BAB 3

Drama Series 55411

"Dian tak bagitahu pun nak datang. Nasib baik mummy ada kat rumah tau? Kalau tak ada?"

Tersenyum Datin Zurina saat wajah cantik manis itu terpacul di depan muka pintu rumahnya. Terkejut pun ada. Yelah, datang tak bagitahu apa-apa. Tahu-tahu dah ada kat depan rumah. Siapa yang tak terkejut, kan?

"Kalau tak ada, Dian baliklah mummy. Ala saja je orang datang nak buat suprise. Rasa macam dah lama pula tak datang sini," balas Dian dan di hujung ayatnya kedengaran perlahan. Matanya meliar merenung setiap sudut di ruang tamu itu. Tak ada apa yang berubah. Semuanya masih sama cuma suasananya yang berbeza. Masih segar lagi segala memori ketika dia masih menetap di sini. Dian mengeluh berat.

"Apa yang tercegat tu? Duduklah. Macam tak biasa pula dengan rumah ni," tegur Datin Zurina dari arah belakang. Dian tersengih dan mengangguk. Punggung dihenyak pada sofa kulit berwarna putih itu. Dia menoleh ke kiri dan kanan sebelum pandangannya kembali terarah ke Datin Zurina.

"Daddy mana mummy?"

"Daddy dekat office lah, sayang," jawab Datin Zurina pendek dan mendapat anggukan faham dari Dian. Dia menunduk mengemam sekilas bibirnya. Melihat raut wajah wanita itu tiba-tiba saja membuatkan hatinya dijentik rasa pilu. Dia tersengih.

"Tiba-tiba Dian rasa bersalah." Dia membuka bicara memecahkan kesunyian yang sempat menyinggah. Datin Zurina menoleh dengan wajah tertanya.

"Kenapa Dian rasa serba salah pula?" tanyanya. Dian mendiamkan diri seketika apabila pembantu rumah itu datang menghidangkan dua gelas jus anggur dan juga sepinggan manisan sebelum berlalu meminta diri. Dian menghela nafas perlahan. Jari jemarinya ditaut dan bermain sesama sendiri.

"Rasa serba salah sebab daddy kena kerja sorang-sorang. Kalau... Dian kerja dekat situ, ganti tempat arwah Syah mesti kurang sikit kerja daddy, kan?" lambat-lambat dia berkata dan menggigit bawah bibirnya. Datin Zurina tersenyum kecil dan menggeleng perlahan.

"Itu ke yang buat Dian rasa serba salah?"

Dian mengangguk. Datin Zurina tertawa perlahan. "Kalau daddy dengar mesti reaction dia sama macam mummy," sambungnya lagi membuatkan Dian berpaling dengan wajah hairan. Datin Zurina mengeluh perlahan dan mencapai lembut tangan Dian lalu digenggam kemas.

"Dian, mummy dengan daddy okay aje. Janganlah rasa macam tu. Bukannya salah Dian atau sesiapa. Dah memang syarikat tu daddy yang usahakan dari dulu. Dan perlahan-lahan diturunkan kepada arwah Syah. Nak ikutkan, kalau daddy dah tak larat nanti memang nak suruh dia yang ambil alih sepenuhnya. Tapi, masa dia dah tiba, kan?" Datin Zurina menatap lembut ke arah Dian yang seperti sedang menahan sesuatu. Genggamannya dipereratkan.

"Dian jangan rasa serba salah. Serius. Mummy dengan daddy okay. Kami berdua redha dengan ketentuan Ilahi. Apa yang kita boleh buat sekarang, sedekah doa banyak-banyak untuk dia," sambungnya lagi mendapat anggukan kecil dari Dian. Hujung matanya yang berair dikesat. Sebuah senyuman keterpaksaan ditayangkan kepada Datin Zurina.

Setelah puas berbual dengan Datin Zurina, Dian meminta diri untuk naik ke atas sebentar. Saja mahu menjenguk-jenguk memandangkan dia pun sudah lama tidak datang ke rumah agam tersebut. Pintu bilik di hadapannya dikuak perlahan. Sebaik saja kakinya menapak masuk ke dalam ruang bilik itu, automatik segala kenangannya disini bermain semula.

Sama. Tak ada apa yang berubah sejak dari hari dia keluar daripada rumah tersebut. Susunannya sama dan kemas. Mungkin Datin Zurina menyuruh pembantu rumah membersihkan bilik ini sebulan sekali. Dia menapak mendekati katil lalu melabuh punggung di situ. Cadar katil tersebut diusap lembut. Katil itu, pernah menjadi tempat tidurnya bersama Syahir meskipun ketika itu dia masih belum menerimanya.

Bantal-bantal di situ juga pernah menjadi saksi dan tempat curahan air matanya ketika dia berasa letih dengan sikap Syahir dahulu. Bilik air, bingkai gambar yang dia sendiri pecahkan, segala-galanya yang ada di dalam bilik itu pernah menjadi saksi segala-galanya. Dian mengetap kuat bawah bibirnya. Seluar slack yang dikenakan dicengkam erat. Telapak tangannya naik menyeka air mata yang mula mengalir. Namun, semakin dia cuba menyeka, semakin laju jugalah air matanya menitis-nitis sehingga esakan yang ditahan akhirnya pecah juga.

Sungguh pedih dia rasakan ketika ini. Terlampau banyak kenangan yang pilu berbanding manis. Membuatkan dia berasa sangat terkilan. Andai saja jika dia tidak terlalu ego sewaktu Syahir mendomba peluang kedua padanya, pasti rasanya tak sesakit begini. Jika saja itu semua itu tidak terjadi...

"Maafkan aku, Syah. Aku dah cuba tapi aku tak mampu. Aku rindu sangat dengan kau, Syah. Terlalu rindu," tuturnya dengan susah payah kerana kesan seduan yang ditahan. Dia mengetap giginya kuat dan menjerit kecil. Biarlah hari ni dia mahu melepaskan segala-galanya. Kadang kala dia penat berpura baik-baik saja di hadapan orang sedangkan hatinya masih belum benar-benar 'sembuh'. Biarlah.


Dian terjaga dari tidurnya. Terpisat-pisat dia menoleh ke sekeliling. Dia masih berada di bilik Syahir. Di atas katil. Dia membuang pandang ke luar jendela. Suasana yang gelap di luar membuatkan dia kelam kabut turun daripada katil sambil merapikan tudungnya yang sedikit tidak betul kesan dari lelapnya tadi. Entah macam mana dia boleh terlelap pun dia tak tahu. Laju kakinya menuruni anak tangga rumah agam tersebut.

"Hah, Dian. Dah bangun dah?" tegur satu suara sebaik saja kakinya jejak ke ruang tamu. Dia menoleh ke tepi. Kelihatan Dato' Bakri yang muncul dari arah dapur datang mendekatinya. Diikuti juga Datin Zurina. Wanita itu tersenyum manis ke arahnya.

"Dian nak makan? Kalau nak, mummy boleh suruh Bik Numi hidangkan?"

"Eh, tak apa mummy. Dian pun dah nak balik dah ni. Risau pula kalau ibu cari nanti," tolaknya perlahan dan menayangkan sengihannya. Dato' Bakri dan Datin Zurina memandang sesama sendiri dengan senyuman di bibir. Membuatkan Dian semakin berasa malu dan segan. Sudahlah tertidur di rumah orang, boleh pula nak lajak makan sekali. Segan lahai rasa.

"Kalau ibu cari pun, dia tak susah hati sangat sebab anak dia ada je selamat dekat sini. Betul tak, dear?" Datin Zurina memandang suaminya. Dato' Bakri tergelak kecil dan mengangguk setuju dengan pendapat isterinya. Dian tersengih sekali lagi dan menggaru perlahan kepalanya.

"Tapi kalau Dian nak balik tak apalah. Lain kali datanglah lagi. Hujung minggu ke? Ajak ayah dengan ibu sekali. Ya?" suara Dato' Bakri pula. Dian mengangguk perlahan dan mengemam sekilas bibirnya. Ucapan maaf dilafazkan kerana telah menolak pelawaan kedua orang tua itu. Bukannya dia tak mahu, tapi macam dikatakan tadilah, dia malu.

"Kirim salam dekat ayah dengan ibu, ya? Bawa kereta tu elok-elok, Dian. Dah malam dah ni," pesan Dato Bakri di depan muka pintu sambil memerhatikan bekas menantunya itu menyarung sandal.

"Ya, daddy. Dian balik dulu. Assalamualaikum," ucap Dian saat tangannya menyalam tangan Datin Zurina. Kedua pasangan suami isteri menjawab salamnya perlahan dan menghantar pandangan ke arah Dian yang sedang melangkah dan sesekali berlari anak ke arah keretanya. Sebaik saja Dian sudah menghidupkan enjin dan menggerakkan keretanya, mereka berdua melambai serentak ke arahnya.

"Dia menangis tadi, dear. Menangis kuat. Macam waktu awal-awal arwah Syah pergi tinggalkan kita semua dulu," suara Datin Zurina yang masih memandang ke arah pintu pagar rumahnya yang sudah tertutup semula sebaik saja kereta Dian sudah hilang dari pandangan. Dato' Bakri menghela nafas perlahan.

"Kalau saya jadi dia pun Zu, saya buat benda yang sama. Kita sebagai ibu bapa pun, rindukan arwah apatah lagi Dian... yang tak sempat berasa bahagia dengan orang yang dia sayang," balas Dato' Bakri dengan nada suara yang perlahan. Dalam hatinya tak pernah putus berdoa supaya wanita kecil itu dikurniakan kebahagiaan kelak.

Kerna Dian sudah lama menanggung rasa 'kesakitan'.


"Assalamualaikum." Pintu rumah tersebut ditutup rapat sebaik saja salam diberi. Dia menjengah leher melihat suasana di dalam rumah itu kelihatan sepi. Jam yang tergantung di dinding dikerling. Padanlah kalau sunyi. Jarum jam sudah menunjukkan angka pukul 12:45 malam. 15 belas minit lagi hendak pukul 1 pagi. Malam ini, dia pulang lewat dari kebiasaan. Tiba-tiba pula dia perlu mengambil alih kerja rakannya yang lain sedangkan waktu itu dia sudah bersiap untuk pulang ke rumah.

"Lewat kau balik harini? Apasal tak balik subuh nanti?" tegur satu suara membuatkan dia laju berpaling ke tepi. Terkedu lidahnya tatkala terlihat seorang lelaki tua berbaju putih lusuh dan berkain pelikat sedang duduk di kerusi sofa kayu dan menatap kosong televisyen yang sudah sekian lama rosak di hadapannya. Dia meneguk air liur yang tiba-tiba terasa sukar tuk ditelan dan cuba menyapa ayahnya.

"A-ayah. M-maaf yah, Syah memang dah nak balik tadi tapi..."

"Ah, banyaklah alasan kau. Kerja sampai ke tengah malam bukannya kaya pun. Menyusahkan je. Kau kunci pintu tu. Aku nak tidur," kata orang tua itu lagi kemudian merebahkan diri di atas sofa panjang tersebut. Memang itulah menjadi tempat tidurnya hari-hari. Sampaikan dia dan adik beradiknya yang lain mahu duduk bersantai pun jadi susah. Dia mengeluh perlahan dan mengunci pintu rumah tersebut. Dia menoleh semula ke arah ayahnya.

"Mak mana, ayah?"

"Entah. Dah sampai stesen Ipoh lah kot."

Dia menundukkan wajah. Lagi-lagi jawapan berloyar buruk yang dia dapat. Tanpa berkata apa, dia terus mengorak langkah menuju ke satu bilik yang memang dibuka luas pintu biliknya. Tirai langsir lusuh itu diselak ke tepi saat dia berada di muka pintu bilik yang masih terang itu. Dia melangkah perlahan mendekati sekujur tubuh yang sedang terbaring lemah di atas katil. Perlahan-lahan dia duduk berlutut di tepi katil.

"Mak...," panggilnya lembut. Dia menyentuh perlahan tangan berkedut dan sedikit susut itu. Nafas lega ditarik saat sepasang mata itu terbuka dan mengerling ke arahnya. Dia tersenyum kecil membalas senyuman lemah itu.

"Syah... anak mak ni dah balik rupanya. Lambat Syah balik harini?" tanya ibunya dengan suara yang agak kurang kedengaran. Tangannya pula mengusap lembut pipi anaknya itu. Dia mengangguk sambil mengusap lembut tangan ibunya.

"Ya, mak. Banyak kerja tadi. Mak tunggu Syah ke? Kan Syah dah pesan, kalau Syah balik lambat, mak tak payahlah tunggu. Mak tidur je," katanya dengan muka sedikit berkerut. Kerut-kerut manja gitu. Dia tersenyum kembali saat terdengar kikihan kecil dari ratunya itu.

"Mak risaulah, Syah," balasnya diselangi batuk kecil. Lantas belakang tubuhnya itu diusap dan ditepuk perlahan oleh anaknya tanpa melepaskan tautan tangan mereka berdua. Pemuda itu menghela nafas perlahan.

"Mak janganlah risau. Syah baik-baik je. Mak tu yang buat Syah risau. Ni dah makan ke? Ubat dah makan?"

"Dah, doktor."

Meletus tawa halus dari bibirnya. Haih, ibunya ni. Dalam sakit-sakitnya sempat lagi bergurau. Dia mengangguk perlahan dan membetulkan selimut yang menyelimuti tubuh ibunya.

"Mak rehatlah. Syah masuk bilik dulu. Assalamualaikum," ucapnya dan mengucup sekilas pipi ibunya sebelum bangkit dari melutut. Suis lampu bilik itu ditutup lalu dia melangkah ke biliknya yang setentang dengan bilik ibunya.

Buka saja pintu bilik, wajah adik beradiknya menyapa pandangan. Terkedu dia jadinya apabila semua adik-adiknya sedang duduk berkumpul. Perlahan-lahan dia mendekati adik-adiknya. Dia duduk di bawah menyertai mereka.

"Kenapa ni? Idan kenapa?" soalnya memandang wajah adik beradiknya satu per satu. Matanya terlekat pula pada adik bongsunya, Syahidan yang sedang menunduk wajah dan menangis mengogoi. Dia mengeluh sedikit kuat apabila soalannya dibiarkan tidak berjawab.

"Abang tanya ni. Idan kenapa? Korang buat dia ke apa?" soalnya kali ini bernada sedikit tegas.

"I-Idan... A-a..."

"Siang tadi Idan kena bantai dengan ayah, bang," jawab adik lelakinya laju apabila melihat kakaknya tergagap-gagap untuk bicara. Terbuntang biji matanya mendengar pernyataan itu. Dia memandang wajah adiknya tidak percaya.

"Kau biar betul, Rul? Jangan tipu abang."

"B-betul, bang. Memang siang tadi a-ayah bantai Idan! Tak sempat kita orang nak halang tiba-tiba dah kena," sampuk adik perempuannya pula. Dia memandang mereka berdua bersilih ganti sebelum dia mengesot rapat dengan Idan yang masih lagi menangis. Dia menatap adik bongsunya itu lembut.

"Mana tempat yang sakit tu? Tunjuk dekat abang," arahnya. Melihat daripada situasi, dia yakin yang pukulan ayah mereka itu bukanlah sekadar pukulan yang biasa-biasa. Pasti rasa bisa dan pedih itu akan tinggal di badan. Perlahan-lahan Idan pusing ke belakang lalu menarik baju t-shirtnya. Membulat mata Syah. Mengucap panjang dia dibuatnya.

"Astaghfirullah hal adzim. Besarnya, Ya Allah. Idan...," Tanpa dia sedari, tubir matanya mula terasa hangat dan berkaca. Melihat kesan berbirat yang besar dan panjang itu cukup membuatkan hatinya menjadi luluh. Terus dia menyuruh adiknya, Syahrul untuk mengambil minyak gamat yang ada.

"Kenapalah sampai boleh jadi macam ni, Ya Allah?"

"Tadi siang kita orang dah pakat nak bawa Idan pergi klinik. Tapi, nanti tinggal mak sorang pula dekat rumah. Ayah lepas dah bantai Idan, dia terus keluar tak tahu pergi mana," kata adik perempuanya, Syahirah lagi membuatkan dia menghela nafas berat dan panjang. Syahrul kembali semula bersama botol minyak gamat di tangan. Botol tersebut bertukar tangan. Laju tangannya membuka penutup botol itu dan menuang sedikit di tapak tangannya.

"Tahan sikit, Idan. Abang sapu slow-slow je ni. Tahan ya?" ujarnya lalu menyapu perlahan pada kesan berbirat itu. Syahidan terjerit kecil dan mengetap bawah bibirnya kuat. Menahan rasa pedih. Syah menyapu lagi dan akhirnya berundur ke belakang. Dia menurunkan baju t-shirt adiknya itu.

"Esok Idan tak payah pergi sekolah. Abang bawa pergi klinik. Nanti surat cuti abang bagi dekat cikgu kelas Idan. Ira, Rul, pergilah masuk tidur. Dah lewat dah ni," arahnya mendapat anggukan dari mereka berdua. Kedua-duanya bangun dan melangkah keluar dari bilik tersebut. Tinggallah dia dan adik bongsunya di dalam bilik. Tangisan kecil adiknya masih menyapa gegendang telinga.

"Ke... Kenapa bang... Kenapa ayah buat Idan dengan kita macam ni? A-ayah dah tak sayang... kita ke?" tangis Idan dalam sedunya. Dia menundukkan wajah. Bahu Idan dirangkul lembut.

"Sabarlah, Idan. Ini semua ujian dari Allah untuk kita. Idan kuat tau? Dah, jangan nangis. Nanti lama-lama dia baiklah tu," pujuknya dan menguntum senyuman kecil. Walhal hakikatnya, kelat sama sekali.

kalau tuan hamba sekalian bijak pandai, cubalah teka nama penuhnya si pemuda Syah ini. adik beradiknya semua 'syah' juga didepan. adakah pemuda ini bernama Syahir juga? *muka terkejut* tekalah tekalah ><

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience