BAB 8

Humor Completed 12899

Selepas mencatat sesuatu di dalam Fail Tugasan Harian, aku mengemas radas yang terdapat di dalam bilikku. Sudah bersepah seperti tongkang pecah. Beginilah keadaannya apabila ekperimen dijalankan.

Fuh… penat juga menjaga dua makmal. Terkejar-kejar. Kolej Nadi Sains Malaysia ini merupakan kolej swasta yang popular dan sering menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran. Jadi semua pihak sama ada pelajar, pensyarah, dan staf harus saling bekerjasama bagi meneruskan kecemerlangan serta menaikkan reputasi kolej.

Tok! Tok! Tok!

Siapa pula la yang ketuk pintu tu. Aku segera menoleh. Alamak, pensyarah Makmal Sains 9! Apa yang dia hendak? Tanpa membuang masa aku membuka pintu.

“Mana ais? Kenapa tak letak?” Tanpa salam, pensyarah itu terus menyoal aku.

Aku terkejut. Nampaknya pensyarah wanita sudah marah.

“Maaf, Puan Khadijah. Nanti saya ambil dan hantar ke Makmal Sains 9,” jawab aku pantas.

Selepas mendengar kata-kataku, Puan Khadijah terus sahaja berlalu. Datang tidak bersalam, pergi pun tidak bersalam. Sungguhlah pensyarah yang seorang itu memang tengah marah. Jangan dia buat aduan pula nanti sudahlah. Mampus aku nanti.

Aku terus bergerak ke peti ais dan mengambil seketul ais besar. Oleh kerana mahu cepat, aku terus membawanya ke Makmal Sains 9. Tadi, Kak Maya kata dia sudah menyediakan semua bahan dan radas yang diperlukan untuk eksperimen. Macam mana pula ais yang memang tersenarai dalam bahan eksperimen boleh tidak ada?

Sewaktu aku sampai di Makmal Sains 9, Puan Khadijah sedang sibuk mengajar di hadapan. Tanpa membuang masa aku meletakkan bekas ais besar itu di meja belakang. Aku mencari lesung batu yang memang digunakan dalam eksperimen. Manalah tahu masih ada baki lesung batu yang tidak digunakan. Bolehlah aku gunakan untuk memecahkan ais besar ini. Namun tiada pula.

Kebetulan terdapat seorang pelajar di meja belakang itu.

“Adik, lesung batu belum habis guna lagi ya?” tanyaku.

“Belum, kak. Akak nak pecahkan ais tu ya?” teka pelajar tersebut.

“Ha’a. Nanti kalau adik nak guna ais untuk turunkan suhu dalam eksperimen, boleh tak pecahkan ais ni guna lesung batu tu?” usulku. Entah mengapa otakku tidak dapat memikirkan jalan penyelesaian yang lain.

“Boleh, kak. Nanti kami akan pecahkan sendiri,” jawab pelajar itu lagi.

Aku berasa sedikit lega. Nak cepat sangat hantar ais ni sampai aku lupa nak pecahkan dulu tadi. Belum sempat aku mahu meninggalkan Makmal Sains 9, terdengar suara Puan Khadijah menegurku.

“Macam mana pelajar nak guna ais ni kalau awak bagi seketul besar macam ni. Pecahkan ais ni kecil-kecil. Tolonglah, ini kerja awak sebagai pembantu makmal. Takkan awak nak suruh pelajar pecahkan sendiri. Ini bukan kerja dia orang! So please!” marah Puan Khadijah.

Astaghfirullah al-azim… aku mengucap di dalam hati seraya menarik nafas panjang-panjang. Cuba menenangkan perasaan.

Malunya akuuu!!! Sampai hati Puan Khadijah meninggikan suara dan memarahi aku dihadapan semua pelajarnya yang sudah mula memberi perhatian kepadaku. Ayat yang aku dengar pula memang cukup memedihkan telinga. Sudah tentu Puan Khadijah mendengar perbualan aku bersama pelajar tadi. Entah masa bila dia berjalan ke belakang pun aku tidak perasan.

Pada saat ini aku tidak tahu di mana harus aku letakkan muka. Aku terpaku. Terasa maruahku sebagai seorang insan sudah jatuh menyembah bumi. Jika boleh aku mahu meninggalkan Makmal Sains 9 itu secepat yang mungkin. Aku malu. Puan Khadijah telah menjadikan aku kelihatan sangat bodoh dalam melakukan kerja.

Manakala pelajar tadi kelihatan serba salah. Mungkin dia juga berasa malu dengan tindakan pensyarahnya kerana sebentar tadi dia sudah pun bersetuju akan memecahkan sendiri ais itu.

“Err… maaf, puan. Saya akan pecahkannya.” Cepat-cepat aku berkata begitu walaupun pedih di hatiku ini sudah tidak tertanggung lagi rasanya.

Bukan aku sengaja mahu lari daripada tugas seperti maksud tersirat yang Puan Khadijah katakan. Tetapi…. entahlah. Aku juga tidak sangka akan jadi seperti ini. Langsung tidak terniat untuk lari atau malas melaksanakan tugas.

Masakan hanya kerana ais seketul itu, Puan Khadijah mahu melenting sebegitu rupa? Tiada budi bahasa langsung.

“Adik, pinjam lesung batu sekejap,” pintaku dengan wajah yang masih tebal dengan perasaan malu.

Sewaktu aku memecahkan ais itu, Puan Khadijah sudah kembali ke hadapan kelas.

Keras pula ais ni, bisik hatiku. Masakan tidak, ais yang baru keluar dari peti ais memanglah keras. Berkerut-kerut muka aku dibuatnya kerana terpaksa mengumpul kekuatan di bahagian tangan dan mengelak serpihan ais daripada terkena wajahku.

Dengan reaksi wajah yang aku pamerkan itu, sudah tentu Puan Khadijah menyangka bahawa aku sedang memprotesnya. Ah, lantaklah! Ais ini yang keras. Mana ada orang pecahkan ais dengan tersenyum. Lainlah kalau ais itu lembut dan mudah dipecahkan.
Setelah selesai, aku terus meninggalkan Makmal Sains 9 dan kembali ke Makmal Sains 8. Risau juga jika Makmal Sains 8 memerlukan apa-apa, tetapi aku tiada di sana. Nanti kalau timbul salah faham lagi antara pensyarah dan pembantu makmal, kan susah.

Sudahlah yang bertanggungjawab ke atas Makmal Sains 9 itu sebenarnya bukan aku. Aku hanya membantu Kak Maya. Takkanlah Puan Khadijah tidak perasan yang aku ini bukannya Kak Maya? Tak perlulah nak menengking dan marah aku macam aku yang bertanggungjawab sepenuhnya. Benci! Geram!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience