BAB 4

Romantic Comedy Completed 8105

Minggu Orientasi berakhir dengan seribu suka dan duka. Senior Samdol agak menyepi. Waktu kawan-kawannya galak mengenakan junior yang lewat di hadapan mereka, dia hanya tegak terpacak tanpa melakukan apa-apa. Mulutnya yang riuh dan suaranya yang garau tidak kedengaran.
Malam terakhir Minggu Orientasi, dia menghampiriku saat teman-teman seangkatan membuat persembahan sempena Malam Kebudayaan.

“Abang minta maaf kalau sepanjang Minggu Orientasi ini abang banyak menyakiti hati Hana. Abang cuma ingin bergurau. Ingin mengisi masa-masa yang singkat ini dengan kenangan yang bakal Hana ingati sampai bila-bila,” Dia berhenti seketika seolah-olah cuba menyusun ayat baharu.

“Hana boleh maafkan abang?” Dia merenungku. Aku sekadar mengangguk-anggukkan kepala.

“Selepas minggu ini, kita akan mulai menjalani kuliah. Kita akan menjadi terlalu sibuk. Abang mungkin akan jarang bertemu Hana. Hanya minggu ini sahajalah kita diberi peluang untuk berkenal mesra. Abang harap hubungan kita ini tidak akan terputus setakat ini,” Ada nada harapan di situ.

“Hana juga nak minta maaf kerana mempermainkan nama abang walaupun Hana dah tahu nama abang yang sebenarnya,” Aku jadi berani untuk bersuara.

“Tak apa. Abang tak marah. Lagipun, abang sendiripun panggil Hana, Budak Kecik. Maafkan abang, ya?” Aku tersenyum mendengar ungkapannya.

“Tapi, kalau boleh, abang nak panggil Hana Budak Kecik sampai bila-bila. Boleh?” senyumanku semakin melebar mendengar permintaannya yang aneh itu.

Memang betul kata Abang Irfan. Selepas Minggu Orientasi, kami semakin jarang bertemu. Lebih-lebih lagi, kami berlainan fakulti. Abang Irfan di Fakulti Perubatan manakala aku di Fakulti Pendidikan. Hmm…tidak lama lagi Abang Irfan bakal bergelar Doktor Irfan manakala aku, mungkin bakal dipanggil Cikgu Hana.

Kak Bella, walaupun sama fakulti dengan Abang Irfan tetapi mereka juga agak kurang berbicara. Bicara mereka hanya berkisar tentang projek, kajian dan tesis sahaja. Aku sendiri semakin sibuk. Menyiapkan assignment, menghadiri kuliah dan sekali seminggu, terlibat dalam kelas tutorial.

“Budak Kecik,” Abang Irfan menyapaku saat aku sedang menghirup fresh orange di kafetaria kolej. Aku segera menoleh.

“Assalammualaikum Abang Irfan,” Sebenarnya dalam hatiku nak aje aku menyebut Abang Samdol kerana dia memanggilku Budak Kecik. Kenangan Minggu Orientasi menjengah seketika.

“Waalaikummussalam. Abang ingatkan Hana nak panggil abang, Abang Samdol. Abang tertunggu-tunggu tadi,” Aku tertawa kecil mendengar omelannya. Seakan dia mendengar bisikan naluriku. Abang Irfan mengambil tempat di sisiku.

“Hari-hari abang tengok Hana minum fresh orange. Tak sakit perut ke?” Tegur Abang Irfan berkenaan minuman kegemaranku ini.

“Hari-hari?” Aku sekadar menguji.

“Ya, hari-hari. Hari-hari abang nampak Hana di kafe tapi abang tak nak ganggu Hana. Selalunya Hana bersama kawan-kawan. Hari ni Hana sendirian. Sebab itu abang datang temankan,” Aku tergelak mendengar penerangan Abang Irfan.

“Tak lama lagi abang akan tamat pengajian di sini,” terdengar suara Abang Irfan melirih. Aku agak tersentak dengan penerangan itu.

“Hana masih lama di sini. Tiga tahun lagi. Mungkin waktu abang balik untuk konvo nanti, abang akan dapat jumpa Hana. Abang harap Hana tunggu abang, ya?”

“Abang dah tahukah tempat posting?” Tanyaku ingin tahu.

“Abang mohon ke Malaysia Timur. Harap-harap dapat,”

“Kenapa jauh benar? Di Malaysia Barat kan banyak hospital?”

“Abang nak merasa ke negeri orang. Nak keluar negara dah tak boleh. Abang buat ijazah pertama dan master di sini. Kalau boleh, abang nak sambung PhD di luar negara pula,” Terlopong aku mendengar penjelasan dan impian Abang Irfan yang tinggi melangit. Sedangkan aku, cukup sekadar dengan ijazah pertama ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Selepas graduasi nanti, aku akan ke sekolah untuk mengajar dan selebihnya menunggu kalau-kalau ada yang sudi melamarku. Hmm…tidak pernah terfikir untuk menyambung pengajian lagi.

“Hana juga. Abang harap Hana akan teruskan pengajian. Jangan terhenti setakat ini sahaja. Hana muda lagi. Abang ni dah tua tapi masih tak jemu-jemu belajar,” Aku malu sendiri dengan keazaman Abang Irfan. Tidak cukup dengan gelaran doktor perubatan yang disandangnya mahu ditambah lagi dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Insya Allah, bang,” Aku hanya bersuara sekadar untuk melegakan hati Abang Irfan atau lebih tepat, hatiku sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience