DDJ 4: JANJI KITA!

Romance Completed 59995

Terk!

Layka menutup kembali lipstik merahnya yang sudah selesai dicalit pada bibir. Dia merenung dirinya di dalam cermin meja solek itu agak lama. Menatap dressnya berwarna hijau muda yang tidak cukup kain dan terdedah itu dengan keluh kecil.

"Kau boleh buat Layka! Boleh! Mesti boleh!" Layka memberi sepotong semangat buat dirinya sendiri.

Hari ini dia mahu berjumpa dengan Kaif kerana mengetahui kepulangan lelaki itu ke tanah air dari Dato' Haleem. Dia perlu pastikan sesuatu sebelum dirinya mengorak langkah dengan lebih jauh lagi. Lekas Layka menjinjit beg tangan hitamnya dan melangkah keluar.

Klak!

"Ya, boleh saya bantu cik?" sapa seorang pekerja wanita yang berjubah di mejanya seusai melihat seorang wanita yang berkaca mata hitam telah menerpa masuk.

"I.. nak jumpa Kaif Umar."

"Maaf, nama cik? Ada buat janji temu ke dengan Tuan Kaif?" soal wanita separuh usia itu lagi sambil memeriksa sesuatu di skrin komputernya jika ada janji temu yang telah terlepas pandang.

"Chop! Itu bilik Kaif ke?" tanya Layka sambil menuding jari telunjuknya.

"Err, ya. Tapi.."

Tanpa sebarang kata, Layka terus menonong menuju ke bilik itu.

"Eh, cik! Cik, cikkk!"

Klak!

"Cik! Cik, tidak boleh masuk macam ini!" larang pekerja wanita itu lagi sambil menarik lengan Layka.

"Eh, lepaslah!" tepis Layka.

Kaif tersentak dengan kekecohan yang berlaku di muka pintu pejabatnya itu.

"Tidak apa, Kak Siti. My guest!" ujar Kaif agar pekerjanya itu dapat beredar.

"Baik. Maaf, Tuan Kaif." balas wanita itu lantas melangkah pergi.

Layka menanggalkan cermin mata hitam yang dipakai agar wajah lelaki yang sedang duduk di meja kerja itu bisa tampak dengan lebih jelas.

"You.. siapa? Kaif Umar?" soal Layka dengan kerut.

Kaif menyeringai sinis.

"Excuse me. You tiba-tiba masuk pejabat orang then you tanya I siapa? You itu siapa?" bola mata Kaif ralit memandang Layka dari atas ke bawah. Tanpa dipinta, benak fikirannya mengingatkan dirinya akan seseorang.

Srettt..

Tanpa dipelawa, Layka menarik kerusi di depan Kaif lalu melabuhkan punggungnya menyilangkan kaki tanpa segan silu.

"So, I assume you are Kaif Umar. I Layka. Layka Tihani. Your.. future wife, maybe." Layka memperkenalkan diri meski agak janggal.

Kaif kelu sejenak. Dia tidak menyangka akan bersua Layka dengan cara begini. Malah, Layka di depannya ini hanyalah seorang budak hingusan yang mentah yang terlihat seksi!

"I nak pastikan sesuatu dengan you. You betul-betul nak kahwin dengan I? I mean, you memang nak kahwin tidak kisahlah dengan sesiapa pun sebab nak sehidup semati ke dengan pasangan you itu?" tanya Layka.

Kaif berkerut.

"Kalau.. I cakap I terpaksa kahwin?"

"Really?! Great! Lagi bagus!" Layka terus tersengih lebar. Tidak menyangka motif lelaki itu juga sama sepertinya!

"Sebab I pun terpaksa sama. So, disebabkan niat perkahwinan kita ini sama I nak kita buat perjanjian. I akan kahwin dengan you dengan syarat you ceraikan I. Perkahwinan kita ini tidak lebih hanya tertulis di atas kertas. I tidak akan tuntut apa-apa pun dengan you. It is okay. I bagi you masa untuk you fikir.." tawar Layka.

Srettt..

Melihat Kaif hanya diam membisu, Layka bingkas berdiri. Mencapai sekeping kad perniagaan milik Kaif yang terletak kaku di atas meja lantas melemparkan segaris senyum sinis sambil menayang-nayang kad di tangannya. Tanpa membuang masa, Layka memakai cermin mata gelapnya semula lantas melangkah pergi.

Klak!

"Oitt!"

Hilal terkejut kerana munculnya seorang wanita yang keluar dari bilik Kaif itu sewaktu dia menguak pintu. Dia terus berundur beberapa tapak untuk memberi laluan kepada Layka.

Terk!

"Weh, awek mana itu? Selama aku kerja sini Kak Siti dengan Asmah itu jelah aku hadap hari-hari. Tiba-tiba pula hari ini boleh ada bidadari turun dari kayangan?" soal Hilal seusai menutup pintu.

Hilal mengambil tempat duduk di depan Kaif. Dia terpinga dengan gerangan wanita yang keluar dari sini sebentar tadi.

"My future wife, maybe.." tutur Kaif tanpa sebarang rasa.

Hilal ternganga luas. Nak kata Kaif bergurau, tidak mungkin kawan baiknya itu akan bergurau hal yang sebegini rupa. Nak kata Kaif menipu, tidak mungkin juga wanita cantik dan seksi sebegitu boleh menjejakkan kaki ke pejabat Kaif ini jika tiada sebarang urusan.

"Kau biar betul?! Asal aku tidak tahu pun?!" tanya Hilal penuh gelabah.

"Aku pun baru tahulah.." jawab Kaif dengan raut wajah yang kelat. Dia juga bingung dengan kata-kata Layka tadi. Seakan hembusan angin sepoi yang sekadar lalu singgah menerpa telinga.

Tit!

Satu notifikasi mesej diterima. Kaif menoleh pandang telefon bimbitnya yang tidak jauh. Melirik tajam pada barisan nombor asing yang tidak dikenalinya.


+

Save my number - Layka

Kaif terpempan sejenak dengan Layka yang baru disuanya hari ini. Entah siapa-siapa, namun wanita itu begitu berani dan mudahnya mengarahkan seseorang itu dan ini sesuka hatinya!

"Haish! Papa ini biar betul. Salah umur ke si Kaif itu?! Bukan sepatutnya dia kena nampak tua kerepot ke? Apa hal handsome sangat pula mamat itu?! Mengarut betullah!" gumam Layka seorang diri sebaik sahaja sudah melangkah jauh dari pejabat Kaif.

Kalaulah si Kaif itu boleh dengar detak jantungnya saat mereka bersua wajah sebentar tadi. Hampir gugur terkejut dibuatnya!

Punyalah jauh panggang dari api. Melihat Kaif yang berkarisma sebegitu, tua yang tidak tampak tua langsung, malah tampannya itu bak seorang model di dalam majalah maskulin tanpa sedar menggetarkan sekeping hati Layka.

"Nenda.. nak pergi mana?"

Lekas Kaif menerjah ke arah Nenda Badariah kerana wanita tua itu sedang gigih untuk bangun dari kerusi makannya.

"Balik bilik. Nenda dah mengantuklah." genggaman tangannya pada lengan Kaif dikuatkan.

"Kaif hantarkan." pimpin Kaif sambil melangkah.

Klak!

Kaif membuka lampu dan mendudukkan nendanya itu ke atas katil. Sambil membalas senyuman nenda dia melabuhkan punggung di sisi lutut Nenda Badariah seperti kebiasaan.

"Kaif, betul ke Kaif nak kahwin ini?" soal nenda sambil menepuk lembut tangan Kaif.

"Kalau itu yang nenda mahu, Kaif kahwinlah. Tapi, jangan pula ya suruh Kaif kahwin dua ke tiga empat ke. Kaif nak satuuu je!" seloroh Kaif.

Nenda Badariah tertawa kecil.

"Ya.. satu je Kaif. Hah, tolong nenda ambilkan sampul dalam laci bawah itu Kaif." tuding nenda pada laci di sisinya. Tidak larat lagi mahu membongkok.

"Apa ini, nenda?"

"Calon isteri Kaiflah. Kan nenda dah cakap nenda punya calon ini semuanya baik-baik belaka tahu. Nenda nak Kaif pilih yang mana Kaif berkenan. Selebihnya, serahkan je kat nenda dengan abah untuk uruskan." balas Nenda Badariah sambil menghulurkan beberapa keping gambar.

"Shahida, Layka, Liyana.."

Kaif melihat tiap satu gambar yang terhampar di tapak tangannya. Memang betul wanita berambut panjang yang singgah ke pejabatnya siang tadi itu betul-betul salah seorang daripada calon nenda.

Pap!

"Hei, termenung pula dia! Kaif berkenan yang mana? Kalau Kaif tidak tahu nak pilih yang mana bagi nenda pilihkan yang terbaik." Nenda Badariah menarik semula gambar-gambar di tangan Kaif itu selepas menepuk bahu Kaif sekilas.

"Kaif pilih yang ini!"

Tanpa ragu, Kaif menarik semula gambar Layka dari tangan nenda. Sudah pasti hanya budak mentah lagi hingusan itu sahaja yang sesuai untuk dijadikan isteri kerana dia tidak perlu melukakan hati wanita lain yang betul-betul berharap dalam perkahwinan yang ternyata palsu ini.

Hairan.

Entah kenapa wanita seksi sebegitu boleh menjadi pilihan terbaik nenda. Katanya, calon-calonnya itu baik-baik semua. Kalau dah seksi macam itu baik apa jadahnya?

"Herm, Layka? Betul ini? Seronoknya nenda. Tidak sabar nenda nak tengok Kaif kahwin! Nenda cuma nak Kaif dengan Kash bahagia. Tenanglah nenda nak tutup mata ini nanti.." luah Nenda Badariah dengan segaris sengih. Terlalu gembira kerana Layka merupakan pilihan pertamanya untuk Kaif.

"Nendaaa.." rengek Kaif.

"Yalah, yalah.." angguk Nenda Badariah dengan senyum. Dia mengerti Kaif cukup tidak gemar mendengar bait kata 'pergi' itu.

Tok!

Tok!

Tok!

Kaif menguak pintu bilik Kash selepas mengetuk beberapa kali. Dia mendekati Kash yang sudah berbaring di atas katil itu.

"Kash.. nak tidur dah?"

"Erm, baru nak tidur. Ada apa walid?" Kash memberikan sedikit ruang agar Kaif dapat duduk di sisinya.

Kaif mengusap lembut kepala Kash. Jiwanya dilanda pelbagai rasa yang datang menerpa. Bertahun dia besarkan Kash seorang diri di perantauan. Mencukupkan segalanya. Tiap satu agar Kash tidak kan merasa sebarang kekurangan. Namun, sehingga kini hanya satu itu sahaja yang dia masih tidak mampu untuk bagi. Seorang ibu yang selayaknya buat Kash.

"Kash.. suka tidak kalau.. Walid kahwin?" teragak-agak Kaif bertanya di sisi anaknya itu.

Segar-bugar mata Kash bahkan terus menegakkan duduknya.

"Walid nak kahwin? Maksudnya.. Kash akan ada ummi?" tanya Kash dengan pandangan yang disulami harapan.

"Erm.." angguk Kaif meski jawapan itu tidak rela dilontarkan keluar.

"Sukaaaa! Kash nak ada ummiii! Semua kawan-kawan Kash ada ummi, walid. Kash seorang je yang tidak ada. Lepas ini, bolehlah Kash tunjuk ummi Kash dekat dia orang juga!" teriak Kash. Jiwa anak kecil itu sudah pun tertitip bibit bahagia walaupun hanya dengan membayangkan ia sahaja.

Entah kenapa perasaan Kaif seakan dicucuk sesuatu yang halus dan berbisa. Kash tidak pernah menyuakan hal itu padanya sehingga hari ini baru dia sedar yang anaknya itu terlalu menginginkan seorang wanita untuk digelar sebagai ibu.

"Walid nak kahwin dengan siapa? Bawalah Kash jumpa dia! Pleaseee! Tidak sabarnyaaaa Kash nak ada ummi. Yeahhh.." ujar Kash penuh teruja sambil memaut erat lengan Kaif.

Separa terpaksa, Kaif mengukir senyum.

"Nanti kita jumpa okay. Dah, Kash tidurlah."

"Kash sayanggg walid!" peluk Kash pada Kaif.

"Walid pun sayang Kash!" ucap Kaif seraya membalas pelukan.

Jujur, Kaif mahu yang terbaik untuk anaknya ini namun jika dirinya masih tidak mampu membuka hati untuk beristeri mampukah dia menghulurkan seorang ibu bagai yang Kash idamkan?

Bola mata Layka ralit mencari susuk tubuh lelaki berjambang di sekitar kafe bercat putih itu. Langkahnya dilajukan selepas bayang Kaif tampak depan mata.

Srettt..

"Herm, straight to the point! Kenapa nak jumpa I?" soal Layka sebaik sahaja duduk di kerusi depan Kaif.

Kaif menatap tubuh Layka dari atas ke bawah sejak wanita itu melangkah dekat. Pandangannya segera dialihkan kerana tidak selesa melihat Layka yang memakai blouse dan skirt pendek paras peha itu. Betul-betul hairan dengan calon isteri pilihan nendanya ini.

"I akan kahwin dengan you. Dengan syarat.." Kaif membuka bicara.

Layka mengukir senyum sinis. Sudah pastilah lelaki itu tidak mahu menolak tawarannya. Tawaran yang pasti menguntungkan kedua-dua belah pihak.

"Layan anak I sehabis baik. Dia mahukan layanan seorang ibu yang tidak pernah dia kecapi sejak dia kecil lagi. Gembirakan dia walau olok-olok macam mana sekalipun. Dan, please depan nenda dan abah I jangan berani you nak pakai tidak senonoh macam ini!" pinta Kaif. Dia yakin nendanya itu tidak mengetahui langsung perangai sebenar Layka ini.

Layka mencebik nipis.

"Deal! I akan layan anak you macam yang you minta asalkan bukan minta I untuk layan you dan puaskan you sebagai suami. Don't you ever dare! I tidak akan pernah jadi isteri betul-betul buat you!" tutur Layka dengan bahang.

Layka terpaksa menebalkan muka melontarkan segala permintaannya itu agar Kaif sentiasa beringat yang perkahwinan mereka hanyalah berlandaskan sebuah janji. Bukannya disulami kasih sayang dan cinta!

"Sampai satu masa, ceraikan I dan kita tidak pernah kenal lagi lepas dari itu." sambung Layka lagi.

"Deal!"

Kaif menyeringai sinis kerana tidak mungkin dia akan menceraikan Layka selepas berkahwin kelak. Bahagianya nenda dan Kash itu cukup membahagiakan hatinya meski selamanya dia dan Layka akan terpaut pada perkahwinan gila ini!

Melihat Layka depan mata sedekat ini mengingatkan dia pada seseorang yang cukup dibencinya seumur hidup. Jika dibuka kembali luka lama itu pasti luka itu tetaplah masih segar berdarah. Sekilas waktu, Kaif terbayang segala memori yang menyakitkan jiwanya yang tidak mungkin boleh terluput sampai bila-bila. Bagaimana Layka Tihani di depannya ini boleh begitu sama perangainya dengan Irdina?

Aku masih punya dendam yang tersisa,
Jika bisa terbalas, seluruh jiwa itu bakal aku robekkan dengan penuh bisa..

Orang kata jangan benci sangat. Orang katalah haha.. Jemput follow, rate dan komen ya gais!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience