Dan pada pagi itu juga, semua mangsa banjir di pusat pemindahan itu terpaksa dipindahkan ke satu lagi pusat perlindungan sementara yang lain. Mereka dibahagi-bahagikan kepada beberapa buah kumpulan bagi memudahkan proses pemindahan. Jaket keselamatan dipakai bagi menjamin tidak ada sebarang kejadian tidak diingini sepanjang misi menyelamat itu dijalankan. Warga tua yang mengalami kesukaran untuk berjalan, terpaksa dipapah dan ada juga didukung untuk ke bot pihak bomba dan penyelamat.
Ammar, Ridzwan berserta ahli-ahli sukarelawan yang lain, tidak menang tangan membantu sedaya upaya mereka.
“Tolong atuk saya...tolong!”
Suara panik seorang perempuan menyinggah gegendang pendengaran Ammar. Bergegas dia berlari mendapatkan susuk tua yang sedang tercungap-cungap yang mana sebelahnya, gadis yang menjerit meminta tolong tadi
“Kenapa dengan atuk awak?”
“Atuk tiba-tiba aje semput.”
“Dia ada asma atau penyakit kronik yang lain?”
Perempuan itu menggeleng laju. Ammar menghela nafas lega. Setidak-tidaknya, lelaki tua itu cuma mengalami sesak nafas biasa. Ammar membuat kesimpulan. Cuaca sejuk-sejuk begini, apatah lagi dengan berbaring di atas lantai simen beralaskan gebar yang tidak setebal mana, imun badan orang yang sudah berusia biasanya tidak mampu bertahan. Ammar mencapai peti pertolongan cemas lalu mengeluarkan minyak angin. Lelaki tua itu yang sedang menelentang, segera diubahkan posisinya pada mengiring. Kemudian, bahagian belakang dan dada orang tua itu disapu dengan minyak angin sehingga rasa hangat di telapak tangan.
Beberapa minit kemudian, barulah rentak pernafasan lelaki tua itu kembali seperti sediakala. Bibir yang sedikit pucat tadi, perlahan-lahan bertukar kemerah-merahan. Syukur kepada ALLAH.
“Ada pakaian lebih tebal untuk atuk awak pakai tak? Badan dia tak tahan sebab cuaca sejuk ni,”
“Kami tak sempat bawak apa-apa tadi. Sehelai sepinggang aje ke sini,”
Ammar tercuit belas di hatinya. Lantas, dia bergerak ke buntilan karung yang mengandungi pakaian terpakai yang diderma orang ramai, dicarinya kalau-kalau ada baju tebal untuk orang tua itu.
“Alhamdulilah, rezeki atuk awak. Ada baju sejuk, ngam agaknya ni. Cuba awak pakaikan,” Baju sejuk benang kait itu bertukar tangan. Ammar tersenyum puas kerana dapat membantu.
“Terima kasih saudara...”
“Nama saya Ammar...”
“Saya Mawar...”
Share this novel