kamu dengan tangannya. Sebab tu kamu tak cedera. Ibarat dia korbankan dirinya untuk kamu.”

“Saya keluar dulu doktor. Doktor jelaskan secara terperinci dengan keluarga dialah.” Rania terus bangun. Dia mahu meninggalkan bilik itu dengan segera. Dia tidak sanggup lagi untuk mendengar apa-apa berita mengenai Shafie. Dia benar-benar sedih.

“Rania?”

“Saya keluar dulu. Terima kasih.” Ucap Rania. Lalu dia keluar dan terus menuju ke bilik Shafie.

Dia menangis semahu-mahunya di sisi Shafie. Shafie yang masih lemah hanya memandang sayu Rania di sisinya. Dia cuba gagahkan diri untuk berkata sesuatu tetapi gagal. Dia masih lemah.

“Maafkan aku Shafie.” Berulang-ulang kali Rania mengucapkannya. Air matanya juga tidak henti-henti membasahi pipinya. Rania meluahkan kekesalannya terhadap peristiwa tersebut. Shafie hanya mampu mendengar sahaja. Semalaman dia menemani Shafie di dalam bilik tersebut. Dia tidak sampai hati untuk meninggalkan Shafie seorang diri. Mujur jururawat di situ memahami dan membenarkan dia untuk menjaga Shafie.

Walaupun Rania sudah sembuh sepenuhnya dan telah boleh kembali bekerja semula, namun dia tetap berulang alik dari rumah, pejabat dan hospital. Ini adalah kerana Shafie masih dirawat di hospital kerana keadaan dirinya yang masih belum sembuh sepenuhnya Selama lapan bulan dia berulang alik hanya semata-mata untuk menjaga Shafie. Rania tidak yakin terhadap penjagaan dari jururawat khas yang telah ditugaskan untuk menjaga Shafie. Dia tegar untuk melakukan semuanya. Tiada rasa kekesalan dalam dirinya. Dalam fikirannya, dia perlu membalas budi Shafie yang tidak ternilai itu. Dato’ Rashid yang memahami situasi Rania dan Shafie telah mencari pekerja baru bagi membantu tugas-tugas Rania di pejabat. Ini membuatkan Rania mempunyai banyak masa terluang untuk menjaga Shafie. Dia hanya perlu berada di pejabat untuk menandatangi dokumen atau mempengerusikan mesyuarat sahaja. Selebihnya, dia serahkan kepada Sofiya untuk menguruskannya.

“Assalamualaikum.” Rania memberi salam kepada para tetamu di rumahnya. Dia yang baru pulang dari hospital agak terkejut melihat rumahnya dipenuhi dengan tetamu. Selepas bersalaman dengan semua tetamu, Rania melabuhkan punggungnya di sisi ayahnya. Rasa letih kerana seharian menjaga Shafie dibiarkan sahaja. Yang ada hanyalah rasa hairan. Kenapa keluarga Shafie datang ke rumahnya pada waktu malam begini? Nak tanya khabar Shafie ke? Teka Rania. Mungkin agaknya. Sebab sudah hampir seminggu ahli keluarga Shafie tidak datang menjenguk. Semua urusan penjagaan Shafie diserahkan sepenuhnya kepada dia untuk menguruskannya.

“Lewat Rania balik, dari hospital ke?”

“A’ah Mak Cik. Hari ni terlambat sikit sebab Shafie dah boleh gerakkan tangan kirinya. Jadi nak kena urut lebih sikit.” Jawab Rania sambil tersenyum. Terdapat nada gembira dalam suaranya. Mendengarkan jawapan yang diucapkan oleh Rania itu, Siti Aishah mengucapkan syukur. Dia juga turut mengucapkan terima kasih kepada Rania di atas penjagaannya terhadap Shafie selama ini.

“Memang tugas saya Mak Cik. Saya bertanggungjawab. Semua ni berlaku kerana saya.” Rania cuba mengingatkan semula kesilapannya yang lalu. Suasana hening seketika. Masing-masing mencapai cawan yang terhidang di atas meja kopi yang telah disediakan oleh Jamilah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience